Home New Writers Rangka strategi jangka panjang sebelum pencen dimansuhkan

Rangka strategi jangka panjang sebelum pencen dimansuhkan

Photograph: mole.my

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Oleh Safiah Omar

Pekerja sektor awam yang dilantik selepas 1 Februari 2024 tidak lagi mempunyai skim pencen seperti penjawat awam yang dilantik sebelum tarikh tersebut.

Pertukaran sistem pencen sektor awam kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dijangka dapat mengurangkan bebanan perbelanjaan kerajaan berikutan unjuran pembayaran pencen yang akan meningkat sekitar RM120bn pada tahun 2040.

Namun begitu, perangkaan strategi jangka panjang perlu di lakukan sebelum keputusan ini di muktamadkan.

Terlebih dahulu, perkara utama yang perlu diambil kira adalah tujuan utama sesebuah organisasi di sektor awam diwujudkan.

Setiap kementerian, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan perbadanan awam mempunyai fungsi tersendiri yang penting dalam memberikan khidmat kepada negara dan seluruh rakyat di Malaysia.

Setiap perkhidmatan sentiasa diberi penambahbaikan selaras dengan pertumbuhan ekonomi dan keperluan rakyat.

Segala aspek pengurusan berkaitan kesejahteraan negara berada di bawah tanggungjawab kesemua organisasi di bawah sektor awam.

Oleh itu, setiap perjawatan sektor awam ini mempunyai kepentingan dalam memastikan segala urusan berkaitan perkhidmatan negara – sama ada dalam aspek kesihatan, keselamatan, pendidikan, ekonomi, kebajikan, persekitaran, dan sebagainya – sentiasa stabil dan mampu untuk menjaga kesejahteraan negara dan rakyat Malaysia.

Justeru, keputusan untuk memansuhkan sistem pencen penjawat awam perlu mengambil kira samada ianya akan memberi kesan yang negatif kepada kestabilan organisasi-organisasi sektor awam tersebut.

Jika keputusan tersebut memberikan impak negatif kepada pengurusan dan proses seharian kepada sektor awam, seluruh rakyat juga akan terkesan dengan perkhidmatan yang terganggu. Impak yang dimaksudkan adalah termasuk sosioekonomi, psikologi dan komuniti dalam negara.

Pertama, kesan sosioekonomi akan dilihat dalam jangka masa panjang iaitu setelah penjawat awam itu bersara. Pengurusan kewangan individu yang masih lemah boleh menyebabkan pesara KWSP kehabisan wang saraan mereka dalam tempoh yang singkat. Ini kerana sistem KWSP membolehkan pengeluaran wang secara berperingkat tetapi dalam jumlah yang besar.

READ MORE:  Satu perspektif mengenai saiz penjawat awam

Sebagai contoh, Akaun 2 KWSP membenarkan pengeluaran sekitar umur 55 tahun, iaitu sebelum umur persaraan yang sebenar pada umur 60 tahun.

Ditambah lagi dengan kemudahan pengeluaran Akaun 2 untuk membayar deposit rumah, tujuan pendidikan, kesihatan dan lain-lain pada bila-bila masa boleh memberi kesan kepada pengurangan wang bersara mereka.

Apabila usia mereka mencapai umur persaraan sekitar 60 tahun, sistem KWSP membenarkan pengeluaran wang secara keseluruhan di mana keadaan ini adalah membimbangkan.

Tanpa kemahiran pengurusan kewangan yang baik, individu boleh terjebak dengan pengaruh golongan ‘scammer’ dalam kes penipuan. Ada juga yang akan melabur dalam perniagaan tanpa pengalaman – yang berakhir dengan kerugian seluruh wang saraan mereka.

Tanpa wang saraan yang mencukupi pada umur 60 tahun dan ke atas, pesara-pesara ini terpaksa bergantung kepada anak-anak mereka yang masih bekerja. Kesan ini akan menyebabkan keadaan sosioekonomi rakyat berubah akibat bebanan yang terpaksa ditanggung oleh golongan muda.

Kesan ini yang dikenali sebagai Generasi Sandwich menyebabkan golongan muda yang bekerja harus menanggung beban kewangan ibu-bapa mereka. Pada masa yang sama, golongan muda ini harus membelanjakan wang untuk menanggung anak-anak mereka yang sedang membesar. 

Keadaan ini boleh memberi kesan kepada ekonomi di mana pendapatan boleh guna (disposable income) sesebuah keluarga berkurang menyebabkan kuasa beli individu ini menurun. Jika rakyat kurang berbelanja, maka kitaran ekonomi negara akan menjadi kecil.

Kedua, kesan psikologi boleh dilihat dari segi kesetiaan penjawat awam yang berkurang kerana tiada ikatan untuk mereka menukar kerja pada bila-bila masa.

Sektor swasta akan dilihat lebih menarik kerana faktor gaji yang lebih tinggi, bonus dan pakej faedah yang lebih baik terutama kepada pekerja berkemahiran tinggi.

READ MORE:  Why not introduce laws to restrict politicians to only one pension?

Kesan psikologi juga boleh dilihat dari segi kesihatan mental dan motivasi pekerja. Kerisauan penjawat awam dalam memikirkan nasib mereka di usia persaraan menyebabkan motivasi untuk bekerja boleh terjejas.

Malah, perkara ini juga boleh menyebabkan mereka mempunyai simptom keletihan bekerja yang tinggi menyebabkan faktor emosi dan kesihatan mental mereka terganggu.

Sebenarnya, golongan Generasi Y yang akan mula bekerja ini ada yang sudah pun menjadi sebahagian dari Generasi Sandwich yang mana terpaksa menanggung ibu-bapa dan anak-anak mereka pada waktu yang sama. Sudah tentu keadaan ini memberi impak negatif kepada keadaan psikologi dan boleh menjejaskan kesihatan mental mereka.

Oleh itu, penjawat awam yang baru dilantik ini perlu diberikan jaminan sistem persaraan yang mampu memberi kehidupan yang baik apabila mereka bersara kelak. 

Faktor ketiga iaitu kesan kepada komuniti dan ekosistem boleh terjadi – apabila sektor awam tidak mempunyai pekerja mahir yang mencukupi atau kesan daripada kitaran pemberhentian kerja dan pelantikan jawatan baru yang terlalu tinggi.

Kesan ini dijangka dapat dilihat terutama dalam sektor kesihatan, pendidikan dan keselamatan. Pekerja mahir seperti doktor, jururawat, guru atau pensyarah, serta pegawai ICT boleh memilih untuk bekerja dengan sektor swasta atau bekerja di luar negara yang boleh memberikan mereka pakej faedah yang lebih tinggi.

Bagi sektor keselamatan pula seperti bomba dan penyelamat, adakah mereka akan terus bekerja dengan gaji yang lebih rendah tetapi memerlukan kekuatan mental dan fizikal setiap hari dalam pekerjaan mereka yang sentiasa berdepan dengan keadaan yang berbahaya?

Keadaan seperti ini meletakkan proses dan kestabilan sektor awam berdepan dengan pelbagai risiko.

Kesimpulannya, perancangan strategi yang merangkumi segala aspek sosioekonomi, psikologi dan kesejahteraan komuniti perlu diberikan keutamaan.

READ MORE:  Potong pencen, bagaimana warga emas boleh hidup dengan bermaruah?

Pemansuhan pencen mungkin dilihat sebagai penyelesaian kepada bebanan kewangan negara, tetapi banyak lagi faktor lain yang akan terkesan dengan keputusan tersebut.

Perancangan strategi jangka panjang untuk mengurangkan bebanan kewangan negara perlu diteliti dengan lebih lanjut dan mencari solusi lain yang boleh membantu dalam memastikan penjawat awam yang baru dilantik tidak terbeban dengan skim persaraan mereka.

Dr Safiah Omar merupakan pensyarah kanan di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x