Selamat tahun baru lunar kepada semua yang menyambut. Aliran berharap Tahun Arnab kali ini akan membawa keamanan, perpaduan dan keadilan untuk semua.
Hari ini, 31 Januari 2023, adalah hari ke-69 sejak Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. Sejak dua bulan lalu, beliau telah memikul tanggungjawabnya tanpa canggung walaupun dengan hampir tidak sempat untuk ‘berbulan madu’.
Namun, bertahun-tahun lamanya Anwar berkhidmat dalam kerajaan dan sebagai ketua pembangkang (termasuklah beberapa tempoh di dalam penjara) telah membentuk beliau menjadi ahli politik berpengalaman seperti hari ini, cukup sesuai bagi memegang jawatan selaku PM.
Dalam meningkatkan hubungan dengan negara jiran, PM telah memilih dengan teliti bagi melawat Indonesia, Brunei dan Singapura – susunan ini mungkin mencerminkan apa yang menjadi keutamaannya.
Walaupun beliau mengutamakan dasar berasaskan keperluan manakala dasar berasaskan kaum dan agama tidak terlalu ditekankan, beliau juga pada waktu sama tidak boleh dilihat meminggirkan atau memperleceh kepentingan Islam.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Beliau barangkali sedar bahawa beliau tidak boleh mengabaikan ‘gelombang hijau’ yang berlaku pada pilihan raya umum tahun lalu.
Seperti yang ditegaskan oleh artikel Azmil Tayeb yang dikeluarkan Aliran sebelum ini, “hampir 90% orang Melayu mengundi gabungan Melayu-Islam PN [Perikatan Nasional] dan Barisan Nasional yang dikuasai Umno manakala 90% daripada etnik Cina dan 75% daripada etnik India mengundi Pakatan Harapan.”
Jadi Anwar dan pasukannya mempunyai perjuangan yang sukar untuk menangani jurang etno-agama yang serius di negara ini. Mereka mesti mempamerkan, melalui dasar dan tindakan mereka, bahawa mereka ikhlas dalam mendekati semua orang yang memerlukan, terutamanya golongan miskin.
Jika kerajaan memberi tumpuan kepada golongan terpinggir, golongan miskin di kalangan kedua-dua etnik Melayu dan etnik lainnya, bantuan sudah pasti akan sampai buat mereka yang memerlukan.
Kebimbangan di kalangan ramai orang Melayu bahawa kaum minoriti akan menguasai ekonomi sehingga menjejaskan golongan mereka sangat memerlukan perhatian dan penjelasan yang teliti.
Kerajaan pimpinan Anwar melancarkan konsep madani pada 19 Januari dengan tujuan bagi menyediakan prinsip asas bagi merancakkan ekonomi dan memampankan pembangunan bagi manfaat semua rakyat, tanpa mengira kaum, etnik atau agama.
Konsep “Malaysia Madani” (masyarakat sivil) menggagaskan sebuah negara yang menekankan kemanusiaan dan nilai-nilai murni seperti tadbir urus yang adil, saksama dan berkesan.
Madani merupakan akronim yang digubah daripada enam nilai teras yang mendasarinya – kemampanan, kemakmuran, inovasi, hormat, kepercayaan dan belas kasihan.
Dalam menjelaskan konsep Malaysia madani, PM menegaskan bahawa pertumbuhan dan pembangunan mesti dicapai di dalam konteks ekonomi berperikemanusiaan yang mengutamakan keperluan rakyat.
“Malaysia mesti dikenali sebagai negara madani yang makmur, adil dan menolak sebarang bentuk kezaliman terhadap mana-mana individu atau kaum. Ia mesti menjadi sebuah negara yang terkenal dengan semangat baharu,” kata Anwar.
Enam nilai murni di bawah konsep madani sememangnya wajar disokong oleh semua pihak yang percaya kepada keadilan dan kesaksamaan untuk semua.
Namun, ia harus dibuktikan. Anwar dan pasukannya perlu berhati-hati dengan program dan dasar yang bertentangan dengan nilai madani.
Misalnya, kontroversi baru-baru ini di Sekolah Menengah Kebangsaan Infant Jesus Convent di Johor Bahru mengenai program khas bagi pelajar lemah yang terdiri daripada kaum Melayu tingkatan lima yang sedang mempersiapkan diri untuk peperiksaan SPM.
Sekiranya program khas itu dibenarkan kepada semua pelajar tingkatan lima yang lemah dalam pelajaran tanpa mengira etnik mereka, pasti tidak akan ada kekecohan oleh ibu bapa pelajar dari kaum lain.
Tindakan telah dilaksanakan di sekolah itu sekarang bagi menguruskan isu ini: pengurusan sekolah mengumumkan ada nada sesi berasingan bagi pelajar lemah dari etnik lain.
Persoalan besarnya ialah, apa keperluan untuk mengasingkan pelajar mengikut etnik pada awalnya? Sekolah adalah tempat yang sesuai untuk memupuk persahabatan dan ikatan muhibah.
Dengan motivasi yang sesuai, para pelajar, tanpa mengira etnik atau agama, akan bergaul dengan baik sekali gus memupuk semangat setiakawan yang selalunya kekal seumur hidup.
Sebaliknya, program yang mengasingkan pelajar mengikut etnik hanya akan mendorong perpecahan antara mereka.
Di bawah konsep madani, pengasingan pelajar mengikut kaum atau etnik sepatutnya tidak akan berlaku. Menteri pendidikan dan pasukannya mesti menyemak dengan teliti semua aktiviti dan program ini dan memastikan amalan diskriminasi tersebut dihapuskan.
Anggaplah saja kontroversi sekolah ini sebagai sebuah ‘isu yang diwarisi’ dari kerajaan terdahulu. Jika menteri ini serius dalam membetulkan keadaan, beliau dan pasukannya harus menggunakan prinsip madani dalam melaksanakan dasar yang adil dan saksama.
Pendedahan baru-baru ini bahawa Anwar telah melantik anak perempuannya Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangannya, berkuat kuasa 3 Januari, mengundang kritikan daripada rakan dan lawan.
Seteru politik seperti pengerusi Perikatan Nasional Mahiaddin Yasin meminta Nurul Izzah untuk meletakkan jawatan baharunya. Bekas PM itu menambah bahawa Anwar sendiri harus meletakkan jawatan sebagai menteri kewangan dan menumpukan perhatian untuk menjadi Perdana Menteri.
Anwar menjawab bahawa Nurul Izzah telah mengambil peranan sebagai penasihat khas pro-bono dan oleh itu tidak akan menerima imbuhan daripada kerajaan.
Malangnya, PM gagal mempertimbangkan bagaimana tanggapan umum dalam melantik anak perempuannya sendiri sebagai penasihat kanannya.
Pengkritik melemparkan tuduhan bahawa ia adalah nepotisme dan satu tindakan yang berat sebelah kepada Anwar.
Mereka menegaskan ketika di bawah pentadbiran Abdullah Badawi, kritikan keras telah diberikan kepada peranan yang dimainkan oleh menantunya Khairy Jamaluddin dan “budak-budak tingkat empatnya” dalam mempengaruhi PM ketika itu.
Begitu juga, siapa yang boleh melupakan pita audio bocor yang disyaki melibatkan Rosmah Mansor yang bertanya (atau mendesak!) PM Najib Razak ketika itu: “Can I advise you something?!”
Ini bukanlah untuk memperleceh kelayakan dan keupayaan Nurul Izzah untuk memainkan peranan yang membina dalam kerajaan.
Namun, dengan melantik dirinya menjadi penasihat kanannya kepada bapanya, Anwar hanya mengundang kritikan dan memberi peluang kepada pesaingnya untuk menyerangnya. Ia adalah sebuah kesilapan yang boleh dielakkan jika Anwar lebih berhati-hati dan peka terhadap tindak balasnya.
Anwar cuba menjelaskan bahawa pelantikan Nurul Izzah adalah berdasarkan pengalaman dan kelayakannya.
Namun yang pasti, Izzah bukanlah satu-satunya bakat yang ada di negara ini. Biarkan beliau memainkan peranan penting namun janganlah pula melantik beliau sebagai penasihat kanan kepada PM, yang kebetulan adalah bapanya.
Anwar telah membentang banyak idea yang memberikan tanggapan baik kepada mereka yang bercita-cita untuk mewujudkan masyarakat yang adil dan bersatu dalam memerangi rasuah. Pada perhimpunan Tahun Baharu Lunar di Pulau Pinang, beliau berkata “pembangunan akan menjadi lompong jika ia wujud tanpa keadilan sosial atau dalam mengiktiraf kepelbagaian budaya di Malaysia”.
Pengagihan kekayaan perlu seimbang dan lebih banyak perlu dilakukan bagi golongan 40% termiskin dalam masyarakat, tegasnya.
Ada benarnya dengan apa yang dilontar, namun ia masih awal untuk melihat sama ada dasar yang adil dan saksama ini benar-benar akan dilaksanakan.
Oleh itu, Anwar harus memberi perhatian khusus kepada realiti di lapangan. Pengulas Dr Raman Letchumanan dalam artikelnya tanpa berlapik terus mencabar Anwar dan pasukannya, termasuk penjawat awam yang berkaitan, untuk segera meringankan keadaan mereka yang hidup dalam kemiskinan tegar.
Statistik yang ada cukup membimbangkan: bilangan isi rumah dalam kemiskinan tegar telah menunjukkan trend yang meningkat: 27,158 pada 2019, 78,000 pada 2020, dan 136,000 tahun lepas.
Kekayaan yang ada tidak diagihkan secara adil dan hanya tertumpu di tangan segelintir golongan elit: yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin.
Anwar dan pasukannya mesti melipatgandakan usaha dan menghasilkan dasar fiskal yang berani bagi mengurangkan ketidakseimbangan ini. Kita masih jauh untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi; kesan lelehan ekonomi (trickle down) langsung tidak berlaku.
PM dan pasukannya belum pun mentadbir selama 100 hari namun kita sudah pun menyaksikan kontroversi dan kesilapan. Ini sudah dijangka tetapi beliau mesti lebih berhati-hati dan mengelak daripada membuat terlalu banyak kesilapan.
Anwar mesti sedar, melihat kepada semua nilai dan prinsip tadbir urus yang baik yang digagaskannya selama ini semasa berada di barisan pembangkang, rakyat akan menuntut beliau bekerja dengan piawaian lebih tinggi. Anwar tiada pilihan: beliau perlu kotakan kata-katanya.
Apa pun, mengambil pedoman daripada lagu John Lennon berjudul Give Peace a Chance, kita juga harus ‘memberi peluang kepada Anwar’ untuk menunjukkan kepada kita apa yang beliau boleh lakukan.
Henry Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
31 Januari 2023
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme