Home New Writers Malaysia Baru? Realiti masyarakat di sebalik retorik konservatisme dan sekularisme

Malaysia Baru? Realiti masyarakat di sebalik retorik konservatisme dan sekularisme

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Kuasa perubahan adalah di tangan rakyat dan aspirasi Malaysia Baru masih boleh direalisasikan jika itu yang rakyat impikan, ujar Nagathisen Katahenggam.

Euforia “Malaysia Baru” yang tercetus pasca pilihan raya umum 2018 semakin pudar selepas setahun berlakunya perubahan mengejut ini.

Retorik politik etnosentrisme masih dilihat membelenggu bicara politik Malaysia. Tidak dinafikan, suara konservatif lebih lantang menentang agenda perubahan yang pada awalnya diperjuangkan sebagai asas perubahan kerajaan.

Apa yang berlaku kepada janji untuk memansuhkan hukuman gantung mandatori? Lenyap ditentang suara konservatif.

Tidak cukup dengan itu, komen-komen di media sosial pula agak menggusarkan, penuh dengan konotasi rasisme menggambarkan hubungan kaum di Malaysia semakin rapuh.

Setiap tindakan kerajaan, seperti yang melibatkan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa dilihat dari lensa perkauman dan serangan agenda sekularis terhadap nilai konservatif.

Tetapi, adakah ini menggambarkan realiti masyarakat Malaysia? Adakah Malaysia semakin menjadi pentas konflik konservatif dengan sekularis? Benarkah Malaysia berada di ambang Talibanisme?

Sebut sahaja politik Malaysia, imej yang sering digambarkan adalah wacana tentang kedudukan agama dan kaum di kalangan masyarakat.

Dari awal kemerdekaan, scenario politik Malaysia didukungi dengan pegangan konservatif yang mahukan negara yang lebih teokratik dan golongan sekular yang inginkan Malaysia yang lebih inklusif dan terbuka. Pergolakan politik seperti rusuhan 1969, Ops Lalang 1987 dibelakangi oleh masalah etnosentris.

Jadi, apabila pergerakan Reformasi wujud pada tahun 1998 dengan isu ketidakadilan dan korupsi, Malaysia dapat membentuk satu pergerakan yang menjangkau polemik perkauman.

Malangnya, reaksi balas dari Barisan Nasional masih cuba untuk menggunakan isu tersebut sebagai landasan politik mereka. Ura-ura kononnya parti DAP, sebagai suara sekularisme akan menguasai kerajaan dan kedudukan raja-raja, dan status bumiputra akan terhakis jika pihak pembangkang menjadi kerajaan digunakan sebagai senjata untuk memastikan kerajaan tidak berubah.

Tetapi, kematangan masyarakat dapat menepis hujah tersebut dan memberi peluang kepada suara pembangkang untuk berkuasa.

Persoalannya, kenapa agenda reformis yang diuar-uarkan dalam manisfeto Pakatan Harapan sukar pula untuk direalisasikan?

Realitinya, sistem birokrasi Malaysia telah sekian lama mencerminkan ideologi pegangan politik kanan Umno yang dominan sejak sebelum kemerdekaan lagi.

Dengan jalur kuasa yang nipis antara politik Umno dan birokrasi, tindakan kerajaan yang dilihat bertentangan dengan aspirasi teokratik dan lebih sekular dapat diterima masyarakat tanpa tentangan. Penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar), Kolej Tunku Abdul Rahma (TAR College) dan dana untuk sekolah vernakular tidak pula dikritik secara lantang sebelum ini.

Namun dengan kemenangan parti Pakatan Harapan menggantikan dominasi Umno dalam kerajaan, wujud persepsi bahawa suara konservatif telah hilang ruang berdasarkan komposisi kaum parti yang berkuasa sekarang.

Dari kaca mata pihak konservatif, naratif penguasaan idea-idea liberal dan sekular menerusi parti DAP sedang berlaku.

Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan segala bentuk Diskriminasi Kaum dan statut Rome ditafsirkan sebagai usaha untuk mengubah Malaysia menjadi negara republikan yang sekular.

Dalam sekelip mata, politik entnosentrik dilihat kembali apabila pihak konservatif dipaparkan sebagai mangsa dan harus bersatu mempertahankan pegangan sendiri.

Kegagalan kerajaan untuk merasionalisasikan kedua isu tersebut dan keputusan untuk menarik diri menguatkan lagi persepsi konflik antara pihak konservatif dan sekularis.

Banyak lagi isu-isu kecil seperti dana bantuan kepada sekolah vernakular dan Utar yang sebelum ini dilihat rutin ditafsirkan pula sebagai peminggiran sekolah dan bahasa kebangsaan.

Sebagai reaksi, Pas yang sebelum ini melabelkan Umno sebagai parti sekular sanggup membentuk pakatan politik bersama untuk membawa suara konservatif yang dilihat terpinggir. Isu-isu yang akan diketengahkan pula akan dijangka lebih etnosentrik dan meningkatkan polarisasi kaum di Malaysia.

Agenda untuk neningkatkan lagi reformasi sistem politik Malaysia juga dijangka akan lebih sukar dengan pemerkasaan kesatuan ini. Contohnya, usaha untuk memperkenalkan balik pilihanraya kerajaan tempatan dikekang atas alasan dominasi kaum minoriti bandar.

Kegusaran terhadap pakatan Umno-Pas ini turut dilihat oleh Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin sebagai satu halatuju yang bukan kondusif untuk Malaysia. Malah, ada hujah yang menyatakan bahawa Malaysia semakin regresif dan mula mengidolakan konservatisme ala Taliban.

Namun begitu, jika dibandingkan dengan alur politik global dan Asia, persepsi kebangkitan golongan konservatif ini bukanlah sesuatu yang janggal.

Lihat sahaja politik Indonesia yang bergolak antara ideologi Jokowi yang dilabel lebih sekular dan kebangkitan sokongan kepada Probowo yang lebih konservatif.

Di India, suara sekular yang sekian lama menjadi identiti negara berkenaan semakin pudar dengan kebangkitan BJP yang lebih konservatif dan anti-sekular.

Amerika Syarikat, simbol pemerkasaan idea liberal, memilih Donald Trump yang membawa agenda populisma haluan kanan.

Mungkin ini adalah tindakbalas masyarakat terhadap perubahan yang dibawa kerana globalisasi.

Kita seharusnya tidak gusar akan retorik konservatif dan sekular yang semakin agresif. Di samping itu, masyarakat juga seharusnya jangan meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat perubahan dalam ruang likup sosio-politik negara.

Perubahan adalah suatu proses yang konsisten dan berlaku hanya sebagai respons terhadap kehendak rakyat. Realitinya, Malaysia Baru kekal sebagai satu konsep yang idealistik.

Tetapi, kuasa perubahan adalah di tangan rakyat dan aspirasi Malaysia Baru masih boleh direalisasikan jika itu yang rakyat impikan.

Nagathisen Katahenggam is a postgraduate student from Penang at a local university. Intrigued by local politics, he has picked up a newfound interest in expressing his ideas through writing. He recently participated in an Aliran writers’ workshop with the theme “Writing for Change in New Malaysia”, where he wrote this piece.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x