Home Newsletters Bagaimana anak muda boleh melakukan perubahan tanpa menunggu pemerintahan bertukar

Bagaimana anak muda boleh melakukan perubahan tanpa menunggu pemerintahan bertukar

Dengan kepimpinan global yang gagal membawa suara anak muda, para graduan perlu menyara diri dengan kemahiran yang pelbagai untuk hidup

AI-GENERATED IMAGE

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Oleh John Fong

Saya berumur 25 tahun ketika pertama kali mengenali Aliran, selepas tamat pengajian serta pilihan raya umum Malaysia 2018 yang dramatik.

Lima tahun ke depan, dan klasifikasi rasmi saya sebagai “belia” akan berakhir tahun depan.

Walaupun saya tidak boleh bercakap untuk semua anak muda, saya percaya ramai di antara kami masih berkongsi sentimen yang sama.

Ada yang masih berharap dan bertenaga. Yang lain seakan tidak kisah dengan apa yang berlaku pada pilihan raya 2018 dan pada tahun-tahun berikutnya – rampasan kuasa, wabak dan segala-galanya.

Belia terbahagi bukan hanya berdasarkan kelas atau pendapatan. Kita juga dibahagikan mengikut bentuk pendidikan yang diterima, personaliti yang dibawa, minat yang dikejar, budaya pop yang diikuti dan persekitaran sekeliling kita.

Perpecahan ini seringkali menyukarkan generasi yang lebih tua untuk benar-benar memahami kita. Selalunya, kita ditangkap muat sebagai generasi yang sentiasa punya harapan, bertenaga dan bersemangat untuk mengubah dunia. Tetapi itu hanya sekelompok di antara ramai yang lain.

Ahli sains sosial pasti lebih tahu keadaannya: komuniti dibentuk oleh keadaan dan lingkungan yang berbeza, tidak terikat dengan satu naratif.

Setengah dekad masa muda saya telah, dalam beberapa cara, didedikasikan untuk perjuangan Aliran. Ini ditampung oleh harapan bahawa perubahan mungkin berlaku. Harapan saya sendiri memuncak pada tahun 2019, tahun saya menemui Aliran semasa program sarjana saya.

Lama kelamaan, perjalanan itu memberi inspirasi kepada saya untuk menulis surat berita ini. Ini sebahagian renungan, sebahagian nasihat untuk mereka yang, seperti saya ketika itu, berharap bahawa perubahan dapat dicapai. Mungkin kata-kata ini boleh membantu anda merangka jalan di mana harapan itu tidak larut menjadi ilusi.

Saya juga mesti berterima kasih kepada pasukan Consider This di Astro Awani. Saya akan merujuk kepada temu bual dengan Vijay Prashad – ahli sejarah India, wartawan dan pengarah eksekutif Institut Penyelidikan Sosial Tricontinental. Dia juga ketua koresponden untuk Globetrotter dan pengarang bersama buku dengan Noam Chomsky. Temu bual ini berfungsi sebagai rangka kepada ulasan ini.

READ MORE:  Gen Z and the fragility we are creating

Lompong kepimpinan global

Kita sering mendengar dakwaan bahawa “pemimpin belia akan membuka jalan untuk masa depan yang lebih baik”. Tetapi saya tidak dapat tidak bertanya – mengapa orang muda masih hanya dianggap sebagai pemimpin masa depan?

Sementara itu, kepimpinan global hari ini dikuasai oleh mereka yang tidak mahu melepaskan kuasa. Perdana menteri, presiden dan ketua pegawai eksekutif bukannya semakin muda. Ramai daripada mereka kekal memegang jawatan sehingga penyakit atau usia tua memaksa mereka keluar. Beberapa bekas pemimpin malah sanggup kembali selepas berdekad berkuasa, seolah-olah tiada kepimpinan baharu yang boleh muncul tanpa mereka.

Kita boleh, sudah tentu, menawarkan kuota atau mewujudkan jawatan khas untuk belia untuk memastikan mereka mempunyai suara. Namun memandangkan sifat manusia seperti sedia ada, peluang ini mungkin akan dieksploitasi. Jawatan sedemikian boleh berakhir dengan terma “nepo babies” – keturunan istimewa golongan elit dan oligarki – atau oleh individu yang tidak mempunyai keupayaan untuk memimpin secara bermakna.

Belia adalah golongan cukup beragam, seperti fabrik masyarakat itu sendiri. Dalam konteks ini, kepimpinan tulen adalah terhad. Walaupun pemimpin tulen muncul, mereka jarang diberi peluang untuk memimpin, atau kepimpinan mereka dikurangkan kepada gimik token. Mengapa perkara sebegini berlaku?

Kepimpinan datang dengan kuasa dan kekayaan – dua kuasa yang, dalam konteks global, ditakrifkan dengan jelas dan didambakan. Presiden, perdana menteri dan juga wakil politik berskala kecil sering mempunyai akses kepada kuasa dan kekayaan yang boleh bertahan seumur hidup.

Dengan adanya godaan sedemikian rupa, bagaimana seseorang boleh benar-benar kekal berprinsip?

Bagaimanakah kita dapat mewujudkan kepimpinan yang menentang rasuah serta menolak pengumpulan kekayaan yang tidak beretika?

Lebih baik lagi, bagaimanakah pemimpin sejati boleh menggunakan kuasa dan akses mereka kepada modal untuk memperkasakan kita semua? (Tolong jangan jadikannya sekadar program mengagihkan sejumlah wang tunai yang kecil untuk mengambil hati kami.)

READ MORE:  Why Malaysia's education system needs visionaries, not bureaucrats

Kita menyaksikan kebangkitan pemimpin fanatik dalam era politik sayap kanan yang semakin jelas sekarang, kapitalisme yang berkembang serta kuasa ketenteraan yang meluas dalam bertindak balas terhadap ancaman manusia. Pemimpin-pemimpin besar masa lalu – jika mereka benar-benar hebat – pasti akan meninggalkan kita di tempat yang lebih baik. Namun, kita masih di sini, di tengah-tengah kekacauan global.

Orang muda mendambakan bimbingan yang baik daripada pemimpin, namun hanya sedikit yang diterima kita – bukan sahaja daripada pemimpin negara tetapi juga daripada komuniti kita sendiri.

Malangnya, kepimpinan tulen nampaknya hampir tiada. Tanpanya, tiada siapa yang akan meninggalkan legasi yang kekal untuk kita bawa ke hadapan.

Mencipta ubat untuk perkara sebegini mungkin mustahil. Tetapi mungkin ada cara untuk mencari keselesaan dalam menghadapi kekosongan ini — cara hidup tanpa wujudnya kepimpinan yang tulen.

Untuk wujud ialah untuk membina

Dalam temu bual Consider This bersama Vijay Prashad, beliau bercakap tentang kepentingan untuk memastikan diri mandiri. Ini bermakna keupayaan untuk menghasilkan makanan sendiri atau barang keperluan mudah seperti sabun, biskut dan ubat gigi, dan bukannya bergantung kepada import atau lain-lain.

Baginya, penentangan bukan sahaja tentang protes. Penentangan sebenar bermula dengan belajar melakukan sesuatu sendiri, memberi makan kepada diri sendiri dan menentang godaan konsumerisme.

Bersesuaian dengan konteks kita, idea penentangan ini memerlukan kita untuk memikirkan semula soal kemandirian. Bagi kami, ini tidak semestinya bermakna belajar memasak atau menanam makanan kita sendiri – apalagi, budaya makanan kita banyak dan boleh diakses hampir sepanjang masa.

Sebaliknya, menjadi mandiri perkara paling penting bagi graduan dalam bidang seni, kemanusiaan dan sains sosial – antara bidang yang paling banyak dalam sistem pendidikan tinggi kita. Bidang ini sering menyebabkan graduannya rentan jika mereka tidak dilengkapi dengan kemahiran yang lebih luas serta disesuaikan.

READ MORE:  What do Malay youths want?

Universiti awam kita harus memainkan peranan. Namun, kerana mereka masih terperangkap dalam sistem feudal dan birokrasi, reformasi sebenar kelihatan cukup jauh. Sudah tentu, kita tidak memerlukan ramai graduan dalam bidang ini. Ramai daripada pelajar ini sepatutnya ditempatkan dalam kursus berasaskan kemahiran sebaliknya. Tetapi itu adalah soal dasar pendidikan, yang saya tidak terlibat.

Itulah sebabnya mengapa graduan seni, kemanusiaan dan sains sosial mesti mengambil inisiatif untuk menjadi pelbagai disiplin. Jangan hanya mengejar apa yang anda sudah tahu, apa yang anda rasa selesa, atau perkara yang anda boleh ramalkan hasilnya.

Melangkahlah ke luar bidang anda. Belajarlah sesuatu yang anda mungkin elak atau anggap tidak relevan ketika menimba ilmu anda. Kemahiran baharu ini boleh merangkumi kesihatan, teknologi atau sains lain – bidang yang sering dipisahkan daripada seni. Perkara utama ialah mencabar diri anda dengan pengetahuan yang bercanggah atau meluaskan apa yang telah anda pelajari.

Kita tidak boleh terus menghasilkan puluhan ribu graduan dalam bidang kemanusiaan dan sains sosial setiap tahun tanpa melengkapkan mereka dengan kemahiran yang saling melengkapi. Tidak seperti graduan dari program teknikal, mereka berisiko ketinggalan jika tidak dapat berupaya mempelbagaikan kemahiran mereka.

Untuk menjadi beragam, untuk menjadi berdikari, adalah untuk menentang. Dengan kemahiran yang lebih luas, kita boleh memperjuangkan tujuan kemanusiaan dengan lebih baik – sama ada bertindak balas terhadap krisis kemanusiaan di, contohnya, Myanmar dan Palestin atau menentang ketidakadilan di negara sendiri.

Menjadi mandiri memberi kita pilihan. Ia membolehkan kita bertindak tanpa bergantung sepenuhnya kepada orang lain, syarikat atau kerajaan.

Bagi saya, ini adalah penentangan yang berkesan. Jalan itu tidak akan pernah mudah, tetapi mungkin ia dapat meredakan keresahan hidup di dunia tanpa kepimpinan yang tulen.

John Fong
Editor bersama, surat berita Aliran
9 September 2025

John Fong merupakan ahli jawatankuasa Aliran

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x