Pada awal Februari, kerajaan Kemboja, yang dipimpin oleh Perdana Menteri Hun Sen, menutup organisasi berita bebas Voice of Democracy (VOD).
Keputusan ini dibuat sejurus selepas laporan VOD pada 9 Februari bahawa anak sulung Hun Sen, Leftenan Jeneral Hun Manet, telah didakwa meluluskan bantuan kewangan kepada Turki. Kemboja dijadualkan mengadakan pilihan raya umum pada Julai 2023.
Penutupan VOD memperlihat strategi penindasan yang biasa dan teratur oleh Hun Sen bagi menutup suara kritikal beberapa bulan sebelum pilihan raya kebangsaan. Pada 16 November 2017, hanya beberapa bulan sebelum pilihan raya umum sebelum ini, parti pembangkang yang terkemuka ketika itu, Cambodia National Rescue Party (CNRP), telah dibubarkan oleh Mahkamah Agung.
Hun Sen telah berkhidmat sebagai Perdana Menteri negara itu sejak 1985, menjadikannya salah seorang pemimpin paling lama berkhidmat di dunia. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, penindasan terhadap suara demokrasi dan hak asasi manusia telah meningkat, terutamanya ketika pembubaran CNRP pada 2017.
CNRP telah menerima 44% undi pada pilihan raya umum 2013 dan mencapai undi yang sama dalam pilihan raya majlis perbandaran pada Jun 2017. Jelas, parti itu mempunyai sokongan pengundi yang besar.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Pembubaran parti itu mengakibatkan berpuluh-puluh tokoh pembangkang dan aktivis dipenjarakan atau dipaksa hidup dalam buangan. Sejak itu, NGO antarabangsa, laman web bebas serta akhbar juga telah ditutup.
Hari ini, pemerhati yang prihatin menantikan tindak balas Asean – atau lebih tepat lagi, ketiadaan tindak balas. Selain isu Myanmar, krisis demokrasi Kemboja juga tidak mendapat perhatian yang mencukupi di dalam serta di luar rantau ini.
Negara-negara Asia Tenggara, termasuk Thailand dan Filipina, juga sedang bergelut dengan pemerosotan demokrasi yang pesat.
Bagi kebanyakan orang, kemenangan Anwar Ibrahim dalam pilihan raya umum Malaysia tahun lalu telah memberi harapan kepada rantau ini untuk wujudnya kebangkitan demokrasi bukan sahaja dalam negara tetapi juga di seluruh rantau ini.
Usaha diplomatik Asean bagi menyelesaikan kemelut di Myanmar tidak membuahkan hasil. Hanya sedikit kemajuan telah dicapai dalam pelan damai “konsensus lima mata” melibatkan kumpulan serantau itu, yang telah dipersetujui oleh Myanmar pada April 2021.
Banyak kumpulan masyarakat sivil tidak melihat konsensus lima perkara itu sebagai sebuah rancangan yang ikhlas dan mereka tidak merasakan ia boleh dilaksanakan.
Dalam ucapan baru-baru ini di Thailand, yang dilawati Anwar sebagai sebahagian daripada lawatan serantau pertamanya, beliau bersuara menentang “kekejaman” yang dilakukan oleh junta Myanmar berikutan rampasan kuasa 2021 dan tindak balas Asean terhadap krisis politik dan kemanusiaan.
“Kita harus mengeluarkan Myanmar buat masa ini, dan saya tidak fikir isu Myanmar harus menggagalkan langkah kita,” kata Anwar. “Adalah ideal jika kita boleh mempunyai persetujuan yang kukuh dalam memberikan mesej yang kuat kepada rejim Myanmar.”
The World Justice Project 2022 meletakkan Kemboja di tempat kedua terakhir daripada 140 negara – sesuatu yang dipertikaikan oleh Kemboja.
Anwar dijadual melawat Kemboja dan menghadiri majlis makan malam berbuka puasa Ramadan bersama umat Islam Kemboja pada 27 Mac, seperti yang diumumkan Hun Sen baru-baru ini.
Adakah Anwar akan membangkitkan isu betapa pentingnya untuk menegakkan demokrasi? Mari kita lihat jika PM Malaysia, yang tersohor dilabelkan sebagai “tokoh demokrasi”, akan membuat kenyataan yang sama mengenai keadaan demokrasi Kemboja, seperti yang dilakukannya di Thailand tentang Myanmar.
Ini saatnya untuk Anwar perlu tegas dengan kata-katanya – komitmen terbukanya terhadap demokrasi liberal – dalam bentuk tindakan di peringkat Asean.
Khoo Ying Hooi
Editor bersama, surat berita Aliran
28 Februari 2023
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme