Home Newsletters Adakah Malaysia menjadi sebuah negara dipengaruhi konservatisme, fanatik agama serta mendiskriminasi?

Adakah Malaysia menjadi sebuah negara dipengaruhi konservatisme, fanatik agama serta mendiskriminasi?

Kita perlu membina sebuah negara di mana kebudayaan dan kepercayaan yang rencam saling dihormati dan dihargai

Terengganu Pas youth members marching with what appear to be replica weapons at the Himpit gathering - FILE PHOTO: PAS YOUTH/FACEBOOK

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Malaysia dulu cukup berbangga dengan identiti budayanya yang pelbagai, malah memasarkan dirinya sebagai “Truly Asia” menerusi kempen pelancongannya.

Namun, kini, nampaknya kita telah menjadi terlalu berpecah-belah untuk menjadi sebenar-benar Malaysia, apatah lagi benar-benar Asia. Kita tidak lagi mempunyai identiti nasional bersama sebagai rakyat Malaysia.

Segelintir ahli politik, ahli akademik dan guru sedang memandu negara dengan cukup berbahaya ke arah wawasan sempit konservatisme, fanatik agama, diskriminasi yang terang-terangan dan bahkan, kadang-kadang, kebodohan yang melampaui batas.

Tiada apa-apa pun yang mampu untuk melangkaui kebodohan seperti apabila dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri, yang nampaknya masih hidup pada masa lalu, dengan merampas lapan buku berunsur “komunis” dari sebuah kedai buku – dua dekad selepas ancaman komunis telah hilang.

Atau, seperti apabila buku kecil terbitan Barisan Nasional yang lama digunakan sebagai rujukan oleh seorang ahli parlimen untuk mengimbau kebangkitan hantu lama parti komunis.

Bukankah kita seharusnya lebih mengambil berat tentang indoktrinasi yang tidak berakal serta perpecahan sosio-politik dan ekstremisme agama, yang cuba membeza-bezakan institusi yang wujud dalam negara? Bukankah mereka sama berbahaya, jika tidak lebih teruk, daripada ancaman komunisme?

Kita boleh mulakan dengan bagaimana bekas Perdana Menteri dua kali, Dr Mahathir Mohamad, yang melabel parti politik yang dipimpin oleh etnik minoriti sebagai “parti pendatang”. [Rujuk resolusi sebulat suara Aliran mengenai pelabelan yang cukup menghina itu.]

Saya sendiri sebagai seorang ahli etnik minoriti, cukup sukar untuk dikatakan kami hanya pendatang, apalagi kami sendiri tidak mengenali negara lain selain Malaysia. Dan cukup sukar bagi kami sebagai etnik minoriti untuk terus-menerus dirujuk dengan istilah-istilah lain yang menghina seperti kafir, keling dan sepet.

Kebanyakan etnik minoriti Malaysia mempunyai sejarah keluarga di negara ini yang menjangkau lebih seratus tahun – termasuklah saya. Saya kenal orang yang nenek moyangnya di Tanah Melayu meninggal dunia akibat selsema Sepanyol, menderita semasa Kemelesetan Besar, terbunuh semasa penjajahan Jepun atau dibawa pergi untuk pembinaan “kereta api maut” Thai-Burma.

READ MORE:  Persamaan politik Israel dan politik Melayu?

Bagaimanapun, sumbangan, pengorbanan dan kehilangan mereka telah dibuang secara sengaja dan sistematik daripada buku sejarah kita.

Dalam temu bual baru-baru ini, Mahathir turut mengkritik “pendatang” kerana enggan diasimilasikan dengan budaya etnik Melayu.

Saya tertanya-tanya mengapa tidak pernah cukup hanya untuk menjadi rakyat Malaysia sahaja. Malah bekas Perdana Menteri Mahiaddin Yasin juga dulu dengan bangganya mendakwa beliau akan sentiasa menjadi Melayu dahulu, sebelum menjadi rakyat Malaysia.

Adakah kita perlu menjadi Melayu (dan Islam) untuk benar-benar menjadi warga Malaysia? Adakah pendatang Islam di UK perlu bersedia melepaskan identiti budaya dan agama mereka sendiri untuk diterima sebagai warga UK?

Idea-idea sebegitu menunjukkan bagaimana kita merundum menjadi sebuah dunia distopia ala Orwellian dan menjadi ancaman kepada kekayaan kepelbagaian serta kepada prinsip demokrasi mana-mana negara.

Diskriminasi yang diinstitusikan dan pengasingan sosial menjadi sebahagian daripada kehidupan Malaysia pada tahun 1970-an dengan Dasar Ekonomi Baru (dan bentuk yang lain kemudiannya) melalui matlamat serampang dua mata untuk menghapuskan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

Pada tahap tertentu, dasar-dasar tersebut telah gagal kerana ia sepatutnya menangani kemiskinan berdasarkan ‘keperluan’ dan bukannya dengan ‘kaum’. Hasilnya: dasar-dasar ini telah menguntungkan sebahagian orang Melayu yang mengumpul kekayaan yang besar, manakala majoritinya adalah antara masyarakat termiskin di negara ini.

Sementara itu, dasar-dasar ini juga telah mengenepikan komuniti etnik minoriti dan mengakibatkan mereka kehilangan hak.

Dan kini, dengan kebangkitan Islam radikal, jurang antara masyarakat menjadi lebih ketara.

Tampaknya hari ini, apa yang haram atau dilarang dalam Islam dianggap seperti virus ganas yang boleh ‘merebak’ melalui objek, melalui pakaian, melalui sentuhan malah melalui air dan udara.

Akibatnya, ramai umat Islam keberatan untuk berkunjung ke rumah rakan dan rakan sekerja mereka yang bukan Islam, apatah lagi untuk makan atau bermain bersama.

Kita juga menyedari laporan berita bagaimana wujudnya dasar untuk mengasingkan kedai dobi dan lif di hotel, kedua-dua peristiwa ini mencetuskan bantahan.

Ia juga cukup mengganggu bahawa seorang pekerja restoran telah dipecat secara tidak adil kerana memakai salib.

READ MORE:  Persamaan politik Israel dan politik Melayu?

Sikap tidak bertoleransi terhadap budaya atau agama lain nampaknya semakin kerap berlaku.

Namun, kejadian seperti ini bukanlah perkara baru di sekolah. Pelajar dari komuniti minoriti ada yang didisiplin dan dihukum kerana memakai lambang agama dan tanda lain mengikut agama mereka sendiri.

Baru-baru ini, sebuah sekolah telah disiasat kerana didakwa menghukum pelajarnya kerana memakai sari pada acara yang bertujuan untuk memupuk perpaduan.

Jadi pada hari ini, saya tertanya-tanya sama ada diskriminasi terhadap budaya mana-mana etnik minoriti dianggap dibenarkan di Malaysia jika ia dianggap sebagai ancaman kepada nilai Islam dan cara hidupnya.

Sekolah kebangsaan kita juga cenderung untuk mengabaikan keperluan sosial dan kerohanian etnik minoriti. Kajian dan tinjauan berulang kali menyatakan bagaimana sistem dan struktur organisasi di sekolah telah menyebabkan etnik minoriti terdedah kepada beberapa bentuk diskriminasi.

Kertas kerja tahun 2022 yang ditulis oleh Latha Subramaniam untuk menandakan Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Diskriminasi Kaum, mendedahkan tahap diskriminasi ini dengan lebih terperinci.

Hari ini, ibu bapa kepada para pelajar sekolah dari etnik minoriti juga mulai takut dengan sekolah kebangsaan dijadikan ruang yang berkemungkinan menjadikan anak-anak mereka masuk Islam. Sebagai contoh, baru-baru ini ibu bapa kepada seorang anak OKU intelek yang dihantar ke sekolah untuk kanak-kanak OKU memberitahu saya bahawa mereka telah mengeluarkan anaknya daripada sekolah apabila dia diberi pelajaran tentang ilmu Islam dan solat.

Keadaan semakin sukar untuk dipercayai apatah lagi saatnya kita telah membenarkan buku teks yang cukup bermasalah dalam memanipulasi dan memutarbelitkan fakta menjadi silibus di dalam sekolah kita. Sejak akhir-akhir ini, kita juga membenarkan senjata olok-olok untuk masuk ke dalam bilik darjah. Bagaimanakah penggunaan pistol olok-olok dalam bilik darjah dapat membantu kanak-kanak berasa empati dan belas kasihan serta melihat ketidakadilan dengan lebih jelas?

Lebih teruk lagi, kita telah membenarkan pendidik yang berfikiran sempit dan sesat untuk masuk ke sekolah. Perbuatan mereka mempunyai kesan yang besar, kerana mereka mungkin secara tidak sengaja mengajar pelajar mereka yang belum matang bahawa dibenarkan bagi seseorang untuk membunuh atau menggunakan kekerasan terhadap orang lain.

READ MORE:  Persamaan politik Israel dan politik Melayu?

Oleh itu, sekolah kebangsaan tidak lagi dianggap selamat. Adakah kita terkejut apabila melihat kemasukan pelajar ke sekolah antarabangsa dan betapa popularnya sekolah vernakular?

Sekolah kita harus menjadi ruang perhubungan (nexus) bagi pembelajaran dan pemahaman serta pemikiran silang budaya. Mereka harus menggalakkan pelajar mengalami, menyoal dan belajar tentang pelbagai budaya, empati dan belas kasihan daripada perspektif alternatif.

Namun, sekolah-sekolah di Malaysia tidak akan sekali-kali memihak kepada mana-mana ruang perhubungan yang sebegitu sekiranya ia akan mengancam kedudukan Islam. Kurikulumnya tidak akan sesekali diperluaskan untuk membolehkan pelajar melawat gereja atau kuil Buddha atau terlibat dalam perbincangan yang meneroka persamaan antara budaya dan agama dan bukannya hanya melihat perbezaan mereka sahaja.

Persekitaran pembelajaran yang cukup menakutkan sebegitu tidak boleh membawa kepada perpaduan dan tidak boleh dianggap progresif. Namun begitu, sekolah-sekolah di Malaysia kita mengalami suasana ketakutan yang sebegitulah pada hari ini.

Saya khuatir kita mungkin hanya menanamkan ideologi lapuk yang ditentukan oleh ekstremisme dan eksklusiviti, baik dari segi agama mahupun budaya, dalam minda golongan muda, menyesatkan mereka selama-lamanya. Ini lebih teruk daripada komunisme.

Saya bimbang, dalam dekad akan datang, rakyat Malaysia akan hilang upaya daripada berfungsi di dalam dunia yang cukup  mencabar yang ditadbir oleh sains, teknologi, inovasi dan AI.

Kita memerlukan dasar yang berani dan dinamika yang akan memperkasakan orang Melayu dan menjadikan mereka bukan sahaja benar-benar berkebolehan, berkemahiran dan berdaya saing tetapi juga lebih inklusif dalam pemahaman mereka tentang peranan dan sumbangan etnik minoriti.

Kita perlu membina sebuah negara di mana pelbagai budaya dan kepercayaan saling dihormati dan dihargai. Kita perlu membangunkan masyarakat yang terbuka dan menerima kedua-dua kepelbagaian dan perubahan.

Kita perlu bersama membentuk identiti Malaysia untuk semua.

Sukeshini Nair
Editor bersama, surat berita Aliran
30 November 2023

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x