Home Newsletters Aliran, serta beberapa NGO mendapatkan deklarasi mahkamah berkenaan Ordinan Darurat

Aliran, serta beberapa NGO mendapatkan deklarasi mahkamah berkenaan Ordinan Darurat

Fokus saman ini adalah berkenaan Ordinan Darurat, yang menggantung Parlimen serta dewan undangan negeri selagi mana negara di dalam keadaan darurat

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Aliran serta enam NGO lain sudah memfailkan saman pemula terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin serta kerajaan pusat bagi mencabar keperlembagaan serta kesahan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

NGO lain yang juga litigan bersama adalah Gabungan Pilhanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Centre for Independent Journalism (CIJ), Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak), Save Rivers (Sarawak) serta Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH).

Firma guaman AmerBON Advocates telah memfailkan saman dalam talian kepada Mahkamah Tinggi. Tujuh NGO itu kemudiannya membuat sidang akhbar dalam talian, di mana ianya disiarkan secara langsung di laman Facebook Bersih 2.0.

Wakil dari tujuh NGO serta wartawan dari pelbagai akhbar, harian dalam talian serta media sosial mengambil bahagian di dalam sidang akhbar dalam talian. Perbincangan bersemangat berlangsung ketika wakil NGO serta peguam menerima soalan-soalan daripada wartawan serta penonton di Facebook.

Fokus saman ini adalah Ordinan Darurat, yang menggantung Parlimen serta dewan undangan negeri selagi mana negara di dalam keadaan darurat. Kerajaan menggazetkannya pada 14 Januari, namun dilaksanakan secara retrospektif berkuatkuasa pada 11 Januari.

Sewaktu sidang akhbar, Aliran serta enam NGO lain menjelaskan bahawa mereka tidak mempersoal budi bicara Agong bagi mengisytihar darurat seperti dinyatakan dalam Artikel 150(1).

Namun saman ini adalah bagi mendapatkan deklarasi mahkamah tentang peranan Parlimen serta kehakiman bagi memastikan semak imbang ketika darurat, khususnya:

  1.  Memandangkan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak dibubarkan namun hanya ditangguhkan pada waktu tertentu, adakah Proklamasi Darurat yang dikeluarkan pada 11 Januari 2021 (lihat PU (A)7/2021) dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang diisytiharkan pada 14 Januari 2021 perlu dibentangkan di Parlimen sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan?
  2. Adakah Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berkaitan penggantungan Parlimen adalah sah memandangkan ianya mencegah atau menghalang pengoperasian Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan? (Seksyen 14 seakan-akan bermaksud, antara lain, menghalang pengoperasian peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkaitan memanggil, menghenti dan membubarkan Parlimen serta membatalkan sebarang sidang Parlimen yang telah dipanggil tetapi belum bersidang)?
  3. Adakah pindaan perlembagaan 1981 yang memasukkan Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan yang seakan-akan mengenepikan bidang kuasa mahkamah adalah tidak berperlembagaan (kerana mengingkari Perkara 4 dan 121 Perlembagaan Persekutuan dan/atau struktur asas Perlembagaan Persekutuan)?
  4.  Adakah Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan, jikalaupun ianya sah, menghalang mahkamah untuk menyemak keperlembagaan sesuatu ordinan yang dibuat di bawah Perkara 150(2B) yang tidak mematuhi, mencegah atau menghalang keperluan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan (yang memperuntukkan keperluan proklamasi/ordinan dibentangkan di Parlimen)?
READ MORE:  Seeking errant Orang Asli groups

Tujuh NGO ini menegaskan bahawa mereka tidak yakin bahawa darurat diperlukan, yang jelas adalah bagi menangani ketidakstabilan politik, walaupun keterangan rasmi adalah untuk mengawal pandemik coronavirus yang semakin memburuk. Sebaliknya, mereka percaya wujudnya mekanisme politik bagi kerajaan dalam memastikan kestabilan politik.

NGO ini turut menyatakan kegusaran bahawa “kedaulatan undang-undang perlu dipertahankan dan semangat Perlembagaan Persekutuan perlu dipatuhi, di mana terdapat pengasingan kuasa yang jelas … dan tidak ada satu cabang yang boleh mengatasi cabang kuasa yang lainnya”.

Atas sebab ini serta beberapa alasan yang lain, mereka berharap agar mahkamah dapat “menentukan kuasa keperlembagaan Parlimen dan badan kehakiman dalam mempertahankan sistem semak dan imbang negara kita”.

Bagi memudahkan semua, NGO turut menyediakan sebuah senarai soalan yang sering ditanya serta jawapan mudah kepada mereka.

  • Mengapa memfail cabaran kehakiman ini?
  • Apa yang diharapkan dengan tindakan ini?
  • Adakah kami sedang mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong?
  • Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa proklamasi darurat dan ordinan yang berkaitan adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah atau atas apa-apa alasan. Jadi mengapa NGO masih meneruskan tindakan undang-undang ini?
  • Adakah tindakan undang-undang ini akan menyebabkan pembatalan perintah darurat?
  • Adakah kami sebagai NGO ada hak untuk memulakan tindakan undang-undang (locus standi)?

Empat tuntutan mahkamah lainnya

Sehingga kini, terdapat empat tuntutan di mahkamah berkaitan dengan darurat, Ordinan Darurat serta Perlembagaan Persekutuan. Setiap empat tuntutan ini mempunyai pendekatan serta fokus yang sedikit berbeza.

Tuntutan mahkamah Anwar Ibrahim sudah difailkan pada 25 Januari. Fokusnya adalah untuk membatalkan nasihat yang dituduh tidak mengikut lunas undang-undang oleh perdana menteri serta jemaah kabinet kepada Agong bagi mengisytihar darurat, yang memberi kesan di mana Parlimen digantung di bawah Seksyen 14 di dalam Ordinan Darurat.

Oleh sebab itu, ketua pembangkang memohon mahkamah bagi memaksa perdana menteri serta kerajaan persekutuan untuk menasihatkan Agong bagi membatalkan Seksyen 14. Dengan kata lain, apa yang dicabar adalah bukannya pengisytiharan darurat oleh Agong, tetapi keputusan PM yang menasihati Agong bagi memperkenan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyebabkan penggantungan Parlimen ketika tempoh darurat. Di dalam keadaan ini, nasihat PM ini dianggap melanggar undang-undang.

READ MORE:  Seeking errant Orang Asli groups

Anwar menuntut 10 deklarasi serta keputusan mahkamah. Salah satunya ialah bagi mencabar peruntukan perlembagaan yang menghentikan mahkamah dari menentukan kesahan undang-undang darurat. Oleh itu, Anwar mahu mahkamah membenarkan Parlimen untuk bersidang ketika darurat. Saman oleh Anwar, di atas kapasitinya sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen, telah difailkan oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor dari DAP, Ramkarpal Singh, di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Selain daripada saman ini, Anwar juga dilaporkan menghantar kepada Agong senarai nama 99 Ahli Parlimen pada 19 Januari bagi pengisytiharan darurat diangkat semula, serta sidang parlimen untuk dipanggil. Menurut pemimpin Amanah, Mohamad Sabu, ianya sebuah keputusan Pakatan Harapan.

Wakil rakyat yang diundi di tiga buah negeri turut memfailkan sama. Mereka adalah Salahuddin Ayuh dari Amanah, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Johor bagi Simpang Jeram serta Ahli Parlimen Pulai; Johari Abdul dari PKR, yang merupakan Adun Kedah bagi Gurun; dan Aziz Bari dari DAP, Adun Perak bagi Tebing Tinggi. Saman ini turut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Januari.

Tiga wakil rakyat ini menuntut kajian semula kehakiman berkenaan keputusan kerajaan untuk mengisytihar darurat serta penggantungan Parlimen. Berbeza dari dua saman yang lain, ianya turut memberikan perhatian kepada penggantungan sidang dewan undangan negeri.

Secara khusunya, ketiga-tiga mereka mencabar Seksyen 11, 14 dan 15 Ordinan Darurat atas alasan bahawa peruntukan ini “tidak diperlukan, tidak rasional, tidak munasabah serta tidak seimbang” kerana perintah kawalan pergerakan serta undang-undang sedia ada sudah pun mencukupi bagi mengawal pandemik.

Mereka membahaskan bahawa penggantungan Parlimen serta dewan undangan negeri mengekang mereka dari menjalankan tugas-tugas berkepelembagaan di dalam menyelia serta memastikan semak dan imbang kepada cabang eksekutif kerajaan. Mereka menyatakan bahawa kerajaan pusat dan negeri sekarang boleh menggunakan fungsi eksekutif mereka tanpa dipertanggungjawabkan kepada Parlimen dan dewan undangan negeri.

Jadi, mereka juga menuntut mahkamah untuk mengarahkan PM serta kerajaan untuk membentang pengisytiharan darurat serta Ordinan Darurat di dalam Parlimen agar ahli Parlimen dapat membahaskannya.

Saman yang ketiga, difailkan pada 18 Januari, oleh bekas pemimpin Umno Khairuddin Abu Hassan. Di dalam saman pemulanya, Khairuddin mendakwa Muhyiddin Yassin tidak mempunyai keabsahan untuk menasihati Agong untuk mengisytihar darurat.

Beliau percaya bahawa (bekas) Perdana Menteri sudah pun hilang majoritinya pada 9 Januari saatnya MP Umno dari Machang menarik balik sokongan kepada Muhyiddin. Namun, Muhyiddin sedar akan keadaan ini dan menasihati Agong pada 11 Januari.

READ MORE:  Seeking errant Orang Asli groups

Di dalam keadaan ini, Khairuddin menuntut agar mahkamah untuk menentukan adakah nasihat Muhyiddin kepada Agong untuk mengisytihar darurat sewaktu Perdana Menteri tidak lagi mempunyai majoriti di Parlimen sebagai sesuatu yang tidak sah.

Beliau juga mahu mahkamah untuk memutuskan samaada penggantungan kedua-dua Dewan Parlimen oleh seorang perdana menteri yang tidak lagi mempunyai sokongan majoriti sebagai sesuatu yang berpelembagaan.

Bagi Khairuddin, keadaan sekarang ini serupa seperti sebuah “krisis perlembagaan”.

Saman keempat difailkan pada Oktober 2020 oleh peguam Syed Iskandar Syed Jaafar terhadap kerajaan Malaysia bagi menuntut mahkamah bagi menentukan dua perkara melibatkan perlembagaan, iaitu:

  • Sama ada Agong mempunyai budi bicara yang tidak mengikat untuk tidak mengisytiharkan Darurat walaupun menerima nasihat dari PM atau kabinet, serta
  • Apakah undang-undang 1981 yang dimasukkan ke dalam peruntukan bagi menghalang kajian semula mahkamah berkenaan undang-undang darurat adalah bercanggah dengan struktur asas Perlembagaan Persekutuan.

Anda pasti ingat bahawa Muhyiddin sudah pun memohon pada Agong untuk mengisytiharkan darurat pada Oktober lepas. Permohonan ini, yang berlegar di media sosial serta dalam talian, tidak diperkenankan oleh Agong.

Oleh itu, saman ini difailkan selanjut dari perkembangan di antara PM dan Agong itu. Menariknya, beberapa individu, termasuklah Ahli Parlimen Dr Mahathir Mohamad, sejak itu turut memohon bagi dibenarkan untuk menyertai tuntutan sama oleh Syed Iskandar itu.

Akhir sekali, sebuah petisyen yang disediakan oleh Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat, yang ditandatangani oleh Ahli Parlimen, Khalid Samad, sebagai pengerusi cadangan petisyen itu, turut berlegar dalam talian.

Petisyen ini mengusulkan bahawa deklarasi darurat ini adalah tidak absah kerana ianya dinasihatkan oleh PM yang tidak mempunyai sokongan majoriti ketika itu. Oleh itu, Muhyiddin tidak mempunyai hak sebagai seorang perdana menteri, juga untuk menasihati Agong.

Petisyen juga memperjelaskan bahawa keadaan darurat akan membuatkan pelabur menghindari negara – di mana ianya akan memberikan kesan kepada ekonomi negara serta kemaslahatan rakyat.

Darurat juga tidak membenarkan Parlimen serta dewan undangan negeri dalam memainkan peranan mereka, yang sekaligus menuju ke arah kediktatoran.

Petisyen ini juga menambah bahawa keadaan darurat ini sekaligus hanya membenarkan perdana nenteri untuk berpaut pada kuasa berbanding daripada untuk melawan pandemik.

Francis Loh
Editor bersama, Surat berita Aliran
3 Februari 2021

Terjemahan oleh Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x