Home Newsletters Anwar perlukan komunikasi strategi lebih baik – namun itu pun tidak mencukupi!

Anwar perlukan komunikasi strategi lebih baik – namun itu pun tidak mencukupi!

Kerajaan perlu memberi tumpuan khusus kepada Agenda Rakyat digerakkan masyarakat sivil dan memenangi kembali sokongan orang ramai melalui tindakan, bukan hanya kata-kata

GERALT/PIXABAY

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Kemenangan pilihan raya kecil di kerusi parlimen Pulai dan kerusi dewan undangan negeri Simpang Jeram di Johor pada Sabtu lalu telah membawa kelegaan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sejak pilihan raya umum November lalu, kerajaan gabungan Anwar terpaksa mengimbang dengan halus bagi memastikan semua parti cukup berdisiplin mengikut aturannya.

Mengimbangi jalan sebegini telah menghalang usahanya untuk melakukan pembaharuan dan mengecewakan mereka yang mendambakan pembaharuan.

Ini telah memberi sumber kepada Perikatan Nasional serta pengkritik lainnya untuk melancarkan pelbagai bentuk serangan. Mereka telah mengatakan bahawa pentadbiran Anwar sebagai tidak berkesan dalam memulihkan ekonomi dan terlalu bergantung kepada DAP.

Anwar mengatakan bahawa sistem komunikasi kerajaan yang lemah adalah sebab mengapa beliau tidak boleh melawan pembohongan dan fitnah. Beliau mengakui bahawa kerajaan sepatutnya berkomunikasi dengan lebih baik kepada orang ramai ketika pilihan raya 12 Ogos di enam negeri yang lalu.

PM juga menyalahkan sistem komunikasi kerajaan yang lemah kerana rakyat tidak menyedari akan usaha pentadbirannya.

Contoh seterusnya ini barangkali menjelaskan kebimbangan Anwar. Kementerian Kesihatan telah memulakan skim pemberian tuala wanita percuma bagi menangani kemiskinan haid (period poverty). Namun, sepatutnya kelompok sasaran yang perlu mendapat kesan baik dari inisiatif sebegini bukanlah mereka yang di ibu pejabat kementerian, di mana penjawat awam wanita berada dalam keadaan ekonomi yang lebih baik.

Contoh lain: ada kementerian juga telah memperkenalkan label ubat dalam tulisan Braille di 250 klinik kesihatan terpilih. Langkah ini akan memberi manfaat kepada 55,000 individu kurang upaya penglihatan. Sudah tentu, ini patut mendapat publisiti dan kesedaran yang lebih besar.

Ya, ia sesuatu yang berbaloi jika projek dirancang dengan baik dan disampaikan kepada orang ramai dengan lebih berkesan.

READ MORE:  Two years later: The four cardinal reforms of Anwar

Berikut merupakan beberapa langkah positif yang patut mendapat publisiti yang lebih besar.

Allahyarham Salahuddin Ayub, merupakan seorang menteri ketika itu yang bertanggungjawab mengekang kos sara hidup, kemudiannya melancarkan dasar yang cukup inovatif pada Januari lalu. Di bawah skim “menu rahmah”, restoran dan kedai ada menawarkan hidangan berkhasiat pada harga RM5 atau kurang bagi setiap pinggan.

Langkah kerajaan bagi mewujudkan Suruhanjaya Kanak-Kanak yang bebas akan menjadi peristiwa penting bagi negara. Badan ini akan mempunyai kuasa untuk menyokong perubahan dasar, menguatkuasakan undang-undang dan memantau tindakan untuk melindungi hak kanak-kanak.

Kerajaan harus berkongsi maklumat mengenai suruhanjaya ini dengan lebih meluas kepada orang ramai.

Inisiatif kerajaan dan pembaharuan sosial penting yang memberi manfaat kepada rakyat harus dihebahkan secara meluas menerusi cara yang mudah difahami oleh orang ramai.

Cukup membingungkan apabila kerajaan memperkenalkan dasar tanpa penjelasan yang lengkap atau masa yang cukup untuk ia diterima orang ramai. Tidak menghairankanlah jika dasar yang disampaikan secara tergesa-gesa itu kemudiannya mencetuskan salah faham, ketegangan dan kebimbangan, kan?

Sebagai contoh, Kementerian Pendidikan ada memperkenalkan modul penghayatan “40 Hadis Imam Al-Nawawi” baru-baru ini. Ini kononnya bertujuan bagi membendung radikalisme dan ekstremisme agama di negara ini.

Namun, cara ia diumumkan cukup mengejutkan ramai orang. Pada mulanya, ramai yang bimbang orang bukan Islam juga perlu mempelajari modul tersebut. Kebimbangan juga timbul terhadap Hadis tertentu dalam modul itu yang dianggap boleh memecahbelahkan dan mengancam orang bukan Islam.

Kementerian sepatutnya berunding dengan semua pihak berkepentingan sebelum mengumumkan modul tersebut. Ia tidak masuk akal untuk bertindak hanya selepas semuanya sudah pun dijalankan.

Namun, “jentera komunikasi yang lemah” bukanlah satu-satunya masalah yang dihadapi oleh kerajaan “Madani”.

READ MORE:  Najib's empty 'apology' an insult, Anwar’s reaction troubling

Ketidaksepadanan antara janji pihak pemerintah dan realiti yang dihadapi juga mencetuskan rasa tidak senang di kalangan rakyat.

Sebagai contoh, kita diberitahu bahawa kerajaan terbuka kepada kritikan dan menggalakkan kebebasan bersuara. Namun, ia juga merupakan satu hal untuk meuar-uarkan bahawa perbezaan pendapat dan perbezaan pendapat adalah amat dialu-alukan. Tetapi sebuah soal lain pula untuk mengharamkan buku dan menyekat laman web yang tidak sepadan dengan sudut pandang mereka yang berkuasa itu.

Percanggahan cara fikir di antara retorik ahli politik dan tindakan mereka ini perlu ditangani. Kerajaan yang menjanjikan pembaharuan dan keterbukaan perlu memberi penjelasan yang lebih meyakinkan kepada orang ramai.

Sememangnya, kerajaan mempunyai banyak penjelasan yang perlu dilakukan mengenai langkah reformasi dalam manifesto pilihan raya mereka yang masih belum tercapai. Ramai yang telah mempercayai janji pilihan raya mereka ini dan tidak sabar-sabar agar wujudnya perubahan positif dalam masyarakat. Mereka telah menantikan kerajaan untuk menangani banyak isu yang tidak diselesaikan sebelum ini.

Sebagai permulaan, kerajaan harus segera memansuhkan atau meminda undang-undang yang menindas seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Akta Rahsia Rasmi. Juga, menggubal undang-undang untuk menegakkan kebebasan maklumat dan mengawal pembiayaan politik. Serta, perkukuh Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan hidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen juga.

PM telah menggambarkan dirinya sebagai jaguh menentang rasuah. Ini pastinya sesuatu yang diharapkan oleh orang ramai di Malaysia. Mereka mendambakan dasar pembaharuan serta konsisten dalam perang melawan rasuah.

Jadi, kita tidak boleh menyalahkan orang ramai mengapa mereka kebingungan kerana hanya terdapat sedikit maklumat terkini mengenai skandal besar yang menyelubungi pembuatan kapal tempur pesisir yang masih belum dihantar kepada Tentera Laut. Tiada siapa yang ditahan setakat ini. Tanggapan ini kelihatan tidak baik.

READ MORE:  Is Anwar serious about reforms? - Zaid Ibrahim interviews Ambiga

Ia juga tidak kelihatan baik apabila yang bermewahan tidak menerima hukuman setimpal. Bayangkan, beberapa tahun lalu, seorang lelaki yang mencuri seguni petai bernilai RM500 telah dihantar ke penjara selama dua bulan.

Kerajaan perlu melakukan lebih daripada sekadar menambah baik jentera komunikasinya untuk mendapatkan semula kepercayaan orang ramai. Ia perlu memberi tumpuan yang teguh kepada Agenda Rakyat masyarakat sivil dan memenangi semula sokongan orang ramai melalui tindakan, bukan hanya cakap-cakap.

Mustafa K Anuar
Editor bersama, surat berita Aliran
10 September 2023

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x