Negara ini amat memerlukan halatuju dan kepimpinan yang cekap yang benar-benar mengambil berat kebajikan rakyat tanpa mengira kepercayaan, warna kulit dan kelas, ujar Mustafa K Anuar.
Selepas Jerman menewaskan Brazil 7-1 dalam separuh akhir Piala Dunia baru-baru ini, Ahli Parlimen Barisan Nasional Bung Mokhtar Radin memuji Hitler di laman twitternya.
Kalau orang politik perlukan peringatan: Hitler adalah diktator Nazi yang bertanggungjawab atas penyembelihan berjuta-juta orang Yahudi, gipsi, komunis, homoseksual, golongan kurang upaya dan beberapa kumpulan lain antara 1941 hingga 1945.
Penghapusan etnik besar-besaran itu dilakukan berdasarkan falsafah perkauman pemimpin Jerman itu untuk memartabatkan bangsa Aryan yang beliau anggap agung dan murni.
Jadi, seperti yang dapat kita lihat, kegirangan Bung (yang sebelum ini terkenal dengan isu ‘bocor’) itu adalah hal yang sangat malang. Bukan sekadar malang, malah ia adalah suatu yang benar-benar keterlaluan, justeru tindakan memuji sang Fuhrer yang jelik memberikan kesan besar. Maka tidak hairanlah, duta Jerman ke Malaysia terpaksa mengecam Ahli Parlimen Kinabatangan, manakala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula menjarakkan dirinya daripada kenyataan melampau itu.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Bung kemudian menyatakan maaf, tetapi keikhlasannya amat diragui oleh banyak pengkritiknya.
Seperti banyak lagi politikus dan penjawat awam jenis ‘asal boleh’ yang lain, kecabulan politik Bung telah menyebarkan nama busuk Malaysia ke seluruh dunia – kerana sikap meremehkan Holocaust adalah sama teruk dengan sikap tidak peka terhadap nasib penduduk Palestin di Gaza yang dihenyak secara kejam oleh kuasa tentera Israel.
Namun keceluparan Bung itu bukan hanya disebabkan oleh kecuaian atau penyanjungan terhadap Hitler secara bebal. Ia adalah gejala keadaan sosial dan politik Malaysia yang semakin buruk.
Semangat perkauman, misalnya, semakin merebak dalam beberapa tahun ini. Luahan perkauman di ruang awam senada dengan ideologi politik yang dipegang sesetengah individu dan puak seperti Perkasa dan Isma.
Hakikatnya, sentimen perkauman yang diluahkan secara konsisten serta politik kepuakan yang diamalkan hampir setiap hari oleh kelompok seperti Perkasa dan Isma semakin mengambil tempat di pentas utama masyarakat. Keadaan semakin merosot apabila kaum dan agama dicampur-aduk sehingga menghasilkan adunan yang memabukkan. Lebih parah, perkauman disarung dengan jubah agama oleh kalangan yang tidak segan-silu untuk menyalahgunakan agama.
Perbezaan pandangan kian dianggap sebagai jenayah oleh sesetengah puak. Apabila timbul perbezaan pandangan, puak berkenaan akan membalas dengan ejekan, kalaupun bukan dengan ugutan keganasan. Misalnya, golongan penyokong kerajaan sering memberitahu sesiapa saja yang mengkritik kerajaan dan Umno Baru, terutama bukan-Melayu, untuk meninggalkan negara ini.
Jelas ia bukanlah respons yang cerdik terhadap hujah yang telah disusun dengan baik oleh para pengkritik mereka. Respons sedemikian juga tidak akan melahirkan dialog dan perbincangan yang bertamadun. Begitu juga dengan ucapan adu-domba yang dimuntahkan oleh para pentaksub.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila pemimpin negara lesap di saat campurtangannya mereka amat diperlukan untuk membendung perkauman dan ketaksuban. Pemimpin yang kebingungan hanya akan mempercepat kemerosotan adab politik dan wacana intelektual, selain akan membuatkan rakyat Malaysia kehilangan tempat untuk bergantung harap.
Ironinya, Perdana Menteri sendiri yang mengingatkan kita tentang keadaan tidak berkepimpinan ini ketika beliau mengulas tentang kekalahan yang menimpa Brazil dalam Piala Dunia baru-baru ini.
Atas sebab tiadanya kepimpinan yang berprinsip dan tegas dalam menangani peningkatan semangat perkauman dan ketaksuban inilah sekumpulan rakyat prihatin merasakan perlu untuk cuba menyatukan kembali masyarakat yang terpecah-belah melalui gerakan baru yang dinamakan Negara-Ku. Inisiatif ini diterajui oleh mantan pemimpin Bersih Ambiga Sreneevasan dan Pak Samad. Seperti yang dijangka, gerakan ini menjadi sasaran kemarahan puak seperti Isma dan Utusan Malaysia.
Apa yang juga tidak menyenangkan dalam suasana politik Malaysia hari ini adalah kurangnya rasa belas-kasihan dan prihatin pada sesetengah pemimpin. Contohnya, Menteri Wilayah Tengku Adnan yang pada mulanya ingin mengenakan denda bukan sahaja kepada dapur umum yang mengagihkan makanan percuma, tetapi juga yang menerimanya, iaitu golongan miskin, gelandangan dan lemah.
Selepas bantahan hebat orang ramai, Adnan yang kemudiannya mengiringi Najib melawat penghuni jalanan kemudiannya mengumumkan larangan hanya akan dikenakan selepas bulan Ramadan. Seolah-olah serbuan di luar bulan puasa kurang berdosa dan kurang kejam.
Selain itu, tindakan melarang gelandangan daripada tidur di kawasan beli-belah adalah tindakan menutup mata daripada melihat permasalahan sebenar. Lebih bermakna jika kerajaan meneliti punca-punca fenomena sedemikian berkembang. Sudah tentu golongan yang ingin dijaga oleh Adnan, pelancong asing (dan golongan kaya yang suka membeli-belah), akan lebih menghargai usaha penuh sedar kerajaan untuk menjadikan kehidupan golongan miskin dan lemah lebih selesa dan bermaruah, di dalam dan luar kota.
Setakat ini saja rakyat terbanyak – golongan miskin serta berpendapatan rendah dan sederhana – sudah pun merasai kesukaran hidup, dengan kenaikan kos sara hidup saban tahun dan sistem cukai baru Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Negara ini amat memerlukan halatuju dan kepimpinan yang cekap yang benar-benar mengambil berat kebajikan rakyat tanpa mengira kepercayaan, warna kulit dan kelas. Hanya dengan itu negara dapat bergerak ke hadapan dengan lebih tangkas dan tidak ‘Bung-kus’.
Penterjemahan oleh roketkini.com
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme