Home Newsletters Awas! Tergelincirnya demokrasi ke lembah autoritarianisme

Awas! Tergelincirnya demokrasi ke lembah autoritarianisme

Tanpa Parlimen bagi mengawal imbang tindakan kerajaan, kita sebagai rakyat perlu ambil bahagian untuk mengisi lompongnya

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Di dalam buku mereka How Democracies Die, Steven Levitsky dan Daniel Ziblatt, keduanya saintis politik dari Harvard University, membahaskan bahawa zaman kita hidup sekarang, ianya bukan kudeta tentera yang ganas, pemberontakan kilat oleh tentera serta kontra-revolusi yang akhirnya akan menjatuhkan kerajaan.

Boleh jadi, keruntuhan demokrasi berpunca daripada pemansuhan beberapa institusi dalam menyediakan kawal imbang yang penting kepada sebuah sistem demokratik yang berfungsi sepenuhnya. Dalam memprafarasa serangkap dari sajak TS Eliot, The Hollow Men, cara demokrasi mati bukannya bising persis bunyi letupan, kadang hanya lewat diam bisikan.

Kita sudah melihat bagaimana kemerosotan demokrasi berlaku di seluruh dunia sejak beberapa tahun yang lalu – dari Amerika di bawah Donald Trump, ke Hungary di bawah Viktor Orban sehinggalah ke Filipina di bawah Rodrigo Duterte.

Bahkan harapan demokrasi sejak sekian lama di rantau kita, Indonesia, juga demokrasinya kian mengundur ke belakang, lebih-lebih lagi selepas Presiden Jokowi memenangi penggal kedua pada 2019 dan mendapat lebih dari 70% kerusi di Parlimen.

Demokrasi di Malaysia pula, sebaliknya, semakin merudum sejak dari Langkah Sheraton yang dahsyat itu terjadi sekaligus mengakibatkan tertubuhnya kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional.

Jadi, seperti apa kematian demokrasi secara perlahan-lahan ini berlaku?

Kebiasaanya, ia bermula dengan seorang demagog yang karismatik dipilih secara demokratik ke tampuk kuasa. Demagog seperti ini mendapat kuasa melalui retorik populis yang memecahbelah dengan mencipta ‘musuh’ serta melaga-lagakan sesebuah kelompok dengan yang lain.

Contohnya Viktor Orban di Hungary. Kepopularannya sebagai perdana menteri bergantung kepada kemampuannya untuk membangkitkan sentimen rakyat terhadap apa yang ditanggapi sebagai musuh negara melibatkan pelarian, Islam serta teknokrat EU di Brussels. 

Sebaik saja beliau memperoleh kuasa pada 2010, Orban segera membatalkan banyak proses kawal imbang bagi memastikan demokrasi untuk berfungsi misalnya melibatkan cabang legislatif dan kehakiman, agensi penguatkuasaan undang-undang dan media.

Orban mengisi pendukungnya ke kedudukan penting di dalam kerajaan, media arus perdana serta menggunakan undang-undang kejam, polis dan kelompok samseng pro-kerajaan bagi memeras kepembangkangan.

Demokrasi di Hungary semakin merudum sejak ia menyertai EU pada 2004, sehingga mengakibatkan negaranya dipandang rendah dari segi politik di rantaunya, bersama-sama Poland, yang juga mempunyai kerajaan populis sayap kanan yang serupa.

Bagaimana pula dengan Malaysia? Pastinya keadaan demokrasi kita tidaklah sebegitu kritikal seperti di Hungary, fikir kita. Ya, kita secara demokrasinya lebih baik dari Hungary – namun tidaklah sepenuhnya, kerana kerajaan PN yang ada ini juga langsung tidak cekap, sungguh tidak popular dan terdedah kepada perseteruan dalaman. Kerajaan PN tidak memiliki kesepaduan ideologikal atau mempunyai tujuan mutlak seperti  yang ditemui di Hungary, Poland serta Amerika di bawah Trump.

Yang samanya, kita menyaksikan tanda-tanda bagaimana demokrasi semakin merudum sejak kerajaan PN mengambil alih sejak tahun lalu. Pandemik ini menjadi dalih mudah bagi kerajaan PN di dalam menghakis norma demokratik bagi memastikan hayatnya sendiri.

Ambil contoh komponen paling asas bagi demokrasi iaitu cabang legislatif. Sejak pandemik bermula pada lewat Februari tahun lalu, Parlimen Malaysia hanya bertemu dua kali: kali pertama hanyalah semata-mata istiadat dan kali kedua bagi meluluskan Belanjawan 2021.

Pada 11 Januari tahun ini, kerajaan PN mengisytiharkan darurat, yang sekaligus menggantung Parlimen sehingga 1 Ogos, kononnya bagi mengendalikan penularan pandemik yang semakin memburuk itu.

Kita pun tahu pucuk-pangkal darurat yang dijalankan sungguh tidak munasabah. Sungguh malang, kesannya dibuktikan benar dengan peningkatan bilangan kes yang kita lihat sekarang.

Dengan Parlimen tidak bersidang, kebertanggungjawapan juga tidak wujud. Pembangkang di Parlimen tidak dapat bertanya soalan serta mempersoal kerajaan PN berkaitan polisi serta keputusan penting yang mempengaruhi kehidupan orang ramai. Polisi dan keputusan ini sekaligus diselubungi kontroversi serta kekaburan.

Ambil contoh, Parlimen yang bersidang pastinya mampu untuk mempersoalkan mengapa ianya melibatkan kos setinggi RM70 juta bagi membina sebuah laman web/aplikasi yang tidak berfungsi bagi rakyat untuk mendaftar vaksin. Atau adakah sebenarnya, kita memerlukan laman web dengan kos tidak masuk akal bagi memvaksinasi populasi saatnya negara-negara maju seperti US, Jerman dan UK tidak pun mempunyainya? Adakah laman web ini cara bagi segelintir kroni politik untuk membuat keuntungan sewaktu pandemik? Ini antara soalan sukar yang boleh kita tanyakan pada kerajaan PN jika Parlimen dibuka bersidang.

Juga, oleh kerana Parlimen ditutup, titik tumpuan bagi keabsahan politik beralih dari Parlimen yang dipilih secara demokratik kepada institusi yang tidak diundi iaitu monarki. Ahli politik dari berbilang parti mula menghurung istana bagi mendapatkan perkenan Agong untuk agenda politik tertentu mereka.

Contoh paling mutakhir adalah apabila kesemua pemimpin parti politik utama mengadap Agong bagi membincangkan cara bagi mengharungi detik krisis nasional sekarang.

Ya, kita sangat memerlukan solidariti rentas parti bagi mengatasi cabaran yang dibawakan pandemik ini. Namun, kerjasama politikal ini patut dibentuk lewat ruang lingkup demokrasi berparlimen, di mana sidang berjalan dengan telus dan ahli Parlimen bertanggungjawab kepada rakyat – bukan dijalankan secara rahsia di balik pintu istana.

Ada juga desas-desus untuk menubuhkan majlis gerakan negara atau Mageran, serupa dengan yang ditubuhkan sejurus berlakunya rusuhan kaum 1969.

Ini salah satu tanda demokrasi mengundur ke belakang. Malaysia tidak memerlukan Mageran, kerana kita mempunyai sebuah kerajaan yang (agak) berfungsi serta Parlimen yang dipilih secara demokratik, tidak sama dengan situasi pada 1969.

Sebaliknya, jawatankuasa pilihan khas parlimen rentas parti patut ditubuhkan bagi mendepani usaha bagi membendung kesan buruk pandemik serta menyediakan pengawasan. Dapatan serta perbincangan jawatankuasa pilihan khas perlu berjalan telus dan dibuka untuk debat di Parlimen. Aktiviti Mageran pula, sebaliknya, tidak terbuka bagi penelitian serta kebertanggungjawapan orang ramai.

Antara tanda kemunduran demokratik di Malaysia sekarang termasuklah juga dengan mencipta ‘lain-lain yang tidak diingini’ (‘undesirable others’) seperti menganggap para pekerja migran dan pelarian sebagai musuh negara serta mengutamakan keuntungan korporat berbanding kehidupan rakyat.

Keputusan kerajaan untuk memberkas pekerja migran tanpa dokumen serta menyembur mereka dengan bahan penyahjangkit (Dettol) sungguh menghinakan dan menunjukkan ketandusan ihsan kemanusiaan. Menciptakan musuh, seperti yang dinyatakan di atas, adalah ciri berulang bagaimana demokrasi semakin merudum. 

Ketika berlangsungnya kuncitara ketiga sekarang (“PKP 3.0”), kita juga menyaksikan pengaruh dan kuasa syarikat gergasi ke atas kerajaan, yang juga merupakan sebuah tanda kemerosotan demokrasi. Kita tahu bahawa kluster kes Covid yang terbesar datangnya daripada kilang yang beroperasi dengan kapasiti penuh. Namun, banyak kilang dibenarkan untuk beroperasi ketika kuncitara kerana ditanggapi sebagai “perkhidmatan keperluan” walaupun kebanyakannya tidak. Di dalam sebuah demokrasi berfungsi, sepatutnya warga yang diutamakan berbanding keuntungan, bukan sebaliknya.

Tanpa Parlimen bagi menyemak tindakan kerajaan, kita sebagai rakyat perlu ambil bahagian dalam mengisi lompongnya. Saatnya demonstrasi awam dilarang, kita sebaliknya perlu menyatakan protes kita ke media sosial.

Harapnya, dengan bergelojaknya sentimen rakyat, kita berupaya menggerakkan kerajaan untuk membuat keputusan bagi menyebelahi rakyat. Misalnya, jika kita melihat pemecatan bekas pengerusi Prasarana, Tajuddin Rahman, yang cukup meluatkan itu tiba tepat pada masanya.

Kita perlu mengelak demokrasi dari runtuh perlahan-lahan, boleh jadi – seperti yang dikatakan Taylor Swift – “a death by a thousand cuts”.

Azmil Tayeb
Editor bersama, Surat berita Aliran
12 Jun 2021

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Azmil Tayeb
Dr Azmil Tayeb, the honorary assistant secretary of Aliran, is a political science lecturer at Universiti Sains Malaysia. He is the winner of the 2019 Colleagues' Choice book prize (social science category) awarded by the International Convention of Asia Scholars for his book Islamic Education in Indonesia and Malaysia: Shaping Minds, Saving Souls
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x