Home New Writers Jangan biar stigma kesihatan mental halang rawatan, integrasi sosial

Jangan biar stigma kesihatan mental halang rawatan, integrasi sosial

Walaupun kesedaran meningkat, tanggapan negatif terhadap kesihatan mental terus menghalang rawatan dan penerimaan sosial

GERD ALTMANN/PIXABAY

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Oleh Syarifah Maisarah Syed Alwi

Kesihatan mental merupakan aspek penting dalam kesejahteraan individu dan masyarakat secara menyeluruh.

Namun, walaupun tahap kesedaran tentang kepentingannya semakin meningkat, stigma terhadap kesihatan mental masih menjadi penghalang utama kepada usaha pemulihan dan penerimaan sosial di Malaysia. Stigma boleh ditakrifkan sebagai tanggapan negatif, stereotaip, dan diskriminasi terhadap individu yang mengalami gangguan mental.

Di Malaysia, stigma ini berpunca daripada pelbagai faktor yang menyebabkan isu kesihatan mental dilihat sebagai kelemahan peribadi. Fenomena ini bukan sahaja menjejaskan individu yang terlibat, tetapi juga membantutkan kemajuan sistem kesihatan awam secara keseluruhannya.

Apa yang membimbangkan ialah kurangnya pengetahuan dan kesedaran masyarakat tentang gangguan mental menjadi faktor utama yang menyumbang kepada kewujudan dan kekalnya stigma terhadap kesihatan mental di Malaysia.

Masih ramai dalam masyarakat yang menganggap penyakit mental sebagai suatu mitos yang diakibatkan oleh kelemahan iman, sumpahan atau gangguan makhluk halus.

Sebagai contoh, ada yang berpendapat kemurungan boleh diatasi dengan ‘kuatkan semangat’ tanpa rawatan psikologi atau ubat. Persepsi ini menjadikan individu yang mengalami gangguan mental enggan mendapatkan rawatan profesional dan lebih cenderung mencari bantuan daripada pengamal perubatan tradisional termasuklah khidmat bomoh.

Pengaruh budaya dan agama turut memainkan peranan dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap kesihatan mental. Dalam budaya Timur, khususnya masyarakat Asia, keharmonian sosial dan reputasi keluarga dijadikan keutamaan.

Oleh itu, individu yang menunjukkan tanda gangguan mental sering dianggap memalukan atau membebankan.

Sesetengah keluarga juga percaya bahawa masalah mental akan “menconteng arang di muka keluarga” dan boleh menjejaskan peluang perkahwinan atau kedudukan sosial anak-anak lain. Mereka sanggup memilih untuk menyembunyikan ahli yang mengalami masalah mental daripada pengetahuan umum.

READ MORE:  Keganasan bukanlah akibat keadaan kesihatan mental/Violence is not a symptom of mental illness

Stigma sebegini menyebabkan ada pesakit yang hanya dibiarkan di rumah tanpa rawatan yang sesuai kerana bimbang saudara mara atau jiran tetangga akan mengetahui keadaan tersebut.

Liputan media yang tidak sensitif boleh menjadi faktor penyumbang kepada stigma kesihatan mental dikalangan orang ramai.

Media kadangkala menggambarkan individu dengan gangguan mental sebagai berbahaya, agresif, atau tidak waras. Paparan negatif seperti ini menimbulkan ketakutan dalam masyarakat dan menguatkan lagi stereotaip bahawa pesakit mental tidak boleh dipercayai dan berbahaya sekiranya didekati.

Laporan media yang mensensasikan kes jenayah yang melibatkan individu dengan penyakit mental turut memperkukuhkan tanggapan yang salah bahawa semua pesakit mental berpotensi melakukan keganasan.

Walhal, hanya sebilangan kecil kes benar-benar berlaku.

Kesan terhadap individu

Stigma terhadap kesihatan mental memberi kesan yang mendalam terhadap kehidupan individu kerana ia berpotensi mengakibatkan hilangnya keyakinan diri.

Ada antara mereka juga yang sanggup mengasingkan diri kerana perasaan malu dan takut terhadap penilaian sosial sekiranya masalah yang dihadapi diketahui umum.

Akhirnya, ramai yang memilih untuk menanggung penderitaan secara senyap tanpa mendapatkan rawatan yang sewajarnya walaupun mereka sedar akan kewujudan perkhidmatan profesional untuk merawat masalah kesihatan mental.

Dalam konteks pendidikan, pelajar yang mengalami masalah kesihatan mental sering berhadapan dengan diskriminasi, salah faham dan ejekan daripada rakan sebaya.

Fenomena ini berlaku apabila komuniti sekolah masih kurang peka terhadap isu kesihatan mental. Ada yang menganggap pelajar yang menunjukkan tanda kemurungan, keresahan atau gangguan tumpuan sebagai lemah, tidak bermotivasi atau sukar dikawal.

Stigma sosial ini menyebabkan pelajar merasa terasing dan malu untuk mendapatkan bantuan kaunselor sekolah, kerana bimbang dilabel atau dijauhi oleh rakan-rakan mereka.

READ MORE:  Keganasan bukanlah akibat keadaan kesihatan mental/Violence is not a symptom of mental illness

Akhirnya, ada yang memilih untuk menarik diri daripada aktiviti sosial dan akademik, lalu menjejaskan prestasi pelajaran serta perkembangan emosi mereka.

Kesan terhadap pekerjaan

Stigma terhadap kesihatan mental turut memberi kesan yang mendalam terhadap peluang pekerjaan dan kestabilan kerjaya individu yang terlibat.

Dalam konteks masyarakat Malaysia, pandangan stereotaip bahawa individu dengan sejarah penyakit mental tidak mampu berfungsi secara normal di tempat kerja masih wujud.

Majikan yang kurang peka terhadap isu kesihatan mental cenderung mendiskriminasi calon pekerja yang pernah mendapatkan rawatan psikiatri, kerana beranggapan bahawa mereka kurang produktif, sukar menyesuaikan diri atau berpotensi menimbulkan masalah di tempat kerja.

Kesan terhadap masyarakat

Dari perspektif masyarakat, stigma terhadap kesihatan mental menjadikan masyarakat kurang empati terhadap individu yang memerlukan bantuan, lalu mengekalkan kitaran diskriminasi.

Stigma terhadap kesihatan mental boleh mengekang kemajuan sistem penjagaan kesihatan negara.

Apabila stigma terhadap kesihatan mental tinggi, kadar penggunaan perkhidmatan kesihatan mental menjadi rendah walaupun pelbagai kemudahan disediakan.

Situasi ini membawa kepada peningkatan kos sosial, kehilangan produktiviti tenaga kerja, tekanan kewangan terhadap keluarga, dan peningkatan kes bunuh diri.

Langkah ke hadapan

Untuk menangani stigma kesihatan mental, pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan.

Pendidikan kesihatan mental harus diperluas di semua peringkat bagi meningkatkan pemahaman bahawa gangguan mental ialah penyakit yang boleh dirawat, bukan kelemahan moral.

Media massa dan media sosial juga perlu berperanan membentuk persepsi positif melalui penyampaian berita dan program yang tepat serta berempati.

Selain itu, komuniti dan pemimpin agama wajar menjadi medium penyebaran mesej bahawa penyakit mental bukan tanda lemahnya iman, sebaliknya memerlukan rawatan profesional dan sokongan sosial.

Sokongan dasar kerajaan turut penting melalui pelaksanaan polisi pengurangan stigma terhadap kesihatan mental dan latihan kesedaran kepada majikan, pendidik, serta pegawai awam.

READ MORE:  Keganasan bukanlah akibat keadaan kesihatan mental/Violence is not a symptom of mental illness

Insentif juga boleh diberikan kepada syarikat yang mengamalkan dasar inklusif terhadap pekerja dengan sejarah penyakit mental. Langkah-langkah ini dapat melahirkan masyarakat yang lebih inklusif, penyayang dan berdaya tahan.

Secara keseluruhannya, stigma terhadap kesihatan mental di Malaysia merupakan cabaran utama dalam usaha meningkatkan kesejahteraan psikologi masyarakat.

Stigma terhadap kesihatan mental bukan sahaja menghalang individu daripada mendapatkan rawatan, tetapi juga menjejaskan integrasi sosial dan pembangunan negara.

Oleh itu, pendekatan bersepadu yang melibatkan pendidikan, media, komuniti, dan dasar kerajaan amat diperlukan.

Dengan usaha berterusan, masyarakat Malaysia mampu melangkah ke arah budaya yang lebih terbuka dan menerima kepelbagaian pengalaman mental manusia.

Dr Syarifah Maisarah Syed Alwi ialah pensyarah kanan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x