Lim Teck Ghee dan Murray Hunter menerbitkan sebuah buku berjudul Dark Forces Changing Malaysia (SIRD, 2022).
Di dalam koleksi melibatkan 34 esei ini, Teck Ghee dan Murray tanpa segan silu membincang krisis berterusan yang membelenggu Malaysia – masalah dua serangkai melibatkan agama dan kaum.
Pengarangnya tidak asing lagi bagi pembaca Aliran. Keduanya cukup tajam dalam menyatakan kritik sosial mereka.
Teck Ghee, yang pernah menjadi rakan sejawat saya di Universiti Sains Malaysia, mempunyai karier akademik yang cukup menarik, termasuklah sebagai professor di Institute of Advanced Studies di Universiti Malaya. Beliau kemudiannya berkhidmat di Bank Dunia dan juga sebagai penasihat dasar di PBB.
Pengarang bersama, Murray, juga seorang usahawan tersohor, penyelidik dan penulis, yang sudah tinggal di Malaysia berdekad lamanya.
Politi etnik Melayu yang berkekalan
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Buku ini dibuka dengan karangan 2011 oleh Teck Ghee berjudul “The gathering storm”, yang menampilkan segala cabaran utama sosioekonomi yang memberi kesan kepada negara, yang padanya masih merupakan masalah yang tidak dapat dielakkan.
Sepuluh tahun kemudiannya, walaupun dengan segala macam hingar-bingarnya – termasuklah perubahan di peringkat kerajaan yang berlaku sebentar serta penyusunan sosok-sosok lama yang masih sedang dijalankan dalam politik Malaysia – begitu banyak cabaran dalam soal sosioekonomi negara dan pembangunannya, seperti yang digariskan beliau masih tidak diuruskan dan dibiarkan.
Antara kegagalan paling besar adalah keengganan Malaysia untuk menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).
Warga Malaysia masih memperingati bagaimana Umno menganjurkan protes besar-besaran bagi menolak penandatanganan itu pada 8 Disember 2018, sekali gus memberi tekanan kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk berundur dan berlepas tangan dari memperakui konvensyen itu.
Teck Ghee membahaskan dengan rapi bagaimana sebab utama kepada kegagalan ini adalah kerana politik perkauman di Malaysia yang mengakar.
Karangannya mengenai kontrak sosial ‘khayalan’ itu membongkar bagaimana naratif politik perkauman yang penuh sangsi itu pertama kali diucapkan oleh bekas ahli politik Umno, Abdullah Ahmad, yang melontarkan idea “ketuanan Melayu”.
Rujukan Abdullah kepada “sosial kontrak yang tidak boleh dipertikai” ini, yang katanya memperakui akan ketuanan Melayu, menjadi prinsip suci politik Umno yang tidak perlu didebatkan.
Naratif sebegitu, seperti yang ditampilkan Teck Ghee dalam karangannya yang seterusnya di dalam buku ini, sekali gus menunjukkan bagaimana Malaysia terpaksa meneruskan dasar yang membenarkan dan memperkukuh lagi perkauman.
Keadaan ini semakin memuncak dengan perkhidmatan awam yang terlalu besar, yang hampir keseluruhannya dianggotai oleh orang Melayu, pelaksanaan dasar berdasarkan kuota yang bias terhadap etnik menerusi Dasar Ekonomi Baru, yang diperkenalkan semula menerusi wawasan “kemakmuran bersama” oleh kerajaan PH.
Teck Ghee melihat wawasan ini tidak lain hanyalah pengulangan kepada polisi perkauman lama dalam pakaian baru:
Besar kemungkinan kita akan melihat lebih banyak penambahan dan pembesaran terhadap dasar mengutamakan kaum yang sepatutnya sudah dipinggirkan akhirnya menjadi ruang di mana salah guna, keborosan serta eksploitasi oleh yang kaya dan berkuasa, sekali gus mengakibatkan peminggiran suara rakyat Malaysia yang teramai – termasuklah kaum Melayu.
Pengarang bersama, Murray, mempunyai tanggapan yang lebih menggusarkan di mana beliau berpendapat bahawa Malaysia akan berubah menjadi “politi etnik Melayu yang kekal”.
Beliau menyatakan ini selepas melihat bagaimana faktor struktural dan institusi seperti kadar kelahiran kaum Melayu yang melangkaui kelompok kaum lainnya serta sistem pengundian first-past-the-post yang “memastikan wakil rakyat dengan pandangan yang mempolarisasilah yang dapat memenangi majoriti di kawasan dengan satu kaum”.
Buku ini juga tidak meletakkan harapan tinggi kepada bentuk politik Melayu yang diselubungi Islam hari ini dan melihat bagaimana golongan kelas pertengahan Melayu gagal untuk mengatasi soal keberagaman agama dan bertindak selaku pemicu perubahan.
Teck Ghee menulis:
Dilema bagi kelas Melayu pertengahan semakin diserlahkan dengan tatanan politik sosio-budaya yang berkisarkan agama yang menghadkan peluang, kebebasan dan hak yang seringkali dikenal pasti kepada masyarakat kelas pertengahan di bahagian dunia yang lain.
Bumiputraisme
Ketuanan Melayu sekali gus membawa kita kepada naratif bumiputeraisme yang baru, sekali gus memperkukuhkannya.
Wacana baru ini juga memasukkan masyarakat orang Asli bukan-Melayu dari Sabah dan Sarawak yang juga diberikan status ‘bumiputera’.
Namun, seperti ditulis Teck Ghee, terma ini tidak dinyatakan sewaktu pembentukan Malaysia pada tahun 1963, apatah lagi mempunyai kesan perundangan:
Penggunaan terma ini secara rasmi digunapakai boleh dikesan melibatkan Kongres Ekonomi Bumiputera yang dianjurkan pada Jun 1965. Berikutan itu, terma ini juga muncul di Parlimen ketika Rang Undang-undang Majlis Amanah Ra’ayat dibentang pada Ogos 1965 bagi menggantikan Rural and Industrial Development Authority (Rida, 1953), seperti dicadangkan oleh kongres itu.
Murray menyatakan bahawa pada 1970, keseimbangan kaum di Malaysia melibatkan 53% bumiputera, 35.5% Cina dan 10.6% India.
Pada 2019, ia berubah menjadi 62.5% bumiputera, di mana 51% populasi adalah Melayu, 20.6% Cina, dan 6.2% India.
Sekali gus, demografi ini mengukuhkan lagi penguasaan Melayu.
Kedua-dua pengarang membahaskan bahawa terma bumiputera, yang tidak mempunyai kesan perundangan, digunakan bagi mengukuhkan ketuanan Melayu berbanding memberi keistimewaan kepada komuniti bumiputera bukan-Melayu di Borneo.
Teck Ghee menyatakan bahawa “jurang bilangan yang cukup besar ini kemudian digunakan untuk mengabsah dan memberikan rujukan baru dan penanda penting bagi mentaksir dan mengira kesemua aspek dalam kehidupan dalam negara ini”.
Dalam cara Orwellian, Teck Ghee dengan jelas membayangkan seperti apa itu “Malaysia Day 2063”. Ketika negara menyambut ulang tahunnya yang ke-100, Menteri Tertinggi bagi sebuah pakatan pentadbiran yang baru, Pakatan Unggul, mengumumkan bahawa dasar mereka yang dinamakan “Bumiputera Didahulukan” telah berjaya mencapai kejayaan besar, dengan hanya 10% warga tidak mendukung ikrar: “Saya Bumiputera dahulu, baru warga Malaysia kemudiannya”.
Kejayaan ini boleh diberikan kepada puak ultra Pakatan Unggul, iaitu Putera Gerakan Revolusi, yang mengakibatkan perubahan dalam mengolah kesedaran masyarakat selepas pengusiran besar yang berlaku pada 2025.
Masa depan yang cukup gelap pastinya, jika perkara ini berlaku, dengan keberagaman budaya dan etnik ditindas.
Rasuah dan GLCs
Antara tema yang berulang di dalam buku ini adalah korupsi yang menjadi endemik di Malaysia. Murray bertanyakan adakah syarikat berkaitan kerajaan merupakan “kenderaan yang digunakan bagi memudahkan rasuah”.
Mengambil satu contoh, pada tahun 2020, Syed Mokhtar Al-Bukhary diberikan, tanpa melalui proses pembidaan terbuka, hak cukup lumayan bagi membekalkan negara ini dengan perkhidmatan 5G oleh kerajaan Perikatan Nasional yang baru saja ditubuhkan Mahiaddin Yasin.
Bagi Murray, syarikat berkaitan kerajaan di Malaysia seringkali dilihat sebagai satu entiti yang hanya mendapat untung dengan tidak ditadbir secara efisien dan berhemah.
Barangkali tidak ada apa lagi yang perlu kita sebutkan tentang bagaimana 1MDB menjadi ‘ibu’ kepada segala rasuah syarikat berkaitan kerajaan atau dana pelaburan di Malaysia, yang sekali gus mengakibatkan kecurian dan penggelapan wang sehingga RM2.67bn.
Namun, Murray turut menyatakan bagaimana Petronas, Maybank, Sime Darby “ditadbir secara professional oleh kelas profesional Melayu yang terlatih”.
Budaya rasuah yang mengakar ini bukan saja ditemui di dalam sektor kerajaan tetapi juga jelas di dalam sektor swasta.
Murray menulis bagaimana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia gagal bagi membendung gejala rasuah.
Namun, beliau tidak menyebut akan ketua pesuruhjaya sekarang, Azam Baki, di mana beliau sendiri terpalit dengan tuduhan konflik kepentingan, di mana kesnya kemudian diketepikan oleh kerajaan.
Menyinar dan sirna?
Tidak semua akan bersetuju dengan apa yang ditulis oleh Teck Ghee dan Murray dalam buku mereka.
Namun, tiada seorang pun dapat menyangkal bahawa pengarang ini menunjukkan bagaimana budaya politik Malaysia yang mengakar melibatkan ketuanan etnik yang palsu serta menggalakkan ketidakberagaman agama, seperti digambarkan oleh kedua-dua pengarang, perlu ditangkis sebelum terlambat.
Golongan politik di Malaysia setakat ini gagal berfungsi dalam masyarakatnya yang berpecah-belah – jadi apakah kita semua ini ditakdirkan di masa hadapan untuk menyinar atau sirna?
Dalam edisi pertama ini, kedua-dua pengarang tidak mempunyai penyelesaian namun dalam edisi yang akan datang berjudul Malaysia Towards GE15 and Beyond, mereka akan menunjukkan bagaimana harapan bagi perubahan politik akan jatuh di bahu generasi baru ahli politik nanti.
Johan SaravanamuttuEditor bersama, surat berita Aliran
31 Julai 2022
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme