Indeks terkini dikeluarkan oleh Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) nampaknya telah mengejutkan dan memalukan beberapa pegawai kerajaan “Madani” termasuklah menteri komunikasinya. Dan itulah apa yang sepatutnya berlaku.
Kedudukan Malaysia jatuh mendadak di dalam indeks RFS yang seringkali disebut dan diiktiraf secara meluas, iaitu daripada tempat ke-73 daripada 180 negara tahun lepas ke tangga ke-107, yang cukup memalukan pada tahun ini.
Melihat pada kesemua peristiwa yang berlaku sepanjang tahun lalu, kita dapat melihat sebabnya.
Undang-undang kejam yang ada belum dimansuhkan, walaupun parti utama dalam “kerajaan perpaduan” yang ditubuhkan secara tunggang-langgang ini ada menyentuh tentang pembaharuan.
Sebaliknya, undang-undang yang menindas ini, seperti Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) masih digunakan untuk menghukum orang – selalunya untuk komen yang tampaknya tidaklah memudaratkan.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Seksyen 233 CMA ada menyatakan bahawa ia menyalahi undang-undang untuk menggunakan “kemudahan rangkaian untuk menghantar sebarang bentuk komunikasi yang dianggap menyinggung perasaan atau boleh menyebabkan kegusaran kepada orang lain”.
Seolah-olah, sama seperti kerajaan Barisan Nasional yang cukup menindas sebelum ini, kerajaan perpaduan juga telah mengeluarkan taringnya untuk membungkam suara-suara yang menentang. Semuanya tidaklah semakin baik di mana keadaan semakin menindas, walaupun menteri ada membuat alasan tentang kedudukan Malaysia yang semakin melemah di kedudukan RSF tahun ini.
Sudah tentu, persekitaran media sosial Malaysia boleh menjadi agak buruk. Namun, mereka yang memantaunya kadangkala kelihatan seperti tidak tahu dan berat tangan dalam menangani beberapa isu yang dibangkitkan. Jadi mereka hanya tahu untuk menapis, menggunakan undang-undang, mendakwa di mahkamah dan mungkin memenjarakan.
Nampaknya itulah yang utama – jika bukan satu-satunya – ‘ubat’ yang boleh difikirkan oleh rejim Madani. Ia sebuah cara berfikir yang malas dan nampaknya tidak mempunyai sudut pandang alternatif yang kreatif dalam membantu kita untuk berkembang, dan bukannya meninggalkan kita hanya menggelengkan kepala dalam keputusasaan dan rasa jijik.
September lalu, misalnya, kita menyaksikan kes sedih rejim ini yang mengharamkan filem dalam talian Mentega Terbang daripada mana-mana tayangan di Malaysia.
Pada Januari tahun ini, penerbit dan pengarah filem itu didakwa di mahkamah “atas niat sengaja mencederakan perasaan agama orang lain”. (Kita nampaknya begitu mudah terluka.)
Ini adalah kerana mereka menghasilkan filem yang “berkisar tentang perjalanan seorang gadis beragama Islam berusia 15 tahun, yang cukup ingin tahu tentang iman dan akhirat kerana kesihatan ibunya yang merosot”.
Baru-baru ini, pihak berkuasa menjalankan operasi melibatkan rantaian pasar mini KK Super Mart dan pembekalnya kerana menjual stokin – kesemua 14 pasang stoking di seluruh negara – bahawa, seperti Mentega Terbang, “mencederakan perasaan keagamaan” – dalam kes ini kerana stokin itu mempunyai perkataan “Allah” ” yang dicetak ke atasnya.
Tidak hairanlah, ini kan negara Bolehland, di mana barangan lain – kasut, dan sejadah – turut diheret keluar dari rak jualan kerana seolah-olah menghina segelintirorang Islam di Malaysia.
Masalah terbesar yang jelas kelihatan adalah apabila pihak berkuasa bertindak balas terhadap peristiwa-peristiwa ini secara tangkap muat, dengan cukup cepat menyebelahi pihak yang menuduh – walau sekecil mana atau, walaupun selantang apa pun mereka – dan cukup cepat pula menghukum ‘pesalah’.
Namun begitu, mereka agak lambat bertindak terhadap mereka yang ingin mencari publisiti politik menerusi peristiwa ini dan mereka yang ingin ‘membalas dendam’ melalui cara yang ganas dan jelas menyalahi undang-undang.
Sememangnya, kita tidak tahu banyak tentang maklumat terkini berkenaan kes-kes koktel Molotov yang dilemparkan ke kedai-kedai KK Super Mart selepas kontroversi stokin itu. Tindakan ini malah lebih jelas bertujuan untuk melakukan lebih daripada sekadar ‘melukakan perasaan’. Mereka adalah penjenayah. Jadi, adakah pesalah ini telah ditangkap dan didakwa?
Semua perkembangan ini langsung tidak mencerminkan pentadbiran yang progresif dan reformis yang berfikir. Sudah tentu, hal yang berlaku ini tidak akan membuatkan kedudukan Malaysia di mana-mana indeks kebebasan yang disediakan oleh RSF atau mana-mana organisasi antarabangsa lainnya.
Kadang-kadang, kita sendiri tertanya-tanya siapa sebenarnya yang didengari oleh rejim ini. Bulan lalu, Agong sendiri berkata bahawa isu ‘stokin Allah’ tidak boleh dibiarkan berpanjangan. Malah pada baru-baru ini – walaupun agak terlambat, kerana beliau perlu membuat kajian dan pasti – mufti Perak juga menasihatkan supaya masyarakat janganlah memboikot KK Super Mart, dengan menyatakan bahawa “boikot yang dilakukan ini bertentangan dengan prinsip keadilan Islam”.
Namun, kita memilih untuk tidak mendengar sama sekali pandangan daripada ‘pemimpin’ politik kita yang menyokong komen-komen bijak ini. Tidak ada sedecit pun daripada mereka secara terbuka mencela kenyataan ketua sayap pemuda Umno yang memulakan boikot dan selama ini, langsung tidak meminta agar ia ditamatkan atau memohon maaf bukan sahaja kepada KK Super Mart, tetapi juga kepada semua orang di Malaysia.
Memandang ke hadapan, kita jelas perlu melihat beberapa perkara jika kita ingin mendaki semula tangga indeks kebebasan itu.
Kita sudah ada lebih daripada cukup undang-undang bagi memerangi kesalahan dan kekurangan maklumat. Masalahnya terletak pada tafsiran sebenar tentang apa yang membentuk maklumat yang salah dan ucapan yang memarakkan kebencian. Ia juga penting untuk menggunakan undang-undang dengan betul untuk mengutamakan kebajikan masyarakat berbanding kepentingan politik dan ideologi.
Untuk menangani masalah ini dengan lebih berkesan, kita perlu lebih profesional dan membangunkan strategi dan dasar yang betul. Ia harus dijalankan berdasarkan kajian yang betul dan bukan khabar angin atau mengikut sesuka hati ahli politik, kumpulan agama atau sesiapa sahaja.
Cukup-cukuplah jawapan yang tangkap muat. Libatkan golongan profesional, seperti ahli sosiologi, saintis politik, ahli psikologi dan sarjana media untuk melihat masalah ini.
Secara tulus dan menyeluruh, pertamanya, kita perlu tentukan apakah masalah sebenarnya.
Kedua, apakah dampak masalah ini dan untuk siapa sebenarnya?
Ketiga, adakah ini berpotensi menjadi masalah jangka pendek atau jangka panjang?
Keempat, fikirkan tentang agensi mana (media, sekolah, universiti, polis, masyarakat sivil) yang terbaik untuk menangani masalah ini.
Bersedia ke hadapan berdasarkan kajian dan ilmu, bukan prejudis.
Ia adalah prasangka dan kejahilan semata-mata, saya percaya, yang menjejaskan tindakan rasmi kerajaan terhadap, katakan, isu Mentega Terbang.
Peranan kerajaan serta tadbir urus yang baik adalah untuk menggalakkan rakyat – semua rakyat – untuk membangun malah mencabar pemikiran mereka. Dan bukan untuk mengawal pemikiran dengan sewenang-wenangnya.
Ini memerlukan tekad politik.
Masalah ini berpunca dari dalam koridor mereka yang berkuasa serta di kalangan mereka yang mendambakan kuasa, yang sering memainkan sentimen ekstremis secara sedar dan sistematik apabila ia bersesuaian dengan mereka.
Jadi, mereka tidak akan mempunyai tekad politik untuk menentang dan menolak strategi dan tindakan yang pastinya akan menguntungkan mereka.
Ini merupakan strategi Umno-Barisan Nasional yang berjaya, walaupun cukup menjijikkan, sepanjang tahun ia berkuasa, untuk mengawal masyarakat Malaysia.
Jadi, jelas mereka perlu membuat sempadan, terutamanya mereka yang berada dalam kedudukan untuk memerangi perkara ini (Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, kumpulan Islam) mestilah terlebih dahulu bersetuju bahawa jalan politik ekstremis yang ada sekarang hanya akan membawa kepada kemusnahan.
Seterusnya, gunakan undang-undang di negara kita – tetapi ini perlu dilakukan secara konsisten. Kita memerlukan pentadbiran undang-undang yang adil dan sama rata.
Sebagai contoh, anda tidak boleh hanya mengajar KK Super Mart dan tidak memberi pengajaran kepada ketua sayap pemuda Umno. Melakukan hal sebegini hanya menjadikan undang-undang dan mereka yang menguatkuasakan undang-undang kehilangan kredibiliti dan rasa hormat.
Dalam jangka masa panjang, generasi akan datang memerlukan usaha memikir-ulang semula pendidikan secara besar-besaran dengan peraturan dan motivasi politik yang berbeza. Kita perlu memerangi perkauman dan ketaksuban dengan semangat anti-perkauman dan anti-ketaksuban – bukannya dengan bersifat lebih perkauman. Kita perlu berfikir dari sudut pandang pelbagai budaya dan bukan hanya bersikap defensif.
Kita memerlukan dasar dan strategi sosial yang progresif dan terangkum untuk dikenakan dan dilaksanakan. Mengurus selia dan undang-undang sendiri tidak akan mencukupi.
Persoalan ‘mengapa para ekstremis melampau?’ mesti disiasat dan dibincangkan terlebih dahulu. Adakah terdapat sebab sosioekonomi – contohnya kesenjangan ekonomi, pengasingan, kekurangan keadilan sosial – menyebabkan mereka hanyut ke ideologi kanan yang melampau dan wujudnya keperluan untuk mengekang dan mengawal?
Ini adalah persoalan sosiologi sukar yang perlu ditangani. Masalah masyarakat kita tidak boleh diselesaikan hanya melalui gajet dan kawalan yang meluas.
Pengharaman dan penapisan tidak memberikan penyelesaian selain daripada hanya lebih banyak penapisan dan pengharaman yang akan berlaku. Masalahnya tidak akan hilang, seperti yang kita lihat dengan pengharaman pornografi.
Kita – atau rejim – perlu memberikan penjelasan (bukannya khutbah), pandangan tandingan atau alternatif yang meyakinkan dan menarik. Pengharaman hanya dapat memutuskan komunikasi apabila tujuannya adalah untuk membuka saluran dan melibatkan diri dengan sudut pandangan alternatif, untuk mencabar mereka di dalam gelanggang mereka sendiri (soal agama, bangsa) dan bukannya untuk menutup mulut mereka. Itulah cara demokrasi yang beradab dan progresif.
Kebebasan bersuara, sudah tentu, cukup penting. Tetapi ucapan bertujuan untuk memarakkan kebencian juga bermasalah. Begitu juga dengan perkauman dan ketaksuban agama. Begitu juga xenofobia dan kebencian terhadap perempuan.
Ya, mesti ada sempadan yang jelas disediakan. Tetapi mereka mesti disusun oleh orang yang bijak – bukan sekadar ideolog, ahli politik, pemimpin agama tertentu dan penjawat awam, yang seringkali semuanya lelaki.
Sempadan ini mesti direka berdasarkan penyelidikan bukan sahaja bergantung harap kepada platform media. Mereka juga mesti mempertimbangkan kerumitan masyarakat Malaysia dan bagaimana pemimpin telah memanipulasi kerumitan ini.
Mungkin, kita perlu memikirkan dan mencipta sesuatu seperti undang-undang melibatkan perhubungan kaum dalam menangani keperluan agar kesaksamaan dan keadilan untuk semua kumpulan etnik untuk masa kini dan masa hadapan terjamin.
Maklumat yang salah – tidak kira bagaimana ia disebarkan, oleh siapa dan dalam berapa banyak cara kita menapisnya – tetap merupakan maklumat yang salah.
Dalam keadaan semasa dan agar maklumat yang salah dapat ditangani dengan sewajarnya dan profesional, pihak berkuasa tidak boleh memihak, mengenakan dan menghukum sesetengah pihak sambil mengabaikan yang lain dengan sambil lewa.
Pihak berkuasa yang sama mesti bertindak berdasarkan siasatan, fakta dan bukti konkrit yang mencukupi. Mereka tidak boleh bertindak berdasarkan sentimen, emosi dan fiksyen semata-mata.
Inilah cara untuk meningkatkan kedudukan RSF kita.
Inilah caranya dalam kita mengatasi kegilaan ini semua – bukannya dengan melakukan perkara yang sama berulang kali dan mengharapkan hasil yang berbeza.
Rom Nain
Editor bersama, surat berita Aliran
7 Mei 2024
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme