
Parlimen pada 23 Mac lalu dengan tipis menolak usul bagi memanjangkan tempoh yang digunakan oleh undang-undang keselamatan yang membenarkan penahanan tanpa pendakwaan sehingga 28 hari.
Ahli parlimen mengundi dengan majoriti tipis bagi menolak usul bagi memanjangkan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) untuk lagi lima tahun. Di dalam pengundian secara blok di Dewan Rakyat, 86 Ahli Parlimen menolak usul, 85 mengundi untuk menyokong, serta 49 yang lain tidak hadir.
Kelompok hak asasi di Malaysia mengalu-alukan penolakan usul ini. Pokoknya, sebarang penahanan tanpa bicara sepatutnya tidak dibenarkan.
Namun undang-undang lain terus digunakan bagi membenarkan penahanan tanpa bicara, termasuklah Akta Pencegahan Jenayah 1949, Akta Pencegahan Keganasan 2015 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin menyatakan kekecewaan melibatkan ahli parlimen kerajaan yang tidak hadir, yang mengakibatkan usul pindaan Sosma yang dibentang itu kemudiannya dikalahkan. Beliau, yang jelas tidak gembira, menyatakan akan membentang semula usul di Dewan Rakyat (tindakan yang ditolak oleh Aliran). Hamzah menyatakan bahawa mereka yang menolak Sosma adalah mereka yang mahu membuka ruang kepada penjenayah dan pengganas untuk mendominasi negara.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Sekali gus ia membawa persoalan, apakah kerajaan ini serius mempertahankan hak asasi manusia?
Kebimbangan lain lanjutan dari isu ini adalah bagi mempertingkatkan akuantabiliti polis. Kelompok hak asasi manusia mengkritik hebat Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 yang tidak bebas serta kurangnya kuasa di tangan mereka. Ia merupakan sebuah institusi yang lemah jika dibandingkan dengan versi asal Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis 2005.
Malaysia sekarang ini merupakan anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB bagi tempoh 2022–24. Segelintir melihat keanggotaan Malaysia sebagai pengiktirafan kepada apa yang dilakukan oleh kerajaan melibatkan hak asasi. Namun tafsiran yang sebegitu memerlukan refleksi yang serius dalam melihat semula keadaan hak asasi di negara ini.
Malaysia terus ketinggalan dalam menyatakan komitmennya kepada pelbagai perjanjian melibatkan hak asasi antarabangsa: Malaysia berada di antara beberapa negara yang meratifikasi perjanjian paling sedikit.
Sehingga kini, Malaysia hanya menandatangani Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw), Konvensyen Hak Kanak-Kanak serta Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya. Malaysia menandatangani perjanjian ini dengan kesangsian tertentu, sekali gus menandakan ketidaksanggupan kerajaan Malaysia untuk memberi perlindungan hak asasi manusia dengan sepenuhnya.
Di Malaysia sendiri, kita mempunyai ‘pelan tindakan hak asasi kebangsaan’ – yang seringkali tidak diendahkan walaupun begitu banyak dana digunakan bagi mengeluarkan dokumen berkaitan hak asasi. Walaupun dilancarkan pada 2018, kita hampir tidak mendengar apa-apa mengenainya, walaupun sepatutnya ada “jawatankuasa peringkat atasan” yang sepatutnya memantau pelaksanaannya.
Bukan itu sahaja. Kali terakhir laporan tahunan Suhakam dibentang di Parlimen adalah pada 5 November 2019; itu pun, ia tidak didebatkan.
Lebih menggusarkan adalah pesuruhjaya Suhakam dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis yang mempersoal kehadiran mereka ketika protes #Lawan pada akhir tahun lalu. Pesuruhjaya hanya hadir untuk menjalankan tugas mereka bagi memantau perhimpunan awam, bersesuaian dengan peranan Suhakam sebagai institusi hak asasi kebangsaan, sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999.
Ia sekali gus mengingatkan saya kepada janji yang dibuat oleh Malaysia ketika mahu mendapatkan kerusi di Majlis Hak Asasi Manusia PBB ketika penggal lalu. Di bawah seksyen x di dalam janji itu, Malaysia bertegas untuk “meneruskan pemerkasaan institusi hak asasi serta mekanismenya”. Ia berjanji:
Malaysia komited bagi meneruskan sokongan bagi memperkukuhkan SUHAKAM, sebagai institusi berstatus “A” mengikut Paris Principles, di antaranya, dengan mempertingkatkan sokongan dana, penilaian berterusan undang-undang bagi memperkukuh Akta yang mentadbirnya, serta menginstitusikan lebih banyak agensi kerajaan yang berinteraksi dengan SUHAKAM.
Namun, tindakan kerajaan langsung tidak menampakkan ia mahu mengotakan janjinya.
Jadi, adakah kerajaan serius untuk mempertahankan hak asasi manusia? Malangnya, nampaknya tidak.
Jika kerajaan percaya kepada semangat untuk mendapatkan keanggotaan di dalam Majlis Hak Asasi Manusia, ia sepatutnya menunjukkan komitmen yang jelas bagi mempertingkatkan kehormatan kepada hak asasi bagi semua serta mengotakan janjinya bagi mempertahankan hak asasi di Malaysia.
Khoo Ying Hooi
Editor bersama, surat berita Aliran
29 Mac 2022
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme