Home Newsletters Apa semuanya sudah porak-peranda? – Ketidakstabilan politik, ekonomi merudum, rasuah di puncak...

Apa semuanya sudah porak-peranda? – Ketidakstabilan politik, ekonomi merudum, rasuah di puncak kuasa, goyah menangani Covid

Adakah institusi kita terjejas selepas 60 tahun pemerintahan Umno-BN?

95 views
0
ZUNAR

Things fall apart; the centre cannot hold;

Mere anarchy is loosed upon the world;

The blood-dimmed tide is loosed, and everywhere

The ceremony of innocence is drowned;

The best lack all convictions, while the worst

Are full of passionate intensity.

– WB Yeats, The Second Coming (1919)

Di dalam surat berita kami yang lepas, Azmil Tayeb bertanyakan: Quo vadis? Apakah masa depan politik kita saatnya politik Melayu sudah terbahagi tiga – di antara Umno, Pas dan Bersatu?

Pada suatu ketika, tidak lama dahulu, Umno mendominasi kesemua politik berkenaan orang Melayu. Pas hanya mampu memberi cabaran di Kelantan dan Terengganu, itu pun bukan secara konsisten.

Pada pilihan raya 2018, kita menyaksikan perubahan regim saatnya gabungan Barisan Nasional-Umno digantikan selepas lebih 60 tahun dominasi politik.

Kemudiannya, hanya setahun selepas itu, Umno bekerjasama dengan Bersatu dan Pas, di bawah payung bagi mengukuhkan muafakat Melayu-Islam, sekaligus menjejaskan gabungan Pakatan Harapan (yang merupakan gabungan multi-etnik yang tulen di Malaysia). Ianya merupakan kudeta pintu belakang yang dijalankan di Sheraton pada akhir Februari 2020.

Ketidakstabilan dan ketidakpastian politik

Semenjak itu, ketidakstabilan terjadi, dan sekaligus politik di Malaysia menjadi tidak pasti. Bukan saja politik Melayu terbahagi tiga, bahkan Umno-BN tidak lagi di berada di pusat kuasa.

Kita ada Perikatan Nasional yang diketuai Muhyiddin Yassin yang berkuasa membuat keputusan, namun kita tidak tahu siapa pasangan Bersatu yang sebenarnya.

Apa yang kita tahu, Dr Mahathir Mohamad, anaknya Mukhriz serta beberapa bekas pemimpin Bersatu kemudiannya menubuhkan parti baru, Pejuang.

Kita juga tahu yang wujudnya pertarungan di antara kelompok di dalam Umno. Sesetengah pemimpin seperti Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin terus bekerjasama dengan PN dan berkhidmat sebagai menteri. Beberapa yang lain seperti Zahid Hamidi mahu memutuskan kerjasama dengan Bersatu.

Semenjak kudeta Sheraton, Parlimen hanya bersidang sekejap. Dengan darurat yang berlanjutan, yang diisytiharkan bagi menangani Covid-19, Parlimen tidak akan bersidang untuk beberapa lama juga. Jelas yang PN takut menghadapi undi tidak percaya di Parlimen jika semuanya dibenarkan bersidang!

Pilihan raya umum, tampaknya kian mendatang. Namun, dengan politik Melayu yang terbahagi seperti ini, barangkali kita akan menyaksikan persaingan beberapa penjuru, serta kemungkinan tiada parti akan memenanginya secara terus.

Benar, Umno besar kemungkinan akan memenangi paling banyak kerusi di kawasan majoriti Melayu (kerusi dengan lebih 60% pengundi Melayu). Pas akan mendominasi Kelantan dan Terengganu namun tidak di Kedah, manakala Bersatu (termasuk bekas pemimpin yang bersama Mahathir di dalam Pejuang) hanya akan menjadi nota kaki!

Pun begitu, walau sebagus mana sekalipun Umno memenangi kerusi di kawasan majoriti Melayu, ia tidak akan dapat membentuk kerajaan sendiri. Umno tidak akan berjaya di kawasan multi-etnik (di mana PKR akan mendominasi), atau di kawasan bandar bukan-Melayu (yang tidak disangkal, akan dimenangi oleh DAP). Parti-parti di Sabah dan Sarawak pula sedang memikirkan semula gabungan dari Semenanjung yang mana akan mereka dukung.

Darurat – memperkukuh yang berkuasa, namun memburukkan ekonomi

Tiga ahli ekonomi tersohor – Muhammed Abdul Khalid, bekas pengarah Institut Penyelidikan Khazanah serta bekas penasihat perdana menteri; Jomo Kwame Sundaram, bekas pembantu setiausaha agung PBB serta penasihat senior Institut Penyelidikan Khazanah; serta Nungsari Ahmad Radhi, bekas pengerusi suruhanjaya penerbangan (MavCom) – semuanya sudah menyuarakan pendapat berkenaan darurat yang berlanjutan ini.

READ MORE:  Punitive fines still too much for many to bear

Ketiga-tiga mereka berpendapat bahawa darurat memburukkan ekonomi Malaysia. Jomo juga memperhalusi bagaimana lima peristiwa darurat yang sebelum ini hanya memperkukuh mereka yang di puncak kuasa, berbanding rakyat.

Di dalam dapatan berkenaan keadaan perniagaan yang dijalankan oleh  Federation of Malaysian Manufacturers dan Malaysian Institute of Economic Research, lebih 80% responden mengalami pengurangan keuntungan serta pendapatan yang merudum pada separuh tahun pertama 2020. Hanya pengeluar sarung tangan yang melaporkan keuntungan serta pendapatan lebih tinggi.

Lebih menggusarkan, 42% responden merancang untuk mengurangkan 30% pekerja mereka pada akhir tahun 2020 bagi memastikan bisnes terus hidup. Dapatan ini turut mendedahkan bahawa lebih banyak kakitangan akan diberhentikan pada 2021 akibat dari aktiviti pengeluaran yang semakin merudum. Selain dari mereka yang di dalam sektor sarung tangan getah, kapasiti pengeluaran tidak berupaya kembali seperti sedia kala sebelum keadaan Covid. Malahan, kebanyakan pengilang beroperasi pada kadar separuh kapasiti akibat dari jatuhnya permintaan dari dalam serta pengeksport.

Yang paling terkesan juga adalah pengilang bahan pembinaan bagi sektor pembinaan. Seterusnya, pengilang makanan bagi industri pelancongan. Sekitar 39% percaya bahawa syarikat mereka dapat bertahan kurang daripada 12 bulan akan datang; 34% pula janka mereka boleh bertahan lebih daripada 12 bulan. Ramai daripada mereka merasakan bahawa ianya akan mengambil masa sampai dua tahun bagi memulihkan bisnes mereka.

Selain dari pengeluaran, pelancongan, aktiviti sosial, runcit, hospitaliti serta sektor harta benda juga terkesan. Air Asia menjalankan tiga kali proses pemberhentian kerja, mengurangkan sejumlah 2,000 orang dari 24,000 pekerjanya. Malaysia Airlines, yang mempunyai liabiliti lebih dari RM15bn, sedang berbincang dengan para pemajak serta melihat kepada kemungkinan suntikan dana daripada Khazanah. Jika tidak, syarikat penerbangan mungkin terpaksa ditutup terus!

Genting Group, yang menjalankan kasino, hotel, pusat rekreasi dan hiburan serta perkhidmatan kereta kabel ke puncak Genting, sudah memberhentikan kebanyakan operasi serta membuang hampir 3,000 pekerja, iaitu 15% dari keseluruhan tenaga kerjanya, serta menggantung bayaran kepada peminjamnya. Genting Hong Kong (dulu dikenali sebagai Star Cruises) memberhentikan terus operasi dan berhutang sebanyak $3.4bn (RM14bn).

Penang, yang sangat bergantung kepada pelancong luar, menyaksikan banyak hotel ditutup di George Town serta sepanjang pantainya di Tanjong Bungah dan Batu Ferringhi. Ketika perintah kawalan pergerakan dilonggarkan pada awal 2021, ramai pelancong domestik tiba-tiba berkunjung ke hotel tepi pantai, yang menawarkan diskaun bilik sewaktu hari minggu yang panjang. Namun, kadar sewaan bilik masih rendah, apatah lagi ketika perintah kawalan pergerakan diperketatkan semula.

Pada Mei 2020, seramai 826,000 orang mendaftarkan diri mereka sebagai pengganggur dengan Jabatan Statistik. Ini merupakan kadar penggangguran setinggi 5.3% – lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya, sewaktu kita perlu untuk mengimport empat hingga lima juta pekerja asing bagi menampung perkembangan ekonomi. Hampir separuh juta lepasan universiti dipercayai mengganggur sekarang, yang tidak kesemuanya dimasukkan ke dalam jumlah bilangan pengganggur yang dinyatakan di atas.

Pelaburan asing yang mengering

Sudahpun terkesan dengan pandemik, darurat bahkan memburukkan lagi keadaan bagi rakyat serta ekonomi. Keyakinan pelabur yang berpotensi semakin menurun akibat dari ketidakstabilan politik serta perubahan polisi. Negara menyaksikan kadar pelaburan asing terendah dalam dua dekad ini, bukan saja dengan rekod kita sebelum ini, malahan jika dibandingkan dengan jiran Asean.

READ MORE:  Hopping mad over queue-jumping

Kesan signifikannya, Facebook dan Google merancang pembinaan dua kabel dasar laut menghubungkan pesisir barat Amerika ke Indonesia dan Singapura, namun tidak ke Malaysia. Kabel ini merupakan sebagian dari rancangan syarikat gergasi teknologi ini bagi membuka akses lebih meluas serta perkhidmatan internet yang lebih laju di rantau ini.

Malangnya, Malaysia tidak termasuk dalam perancangan ini kerana ia menarik pengecualian yang diberi di bawah polisi cukai kabotase. (Polisi kabotase, yang mengurus pentadbiran perkapalan pesisir dalam negara, bertujuan bagi membangunkan perkapalan Malaysia bagi mengurangkan kebergantungan kepada kapal asing). Kerajaan Pakatan Harapan dahulu sudah pun membenarkan pengecualian kepada syarikat gergasi teknologi. Pengecualian ini seharusnya membenarkan kapal asing untuk terlibat di dalam menjalankan kerja-kerja pembaikan serta servis untuk berlabuh tanpa perlu membayar caj berlabuh yang biasanya dikenakan kepada kapal membawa barangan serta penumpang.

Barangkali, ini turut memperjelaskan mengapa Malaysia tidak termasuk dalam senarai 40 buah negara yang dijemput Rumah Putih bagi menghadiri “Persidangan Pemimpin Tentang Klimat” pada 23-24 April. Sebaliknya, yang mewakili Asia Tenggara adalah Indonesia, Vietnam dan Singapura.

Rasuah menjijikkan di puncak kuasa

Reputasi Malaysia turut tercalar jauh sebelum pandemik dan keadaan darurat. Bekas Perdana Menteri, Najib Razak, dinamakan sebagai “Malaysian Official No 1” dan disiasat oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat kerana menyalurkan duit milik kerajaan ke dalam akaunnya sendiri, termasuklah yang diperoleh di Amerika. 

Pendakwa raya di Malaysia membacakan tujuh dakwaan berkaitan kepada Najib – salah guna kuasa, tiga tuduhan jenayah pecah amanah serta tiga tuduhan pengubahan wang haram – melibatkan wang sebanyak RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd, sebuah firma milik Kementerian Kewangan. Perkara ini terjadi di antara 2014 dan 2015, ketika Najib merupakan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri. Pada Julai 2020, Najib didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta didenda RM210 juta.

Barangkali Washington sendiri tahu Najib sedang mengemukakan rayuan bagi sabit kesalahannya (yang sekarang menghampiri hari keputusan), dan mereka mungkin tahu Zahid Hamidi, yang menggantikan Najib sebagai presiden Umno, sendiri menghadapi perbicaraan kes rasuah. Turut menghadapi kes ialah berapa pemimpin Umno yang lain seperti Tengku Adnan Tengku Mansor dan Mohd Isa Abdul Samad.

Pendek kata, reputasi Malaysia di peringkat global sudah pun menerima tamparan hebat saatnya kes rasuah berlaku di puncak kekuasaan pentadbiran.

Respon menangani Covid yang goyah walaupun di bawah pentadbiran darurat

Selain daripada bermain politik bukan di tempatnya serta keadaan ekonomi yang memburuk, ditambah pula dengan keadaan darurat serta rasuah yang berlaku di puncak kuasa, respon goyah kerajaan Malaysian berkenaan Covid-19 sungguh membebankan negara.

Menteri Kesihatan Adham Baba bukan sahaja tidak meningkatkan keyakinan, apatah lagi ketika beliau menyarankan untuk meminum air suam bagi menangani virus.

Kerajaan PN yang diketuai Muhyiddin Yassin juga mengamalkan pilih kasih dalam menangani Covid – ketika orang awam didenda dengan berat malahan ada yang dipenjarakan kerana melanggar peraturan bagi mencegah Covid, namun ada pemimpin politik, termasuklah menteri, yang diperlakukan acuh tidak acuh!

READ MORE:  After a grim year, let’s give each other hope this new year

Bayangkan, mengapa rakyat terpaksa dikuarantin selama 14 hari namun para menteri tidak payah! “Apa logiknya?” seperti yang diciap di sebuah akaun Twitter.

Pembukaan semula sekolah pada April juga mengakibatkan kluster baru terjadi. Sekolah ini terpaksa ditutup bagi tujuan disinfeksi serta saringan kesihatan melibatkan guru dan pelajar. Walaupun, sekolah hanya dibuka semula pada Mac dan April.

Ketua pengarah kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, mendedahkan bahawa terdapat 41 kluster Covid melibatkan pembukaan semula sekolah pada akhir Mac. Pada awal April, enam pelajar disahkan positif di sekolah rendah, yang kemudiannya ditutup.

Pengumuman terbaharu mendedahkan penemuan enam kluster baru. Penguatkuasa kesihatan daerah mengarahkan penutupan 19 buah sekolah di daerah Petaling bagi disinfeksi serta menjalankan saringan hubungan rapat.

Dan kini, terdapat ramai orang yang berkumpul, ramai di antara mereka tidak kisah akan penjarakan sosial, di bazar Ramadan serta gedung membeli-belah. Yang jelas, ianya melibatkan rakyat Malaysia dari semua latar belakang etnik.

Mengikut pemerhatian yang dilaporkan di media sosial, Malaysia barangkali akan berdepan ombak keempat pandemik selepas cuti Raya, jika tidak lebih awal. Jadi, apa gunanya pengisytiharan darurat sebenarnya? Siapa dapat menyalahkan rakyat jika mereka mempercayai yang darurat ini merupakan permainan politik bagi mengelakkan Parlimen dari bersidang.

Saya bahkan tidak akan mencuba untuk menyentuh betapa lembabnya proses vaksinasi kita. Jadi, saya tidak akan mengulang apa yang diperkatakan tentang “para raja dan kaum kerabatnya”, dalam memotong barisan serta mendapat suntikan pilihan mereka sendiri itu.

Namun, barangkali kalian mahu menyemak kempen #kerajaangagal di media sosial serta laporan berita ini.

Sebuah ‘gabungan besar’?

Hari April Fools datang dan pergi. Dan sekarang kita berdepan dengan ketidakstabilan serta ketidakpastian politik, ekonomi yang semakin memburuk walaupun ketika pentadbiran darurat, respon goyah dari kerajaan bagi menangani Covid, serta reputasi Malaysia di peringkat global yang merudum – ditambah pula dengan rasuah di peringkat tertinggi negara.

Di dalam surat berita minggu lalu, Azmil Tayeb mencadangkan wujudnya sebuah kemungkinan agar sebuah gabungan politik dibentuk, kali ini melibatkan Umno dan PH (terdiri daripada PKR, Amanah dan DAP). Pemimpin Umno, termasuklah Zahid, sering bersumpah bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan DAP.

Namun, pada Azmil, nampaknya ‘gagasan besar’ ini yang sekaligus membawa pelbagai parti dengan ideologi yang rencam, seperti di Jerman, berkemungkinan terjadi.

Apakah ini sebuah formula yang dapat membawa semua parti politik di Malaysia bersama? Dimanakah wujudnya di Malaysia sosok seperti Angela Merkel, yang disegani oleh semua parti di Malaysia mahupun di peringkat global?

Adakah gabungan besar di Malaysia ini akan didukung oleh institusi serta prosedur demokratik yang kuat, seperti di Jerman? Benarkah? Apakah institusi kita seperti birokrasi, kehakiman, badan polis serta Suruhanjaya Pilihan Raya, sudah terjejas selepas 60 tahun pemerintahan Umno-BN? Ataupun mereka kekal tidak berpihak dan mempunyai autonomi sejak enam dekad yang lalu?

Dan adakah ekonomi kita teguh dalam menghadapi kesemua permainan politik yang pastinya berlaku? Atau adakah semuanya “akan porak peranda” saatnya “apa yang di pusat tak lagi tertanggung”?

Francis Loh
Editor bersama, Surat berita Aliran
22 April 2021

Terjemahan oleh Zikri Rahman

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x