Home Newsletters 150 orang berkumpul di KL untuk menghormati ‘En Pembangkang’ Tan Chee Khoon

150 orang berkumpul di KL untuk menghormati ‘En Pembangkang’ Tan Chee Khoon

Forum Merdeka Aliran di KL dan Pulau Pinang meraikan kerencaman budaya dan perbezaan pendapat tanpa rasa takut atau pilih kasih.

The crowd at the forum in KL on 23 August 2026 - SARAJUN HODA ABD HASSAN / ALIRAN

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Kira-kira 150 orang telah menyertai Aliran di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor pada hari Ahad 23 Ogos, untuk forum umum Aliran bagi menghormati legasi mendiang Dr Tan Chee Khoon.

Saya memulakan forum dengan mengalu-alukan kehadiran mereka yang hadir pada bulan Merdeka yang mulia ini.

Siapakah kami

Mary Magdaline menyampaikan ucapan pembukaan di forum – ANN TEOH / ALIRAN

Saya menjelaskan bahawa Aliran ialah gerakan hak asasi manusia dan reformasi di peringkat kebangsaan berbilang etnik tertua di Malaysia, yang ditubuhkan pada tahun 1977, oleh tujuh orang termasuk presiden pengasas Dr Chandra Muzaffar. Matlamatnya adalah untuk meningkatkan kesedaran sosial dan menggalakkan tindakan yang membawa kepada keadilan sosial. Presiden kita sekarang, yang keenam, ialah Anil Netto.

Aliran bermula sebagai satu sebuah gerakan atau arus kesedaran, mempromosikan idea yang berakar umbi dalam nilai-nilai sejagat: kebenaran, kebebasan, perpaduan, keadilan sosial dan kemampanan.

Semasa era Reformasi (1998-2000), arus kesedaran yang berterusan ini bertukar menjadi gelombang apabila lebih ramai orang tampil untuk menuntut perubahan yang bermakna: ruang yang lebih demokratik, akauntabiliti yang lebih besar, penghormatan terhadap hak asasi manusia, pembaharuan sistem pilihan raya, dasar sosioekonomi yang lebih adil dan perlindungan ekologi.

Sejak tahun 1987, Aliran telah disenaraikan dalam Senarai Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (A1 – Status Perundingan Senarai), di mana kami turut membangkitkan kes Teoh Beng Hock baru-baru ini.

Kami mempunyai lebih kurang 220 ahli, kebanyakannya bertumpu di Lembah Klang dan Pulau Pinang, dengan bilangan yang lebih kecil di negeri-negeri lain. Kami masih belum sampai ke Kelantan, Terengganu dan Perlis.

Kami berbangga dengan kenyataan bahawa kami dibiayai sepenuhnya oleh rakyat biasa di Malaysia. Kami tidak bergantung pada pembiayaan asing atau korporat. Kami mempunyai pejabat fizikal di Pulau Pinang dan seorang kakitangan sepenuh masa, Evelyn, yang telah berkhidmat selama lebih 40 tahun yang lalu. Inilah sebabnya kami mengadakan majlis makan malam pengumpulan dana setiap beberapa tahun apabila dana kami berkurangan. Majlis seterusnya adalah tahun depan, bagi ulang tahun ke-50 kami – kami berharap dapat bertemu anda semua di sana!

Sejak awal, Aliran memilih untuk berdiri bersama rakyat biasa, terutamanya kelompok rentan dan terpinggir, dan bersuara apabila orang lain tidak mahu. Kami berhasrat untuk menjadi suara mereka, selalunya melaung suara yang berbeza pendapat, menentang salah laku, penyalahgunaan kuasa dan rasuah, untuk bercakap benar kepada kuasa, untuk mempertanggungjawabkan kerajaan dan mempertahankan demokrasi dan integriti.

Dalam analisis dan penulisan kami mengenai isu-isu penting di Malaysia, kami mengelakkan naratif berasaskan etnik yang sering terpesong, bias dan tangkap muat. Sebaliknya, kami mempunyai tujuan bagi menyediakan analisis peristiwa yang lebih tepat dan seimbang.

READ MORE:  Dr Tan Chee Khoon's legacy shows politics need not be race-based - Jomo

Selama bertahun-tahun, Aliran telah meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai tentang keperluan untuk menuntut semula hak asasi kita, yang sebahagiannya telah hilang atau seakan terhakis.

Bagaimana kami mengadvokasi

Saluran advokasi utama kami dahulunya ialah Aliran Monthly, majalah yang kami terbitkan selama lebih tiga dekad dari tahun 1982 hingga 2014, sehingga kami beralih sepenuhnya kepada bentuk digital dan dalam talian.

Hari ini, kami merupakan sebuah kumpulan advokasi yang menggunakan beberapa saluran.

Terdapat laman web kami, sejak tahun 1997 – aliran.com – dengan surat berita oleh ahli, artikel oleh warga prihatin di Malaysia, tulisan CSI (critical socioeconomic insights atau pandangan kritical sosioekonomi) kami iaitu analisis mendalam mengenai isu semasa tertentu, serta podcast dan video daripada sumber lain.

Bagi meluaskan jangkauan kami kepada khalayak berbahasa Melayu, kami mempunyai versi surat berita dan kenyataan media kami dalam bahasa Melayu.

Kami mengeluarkan kenyataan awam dan akhbar mengenai isu semasa dan dasar awam yang penting, serta mengadakan webinar, forum dan bengkel hampir setiap bulan.

Setelah kami menyedari bahawa orang ramai kini tidak mahu membaca apa-apa yang mengambil masa lebih daripada dua minit, kami juga cuba mendekati mereka melalui media sosial – WhatsApp, Facebook, Instagram, X, YouTube dan TikTok.

Dan kami mempunyai rangkaian penglibatan masyarakat sivil yang luas: kami diwakili dalam jawatankuasa pemandu Bersih, dan bekerjasama dengan Ikram, Gabungan Bertindak Malaysia, Penang Forum dan lain-lain, secara ad hoc dan tetap.

Ahli kami juga aktif dalam banyak inisiatif dan organisasi masyarakat sivil lain, dan membawa etos Aliran bersama mereka. Inilah cara kami memaklumkan, berinteraksi dan menggerakkan orang ramai.

Pada tahun 2022, sebelum pilihan raya umum, Aliran menghasilkan Agenda Rakyat, senarai tuntutan yang diajukan kepada parti politik dan calon: untuk menegakkan maruah dan kualiti hidup rakyat, menggalakkan pembangunan yang saksama dan mampan, meraikan kepelbagaian dan keterangkuman, memperkukuh demokrasi dan menegakkan kedaulatan undang-undang, serta memerangi rasuah dan kronisme.

Usaha ini dilakukan melalui beberapa siri webinar, dengan kerjasama lima organisasi masyarakat sivil yang lain: Pacos Trust, Sabah; gerakan akademik Malaysia, Gerak; Save Rivers, Sarawak; kumpulan hak asasi manusia Suaram dan Undi18. Agenda Rakyat telah disokong oleh kira-kira 50 NGO secara keseluruhannya.

Pada bulan Julai tahun ini, ahli kami turut bertemu untuk memperhalusi Agenda Rakyat bagi pilihan raya yang akan datang. Kami kini sedang berusaha untuk menggerakkan orang ramai di Malaysia sekali lagi, terutamanya golongan muda, untuk pilihan raya penting ini.

READ MORE:  Mr Opposition - The legacy of Tan Chee Khoon

Menghormati ‘En Pembangkang’

Jadi apakah kaitan antara Aliran dan mendiang Tan Sri Dr Tan Chee Khoon, Encik Pembangkang? Beliau telah pun meninggal dunia pada tahun 1996, 30 tahun yang lalu – jadi mengapa kita masih bercakap tentang beliau?

Bagi kami di Aliran, akan sentiasa ada tempat istimewa di hati dan minda kami untuk insan yang cukup kami hormati ini. Selama bertahun-tahun, beliau menggerakkan kerjasama pelbagai etnik dan memperjuangkan kebenaran, kebebasan dan keadilan dengan berani, tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Semua ini merupakan prinsip dan ideal yang kami di Aliran anggap penting, dan telah menggemblengnya sejak penubuhan kami.

Kebanyakan orang mungkin tidak menyedari bahawa Aliran mengiktiraf sumbangan dan peranan penting yang dimainkan oleh Dr Tan Chee Khoon sejak awal penubuhan dengan menganugerahkan beliau sebagai Tokoh Terbilang Malaysia pada tahun 1984.

Beliau juga berkhidmat sebagai pengerusi pertama Lembaga Amanah Aliran dari tahun 1985 hingga 1993, dalam menyelia integriti dan kebebasan institusi Aliran.

Beginilah cara Aliran mengiktiraf beliau pada masa itu atas keberanian dan komitmen sepanjang hayatnya terhadap keadilan, kebebasan, kebenaran dan kerjasama pelbagai etnik.

Selepas pemergiannya pada tahun 1996, Aliran telah memperingati beliau dengan edisi khas majalah Aliran Monthly yang diterbitkan ketika itu. Sepanduk muka depan majalah tersebut berbunyi: “Seorang rakyat Malaysia yang istimewa: Komitmen sepanjang hayat terhadap keadilan.”

Ketika forum pada 23 Ogos yang lalu, beberapa tetamu berkongsi testimoni peribadi tentang Chee Khoon pada hari tersebut, termasuk Dr Abdul Hameed Abdul Kadir, Rev Herman Shastri, Munisamy Arumugam dan Colin Nicholas.

Kehadiran semua orang di forum itu merupakan bukti kepada legasi abadi mendiang Tan Chee Khoon, yang lebih dikenali sebagai ‘Encik Pembangkang’ dan legasi politiknya yang berlandaskan hati nurani, atau politik berprinsip, serta sikap pembangkang yang membina dan tidak gentar.

Bagi meraikan legasi yang kaya dan berkekalan ini, dua penceramah mengimbau kembali legasinya.

Jomo (kiri) dan Poh Lai

Penceramah pertama kami ialah Tan Poh Lai, anak perempuan bongsu Dr Tan dan, saya rasa, anak kesayangannya. Dia seorang peguam dan mengamalkan praktik guamannya di Johor Bahru.

Poh Lai telah berusaha tanpa henti untuk berkongsi kehidupan dan sumbangan bapanya dengan seberapa ramai orang yang mungkin, dalam satu jerayawara yang bermula di KL pada hari itu, sebelum beralih ke Johor Bahru, Ipoh dan akhirnya di Pulau Pinang pada 5 September.

Dalam proses itu, beliau juga berjaya menemui rumah baharu untuk koleksi buku bapanya yang banyak – sebuah pencapaian yang besar.

READ MORE:  150 gather in KL to honour 'Mr Opposition' Tan Chee Khoon

Beliau berkongsi kehidupan dan legasi bapanya melalui video dan foto bapanya yang tercinta.

Penceramah kedua kami ialah Profesor Emeritus Jomo Kwame Sundaram, seorang ahli ekonomi terkemuka yang kini merupakan Penasihat Penyelidikan di Institut Penyelidikan Khazanah. Prof Jomo juga merupakan salah seorang daripada lima ahli yang dilantik ke Majlis Penasihat Kerajaan (Council of Eminent Persons) oleh bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Mei 2018.

Jomo juga mengenali mendiang Tan Chee Khoon secara peribadi, dan berkongsi renungannya tentang ideal dan prinsip-prinsip yang dipegang Encik Pembangkang itu, serta kaitan dan kepentingannya dalam landskap politik hari ini dan perkembangan semasa di Malaysia, terutamanya ketika kita meraikan satu lagi tahun kemerdekaan.

Laporan di sini merangkumi apa yang disampaikan oleh penceramah kami dengan lebih terperinci.

Dalam konteks kepimpinan politik masa kini di Malaysia, di mana kita mempunyai kerajaan perpaduan dan pembangkang yang cekap dan boleh dipercayai hampir tidak wujud, terutamanya di dalam Parlimen, di manakah idealisme Tan Chee Khoon tentang kepelbagaian budaya dan perbezaan pendapat yang membina ini dapat ditanggapi?

Itulah persoalan yang kami bincangkan di forum tersebut, ketika kita melangkah setahun lagi dalam meraikan Kemerdekaan.

Ucapan terima kasih

Forum ini tidak akan berjalan lancar tanpa para kakitangan dan sukarelawan kami. Evelyn Tang dan Tien Eng mengendalikan pendaftaran dalam talian di sebalik tabir. Para ahli Aliran: Sarajun Hoda, Ann Teoh, Simon Tan dan David Anthony – bersama anak lelakinya, Daniel – telah membantu pada hari tersebut. Kami berterima kasih kepada mereka semua.

Para hadirin telah menderma RM387 pada hari tersebut, dan seorang tetamu telah menghantar borang keahliannya. Terima kasih.

Kami gembira melihat forum ini dilaporkan oleh Astro Awani, Free Malaysia Today, Malay Mail dan Sin Chew.

Perhentian seterusnya

Aliran, dengan kerjasama Penang Institute, akan mengadakan forum yang serupa pada hari Sabtu, 5 September di Penang Institute. Bekas presiden Aliran, Dr Francis Loh dan Tan Poh Lai akan berucap. Anda boleh mendaftar di sini.

Kami cukup berbesar hati mengetahui yang forum ini dilaporkan oleh Astro Awani, Free Malaysia Today, Malay Mail dan Sin Chew.

Aliran, dengan kerjasama Penang Institute, akan mengadakan forum yang serupa pada hari Sabtu, 5 September di Penang Institute. Bekas presiden Aliran, Dr Francis Loh dan Tan Poh Lai akan berucap. Anda boleh mendaftar di sini.

Jumpa nanti!

Mary Magdaline Pereira
Editor bersama, surat berita Aliran
27 Ogos 2026

Terjemahan oleh Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x