
Baru beberapa hari memasuki tahun baru, telah ada percubaan dibuat bagi menyekat kebebasan akademik serta menghalang wacana intelektual di Malaysia.
Peristiwa ini sekali gus mengabsahkan lagi pandangan serong rakyat terhadap wacana. Ia lantas mengingatkan kita kepada pepatah Melayu iaitu “seperti katak di bawah tempurung”.
Penarikan diri saat akhir oleh Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS), selaku penganjur bersama pelancaran buku yang dijadualkan berlaku pada 8 Januari lalu itu cukup mengecewakan.
Buku Islam, Authoritarianism, and Underdevelopment: A Global and Historical Comparison ini dikarang oleh ahli akademik Ahmet T Kuru yang berpangkalan di Amerika. Edisi bahasa Inggeris telah diterbitkan dan dikeluarkan pada 2019 tanpa sebarang kekecohan.
Namun, apabila Islamic Renaissance Front (IRF), sebuah lagi penganjur bersama ini, kemudian menterjemah dan mengeluarkannya dalam bahasa Melayu, barulah bantahan dibangkitkan. Kedutaan Turki turut membantah buku itu dan kehadiran penulisnya.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Pastinya, persekitaran intelek dan politik yang sebegini menjadi kurang kondusif untuk pewacanaan akademik. Kuru merasakan adalah tidak selamat untuk membuat pembentangan bukunya sendiri di Malaysia.
Pembatalan pelancaran asal edisi Bahasa Melayu itu turut dikaitkan dengan “tekanan daripada golongan konservatif” di negara ini.
Para pengkritik mendakwa bahawa Kuru adalah seorang pendukung “Islam liberal” dan “sekular”. Ini adalah tuduhan yang sering digunakan untuk memburukkan orang Islam yang berbeza pandangannya. Kuru juga dituduh menggugat ulama dan institusi Islam arus perdana.
Ahli akademik itu, yang merupakan pengarah pengajian Islam dan Arab di San Diego State University di AS, menyeru agar pengkritiknya untuk membaca bukunya sebelum menolaknya secara langsung.
Cukup keterlaluan jika gesaan untuk membatalkan pelancaran itu dilakukan oleh mereka yang tidak pun membaca buku yang mereka kritik. Ia samalah dengan keadaan di mana sekumpulan orang mendesak untuk mengharamkan filem yang tertentu tanpa menontonnya – fenomena yang cukup biasa di negara kita.
Bahkan, sesuatu yang membimbangkan bahawa ada individu – termasuklah beberapa ‘intelektual’ tertentu – yang telah memilih untuk tidak ambil pusing akan wacana ilmu yang ada. Lebih teruk, mereka seolah-olah telah menggalakkan orang lain untuk mengamalkan pendirian yang sama. Ini sekali gus memberi kesan yang serius kepada warga biasa yang benar-benar ingin tahu dan kisah tentang pewacanaan ilmu.
Mujur, IRF berjaya mendapatkan ruang alternatif untuk pelancaran buku di kampus Universiti Nottingham Malaysia di Kuala Lumpur.
Namun, masalah itu tidaklah diselesaikan dengan cara yang memuaskan. Penarikan diri IAIS sebagai penganjur bersama meninggalkan rasa kurang senang. Walaupun ia merupakan sebuah institusi yang ditugaskan untuk memajukan pemahaman kita tentang Islam dalam era serba moden dan mencabar ini, ia akhirnya tunduk kepada suara tidak puas hati yang menghingarkan.
Sebagai badang intelektual kerajaan “Madani”, IAIS sepatutnya berada di barisan hadapan bagi menentang gelombang anti-intelektualisme atau mereka yang mahu mengaburkan maklumat.
Malangnya, ia kehilangan peluang untuk memainkan peranan penting dalam menyediakan ruang pertukaran intelektual yang diperlukan oleh masyarakat Melayu-Islam.
Langkah saat akhir pihak Nottingham University Malaysia untuk menyelamatkan keadaan wajar dipuji. Universiti ini menyedari kepentingan untuk menyediakan suasana akademik untuk pewacanaan yang tidak berat sebelah. Wacana sebegini cukup mengutamakan kehalusan dan ketelitian ilmu akademik dengan perlunya mengawal perasaan pada tahap yang minimum.
Sememangnya, para pengkritik, terutamanya mereka yang mempunyai latihan akademik, harus sedar bahawa memburuk-burukkan intelektual dengan menggunakan label negatif tidak akan mematahkan semangat mereka. Para pengkritik sepatutnya memperkukuhkan diri mereka dengan data dan hujah yang betul untuk menafikan tesis Kuru dengan lebih yakin.
Kita perlu mewujudkan perbincangan yang lebih mendalam dalam dunia akademik bagi menggalakkan budaya pertumbuhan intelek dalam proses pembinaan negara.
Pengasas IRF Dr Farouk Musa cukup tuntas dalam hujahnya: “Sebelum kita menolak sebarang idea, kita harus memahaminya dengan baik terlebih dahulu, dan tiada cara yang lebih baik daripada memberi peluang kepada penulis untuk menerangkannya di ruang awam supaya kita boleh menilai kebaikan dan keburukannya, bukan?”
Para pengkritik tidak perlu bersetuju dengan pandangan Kuru, tetapi sekurang-kurangnya mereka perlulah menjelaskan asas ketidaksepakatan mereka.
Ini bukanlah kali pertama seorang sarjana diperlakukan sedemikian rupa. Ia hanya mencerminkan bagaimana cara fikir sesetengah warga tempatan tertentu yang kurang keyakinan diri serta takut dengan pandangan yang berbeza daripada mereka.
Sarjana Turki, Mustafa Akyol, menerusi bukunya, Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty, juga diharamkan di Malaysia pada 2017 oleh Kementerian Dalam Negeri kerana “ia bertentangan dengan norma masyarakat”.
Bukan itu sahaja, selepas lawatan kuliahnya pada 2017 di Malaysia, pihak berkuasa menahannya sebentar kerana bercakap tanpa “tauliah agama”.
Akyol cukup gembira apabila Pakatan Harapan menang pada pilihan raya umum 2018, menyatakan harapan bahawa ia akan membawa kebebasan bersuara yang lebih meluas. Namun, harapannya tidak bertahan lama.
Mengenai pengalaman buruk Kuru itu, Akyol dilaporkan berkata, “Cukup sedih melihat segelintir kelompok di Malaysia masih cuba untuk membungkam penceramah dan bukannya cuba untuk berhujah idea dengan mereka.”
Menteri Perhubungan Fahmi Fadzil baru-baru ini turut mengumumkan rancangan kerajaan untuk melantik asatizah (pemimpin agama) sebagai jurucakap bagi menentang pandangan dan ajaran Islam yang kononnya diselewengkan oleh beberapa penyokong pembangkang.
Penglibatan sedemikian di peringkat akar umbi akan menjadi langkah yang positif. Semoga strategi yang membina ini akan membuka jalan kepada Islam yang sederhana, penyayang, terangkum dan adil.
Namun, peristiwa melibatkan Ahmet T Kuru ini membuktikan bahawa suara kerajaan Madani ini hanya dapat diambil serius pada apa tindakan yang diambil mereka.
Mustafa K Anuar
Editor bersama, surat berita Aliran
11 Januari 2024
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme