Nur Annizah Ishak
Keganasan rumah tangga ialah isu kompleks yang dipengaruhi oleh faktor ekonomi, sosial, norma budaya dan kesihatan emosi.
Dalam masyarakat patriarki seperti Malaysia, isu rumah tangga dianggap sebagai masalah peribadi yang menghalang perbincangan secara terbuka.
Sikap jangan campur hal orang lain, atau ‘jangan jaga tepi kain orang’, boleh menormalisasikan penderaan.
Manakala mangsa pula tidak mahu melaporkan keganasan atau mendapatkan bantuan kerana malu dan takut dihakimi masyarakat.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Keganasan rumah tangga ialah penderaan fizikal, seksual, emosi, ekonomi atau psikologi yang digunakan untuk mendapatkan kuasa dan kawalan ke atas pasangan, tanpa mengira latar belakang.
Menurut WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), kira-kira satu pertiga daripada wanita di seluruh dunia, termasuk hampir 27% wanita berumur 15 hingga 49 tahun yang pernah menjalin hubungan, telah mengalami keganasan oleh pasangan intim.
Selain itu, hampir 38% penganiayaan dan kematian wanita di seluruh dunia disebabkan oleh pasangan intim. Di Malaysia, data polis menunjukkan trend yang membimbangkan. Pada 2020, sebanyak 5,260 kes keganasan rumah tangga direkodkan sebelum meningkat kepada 7,468 kes pada 2021, kemudian menurun kepada 6,540 (2022) dan 5,507 (2023).
Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC) di Amerika Syarikat, satu daripada empat wanitaWHO dan satu daripada tujuh lelaki mengalami keganasan fizikal oleh pasangan intim.
Di UK pula, kira-kira 6.6% wanita dan 3.0% lelaki mengalami penderaan oleh pasangan intim pada tahun berakhir Mac 2024.
Manakala di Australia, sekitar 17% wanita dan 5% lelaki mengalami keganasan fizikal atau seksual oleh pasangan sejak berumur 15 tahun.
Norma budaya – tabu dan stereotaip gender – merupakan punca dalam isu keganasan rumah tangga.
Dalam masyarakat Timur yang mengamalkan patriarki, wanita sering menganggap lelaki sebagai tunggak keluarga, isteri perlu patuh kepada pasangan dan yang muda perlu tunduk kepada orang tua.
Ini menghalang mereka memahami hak asasi dalam perhubungan dan institusi kekeluargaan yang sebenar.
Justeru, tidak mustahil ia boleh menormalisasikan tindakan penderaan terhadap wanita. Penderaan boleh memberi kesan negatif kepada emosi wanita, menyebabkan tekanan dan menjejaskan kehidupan berkeluarga. Walaupun wujud mangsa lelaki, jumlahnya jauh lebih kecil berbanding wanita.
Selain itu, pandangan konvensional tentang peranan gender dan sikap masyarakat yang enggan “menjaga tepi kain orang lain” kerana menganggap ianya isu peribadi sering membuatkan mangsa terpaksa berdiam diri atau menanggung penderaan sendiri. Sementara itu, orang sekeliling enggan campur tangan.
Sikap ini mengekalkan penderaan dan meninggalkan kesan mendalam pada emosi mangsa, yang berasa malu, takut dihakimi dan terasing.
Akibatnya, mereka sukar mendapatkan sokongan atau perlindungan yang amat diperlukan.
Kajian penyelidik Universiti Malaya menunjukkan walaupun pengetahuan mengenai keganasan rumah tangga tinggi, masih terdapat jurang antara pengetahuan dan kesediaan untuk bertindak dalam situasi sebenar. Ramai responden lebih cenderung mendapatkan bantuan daripada keluarga dan saudara mara berbanding melaporkan kepada pihak berkuasa jika menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Beberapa faktor menyumbang kepada jurang pengetahuan dan amalan dalam menangani keganasan rumah tangga, termasuk ketakutan terhadap pendera serta stigma sosial terhadap mangsa yang menghalang orang sekeliling daripada campur tangan.
Isu ini juga sering dianggap sebagai masalah peribadi dan budaya jangan mencampuri urusan orang lain, menyebabkan keganasan berterusan. Ada kes yang berakhir dengan kematian.
Selain itu, kekurangan pengetahuan dan keyakinan diri untuk membantu turut menjadi faktor utama. Stigma, rasa malu dan ketakutan untuk mendedahkan keadaan sebenar sekali gus mengasingkan mangsa dan meningkatkan risiko kesan negatif terhadap kesihatan mental mereka.
Intervensi yang berkesan memerlukan dasar menyeluruh serta sistem sokongan yang kukuh bagi membantu mangsa mengenali tanda-tanda keganasan dan memahami hak mereka untuk mendapatkan bantuan.
Pendidikan dan kesedaran awam tentang pelbagai bentuk keganasan rumah tangga dapat mencegah penganiayaan serta mengurangkan stigma sosial.
Selain itu, peranan sektor kesihatan melalui kerjasama dengan agensi kerajaan, NGO dan komuniti amat penting dalam menyediakan sokongan menyeluruh kepada mangsa.
Sokongan masyarakat juga perlu diperkukuh bagi meningkatkan empati, mengelakkan sikap menghakimi dan memastikan bantuan diberikan dengan berkesan.
Jelaslah, keluarga adalah asas masyarakat dan keganasan rumah tangga tidak boleh dinormalisasikan.
Individu perlu celik tentang hak mereka untuk melindungi diri daripada penderaan.
Masyarakat pula perlu mengubah sikap ‘jangan jaga tepi kain orang’.
Sebaliknya, kita harus cakna isu keganasan rumah tangga, ikut campur bagi menyelamatkan mangsa dan mencegah penganiayaan daripada terus berlaku.
Dr Nur Annizah Ishak ialah pensyarah kanan di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme

