Home Newsletters Adakah lebih banyak portal berita bermakna media kita lebih bebas?

Adakah lebih banyak portal berita bermakna media kita lebih bebas?

Tidak kisah adakah ianya media baru atau lama, tiada perkara yang revolusionari akan berlaku jika kita tidak mengkritik, membongkar serta mengubah tindakan serta polisi yang tidak demokratik

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Media lama serta baru – di Malaysia seperti di tempat lain – tidak wujud di dalam keterasingan.

Institusi media, profesional, pengamal serta pengamat adalah sebahagian – dan seringkali dipengaruhi – faktor yang lebih luas, di mana faktor kuncinya adalah berkenaan struktur kuasa dan hubungan.

Kuantiti bukan bermaksud kualiti

Pelbagai jenis media pesat membangun sejak sedekad lalu, sebahagian besarnya kerana pendigitalisasian media serta penggunaan internet yang meluas.

Namun, kepesatan ini tidak semestinya perkara yang baik. Perkembangan sesetengah bentuk media dengan pesat – secara khususnya, media digital – memberi kesan kepada media lama, misalnya media cetak.

Justeru itu, walaupun dengan perkembangan baru yang memesatkan pertumbuhan media, meningkatnya kuantiti tidak bermaksud meningkatnya kualiti.

Lama dahulu, terdapat dua cendekiawan bijak dari UK, Peter Golding and Graham Murdock, menulis secara kritikal tentang pemesatan program televisyen di seluruh dunia. Mereka memberi amaran bahawa pemesatan yang sebegini sebenarnya membawa banyak lagi perkara, yang sebenarnya serupa.

Di Malaysia kini, amaran ini tampaknya terbukti benar. Bertahun lamanya, peningkatan siaran dan produk media bermaksud meningkatnya pengeluaran dan penyebaran perspektif serta sudut pandang yang sama.

Sehinggalah Malaysiakini muncul pada tahun 1999 sebagai portal berita bebas yang pertama, yang dapat diakses kepada semua yang mempunyai akses internet, warga Malaysia bergantung sepenuhnya kepada media arus perdana Malaysia.

Apa pun keraguan di dalam membentuk Koridor Raya Multimedia pada 1996, jelas ianya memastikan kita mendapatkan kebebasan internet serta membenarkan Steven Gan dan syarikatnya untuk membentuk Malaysiakini tanpa wujud gangguan dari kerajaan. Benar, mereka sudah pun diganggu beberapa kali sejak dari itu sehingga pernah dibawa ke mahkamah, di mana kemuncaknya adalah baru-baru ini sewaktu mereka dikenakan hukuman serta denda oleh Mahkamah Persekutuan.

Pendigitalisasian membenarkan warga Malaysia dengan akses internet untuk melayari media berita antarabangsa, seperti BBC dan CNN.

Oleh itu, bolehlah dibahaskan bahawa pendigitalisasian membenarkan kerencaman yang sebenarnya. Pun begitu, saya menasihati agar kita berwaspada, khususnya dalam melihat bagaimana regim pemerintah mempunyai kawalan ekonomi, mahupun perundangan ke atas institusi serta aktiviti media.

Akta Telekomunikasi dan Multimedia 1998 digubal, seperti saya nyatakan, adalah kerana sebab-sebab di atas. Begitu juga dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, “diberi kuasa untuk memantau kerangka pengaturan untuk semua aktiviti atas talian serta industri penyiaran dan telekomunikasi”.

Kedua-dua akta dan suruhanjaya adalah “Big Brother” zaman digital, kalaulah boleh dikatakan begitu, dengan niat bergurau.

Kemudiannya, pastilah, dengan wujud pasaran. Suka atau tidak, ekonomi Malaysia terikat dengan sistem neoliberal antarabangsa yang dominan, dengan syarikat diwajibkan untuk mempunyai bisnes model yang mengutamakan keuntungan melebihi apa sekali pun.

Jika melihat dalam konteks media, sistem ini sekaligus mengutamakan yang semberono berbanding fakta, yang menggemparkan berbanding analisis, bentuk berbanding isi, dan, semestinya, kuantiti berbanding kualiti.

Jelas yang kita menuju ke arah itu dengan media kita – baru atau lama – saatnya mereka bergelut untuk menyelamatkan diri akibat tekanan ekonomi serta menggelecek kawalan politik.

Jadi, benarlah bahawa media menjadi semakin pesat sejak sedekad lalu, terutamanya kerana pendigitalisasian media serta penggunaan internet yang meluas. Namun, kita harus mentaksirnya secara kritikal dengan melihat kepada kualiti kepada perkembangan ini.

Setiap pentaksiran ini mestilah melibatkan kesan dari perubahan ekonomi dan politik. Di Malaysia, kita perlu melihat ke zaman kelam, era sebelum pilihan raya umum 2018 serta harapan yang membugar hampir selama dua tahun lebih, serta kekecewaan yang mengiringinya selepas Langkah Sheraton 2020 serta kudeta, yang mengakibatkan wujudnya kerajaan ‘pintu belakang’ yang kita ada sekarang, serta pandemik global hari ini.

Kita perlu memerhatikan kitaran perubahan ini dalam mengeluarkan satu pelan rancangan alternatif. Setiap analisis berkenaan media di masa hadapan perlu mengambil kira realiti kemasyarakatan serta penggunaan kuasa di dalam masyarakat Malaysia.

Kita perlu memeta pemilikan serta corak kawalan media di dalam memahami penggunaan kuasa secara lebih meluas ini.

Menerusi media lama, untuk mendapatkan maklumat sebegini bukanlah mudah, di mana maklumat yang diperoleh terpaksa ‘dicantum-cantum’ dari sumber berbeza bagi mendapatkan gambaran sepenuhnya.

Namun, dengan media baru – dan juga media sosial – ianya sebuah cabaran baru. Siapa yang mengawal dan mendanai organisasi ini masih kekal rahsia, apatah lagi di dalam sebuah negara yang obses akan kuasa seperti kita.

Undang-undang yang baru dan jelas perlu digubal. Namun, benarlah, semata-mata mengharapkannya untuk berlaku sahaja tidak cukup. Di situlah wujudnya batu penghalang di dalam sebuah masyarakat autoritarian.

Kajian ada menunjukkan bahawa jika sistem dominan di dalam sesebuah pentadbiran itu tidak demokratik, besar kemungkinannya, begitu jualah industri medianya yang sekaligus tidak demokratik serta representatif.

Kita tidak akan mempunyai media yang bebas saatnya kita tidak mempunyai kebebasan ekspresi atau hanya mempunyai ruang yang kecil. Terdapat beberapa media atas talian yang cuba mencabar sempadan ini. Namun, perkembangan terbaru menunjukkan bahawa ada percubaan untuk mengekang sebarang bentuk percubaan sebegini.

Logik kapitalisme

Terdapat cadangan di mana negara serta pemilikan dan pengawalan ekonomi sepatutnya tidak menjadi fokus kita. Ada sesetengah pula mengatakan bahawa media digital serta syarikat yang mengawal algoritma itulah yang perlu diberikan perhatian.

Namun, yang pasti semua syarikat ini beroperasi berdasarkan logik kapitalisme. Mustahaknya sistem ekonomi ini – apa yang dipanggil oleh Dan Schiller sebagai ‘kapitalisme digital’ – adalah bagaimana ianya mempengaruhi bentuk bagaimana media baru dan lama beroperasi.

Jadi, sudah tentu sekali, kita seharusnya perlu memberikan perhatian kepada pemilikan serta pengawalan ekonomi di Malaysia kini.

Kita juga perlu mempersoal perubahan di dalam suasana politik kita sejak Mac 2020. Perubahan menjadi dambaan buat mereka yang berkuasa, dan dalam keadaan darurat yang menyelubungi kita ini, bagi mengawal ekspresi dan akhir sekali media itu sendiri.

Ordinan berita palsu

Pada 11 Mac, kerajaan di dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No.2) ada menerbitkan gazet. Fokus ordinan ini adalah berkenaan “berita palsu” berkaitan dengan Covid-19 serta pengisytiharan darurat. Ianya berkuatkuasa sehari kemudiannya.

Seperti yang diperhatikan oleh Andrew Khoo, pengerusi bersama jawatankuasa perlembagaan Majlis Peguam, beliau menyatakan:

Seksyen 24 di dalam ordinan berita palsu memaksa seseorang yang dituduh untuk menyusun kenyataan pembelaan dengan menyatakan terma-terma umum berkenaan dengan pembelaannya, serta ruang percanggahan di dalam kes pendakwaan. Seseorang yang dituduh juga perlu membuat salinan dokumen yang boleh digunakan sebagai sebahagian dari pembelaan.

Dalam kata lain, seseorang yang didakwa dengan kesalahan di bawah ordinan harus memberi kenyataan pembelaannya sebelum pendakwaan dapat membuktikan wujudnya sebarang kes untuk dijawab. Ianya sekaligus melemahkan kedudukan yang tertuduh serta meletakkan yang tertuduh di dalam keadaan yang tidak adil vis-à-vis (bergantung) kepada pihak pendakwaan….

Sebagai rumusan, ordinan berita palsu ini merupakan sebuah undang-undang yang sangat drakonian berbanding dari apa yang disangka.

Ianya melanggar sebuah proses yang sepatutnya dalam mendapatkan perlindungan serta perbicaraan yang adil dan saksama, serta ianya merupakan penyalahgunaan kuasa yang sewenang-wenangnya tentang hak serta kebebasan asasi yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang.

Tidak kisahlah jika ianya media baru atau lama, tiada yang revolusionari akan berlaku jika kita tidak mengkritik, membongkar serta mengubah tindakan serta polisi yang tidak demokratik.

Barangkali lebih mudah bercakap dari dilakukan, namun perubahan sosial yang sebenar-benarnya memang jarang dapat dilakukan tanpa risiko.

Alternatifnya, pastilah dengan mengambil sikap tidak peduli dan berharap semuanya akan selesai begitu saja. Namun ianya tidak akan terjadi tanpa tindakan dari kita.

Ianya berkait-rapat dengan agensi kita, bukan soal media baru atau ‘objektiviti’ media lama yang seringkali dicanang-canang itu.

Rom Nain
Editor bersama, Surat berita Aliran
31 Mac 2021

Terjemahan oleh Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x