Home Newsletters Apabila perkhidmatan awam gagal rakyat yang memerlukannya

Apabila perkhidmatan awam gagal rakyat yang memerlukannya

Apabila sistem yang bertujuan bagi berkhidmat untuk orang ramai gagal, orang awamlah yang membayar harganya dalam bentuk masa, wang dan kepercayaan

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Nampaknya terlalu rendah kadar kebertanggungjawaban dalam beberapa segmen perkhidmatan awam hari ini, dengan beberapa jabatan kerajaan gagal melayani orang yang paling memerlukan bantuan.

Jadi, adakah kita mahu terkejut apabila balai polis tidak dapat mengutamakan antara etika kerja dan kod pakaian?

Ramai orang mudah membentak soal ekonomi dan pelbagai isu politik. Namun, kegagalan berulang dan keretakan dalam sistem perkhidmatan awam seringkali kurang mendapat perhatian.

Apabila sistem penyampaian kerajaan gagal, apabila aerotrain berulang kali gagal beroperasi di antara terminal di KLIA, atau apabila kita tidak lagi dapat membezakan di antara tangan yang sepatutnya melindungi orang awam daripada tangan yang sukahati menembak orang awam dan tangan yang mencuri, maka kita berada dalam masalah yang serius.

Apabila sistem penyampaian perkhidmatan awam negara gagal, kesan jangka panjang terhadap negara dan rakyat biasa cukup serius.

Untuk memahami rentetan kegagalan yang kronik ini, mari kita ikuti kes spesifik melibatkan pejabat tanah Pahang.

Untuk konteks, sebidang tanah yang dimaksudkan sepatutnya dimiliki oleh sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang terlibat dalam mempromosikan pendidikan.

Beberapa tahun yang lalu, pejabat tanah telah menyemak semula kadar cukai tanahnya ke tahap yang tidak munasabah. Dalam satu kes, terdapat peningkatan sebanyak 2,198,285% (daripada RM20 kepada sekitar RM439,677) dan dalam kes lain, peningkatan sebanyak 1,164,390% (daripada RM20 kepada sekitar RM232,898).

Kenaikan kadar cukai sebegini lebih daripada sejuta kali ganda bukan sahaja tidak munasabah tetapi juga tidak bertanggungjawab, kerana ia menjejaskan usaha perniagaan orang awam.

Malah, pemilik tanah korporat dan organisasi juga tidak akan mampu membayar kadar ini, bukan sahaja kerana ia sangat tinggi tetapi kerana mereka perlu mengambil kira kadar ini dalam bajet tahunan mereka lebih awal.

Apabila agensi kerajaan membuat keputusan secara tiba-tiba, tanpa amaran, ia sekali gus menyebabkan tekanan dan ketidakpastian kewangan.

Keputusan aneh yang cukup semberono, sama ada oleh kerajaan negeri atau agensi persekutuan, memerlukan penelitian yang serius.

READ MORE:  Police reform in Malaysia: Why the IPCMC must replace the toothless IPCC now

Apakah kriteria yang digunakan untuk menghasilkan keputusan baru sebegitu? Apakah proses penyebaran maklumat dan jangka masa untuk menyediakan orang ramai atau pelanggan sasaran sebelum keputusan ini dilaksanakan?

Adakah proses penyampaian merangkumi saluran untuk sokongan, aduan dan maklum balas?

Dan akhirnya, jika pun ada saluran, adakah mereka benar-benar aktif dengan pegawai yang peka untuk mengambil tindakan segera?

Dalam kes pemilik tanah di Pahang, apabila berhadapan dengan kadar cukai yang tidak masuk akal, mereka pada mulanya menghubungi pejabat daerah di Bentong dan Kuantan. Mereka tidak diberi penjelasan yang jelas tentang kenaikan itu, mungkin kerana mereka sememangnya tiada sebarang penjelasan.

Apabila pemilik tanah ini cuba menghubungi pelbagai pejabat negeri dan persekutuan untuk mendapatkan bantuan, nasihat dan campur tangan, termasuk juga ketua setiausaha kerajaan, talian hotline rasmi seakan lembab atau tidak responsif.

Akhirnya, mereka terpaksa menggunakan saluran perundangan untuk menyelesaikan isu tersebut. Selepas ditangguh lama, perkara itu akhirnya sampai ke Mahkamah Tinggi Temerloh, yang mengarahkan pihak berkuasa untuk mengemukakan jumlah cukai yang lebih munasabah.

Malangnya, kerana isu ini telah berlarutan selama bertahun-tahun, caj pembayaran lewat terus meningkat dan terkumpul. Perkara sebegitu dan yuran guaman sekali gus menambah tekanan kepada pemilik tanah dan perniagaan mereka.

Pengalaman mimpi ngeri sebegini hanya menggambarkan betapa sukarnya bagi orang biasa untuk mendapatkan sokongan daripada sistem dan saluran yang berkaitan, walaupun mereka mengikuti semua ‘proses’ yang betul.

Bolehkah sistem proses penyampaian yang tidak bertanggungjawab dan tidak responsif sedemikian menjadi sihat untuk perniagaan, apatah lagi untuk pertumbuhan ekonomi negara?

Berikut beberapa soalan serius yang perlu kita renungkan. Adakah proses penerangan kerajaan telah menjadi tidak menentu? Adakah kita semakin merosot dalam keupayaan untuk mengutamakan manusia berbanding kerenah dan halangan misteri yang tiba-tiba menimpa orang awam apabila mereka berurusan di kaunter perkhidmatan kerajaan untuk mendapatkan perkhidmatan, permit, lesen dan laporan?

READ MORE:  Reformasi polis di Malaysia: Mengapa IPCMC perlu ganti IPCC yang tidak berkesan

Tidakkah kita mempunyai garis panduan, kawal dan imbang yang mencukupi dari dalam jentera kerajaan, untuk menyediakan perkhidmatan awam yang berkualiti tinggi? Mengapa kita tidak boleh mempunyai sistem yang responsif yang mudah didekati, bertanggungjawab dan munasabah dalam berurusan dengan orang ramai? Mengapa kita tidak boleh menguruskan talian hotline dan platform rasmi yang boleh dipercayai serta mencukupi untuk sokongan, perundingan, maklum balas dan dialog?

Kita juga perlu bertanya sama ada kualiti perkhidmatan awam kita bermoral dan berprinsip…apatah lagi dengan obsesi mereka menjadi polis moral.

Mungkin tidak, jika kita mempertimbangkan bagaimana kematian Teoh Beng Hock pada tahun 2009 di sebuah fasiliti kerajaan masih belum dapat diselesaikan sehingga kini. Atau bagaimana kita masih tidak dapat mencari keberadaan bekas suami M Indira Gandhi, yang masih hilang bersama anak perempuan pasangan itu, walaupun ada perintah Mahkamah Persekutuan. Atau bagaimana kejadian tembakan maut yang dilakukan oleh polis secara berterusan, yang terjadi tanpa badan pengawasan bebas untuk menyiasat dan memastikan kebertanggungjawaban.

Namun, perlu diakui bahawa beberapa jabatan, seperti Jabatan Imigresen dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, telah melakukan penambahbaikan yang nyata dalam beberapa aspek sistem penyampaian perkhidmatan di kaunter mereka. Ini harus diakui dan digunakan sebagai model pembaharuan di tempat lain.

Di negara-negara seperti China dan India, penjawat awam berbangga dengan kualiti kerja yang mereka lakukan. Di China, terdapat harga yang tinggi yang perlu dibayar sebagai akibat daripada ketidakcekapan dan amalan rasuah. Tetapi di sini, kita seolah-olah memberi ganjaran kepada ketidakcekapan dan juga menaikkan pangkat mereka yang bertanggungjawab ke jawatan yang lebih berkuasa.

Pada hari ini di Malaysia, tidak kira sama ada kerajaan negeri yang berurusan dengan cukai tanah atau sekolah di mana isu-isu serius telah muncul – terdapat kelemahan mendalam yang menjejaskan kecekapan, keberkesanan dan kualiti perkhidmatan awam.

READ MORE:  Why government services keep failing the people who need them most

Dan di sebalik tabir, kita turut tertanya-tanya sama ada faktor kaum, agama dan juga ketiadaan meritokrasi telah menjejaskan tafsiran tentang apa yang adil dan saksama dalam cara keputusan dibuat dan dilaksanakan oleh segelintir sektor perkhidmatan awam.

Tadbir urus yang baik bukan sahaja mengenai dasar-dasar negara yang besar. Ia juga mengenai perkara-perkara kecil, tentang bagaimana pejabat, jabatan dan agensi tempatan melayan orang ramai dalam urusan seharian.

Berhadapan dengan cabaran sistemik ini, kami mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk menubuhkan ombudsman kebangsaan, dengan rang undang-undang tersebut dijangka dibentangkan pada awal tahun 2026. Badan bebas ini – dengan mandat luasnya yang meliputi salah tadbir urus, salah laku, perlindungan pemberi maklumat dan kebebasan maklumat – dapat memberikan pengawasan dan akauntabiliti yang bermakna. Kami berharap ia akan dapat mengurangkan beberapa masalah yang digariskan di atas dan menyediakan kawal dan imbang yang bermakna yang tidak mencukupi pada masa ini.

Kami juga mendesak agar pelaksanaan pantas bagi pembaharuan yang telah lama ditunggu-tunggu untuk memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya. Pemisahan ini adalah penting untuk memastikan kebebasan pendakwaan dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan.

Akhir sekali, kami juga menggesa kerajaan untuk menubuhkan suruhanjaya aduan dan salah laku polis bebas (IPCMC), seperti yang disyorkan pada asalnya oleh suruhanjaya siasatan diraja 2005 mengenai cara kerja pihak polis.

Tidak seperti Suruhanjaya Tatakelakuan Polis Bebas yang wujud sekarang, yang hanya sekadar boleh membuat cadangan, IPCMC akan mempunyai kuasa tatatertib yang diperlukan untuk meminta pegawai yang melakukan kesalahan bertanggungjawab.

Selepas dua dekad menunggu, rakyat Malaysia berhak mendapat pengawasan yang teguh dan bebas terhadap pasukan polis.

K Haridas
Editor bersama, surat berita Aliran
13 Disember 2025

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
K Haridas
K Haridas, an Aliran executive committee member, is the current honorary secretary of the Business Ethics Institute of Malaysia, chairperson of the Association For The Promotion Of Higher Education In Malaysia and chairperson of the Malaysian chapter of Initiatives of Change International.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x