
Parti pembangkang harus membina gabungan kerjasama yang kukuh, membina naratif inklusif, menawarkan agenda reformasi dan inisiatif pembangunan parti sekiranya ingin menang dalam pilihan raya, ujar Faisal S Hazis.
Walaupun cakap-cakap tentang pilihan raya umum ke-14 telah bermula sejak akhir 2015, bahangnya semakin hangat dalam beberapa bulan terakhir ini, yang menyebabkan serangan peribadi, nasionalisme etno-agama, muslihat politik dan taburan ‘dedak’ semakin menjadi-jadi.
Agenda yang paling asas untuk pilihan raya umum akan datang adalah perubahan. Ya, isu yang sama yang diperjuangkan dalam dua pilihan raya lalu semata-mata kerana kita belum lagi menyaksikan perubahan yang sebenar. Pemimpin pembangkang, tokoh-tokoh korporat terkemuka, teknokrat dan beberapa penganalisis politik bersetuju bahawa Malaysia perlu melalui perubahan struktural untuk membawanya kembali ke landasan yang betul.
Kita perlu membebaskan diri kita daripada politik etno-agama yang memecah belah, perangkap pendapatan menengah yang membimbangkan, ketidakyakinan orang ramai terhadap institusi, rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berleluasa, peningkatan kos sara hidup, jurang bandar-luar bandar yang semakin besar dan kemerosotan demokrasi di Malaysia. Jika tidak, masa depan anak-anak kita dan negara kelihatan tidak menentu.
Beberapa artikel dalam Aliran menggambarkan keadaan huru-hara yang dihadapi negara. Linda Lumayag mengeluh mengenai keputusan bodoh kerajaan memotong belanjawan universiti awam sebagai satu lagi manifestasi masalah yang kita alami. Sementara itu Human Rights Watch melaporkan peningkatan dalam pencabulan hak asasi manusia di Malaysia sepanjang 2016.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Dengan kekurangan legitimasi dan kemahuan politik untuk membawa perubahan fundamental, parti pemerintah nampaknya bukan pilihan yang baik dalam kalangan pengundi yang mendambakan perubahan. Hal ini dimanifestasikan dalam pilihan raya umum lepas, yang menyaksikan majoriti pengundi memilih “Ubah” pembangkang berbanding “Transformasi” BN.
Disebalik perpecahan teruk dalam kalangan pembangkang, tidak ada sebarang petunjuk bahawa tren ini akan berubah. Jadi tumpuan kini adalah pada pembangkang bagi menunaikan harapan untuk perubahan.
Dengan demam pilihan raya yang semakin terasa, persoalan besar ialah sama ada populariti lesu BN dan skandal yang berpanjangan menyelubungi parti pemerintah ini akhirnya akan membawa kepada kejatuhan pemerintahan 60 tahunnya.
Ramai penganalisis berkata prospek bagi pembangkang adalah suram, terutama apabila mereka terpecah teruk dengan kepimpinan yang lemah. Tetapi beberapa pemimpin pembangkang kekal optimistik dan berharap mereka boleh ‘mentauladani Myanmar’ di negara ini.
Adakah mungkin untuk menjatuhkan parti pemerintah melalui peti undi dalam sistem autoritarian yang bersifat kompetitif seperti Malaysia? Ia adalah amat sukar tetapi tidak mustahil. Myanmar adalah contoh terbaik.
Selain daripada Myanmar, dalam satu kajian terhadap 50 pilihan raya autoritarian kompetitif, Howard dan Roessler (2006) mendapati bahawa 15 negara sebenarnya telah meliberalisasikan hasil pilihan raya (liberalising electoral outcomes) di mana parti pemerintah telah dikalahkan dan negara dapat mengecapi perubahan fundamental.
Penyelidik Universiti Georgetown ini mengenal pasti satu ciri utama yang dikongsikan oleh kesemua 15 buah negara ini: gabungan kerjasama pembangkang. Ini adalah sesuatu yang pembangkang di Malaysia perlu contohi jika serius untuk mencabar BN.
Membentuk gabungan bukan semata-mata bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN, sekali gus meningkatkan peluang untuk menang. Ia juga adalah bagi membina imej positif kepada pembangkang. Imej perpaduan, solidariti dan kestabilan yang pembangkang zahirkan melalui gabungan yang mantap, pasti akan mengukuhkan imejnya sebagai alternatif yang berdaya maju kepada BN.
Gabungan ini juga akan membolehkan parti pembangkang yang mempunyai ideologi dan aspirasi yang berbeza untuk menyatukan pelbagai segmen pengundi. Ini pasti akan meredakan mana-mana kumpulan yang berhaluan kanan dan yang memecah-belahkan.
Satu lagi keperluan penting bagi gabungan kerjasama pembangkang yang kuat di Malaysia adalah untuk menggalakkan pilihan raya yang bersifat kompetitif, yang pasti akan memaksa parti pemerintah untuk menjadi lebih responsif dan bertanggungjawab dan pembangkang menjadi lebih konstruktif.
Tetapi membangunkan gabungan kerjasama sahaja tidak mencukupi. Pembangkang perlu membina naratif jelas yang menggabungkan isu bandar dan luar bandar. Dalam dua pilihan raya lalu, mereka terlalu tertumpu kepada naratif bandar seperti demokrasi, tadbir urus yang baik, ketelusan, kesaksamaan, dan hak istimewa Sabah dan Sarawak. Strategi ini secara tidak sengaja telah mengabaikan pengundi luar bandar, yang kebanyakannya Melayu dan Bumiputera Malaysia Timur.
Tidak kurang pentingnya ialah untuk pembangkang mengemukakan cadangan dasar dan agenda reformasi yang boleh membantu Malaysia keluar dari kemelut semasa. Terlibat terlalu banyak dalam politiking tidak membantu Malaysia beralih daripada masalah semasa. Lebih buruk lagi, kita mungkin membentuk kerajaan baru tetapi masih terperangkap dengan masalah struktur yang lama.
Satu lagi strategi utama bagi pembangkang untuk menjatuhkan BN adalah dengan inisiatif pembangunan-parti (party-building), dengan menubuhkan cawangan baharu parti, mendapatkan keahlian dan pendaftaran pengundi baharu, membentuk pemimpin muda, mengadakan aktiviti pengumpulan dana, dan menganjurkan program-program pemerkasaan masyarakat. Ini adalah salah satu strategi yang digunakan oleh pembangkang dalam menamatkan pemerintahan 71 tahun Institutional Revolutionary Party di Mexico.
Pembangunan parti akan membantu pembangkang mengukuhkan kehadiran mereka di peringkat akar umbi. Tambahan pula, ia akan memperkuatkan jentera pembangkang terutamanya ketika musim pilihan raya.
Membina gabungan kerjasama, membina naratif inklusif, menawarkan agenda reformasi dan inisiatif pembangunan parti bukanlah tugas mudah untuk pembangkang. Namun pada akhirnya, kemenangan pembangkang dalam rejim autoritarian yang bersifat kompetitif “memerlukan mobilisasi yang kuat, kerjasama, kemahiran dan semangat keperwiraan yang luar biasa untuk mencapai kemenangan dalam demokrasi” (Diamond 2002).
Jadi peluang pembangkang untuk menewaskan BN dan kemudian melakukan perubahan fundamental di negara ini terletak pada keupayaannya untuk melaksanakan sesuatu yang luar biasa. Jika ini tidak boleh dicapai, kita pasti akan menyaksikan satu lagi kemenangan pilihan raya bagi BN dan kemerosotan berterusan bagi negara kita.
Salam perjuangan
Faisal S Hazis
Editor bersama, Aliran newsletter
Diterjemahkan oleh Haris Zuan.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme