Sungguh tragik. Tiga bekas perdana menteri Malaysia – Najib Razak, Mahiaddin Yasin dan Ismail Sabri Yaakob – telah dihadapkan ke mahkamah pada hari yang sama, 27 Ogos.
Mereka menghadapi pertuduhan yang berbeza: Najib dalam saman sivil berhubung urusan 1MDB, Mahiaddin atas penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram, dan Ismail Sabri atas kegagalan mengisytiharkan asetnya. Semuanya bekas pemimpin Barisan Nasional.
Saya tertanya-tanya mengapa tiada pemimpin MCA atau MIC yang didedahkan. Persoalan itu dijawab dengan penangkapan seorang pemimpin kanan MIC baru-baru ini. Kita menunggu dengan sabar akan semangat ‘muhibah’ supaya MCA mungkin juga akan dimasukkan!
Ada yang mengatakan MIC dan MCA juga berkongsi sebahagian daripada tanggungjawab tersebut. Jika mereka tahu apa yang sedang berlaku dan tidak melakukan apa-apa untuk menghentikannya, ia sendiri merupakan satu kegagalan yang tersendiri.
Mungkin sebab orang lain belum didedahkan adalah kerana pendedahan mereka mungkin melibatkan ramai orang lain.
Ketakutan di sebalik ketidakseimbangan
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Ketamakan tidak mengenal warna kulit mahupun bangsa, tetapi ia berkembang pesat apabila nilai-nilai moral diketepikan.
Ada yang percaya bahawa melibatkan orang daripada latar belakang etnik berlainan adalah berisiko, sekiranya mereka bersuara. Inilah sebabnya, ada yang berpendapat, sesebuah komuniti etnik lebih diutamakan dalam perkhidmatan awam, dengan mengorbankan penglibatan golongan minoriti.
Perkara ini mungkin berlaku dengan penekanan etnik Melayu dalam perkhidmatan awam, angkatan tentera, majlis tempatan dan bidang lain. Anda boleh bertemu dengan ramai orang berkebolehan dalam sektor swasta Malaysia, sama ada dalam penjagaan kesihatan, perkhidmatan undang-undang atau pendidikan.
Entah bagaimana mitos bahawa semua etnik Melayu memerlukan bantuan khas seolah-olah mewajarkan keengganan terhadap meritokrasi. Mungkin ia menjadi alasan untuk tidak memilih orang yang terbaik untuk pekerjaan itu. Pemikiran ini juga digunakan untuk mewajarkan tindakan afirmatif dan kuota berasaskan etnik.
Apabila langkah jangka pendek terus dilanjutkan, ketidakadilan akan menyusup masuk. Ketamakan menguasai, dan eksploitasi yang menyusul akhirnya memburukkan lagi si pengeksploitasi.
Kini kita melihat siapa mereka. Namun, malangnya, semua orang di Malaysia terpaksa menanggung akibatnya.
Kepelbagaian adalah kekuatan kita. Tetapi apabila ketakutan terhadap ‘orang lain’ digalakkan secara halus, ia mengaburkan realiti. Untuk melindungi rahsia atau mengelak pendedahan, adakah sesetengah orang memilih untuk mengetepikan orang lain?
Lagipun, jika seseorang daripada kumpulan etnik sama itulah yang mengeksploitasi orang lain melalui rasuah, ada yang memilih untuk menutup mata sahaja. Tidak kiralah kumpulan etnik mana yang majoriti. Sifat manusia yang gasar dan negatif pasti terserlah.
Jadi mengapa saya harus membenci ‘nasib baik’ mereka?
Pengkritik mengatakan pemikiran ini secara halus digalakkan oleh Dr Mahathir Mohamad, yang membantu membina budaya di mana bertanya soalan dilihat sebagai keangkuhan. Sindrom ‘arahan dari atas’ nampaknya lebih selamat: lakukan sahaja apa yang perlu dilakukan.
Hari ini, budaya ini semakin memberi kesan. Sukar bagi seseorang yang hanya memegang gelaran ‘Encik’ atau ‘Cik’ untuk mendapatkan temu janji dengan seorang menteri, apatah lagi seorang penjawat awam kanan.
Tanpa sedar, sistem kelas yang dibiakkan oleh gelaran dan jawatan kehormat hanya memberi keutamaan kepada mereka yang mempunyai kelebihan sedemikian.
Namun, kesan daripada semua tindakan ini akhirnya akan menimpa kita semua. Kita tidak kebal daripada akibatnya.
Hukum sebab dan akibat sebegini tidak akan mengecualikan sesiapa pun – tanpa mengira agama, etnik atau seberapa banyak kuasa yang dipegang oleh seseorang.
Masa untuk menebus kesalahan
Masanya telah tiba untuk ketiga-tiga bekas perdana menteri itu menjawab dakwaan terhadap salah laku mereka. Mereka memegang jawatan tertinggi di negara ini.
Apa yang menyedihkan ialah jumlah yang lesap akibat rasuah mencecah berbilion-bilion, malah trilion. Baru-baru ini, pengerusi Mara meratapi hutang tertunggak daripada peminjam yang gagal membayar hampir mencecah RM900j.
Sungguh menakjubkan betapa banyak yang telah bocor. Luangkan masa dan fikir apa yang boleh dilakukan oleh wang itu untuk negara dan rakyatnya. Besarnya jumlah pasti memukau sesiapa sahaja.
Ini adalah kesan akibat meneruskan politik berasaskan etnik. Kurangkan kehadiran kumpulan etnik lain dalam perkhidmatan awam, angkatan tentera dan syarikat berkaitan kerajaan, jika mereka menjadi pemberi maklumat – nampaknya, begitulah pemikiran mereka. Si pengeksploitasi merasakan ini adalah hak mereka.
Bilakah lebih ramai pemimpin di Malaysia akan bersuara dan mempertahankan apa yang betul untuk semua orang di Malaysia? Sangat sedikit yang berani berbuat demikian.
Namun kesannya ditanggung oleh semua orang. Mereka yang akhirnya menanggung beban yang relatif terbesar adalah golongan miskin dari semua latar belakang etnik.
Kerugian itu muncul dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, kebajikan sosial dan kualiti hidup. Sementara itu, golongan elit kaya meneruskan kehidupan mereka dengan kereta mewah dan gaya hidup mewah, mempamerkan gelaran dan kekayaan mereka.
Persoalan lain adalah tentang sifat pertuduhan tersebut. Mengapa Ismail Sabri didakwa kerana tidak mengisytiharkan kekayaan. Jika disabitkan kesalahan, dia akan menghadapi hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM100,000. Dia mengaku tidak bersalah.
Tidaklah begitu teruk bagi seorang yang didapati menyimpan lebih puluhan juta ringgit dalam bentuk wang tunai dan mata wang asing, serta emas.
Siapa lagi yang mengetahui? Mungkin mereka akan menjadi saksi pendakwaan untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Berbilion lesap
Terdapat banyak tulisan tentang tokoh-tokoh penting Umno dan penggunaan wang Petronas oleh mereka. Sebagai agensi di luar belanjawan, Petronas bertanggungjawab hanya kepada perdana menteri. Selama 22 tahun, itu bermakna Mahathirlah yang menguasainya. Apa yang telah terjadi kepada semua wang Petronas?
Jika Malaysia mengikuti contoh Norway dalam menguruskan hasil minyak, negara hari ini pasti sudah mempunyai simpanan dan hasil yang mencecah berbilion-bilion, jika bukan trilion.
Kita mempercayai retorik pemimpin kita. Banyak yang dibelanjakan untuk projek glamor seperti Putrajaya, yang kesemuanya menunjukkan bukti pembangunan.
Namun, ini datang dengan kos lepas (opportunity cost). Wang yang sepatutnya digunakan untuk kos sara hidup dan keadaan hidup rakyat sebaliknya digunakan untuk membina projek glamor.
Semua ini berlaku kerana Petronas kekurangan proses yang telus, dan auditnya, jika ada, tidak didedahkan kepada umum.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga menekankan berapa banyak pendapatan pencen yang diterima oleh sesetengah Ahli Parlimen yang telah lama berkhidmat. Ini perlu ditangani, jika tidak, orang yang tidak sepatutnya, melalui hubungan dan ikatan keluarga, akan terus mendapat kelebihan.
Untuk memimpin negara progresif dalam dunia berteknologi tinggi hari ini, kita memerlukan orang yang mahir, berkelayakan dan berwatak baik.
Krisis ekonomi Sri Lanka mengandungi pengajaran yang perlu kita beri perhatian. Parlimennya telah mengundi, 154 berbanding dua, untuk membatalkan pencen Ahli Parlimen pada Februari 2026. Ironinya, ahli politik, walaupun melaungkan keadilan dan kesaksamaan, buta terhadap keistimewaan mereka sendiri.
Sri Lanka terpaksa menghadapi krisis besar sebelum usul ini menjadi kenyataan. Para pemimpinnya terpaksa berasa seperti orang biasa sebelum mereka dapat memahami kesusahan yang dihadapi oleh begitu ramai orang.
Kita, rakyat, menyaksikan semua ini, namun tidak dapat mengubahnya. Hanya apabila ahli politik ditangkap, barulah kita memahami skala salah laku mereka.
Budaya ini telah berakar umbi, dan ia membenarkan begitu ramai daripada mereka mengambil kesempatan peribadi daripada kedudukan mereka.
Mereka melaungkan tiga R (bangsa, agama, raja) sambil menyuarakan niat baik mengatasi tujuan buruk. Akhirnya, kebanyakan wang itu seolah-olah berakhir di poket mereka sendiri atau poket saudara-mara dan kroni mereka.
Keperibadian yang baik lesap, sementara imej kesolehan masih banyak dipertontonkan. Majlis keagamaan diumumkan setiap kali mereka ditangkap. Apabila disabitkan kesalahan, mereka tidak pula memohon maaf atau menunjukkan rasa kesal.
Mengapa kerajaan ini takut kepada pemberi maklumat? Mereka adalah cara terpantas untuk mengekang rasuah di mana-mana negara. Namun undang-undang yang mengawal pemberi maklumat tetap tidak adil kepada pemberi maklumat.
Amalan pemberian maklumat, digabungkan dengan ombudsman yang berkesan, boleh membantu mengubah perkhidmatan kerajaan yang boleh dianggap begitu lemah.
Putrajaya pula tidak membantu. Di menara gading mereka, pegawai bukan lagi penjawat awam yang sebenar. Untuk bertemu dengan mereka adalah satu keajaiban kecil, dan mengatur temu janji pula boleh mengambil masa sehingga dua kali lawatan.
Surat tidak dijawab, telefon sering dibiarkan berdering tanpa jawapan, dan penyerahan berbentuk digital juga membawa lebih banyak soalan dan lebih banyak kelewatan daripada jawapan.
Walaupun terdapat beberapa laporan ketua audit negara, hanya sedikit tindakan yang menyusul. Penjawat awam melindungi kuasa mereka sendiri, dan seseorang hanya mampu tertanya-tanya apa yang sebenarnya dilakukan oleh jabatan seperti Mampu, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia.
Semuanya berlaku dari atas ke bawah dengan sedikit perbincangan dengan pihak berkepentingan. ‘Ini adalah dasar baharu, dan anda mesti mematuhinya’ – tanpa persoalan sama ada ia adil atau tidak kepada orang ramai.
Apabila maklum balas dianggap sebagai ancaman, dan akauntabiliti menyusul daripadanya, perkhidmatan awam akan lebih defensif. Ia mewakili 1.5 juta atau lebih orang. Ahli politik terpaksa memuaskan hati mereka kerana undi mereka penting.
Perubahan menjadi sukar apabila Putrajaya menawarkan begitu banyak keselesaan, dan nampaknya terdapat hanya sedikit keinginan untuk membuat perubahan.
K Haridas
Editor bersama, surat berita Aliran
7 September 2026
Diterjemahkan oleh Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme











