Home Newsletters ‘Adakah ini akan membuatkan anak saya menjadi ateis?’

‘Adakah ini akan membuatkan anak saya menjadi ateis?’

Seorang bekas pendidik merenung cabaran dalam mengimbangi pendidikan agama serta kemahiran berfikir kritis yang ada di kesemua sekolah di Malaysia

GENERATED IMAGE

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Di tengah-tengah kecamukan dan kekecohan baru-baru ini mengenai keadaan sistem pendidikan kita yang dianggap gagal, saya teringat sebuah peristiwa yang terjadi bertahun-tahun lalu, ketika saya menjadi penyelaras program pra-universiti antarabangsa di sebuah institusi pendidikan swasta.

Seorang ibu telah masuk ke pejabat saya untuk membuat pertanyaan tentang program itu. Kemudian, pada akhirnya, dia bertanya, “Adakah program ini akan mengubah anak saya menjadi ateis?”

Saya terpinga-pinga seketika sebelum tersedar dengan soalan luar biasanya itu. Tidak seperti kurikulum sekolah kebangsaan kita, program yang saya selaraskan ini mempunyai komponen yang memerlukan pelajar meneroka maklumat yang mereka baca atau dengar dan menyemaknya dengan bukti empirikal, logik dan kemungkinan wujudnya bias. Ia mengajar mereka untuk merenung bagaimana mereka mengetahui sesuatu perkara yang mereka dakwa tahu.

Pengetahuan agama (tanpa mengira agama), bagaimanapun, tidaklah bersifat empirikal, tetapi ia masih merupakan bidang ilmu, dan sekali gus perlu diterokai sedikit berbeza.

Namun, satu perkara yang perlu diingati ialah sebarang pengetahuan (empirikal atau tidak) tidaklah boleh diterima secara membuta tuli tanpa pertimbangan dan refleksi terhadap kandungan, konteks dan tujuannya.

Di mana-mana pelusuk dunia, kita selalu akan menemui guru agama yang serong atau ibu bapa yang mengarahkan anak-anak mereka untuk menjauhi idea-idea intelektual yang ‘berbahaya’, dengan mendakwa bahawa ia akan mengancam ‘kepercayaan’ dan ‘cara hidup’ mereka.

Samalah seperti yang berlaku di Malaysia. Beberapa minggu lalu, ada seorang pemimpin parti politik mencadangkan bahawa pengikut sistem ekonomi tertentu boleh menjadi ‘musuh’ Islam.

Bolehkah iman dengan semudah itu terancam dengan idea? Adakah agama sungguh tidak mampu untuk mengikuti konsep, perubahan dan kemajuan baru?

Atau sebenarnya, ia dieksploitasi secara tidak langsung oleh golongan oportunis dan ahli politik tertentu yang menggunakan unsur agama bagi menyuntik ketakutan untuk mengawal pengikutnya.

Ketakutan seperti itu nampaknya lebih memusnahkan daripada membina.

Revolusi Kebudayaan di China pada 1960-an dan 70-an menyaksikan protes besar-besaran untuk menyingkirkan saintis, ahli falsafah dan pemikir. Perpustakaan yang mengandungi dokumen kuno yang berharga telah dimusnahkan. Tujuannya adalah untuk menimbulkan ketakutan, untuk melemahkan dan mengawal.

READ MORE:  Malaysia's education system: Is there a crisis looming?

Adakah kita mula melihat bayangan ‘ketakutan’ ini di negara kita sendiri? Adakah ketakutan sudah mula disemai ke dalam masyarakat melalui hukuman sebat orang ramai di Terengganu? Dan bukankah ketakutan yang sama juga digunakan apabila pemimpin parti politik tertentu menyeru umat Islam untuk mengundi mereka atau berisiko ‘dihumban ke neraka’?

Sebagai rakyat Malaysia, saya memahami dan menerima bahawa Tuhan dan agama adalah prinsip asas yang membentuk identiti nasional kita. Maka dapat difahami juga mengapa pengajian agama diajar secara serius dan meluas di sekolah kebangsaan kita.

Hari ini, ia juga diiringi dengan kepercayaan bahawa, lebih banyak yang diajar, anak-anak kita pastinya akan menjadi lebih jujur, taat, rendah hati, adil, penyayang dan akhirnya, menjadi beragama secara murni.

Dek kerana itu, ada akibat yang perlu ditanggung dan mungkin juga seakan satu tindakan balas, setiap kali ada yang bercakap tentang kemerosotan sistem pendidikan negara di Malaysia hari ini, perbincangan hampir selalu akan beralih kepada proses ‘Islamisasi’ sekolah kita yang semakin meningkat.

Jadi, adakah ini satu tuduhan yang adil? Adakah pengajaran ilmu Islam menjadi satu hal yang ramai orang bukan Islam juga mula takuti?

Mungkin yang lebih penting bukanlah sama ada ia diajar sama sekali atau berapa banyak yang diajar tetapi bagaimana ia diajar.

Pernahkah ada sesiapa yang bertanya sejauh mana nilai-nilai Islam yang dipelajari oleh anak-anak kita di sekolah, sebenarnya tercermin dalam masyarakat kita?

Kanak-kanak belajar tentang nilai (termasuk nilai agama), utamanya dari persekitaran sosial mereka, bukan hanya dari buku teks mereka serta masa yang lama diluangkan dalam kelas. Dalam pendidikan, ini dikenali sebagai teori pembelajaran sosial.

Kanak-kanak lebih cenderung untuk mencontohi orang yang sering mereka lihat dan rapat dengan mereka, termasuk mereka yang mereka lihat dalam berita dan dalam media sosial. Ini termasuklah ibu bapa, guru, ‘influencer’, pemimpin dan juga ahli politik.

READ MORE:  Is Malaysia’s education system a model for others?

Walaupun berjam-jam ilmu agama yang kita curahkan kepada anak-anak kita, ada kemungkinan mereka akan mengikut rentak orang lain.

Jadi, apa yang mereka pelajari daripada guru yang memaksa mereka untuk berdiri di bawah terik matahari selama berjam-jam sebagai hukuman… atau dipaksa mencangkung di bawah meja?

Apakah yang mereka pelajari daripada guru-guru yang bertindak mengasingkan seorang kanak-kanak yang dikira ‘lembab’, sedikit ‘lebih bising’ atau lebih ‘gelap’ atau sedikit ‘berbeza’ untuk berdiri lebih lama di bawah sinar matahari berbanding yang lain?

Apakah yang mereka pelajari apabila mereka melihat seorang pegawai polis menyogok rasuah dan tidak menerima hukuman apa pun?

Apakah yang mereka pelajari apabila melihat pekerja asing dilayan dengan begitu teruk?

Apakah yang mereka pelajari apabila mereka melihat seekor anjing liar yang tidak berbahaya dipukul hingga mati di jalanan?

Apa yang mereka pelajari…

Senarai yang ada ini tiada penghujungnya. Oleh itu, di sebalik semua jam mengajar yang kita lakukan, anak-anak kita ini mungkin hanya belajar menjadi kasar, tidak jujur, tamak, tidak adil dan kejam!

Kita tidak boleh menghentikan kekejaman, sikap acuh tak acuh dan kebodohan yang mungkin didedahkan kepada anak-anak kita. Tetapi kita boleh mengajar mereka untuk berfikir dan mempersoalkan pemerhatian mereka tentang dunia.

Kita boleh mengajar mereka untuk merangka semula bagaimana penerapan pengetahuan agama mereka dalam konteks baru yang belum diterokai dan menyemaknya dalam skop nilai teras agama dan rohani mereka – di luar dogma, ritual dan upacara.

Ini saya pelajari sendiri, daripada seorang ustaz di sekolah saya lebih sedekad yang lalu, dan dia telah meninggalkan kesan yang kuat terhadap pembelajaran saya sendiri yang saya hargai sehingga hari ini.

Pada suatu hari Deepavali, apabila hampir tidak ada rakan sekerja Muslim yang datang ke rumah saya untuk majlis perayaan, saya sangat terkejut melihat ustaz sekolah saya itu sebagai tetamu di depan pintu rumah saya.

READ MORE:  Malaysia's education system: Have we compromised on the quality of teachers?

Sewaktu dia sedang mengunyah muruku, saya bertanya kepadanya sama ada dia tidak takut melanggar mana-mana larangan agamanya dengan datang ke rumah saya.

“Puan,” jawabnya, “Saya tidak takut kerana kamu telah menjemput saya dengan ikhlas, dan kamu pun tahu latar belakang agama dan keperluan saya, jadi saya percaya bahawa kamu tidak akan dengan sengaja memperlakukan saya dengan tidak hormat.”

Di sini, terdapat contoh yang indah tentang ajaran agama yang dimilikinya secara peribadi dan berdasarkan nilai-nilai keberanian, komunikasi, saling menghormati dan merangkul. Saya tidak dapat menahan diri dari tertarik kepada ajaran yang sebegini.

Apabila ragu-ragu, kita perlu mengajar anak-anak kita untuk mempunyai keberanian untuk kembali kepada asas, untuk merenung dan menyoal, untuk mencari niat di sebalik perkataan dan perbuatan. Pemikiran yang sedemikianlah yang benar-benar akan membuka pintu dan merobohkan dinding.

Jika kita mengajar anak-anak kita hanya untuk menyerang atau mengundurkan diri dalam perbincangan, mereka tidak lebih daripada bidak dan boneka. Mereka bukan sahaja mudah dipengaruhi oleh mereka yang menjual agama alternatif atau idea menyeleweng tetapi juga mudah dimanipulasi dan ditipu oleh ‘guru palsu’ dan oportunis politik dalam ekosistem agama mereka sendiri.

Daripada hanya tahu menyerang dan berundur, kita harus mengajar anak-anak untuk menjinakkan ketakutan mereka kerana, jika kita terlalu takut, kita akan kehilangan sama banyak.

Jadi, hari ini, malah lebih daripada sebelumnya, kita perlu memperkasakan anak-anak kita untuk bijak melihat melalui penipuan dan manipulasi. Mereka mesti mencari jalan melalui dunia yang cukup kompleks bersaing dengan keutamaan sosioekonomi dan politik serta kecerdasan buatan.

Bersoal jawab dan Berfikir seharusnya menjadi dua tunjang asas, bukan sahaja dalam pengajaran ilmu agama tetapi merentasi seluruh sistem pendidikan kita.

Dan bagi ibu yang terlalu takut itu, apa yang boleh saya katakan padanya petang itu ialah agar anaknya diajar cara untuk menyoal dan berfikir.

Sukeshini Nair
Editor bersama, surat berita Aliran
20 Disember 2024

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x