![parliament](https://m.aliran.com/wp-content/uploads/2021/08/maxresdefault-1-696x392.jpg)
Kita sudah menyaksikan begitu banyak drama politik sejak beberapa minggu lalu – dari persidangan khas di Parlimen yang ditunda tiba-tiba pada akhir Julai sehinggalah penarikan sokongan Umno terhadap kerajaan Perikatan Nasional.
Sekarang kita menantikan undi percaya terhadap Perdana Menteri, yang pada awalnya dijadualkan untuk sidang September di Parlimen. Namun sekarang, dengan begitu banyak desakan untuk persidangan berlaku secepat mungkin, kita mungkin menyaksikan persidangan yang lebih awal.
Apa yang berlaku di antara sekarang sehingga undi percaya nanti? Cubalah teka.
Wujudnya desakan ke atas PM untuk letak jawatan dibuat, rakyat juga cakna untuk mengambil tahu siapa yang mempunyai bilangan majoriti, sekurang-kurangnya 111 Ahli Parlimen untuk memimpin negara. Ada yang lain melihat kepada peralihan perikatan serta komposisi sesebuah gabungan yang mungkin dibentuk bagi merampas atau mengekalkan kuasa.
Sementara kira-kira sedang dibuat, jangan lupa juga pada nombor serta isu berkait krisis ekonomi dan kesihatan, yang diakibatkan oleh krisis politik sekaligus mengakibatkan kesan secara terus kepadanya.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Pada awal Ogos, negara ini melepasi angka 20,000 jangkitan harian Covid, dan bilangan harian jangkitan sekarang kekal pada bilangan tersebut.
Kementerian Kesihatan menganggarkan terdapat tiga kes Covid tak dikesan bagi setiap jangkitan yang dilaporkan.
Bilangan kematian juga menggusarkan: sekitar 1,000 kematian setiap minggu, dengan 10% daripadanya pesakit sudah pun meninggal ketika dibawa masuk. Sekitar 80% yang dibawa masuk mati awalnya tidak didiagnos dengan Covid.
Pada 8 Ogos, Malaysia melepasi kadar bilangan 300 kes kematian sehari, dengan bilangan tertinggi direkodkan sebanyak 360 kematian.
Sementara pekerja kesihatan barisan hadapan terus menjadi wira, kita juga mendengar bagaimana hospital awam tidak lagi dapat menampung keadaan, dengan hospital swasta terpaksa menyerap bebanan akibat Covid serta hospital di lapangan turut dibina.
Ramai pesakit tidak dapat ke hospital bagi mendapatkan rawatan berikutan ketiadaan katil pesakit di beberapa tempat. Pekerja kesihatan barisan hadapan keletihan. Bilik mayat penuh, dengan ruang penyimpanan berhawa dingin bersaiz 40 kaki panjang disediakan di beberapa tempat bagi ruang tambahan.
Sehingga 9 Ogos, hanya 26.9% populasi menerima dua dos vaksin manakala 48.3% populasi menerima dos pertama (statistik dari aplikasi Mysejahtera)
Program vaksinasi sedang rancak selepas permulaan yang lambat, namun kita masih belum melandaikan lengkungan pandemik lagi. Jadi, pengumuman untuk melonggarkan prosedur operasi standard bagi mereka yang divaksin penuh merupakan sesuatu yang cukup merisaukan ramai orang, termasuklah seperti yang dinyatakan Persatuan Perubatan Malaysia.
Kemudiannya, kita turut mempunyai penyakit tidak berkaitan Covid serta ramai yang lain turut menderita akibat kurang dan lambatnya rawatan atau akses kepada penjagaan kesihatan akibat penutupan jabatan rawatan luar serta pengurusan sumber yang dihalakan bagi membendung pandemik.
Kita juga menyaksikan peningkatan isu kesihatan mental, dengan beberapa laporan mendakwa bahawa terdapat tiga atau empat kes bunuh diri sehari di seluruh negara berikutan masalah keluarga, isu kewangan serta emosi.
Kita tahu bahawa pandemik turut memberi kesan kepada sekuriti makanan dan zat. Menurut sebuah kertas polisi Unicef berjudul “Addressing Malaysia’s Nutrition Crisis post COVID-19”, seramai 9.8 juta rakyat atau 30% populasi di Malaysia dijangkakan menderita akibat ketiadaan sekuriti makanan ekoran pandemik Covid. Apa kesannya kepada kanak-kanak?
Pandemik turut mengakibatkan sekolah ditutup. Pembelajaran atas talian diuar-uarkan sebagai jalan ke hadapan namun ianya cukup membebankan guru dan pelajar. Satu kajian menunjukkan bahawa 37% kanak-kanak tidak memilik peranti elektronik dan hanya 15% pelajar mempunyai komputer peribadi.
Apa yang berlaku dengan rancangan untuk mengagihkan komputer riba kepada pelajar? Bagaimana jurang digital ditekankan?
Kita tahu bahawa kuncitara ini mengakibatkan ramai orang kehilangan atau pengurangan gaji serta pengganguran. Menurut Jabatan Perangkaan, kadar pengganguran di Malaysia meningkat ke 4.8% pada Jun 2021, melibatkan 768,700 orang.
Di dalam laporan yang baru dikeluarkan berjudul “Household Income Estimates and Incidence of Poverty 2020”, Jabatan Perangkaan menyatakan bahawa majoriti isi rumah mengalami kemerosotan pendapatan serta mengakibatkan penurunan ke kelompok ekonomi yang rendah. Dan penambahan 12.5% isi rumah jatuh ke kategori mereka yang berpendapatan kurang dari RM 2,500 (10% terendah). Bukan itu sahaja: 20% isi rumah dari kelompok 40% pertengahan (berpendapatan RM4,850 – RM10,959) juga jatuh ke kelompok 40% terendah. Jika ini angkanya pada tahun 2020, apa yang berlaku dengan isi rumah pada tahun 2021?
Banyak jurang serta masalah – misalnya tiada polisi jaringan sosial kepada pekerja gig atau mereka yang bekerja sendiri, gaji rendah serta simpanan rendah, keadaan melibatkan doktor kontrak serta pemotongan belanja kepada kesihatan awam – bukanlah sesuatu yang baru namun ianya semakin memburuk ketika pandemik.
Pandemik menampakkan ketidakcukupan yang serius melibatkan polisi jaringan sosial serta ketidakcukupan pendanaan serta perancangan melibatkan sistem kesihatan awam – sesuatu yang cukup asas namun penting bagi memastikan jaringan sosial di dalam sesebuah negara.
Isu dan angka yang dikongsi di atas bukanlah itu sahaja. Pandemik memberi kesan kepada kelompok rentan melibatkan mereka yang tidak berumah, warga emas, mereka yang hidup dengan HIV, orang kurang upaya, Orang Asli, mangsa seksual serta keganasan berasaskan gender, komuniti LGBT, mereka tanpa negara, pekerja migran, serta komuniti pelarian serta pencari suaka. Bagaimanakah keperluan mereka ditaksir dan dipenuhi?
Tidak dinafikan bahawa kerajaan ada usaha untuk menyelesaikan isu ini. Namun, usaha ini tampaknya tidak mencukupi seperti yang kita dapat lihat khususnya melibatkan bendera putih dan inisiatif lainnya. Pengkhususan yang lebih baik, perkongsian maklumat serta akses kepada jaringan sosial adalah diperlukan saatnya pandemik semakin menggila.
Pandemik ini tidak datang dengan manual panduan yang dapat diguna pakai secara terus untuk menguruskannya, namun ada jangkaan asas yang perlu digerakkan kerajaan hari ini. Semudahnya begini:
- Sedarilah keadaan melibatkan akar umbi
- Bekerja bagi memastikan keperluan asas rakyat dengan penuh kompeten dan integriti supaya tiada kelompok yang ditinggalkan
- Kemukakanlah pelan pemulihan yang realistik
Lewat krisis politik kita sekarang ini, angka yang akan menentukan kerajaan yang terbentuk, di dalam apa saja bentuk (contohnya gabungan, sementara atau mana-yang-sempat). Apa yang penting adalah untuk kerajaan ini dibentuk oleh pemimpin yang cukup berkelayakan bagi menguruskan pandemik dan memimpin negara keluar dari krisis bagi memulihkannya.
Negara ini terdesak untuk mempunyai pemimpin berintegriti yang komited kepada reformasi sebenar melibatkan kebajikan sosial – pemimpin yang mampu untuk berfikir, berbincang dan merangka bagi jangka masa panjang. Contohnya, mereka yang mahu menjalankan dasar pendapatan universal atau skim pencen asas, apatah lagi sekarang, seramai 71% penyumbang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja hanya mempunyai kurang dari RM50,000 di dalam simpanan mereka.
Negara ini memerlukan lebih banyak kajian dan data, diskusi dan debat di dalam banyak isu agar reformasi sebenar dapat dijalankan. Kita, malangnya, kekurangan ini semua.
Negara ini juga memerlukan pemimpin yang memahami, sekurang-kurangnya akan asas demokrasi berparlimen. Mereka perlu mempunyai penghormatan tertinggi kepada hak asasi serta hak kemanusiaan dan mampu membangunkan urus tadbir yang baik.
Nanti, angka bukan sahaja akan menentukan apa yang terjadi ketika undi percaya kepada perdana menteri serta kemungkinan terbentuk kerajaan nanti. Tetapi juga bagaimana krisis ekonomi dan kesihatan negara ini akan diuruskan.
Apakah kita akan mampu untuk menggerakkan negara ini maju ke hadapan nanti? Masa depan kita cukup bergantung akan hal ini.
Prema DevarajEditor bersama, Surat berita Aliran
12 Ogos 2021
P.S. Hari ini juga merupakan ulangtahun ke-44 peluncuran Aliran pada tahun 1977. Perjalanan yang sungguh menginspirasi!
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme