Home New Writers Flotilla Gaza dan tanggungjawab kita di media sosial

Flotilla Gaza dan tanggungjawab kita di media sosial

Setiap klik di media sosial adalah pilihan moral yang menentukan sama ada kita menyebar kebenaran atau fitnah

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Oleh Nur Syazwani Ahmad

Pernahkah anda terfikir hidup kita sebenarnya dipengaruhi oleh apa yang kita lihat di skrin telefon setiap hari?

Satu hantaran, satu gambar atau satu video sahaja mampu mengubah cara kita menilai sesuatu isu, meskipun ia berlaku jauh di luar negara. Begitulah besarnya kuasa dunia digital pada masa kini.

Semua maklumat dalam dunia digital sampai kepada kita dalam sekelip mata, seakan-akan tiada lagi jarak atau sempadan antara diri kita dengan apa yang berlaku di seluruh dunia.

Apa sahaja maklumat, isu atau konflik boleh menembusi ruang peribadi kita hanya dengan satu notifikasi kecil di telefon pintar.

Namun, dalam masa yang sama, ruang digital yang terbuka luas ini juga boleh menjadi pintu masuk kepada fitnah dan manipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kisah Global Sumud Flotilla menjadi bukti nyata bagaimana semangat kemanusiaan dapat dizahirkan. Malah ia mampu membentuk pandangan dunia terhadap sebuah perjuangan melalui ruang digital.

Flotilla ini bukan sekadar deretan kapal yang berlayar menuju Gaza, tetapi simbol keberanian dan solidariti sejagat yang melangkaui sempadan bangsa, agama dan negara.

Ratusan sukarelawan daripada pelbagai latar belakang berganding bahu, disatukan oleh tekad yang sama untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang telah lama menderita akibat sekatan dan penindasan yang zalim.

Misi ini membawa mesej yang jelas dan tulus – tanpa senjata, tanpa agenda politik, hanya dengan bekalan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan susu formula yang amat diperlukan oleh penduduk Gaza yang ditindas.

Namun, dalam derasnya arus maklumat digital, kebenaran tidak selalu kelihatan sebagaimana realitinya. Terdapat pihak yang cuba menggambarkan Global Sumud Flotilla sebagai provokasi politik dan menanamkan keraguan dengan menyebarkan maklumat yang salah serta memutarbelitnya.

READ MORE:  Spain approves arms embargo on Israel due to Gaza genocide

Lebih membimbangkan, kandungan yang tidak sahih ini sering kali tersebar luas kerana dikongsi tanpa sengaja oleh pengguna media sosial yang tidak menyemak kesahihannya terlebih dahulu.

Dengan hanya satu klik untuk menekan butang ‘like’ atau ‘share’, berita yang salah ini boleh menular kepada ratusan malah ribuan orang dalam masa beberapa minit sahaja. Ia menjadikan kita sebagai agen penyebar maklumat palsu tanpa sengaja dan tanpa sedar.

Inilah cabaran sebenar dunia tanpa sempadan, apabila kisah kemanusiaan yang ikhlas boleh dicemari oleh berita palsu dan manipulasi yang diperkuatkan pula oleh tindakan tidak berwaspada.

Persoalannya, adakah kita mahu menjadi penyebar maklumat yang tidak sahih? Atau sanggupkah kita mula memainkan peranan sebagai penyaring fakta dan memastikan hanya kebenaran yang disampaikan?

Di sinilah lahirnya tuntutan terhadap integriti digital yang semakin mendesak. Jika kita terus menerima tanpa menapis, berkongsi tanpa menyemak, dan percaya tanpa menyoal, maka kita sebenarnya sedang menyumbang kepada penularan maklumat salah.

Sebaliknya, dengan melatih diri untuk menyemak sumber, menilai kesahihan dan memastikan fakta benar sebelum berkongsi, kita sedang memainkan peranan penting dalam mempertahankan kebenaran.

Satu klik mungkin kelihatan remeh, tetapi dalam dunia digital yang serba pantas, ia mampu mengubah keseluruhan naratif yang sedang dibina.

Dalam konteks misi Global Sumud Flotilla, walaupun kita tidak berada di atas kapal flotilla yang berlayar menuju Gaza, kita tetap mempunyai ruang untuk menyokong perjuangan ini melalui medan digital.

Dengan memilih untuk menyebarkan maklumat yang sahih, menolak berita palsu, dan memperkukuh naratif bahawa GSF adalah misi kemanusiaan yang tulus, kita sebenarnya berdiri selari dengan rakyat Gaza dan para sukarelawan flotilla yang sedang berjuang di lapangan.

READ MORE:  'Rancangan damai' Trump memberi ganjaran kepada genosid/Trump's 'peace plan' rewards genocide - NGOs

Media sosial memberikan kita kuasa untuk bersuara. Ia adalah ruang di mana sokongan moral boleh dizahirkan, di mana kebenaran boleh dipertahankan, dan di mana solidariti dapat bergema ke seluruh dunia.

Namun, kuasa ini datang dengan sebuah tanggungjawab. Jika kita membiarkan ruang digital dipenuhi fitnah, maka mesej GSF yang sepatutnya menjadi simbol harapan boleh tenggelam begitu sahaja.

Sebaliknya, jika kita memilih untuk berpegang pada kebenaran dan memastikan hanya fakta yang dikongsi, suara solidariti itu akan menjadi lebih lantang, lebih tulus dan lebih bermakna.

Ingatlah, setiap klik adalah pilihan moral yang mencerminkan siapa kita. Kita boleh memilih untuk berdiri selari dengan Global Sumud Flotilla menyebarkan kebenaran dan menegakkan solidariti kemanusiaan – atau kita boleh membiarkan fitnah terus berleluasa tanpa halangan.

Nilai kemanusiaan hanya akan teguh apabila kebenaran dijadikan pegangan bersama. Maka tanyalah diri kita, adakah kita rela berdiam diri, atau sudah tiba masanya kita bersatu menyebarkan kebenaran demi kemanusiaan sejagat?

Dr Nur Syazwani Ahmad ialah pensyarah kanan di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x