Oleh Faisal Aziz
Dalam halaman muqaddimah buku Mahasiswa Menggugat karya Prof Muhammad Abu Bakar telah memuatkan puisi Prof Diraja Ungku Aziz, “Belajar Sambil Mencabar, Pengetahuan tidak Terjuntai Seperti Pisang, Bangsamu tidak termaju, tanpa pemimpin berpengalaman (mencabar) dan terpelajar”.
Puisi ini adalah kata hikmah yang memberi justifikasi kepada gerakan rakyat ketika era 1960-an dan 70-an yang dipimpin anak muda dan mahasiswa. Gerakan ini merata menyuarakan hasrat rakyat dari isu petani Teluk Gong, membela penduduk setinggan dalam peristiwa Tasik Utara (Johor Bahru), demonstrasi papan tanda hinggalah ke isu antarabangsa menentang penindasan regim Thanom Kittikachorn ke atas umat Islam selatan Thailand.
Dominasi ini dibawa oleh beberapa pertubuhan merentas ideologi seperti Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.
Atas kesedaran untuk membangunkan kualiti hidup masyarakat luar bandar, perkumpulan mahasiswa ini telah merencanakan gerakan dengan slogan keramat yang cukup bermakna apabila setiap mahasiswa mengambil bahagian yang dipertanggungjawabkan sebagai “an ambassador of the University of Malaya’s students, a student conscious of the problems of this country, a student who wants to offer in a small way that he can to help the neglected rural people, a student who wants to understand their way of life”.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Kesedaran membela suara rakyat dalam kalangan mahasiswa memuncak ketika berlakunya demonstrasi Baling pada 3 Disember 1974 secara besar-besaran yang memperlihat pimpinan mahasiswa ketika itu Anwar Ibrahim dan Ibrahim Ali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Aliran Monthly keluaran Januari 1985 telah merekodkan secara khas gerakan rakyat menerusi demonstrasi Baling ini dengan tajuk “Baling Remembered, Youth and the People’s Struggle”.
Demonstrasi Baling ini, tidak lain dan tak bukan ia adalah satu luahan suara membela golongan petani di Baling yang dirundung keperitan hidup akibat kemiskinan.
Sebelum itu, telah berlaku beberapa siri bantahan golongan petani khususnya pekebun kecil getah akibat kejatuhan harga getah disusuli kenaikan harga barang keperluan harian.
Justeru, para belia dan pelajar melihat keperluan untuk bertindak melahat kegagalan kerajaan menguruskan ekonomi rakyat. Imbauan-imbauan ini penting bukan semata untuk membawa sentimen romantisisme, tetapi ia adalah komitmen anak muda dan pelajar membawa perjuangan menuntut hak dan keadilan. Dalam erti kata lain, mereka yang telah memecah ruyung hingga rakyat mendapat sagunya.
Ditambah ketika itu sememangnya wujud ruang vakum yang besar dalam pentas kawal dan imbang terhadap kerajaan, lebih-lebih lagi apabila Barisan Nasional terbentuk dan melebarkan sayapnya apabila berjaya meminang parti utama pembangkang seperti Gerakan, Pas dan Parti Progresif Penduduk (PPP).
Membina momentum gerakan rakyat hari ini
Namun, hari ini setelah beberapa dekad berlalu, terzahir keperluan untuk membangkitkan semula gerakan rakyat ini.
Dalam situasi parti pembangkang kini yang dilihat masih bergelut dan mencari rentak untuk menjadi badan kawal dan imbang yang berkesan, maka wujud ruang vakum untuk ia diisi oleh satu gerakan rakyat dipimpin mahasiswa dan anak muda secara bersepadu.
Sememangnya tidak mudah untuk membina momentum kebangkitan apa lagi rakyat kini dihimpit kelelahan politik, selain rasa kecewa akibat harapan reformasi yang masih belum dilunaskan. Namun, sesuatu harus digerakkan.
Sebagai langkah awal menjayakan agenda tersebut, Bersih mengambil inisiatif untuk menganjurkan kongres Bersih pada 25 Mei 2024 sebagai wahana mengumpulkan semula NGO dan aktivis masyarakat di satu pentas untuk memeta masa depan gerakan rakyat khususnya dalam menuntut reformasi.
Menerusi tema yang disepakati “Menuntut Reformasi, Memperkasa Demokrasi” ia adalah mesej jelas bahawa wujud keperluan untuk kita berterusan menuntut reformasi sebagai wahana memperkasa demokrasi.
Tanpa reformasi sudah pasti demokrasi akan menguncup malah akan menjadi regresif. Begitu juga tanpa demokrasi, ia akan menutup ruang reformasi berasaskan aspirasi suara keramat rakyat untuk dilaksanakan.
Lantaran, kongres ini akan menjadi landasan untuk kita matangkan pemetaan agenda menuntut reformasi dan memperkasa demokrasi untuk bekalan bersama membina sebuah masyarakat yang adil, demokratik dan sejahtera.
Lebih utama, kongres ini akan membuka ruang untuk pertubuhan masyarakat sivil dan mahasiswa membawa usul untuk dibahaskan secara bersama. Malah warga yang hadir akan turut diberikan hak untuk mengundi usul yang dibahaskan sebagai platform merangkumi semua suara untuk menetapkan resolusi penting menjelang pilihan raya umum akan datang.
Semoga kongres ini dapat membuka lembaran baharu penyatuan tenaga seluruh warga untuk membina momentum gerakan rakyat bagi memastikan kerajaan menggagaskan agenda reformasi untuk ia dilaksanakan dalam tempoh mandat yang ada.
Muhammad Faisal Abdul Aziz ialah pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme