Home New Writers Campur tangan politik dalam kebebasan akademik perlu dihapuskan

Campur tangan politik dalam kebebasan akademik perlu dihapuskan

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Proses pemilihan naib-canselor di universiti awam mesti bebas daripada pengaruh atau tekanan politik semasa, Ngo Sheau Shi menulis.

Jika ditanya sama ada kebebasan akademik penting bagi tenaga pengajar dan penyelidik yang bekerja di universiti-universiti di Malaysia, sebilangan besar akan memberi jawapan yang positif.

Ya, sememangnya kebebasan akademik adalah amat penting untuk mencapai kecemerlangan dan kewibawaan universiti-universiti di Malaysia.

Kebebasan akademik nampaknya satu konsep yang mudah, tetapi pada hakikatnya, ia agak sukar didefinisikan.

Walau bagaimanapun, tidak banyak penyelidikan akademik yang dilakukan untuk melindungi kebebasan akademik di Malaysia.

Oleh itu, wujudnya kekurangan dan kekangan untuk membincangkan konsep-konsep penting dan sistem tadbir urus yang berkaitan dengan kebebasan akademik.

Dalam perdebatan mengenai hala tuju institusi pendidikan tinggi di negara ini, kebebasan akademik sering dihubungkaitkan dengan autonomi individu iaitu kebebasan staf akdemik untuk mengajar dan membuat penyelidikan.

Kebebasan individu ini biasanya merangkumi perkara seperti kebebasan untuk menentukan kandungan kursus, pedagogi, kaedah penilaian, kriteria penentuan gred, prosedur kemasukan pelajar dan sebagainya.

Dari segi penyelidikan, kebebasan akademik juga bermaksud pemerkasaan ahli-ahli akademik untuk mempersoalkan ketidakadilan yang berlaku dalam bidang politik, ekonomi, professional dan sosial tanpa rasa takut atau campur tangan oleh pihak universiti di dalam kampus universiti.

Memang tidak dapat dinafikan prinsip kebebasan akademik pada tahap autonomi individu ini dapat menjamin sinergi ekosistem akademik yang terbuka dan fleksibel supaya dapat berdaya saing dan memberikan reaksi proaktif terhadap dunia yang cepat berubah.

Namun, autonomi institusi pendidikan tinggi juga merupakan faktor yang penting mendorong kecemerlangan professional dan perdebatan idea dan pemikiran kritis dalam universiti-universiti di Malaysia.

Dengan ini, naib-canselor merupakan satu jawatan yang paling penting dalam universiti awam untuk memastikan kuasa autonomi dari segi hak mengurus pemerintahan dan hak membuat keputusan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Berdasarkan kepada peruntukan yang termaktub di dalam Akta Universiti dan Kolej 1971 (Auku) pindaan 2009, satu jawatankuasa tetap pemilihan naib-canselor universiti awam di bawah Seksyen 4A perlu ditubuhkan untuk memastikan proses pemilihan and pelantikan naib-canselor universiti-universiti awam akan dilakukan dengan telus dan profesional di Malaysia.

Pendek kata, pelantikan seorang naib-canselor perlu dilakukan oleh menteri atas nasihat jawatankuasa yang dilantik di bawah Seksyen 4A Auku.

Hal ini bertujuan memastikan kecermelangan universiti-universiti tempatan dalam proses pemilihan tersebut, dan hanya calon yang benar-benar berkaliber dan berkelayakan serta mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang unggul akan mengisi jawatan tersebut.

Lebih-lebih lagi, jawatankuasa ini berfungsi sebagai satu mekanisme demokratik dari segi semak dan imbang (checks and balances) supaya dapat menghapuskan amalan pelantikan politik bagi jawatan naib-canselor di universiti-universiti awam.

Pada April 2020, Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak), satu gabungan kesatuan-kesatuan pensyarah di beberapa universiti utama, telah memohon dan diberi kebenaran oleh Mahkamah Tinggi untuk semakan kehakiman mengenai pelantikan semula naib-canselor Universiti Malaysia Terengganu pada April 2020.

Gerak percaya bahawa pelantikan naib-canselor universiti ini oleh menteri tidak selaras dengan Seksyen 4A Auku kerana ia bersifat sepihak dan tidak didahului oleh perundingan dengan jawatankuasa tetap pemilihan naib-canselor universiti awam.

Konteks pelantikan semula ini berlaku selepas pemgambilalihan kerajaan persekutuan oleh Perikatan Nasional. Latar belakang ini mencerminkan campur tangan politik dalam proses memilih naib-canselor yang jelas tidak mematuhi Seksyen 4A Auku.

Atas prinsip mempertahankan kebebasan akademik dan kualiti kesarjanaan, satu proses pemilihan dan pelantikan naib-canselor di universiti awam mesti kekal bersifat objektif dan bebas daripada pengaruh dan tekanan politik semasa.

Mana-mana menteri tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya tanpa menghormati kedaulatan undang-undang.

Dengan itu, tindakan menteri melantik naib-canselor perlu disemak untuk memastikan tidak wujudnya konflik kepentingan yang melibatkan konflik antara tanggungjawab awam dan kepentingan peribadi atau parti politik seseorang menteri.

Singkat kata, akauntabiliti menteri dalam pelantikan naib-canselor di universiti awam di Malaysia perlu dijamin dari sisi undang-undang.

Kuasa dan fungsi jawatankuasa tetap pemilihan naib-canselor universiti awam perlu dipertahankan dan diperkasakan menerusi semakan kahakiman.

Kuasa yang diberi kepada jawatankuasa tersebut di bawah Seksyen 4A Auku pindaan 2009 mesti dipatuhi oleh semua pihak yang berkenaan, terutamanya menteri pengajian tinggi.

Dr Ngo Sheau Shi ialah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x