Home New Writers Pandemik Covid tingkat kadar kemiskinan di Asean

Pandemik Covid tingkat kadar kemiskinan di Asean

Program-program bantuan kewangan yang diberikan sememangnya tidak mencukupi untuk menangani isu kemiskinan yang telah lama wujud secara menyeluruh

Poverty is still evident in Sabah and other parts of Malaysia - SRPOVERTY.ORG

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Pandemik Covid-19 adalah jauh lebih daripada satu krisis kesihatan; ia juga menyebabkan berlakunya krisis kemiskinan meningkat dengan kadar yang tinggi.

Walaupun tahap kesannya terhadap pelbagai negara adalah berbeza, tetapi ia telah melebarkan jurang kemiskinan dan ketidaksamaan di seluruh dunia. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ramalan awal sebelum pandemik Covid telah menunjukkan bahawa sebanyak 6% daripada peduduk global akan hidup dalam kemiskinan yang melampau menjelang tahun 2030. Namun, pencetusan wabak Covid pun telah mengancam dan mendorong lebih daripada 70 juta orang hidup dalam kemiskinan yang melampau.

PBB telah mendefinisikan kemiskinan sebagai kekurangan pendapatan dan sumber yang produktif untuk menjalankan kehidupan harian. Ciri-ciri kemiskinan termasuk kelaparan, kekurangan zat makanan, akses kepada pendidikan dan  perkhidmatan asas lain yang terhad, diskriminasi sosial dan kurangnya penyertaan dalam membuat keputusan.

Indeks kemiskinan multidimensi, atau lebih banyak dikenali sebagai Multidimensional Poverty Index (MPI) adalah diperkenalkan oleh Alkire dan Foster pada tahun 2007. Indeks tersebut digunakan sebagai ukuran kemiskinan berdasarkan 10 indikator dalam tiga dimensi, iaitu dimensi pendidikan, kesihatan dan taraf kehidupan. Setakat ini, MPI telah diaplikasi di lebih dari 100 negara membangun, termasuklah Malaysia.

Menurut Parthiban S Gopal, pensyarah kanan di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, lebih kurang 1.5 bilion, iaitu sebanyak 29.2% dari jumlah 5.5 bilion penduduk di 104 buah negara di seluruh dunia sedang mengalami kemiskinan multidimensi dengan ukuran MPI.

“Kemiskinan tidak seharusnya dilihat dari satu sudut sahaja ataupun dari segi relatif sahaja. Namun ia perlu dilihat dari pelbagai sudut. Dalam pandemik Covid-19 ini, kita dapat lihat betapa pentingnya kemudahan kesihatan yang baik dan bagaimana kemerosotan ekonomi memberikan kesan yang ketara kepada kehidupan harian masyarakat,” kata Parthiban yang mengkaji tentang pengukuran kemiskinan, iaitu indeks kemiskinan multidimensi.

Laporan World Bank telah menunjukkan bahawa terdapat 24 juta penduduk di Asia Tenggara gagal melepaskan diri daripada kemiskinan akibat kemerosotan ekonomi yang disebabkan oleh wabak Covid. Tambahan pula, sebanyak 11 juta lagi individu akan jatuh ke golongan miskin yang berpendapatan $5.50 (RM23) atau kurang bagi setiap hari.

Berdasarkan laman web the Global Economy, kadar purata pengangguran di Asean pada tahun 2019 ialah 2.3% tetapi kadar tersebut turut meningkat ke 3.2% pada tahun 2020. Semua negara di Asean telah menunjukkan peningkatan kadar purata pengangguran dari tahun 2019 ke tahun 2020, termasuklah kadar Indonesia yang meningkat dari 3.6% ke 4.1% dan kadar Thailand yang meningkat dari 0.7% ke 1.0%.

Dalam konteks Malaysia, pendapatan isi rumah penduduk Malaysia telah meningkat 3.9% setiap tahun dalam tempoh tahun 2015 hingga tahun 2018. Ukuran MPI yang baru dikenali di Malaysia pada tahun 2015 pula menunjukkan bahawa sebanyak 3.7% isi rumah di Malaysia dikira sebagai golongan miskin multidimensi pada tahun 2015 dan indeks tersebut telah menurun ke 2.6% pada tahun 2018.

Namun, wabak Covid yang melanda Malaysia pada tahun 2020 pun telah melambatkan kadar penurunan tersebut. Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sejak dari Mac 2020 hingga sekarang (Julai 2021) pun telah menyebabkan banyak peniaga terpaksa menamatkan perniagaan dan juga pekerja hilang pekerjaan.

Menurut laporan the Global Economy, kadar pengangguran di Malaysia telah meningkat dari 3.3% pada tahun 2019 ke 4.6% pada tahun 2020. Kebelakangan ini, kempen #benderaputih telah dimulakan oleh rakyat Malaysia supaya mendorong keluarga dan individu yang mengalami kemiskinan dan kesusahan untuk menaikkan bendera putih sebagai isyarat meminta pertolongan dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan penuh ini.

READ MORE:  In search of - a Malaysian identity in a sea of political uncertainties

Menurut Bangkok Post pada 21 Januari 2021, laporan World Bank telah menunjukkan bahawa jumlah golongan miskin di Thailand yang mencatat 3.7 juta pada tahun 2019 dijangka akan meningkat ke 5.2 juta pada tahun 2020.

Di Indonesia pula, terdapat sebuah perancangan ekonomi yang mengambil masa sepanjang 20 tahun telah bermula pada tahun 2005 dan juga dibahagikan kepada rancangan berjangka lima tahun, iaitu Rencana Pembangunan Jangka Menengah Nasional untuk memperkukuhkan lagi ekonomi Indonesia dengan meningkatkan modal insan negara dan daya saing di pasaran global.

Namun, krisis pandemik Covid pula telah menjadi cabaran yang tidak disangka oleh Indonesia untuk mencapai matlamat pembangunannya. Dalam jangka masa Mac hingga September 2020, Indonesia telah mengalami peningkatan kadar kemiskinan negara dari 9.8% kepada 10.2%, iaitu peningkatan jumlah golongan miskin dari 26.4 juta ke 27.6 juta daripada jumlah populasi yang mencatat 270 juta. Hal ini telah menyebabkan kemajuan untuk mengurangkan kemiskinan di Indonesia telah merosot kembali tiga tahun.

Keadaan kemiskinan di Malaysia, Indonesia dan Thailand

Kemiskinan di Asean – kira-kira 1.3 bilion orang hidup dalam keadaan kemiskinan yang melampau.

Keadaan ini semakin memburuk akibat daripada penularan wabak Covid yang melanda dunia, dan negara-negara Asean juga tidak terkecuali. Pandemik Covid bukan sahaja menjejaskan sektor ekonomi malah ia juga menjejaskan sektor sosial seperti pendidikan dan kesihatan.

Nelly Herto, 23, seorang pelajar dari Indonesia, menyatakan bahawa keadaan keluarganya semakin memburuk kerana keluarga kehilangan sumber pendapatan dan adik lelakinya terpaksa berhenti sekolah kerana tidak mampu menanggung perbelanjaan keluarganya semasa pandemik Covid.

“Saya datang dari keluarga yang sederhana pada asalnya kerana bapa saya adalah seorang peniaga sayur-sayuran dan kami juga mengusahakan beberapa kebun sayuran. Namun akibat daripada penularan Covid-19 yang berlaku, kami sekeluarga jatuh miskin dan tidak dapat menampung perbelanjaan harian kerana kami tidak dapat menjalankan perniagaan kecil kami, sehingga saya terpaksa bekerja sambilan sebagai tukang cuci di bandar untuk membantu ibu bapa saya di kampung,” terang Nelly lagi.

Nelly berasa amat sedih kerana masalah kemiskinan yang dihadapi oleh keluarganya sekarang menyebabkan adiknya terpaksa berhenti sekolah dan bekerja di umur yang masih muda. Nelly juga menggunakan separuh dari biasiswa yang diperolehinya untuk digunakan oleh keluarganya yang mempunyai lapan orang ahli keluarga termasuk ibu bapanya.

“Bahagian yang paling susah pada masa ini adalah untuk mengimbangi peranan saya sebagai seorang pelajar dengan tanggungjawab saya terhadap keluarga. Selain itu adalah keadaan keluarga saya dan pendidikan adik saya yang tertangguh. Saya amat berharap keadaan ini dapat berlalu dan semakin membaik supaya adik saya dapat meneruskan pendidikan kami,” tambah Nelly lagi.

Keadaan di Indonesia dan Malaysia juga tidak banyak perbezaan: Hee En Qi, 22, seorang pelajar, menyatakan bahawa dia juga terpaksa bekerja sambil belajar bagi membantu keluarganya yang juga terjejas akibat daripada penularan wabak Covid.

“Ayah saya bekerja di beberapa tapak pembinaan di mana banyak pekerja buruh bekerja secara serentak. Sebilangan besar tapak pembinaan ditutup kerana masalah kluster Covid-19. Perkara ini menimbulkan dilema buat keluarga kami kerana risiko yang boleh menyebabkan dia boleh dijangkiti wabak Covid-19 adalah amat tinggi. Namun jika dia tidak bekerja, kami mungkin akan kehilangan pendapatan yang menampung perbelanjaan kami sekeluarga,” jelas Hee.

READ MORE:  Flooding in southern Thailand kills nine, displaces thousands more

Selain itu, bagi Hee, perkara yang paling terkesan buat keluarganya adalah kesihatan adik lelakinya yang juga merupakan seorang yang kurang upaya. Pandemik Covid ini juga memberikan kesan kerana adik lelakinya tidak dapat mendapatkan rawatan kerana kebanyakan hospital tidak menerima temu janji dengan pesakit sekiranya ia bukan kes kecemasan. Hal ini adalah kerana sektor awam seperti sekolah dan hospital dihadkan aktiviti kerana bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid dalam kalangan masyarakat.

Di Thailand kadar kemiskinan meningkat 8.8% pada tahun 2020 dan kadar peningkatan juga disebabkan oleh penularan wabak Covid yang berlaku.

Menurut Thorn Waasit, 34 yang berkerja sebagai penjawat awam di Thailand, keadaan di negara pada masa kini masih lagi terkawal. Namun, kemudahan kesihatan di Thailand masih lagi berada pada tahap yang rendah berbanding Malaysia. Selain itu ramai dari golongan yang berpendapatan rendah tidak dapat mengakses kemudahan kesihatan kerana di Thailand perkhidmatan kesihatan tidak diberikan secara percuma kepada masyarakat.

“Di Thailand, kami sebagai penjawat awam mengalami pengurangan gaji bagi menampung keperluan kesihatan golongan kelas bawahan, dan inisiatif ini sedikit sebanyak membantu mereka yang memerlukan. Namun keadaan ini juga memberikan kami masalah kerana kami juga mempunyai tanggunggan yang perlu dijaga. Dan keadaan ini menyebabkan saya dan isteri terpaksa melakukan dua pekerjaan, kerana kewangan yang kami ada pada ketika ini tidak cukup untuk menampung kos sara hidup yang tinggi di bandar Bangkok ini,” jelasnya lagi.

Perkara ini juga disokong oleh Mohd Haziq Romli, 28, yang bekerja sebagai penjawat awam di Malaysia. Bagi Haziq, gaji yang diperolehinya tidak mencukupi bagi menampung kos sara hidup yang tinggi pada masa kini, ditambah lagi dengan pandemik yang menyebabkan pekerjaan isterinya sebagai pengasuh terjejas.

“Sekarang ini saya seorang sahaja yang bekerja dan keadaan pandemik memburukkan lagi keadaan apabila isteri saya, yang juga bertanggungjawab menampung separuh perbelanjaan harian keluarga saya, tidak dapat dilakukan. Dan keadaan ini amat membebankan keluarga saya dan saya amat berharap keadaan ini akan berlalu dengan cepat. Kerana jika ia berlarutan untuk jangka masa yang panjang, saya mungkin terpaksa mencari kerja lain untuk menampung keperluan harian kami empat beranak,” jelas Haziq lagi.

Polisi kerajaan

Dari aspek polisi kerajaan berkenaan isu kemiskinan dalam pandemik Covid pula, Hee mengakui bahawa pengagihan bantuan insentif oleh kerajaan Malaysia seperti pakej rangsangan ekonomi dan program subsidi upah merupakan suatu langkah yang baik. Tetapi ia hanya dapat mengimbangi pertumbuhan ekonomi golongan 40% yang terbawah dalam jangka masa pendek sahaja. Hal ini demikian kerana bantuan tunai segera yang diberikan oleh kerajaan sememangnya hanya membantu keluarga mereka untuk bertahan sementara sahaja.

Bagi Hee, tumpuan kerajaan seharusnya diberikan kepada usaha menjana peluang pekerjaan golongan berpendapatan rendah dan tidak hanya bergantung kepada pengagihan bantuan kewangan semata-mata. Misalnya, pelbagai program latihan kemahiran percuma perlu dilaksanakan oleh kerajaan agar golongan 40% yang terbawah ini dapat melengkapkan diri dengan kemahiran baharu, selari dengan perkembangan teknologi. Hal ini diyakini dapat mengatasi masalah kemiskinan secara menyeluruh serta membentuk satu rantaian ekonomi yang berpanjangan dalam jangka masa panjang.

READ MORE:  PM baru Thailand: Krisis politik dan pengajarannya buat Malaysia

“Bagaimanapun, saya tetap menghargai usaha kerajaan mengenai penangguhan bayaran balik pinjaman yang bermatlamat untuk membantu meningkatkan semula keupayaan kuasa beli golongan B40 [40% yang terbawah] kerana ia banyak membantu keluarga saya dalam situasi kritikal ini,” kata Hee.

Kenyataan berkenaan turut disokong oleh Haziq, yang bersyukur kerana berpeluang memperoleh bantuan umpama kemudahan kesihatan percuma selaku penjawat awam di Malaysia. Namun, beliau berpendapat bahawa pelan pemulihan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak terlalu berkesan dalam menangani masalah kemiskinan sekiranya pandemik Covid berlanjutan untuk jangka masa yang panjang, seiring dengan peningkatan kos sara hidup di Malaysia.

Di Indonesia, kerajaan turut memberikan bantuan sosial dalam bentuk tunai mahupun bentuk sokongan lain, berdasarkan data penduduk miskin yang dikemaskini. Bantuan ini dapat mengurangkan bebanan kehidupan masyarakat Indonesia dalam pandemik Covid, khususnya bagi mereka yang berpendapatan rendah.

“Kerajaan telah memberikan bantuan internet umpama pakej pelan data untuk menggalakkan masyarakat Indonesia supaya beralih ke perniagaan menerusi platform digital atau juga dikenali sebagai e-commerce. Hal ini dapat memanfaatkan transformasi pasaran digital yang selaras dengan pembatasan sosial yang secara langsung mempengaruhi perniagaan mereka akibat penularan wabak Covid-19,” kata Nelly.

Namun, Nelly berpendapat bahawa bantuan sebegini sememangnya kurang berkesan dalam mengatasi masalah kemiskinan golongan berpendapatan rendah kerana wujudnya kumpulan yang terbatas dengan kemudahan fasiliti untuk kabel elektrik yang mempunyai akses kepada talian internet tersebut.

Bagi penjawat awam di Thailand, kerajaan telah melaksanakan dasar seperti pemberian sumbangan kepada golongan miskin melalui pengurangan elaun penjawat awam dalam mendepani pandemik Covid. Dengan demikian, golongan miskin mahupun yang berpendapatan rendah mampu mendapatkan vaksin dan meneruskan kehidupan harian mereka seperti biasa.

“Tidak seperti kebajikan yang diberikan kepada penjawat awam di Malaysia, kami tidak mempunyai bantuan kemudahan kesihatan percuma yang dibiayai oleh kerajaan. Misalnya, segala pembayaran berkenaan perlu dilakukan sendiri, dan hal ini sedikit sebanyak membebankan kami sekeluarga,” kata Thorn.

Jurang dalam polisi perlindungan sosial

Pandemik Covid yang disusuli dengan krisis ekonomi secara langsung membawa impak buruk terhadap kehidupan masyarakat di seluruh dunia, khususnya bagi mereka yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan kehilangan sumber pendapatan sepanjang tempoh ini.

Bagi menangani masalah kemiskinan tersebut, kerajaan di seluruh dunia termasuklah negara Asean telah memperkukuh polisi perlindungan sosial golongan berkenaan, sedangkan sokongan ekonomi mahupun sosial amat diperlukan dalam kalangan mereka yang paling terjejas tersebut.

Walau bagaimanapun, masih wujudnya jurang dalam polisi perlindungan sosial yang telah dilaksanakan oleh kerajaan kerana program-program bantuan kewangan yang diberikan sememangnya tidak mencukupi untuk menangani isu kemiskinan yang telah lama wujud secara menyeluruh, apatah lagi kelemahan sosioekonomi yang menjadi lagi buruk akibat penularan wabak Covid.

Dalam hal ini, pertimbangan mengenai sistem perlindungan sosial yang lebih teliti dan menyeluruh perlu dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan kesejahteraan, mahupun kebajikan masyarakat terjamin dalam jangka masa panjang.

Chia Wan Rou, Siah Li Peng dan Zhaharah Datul Amiruddin Naning ialah pelajar komunikasi di Universiti Sains Malaysia

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x