Sejak tahun 2018, politik Malaysia telah ditandai dengan ketidakstabilan yang belum pernah terjadi sebelumnya, pada awalnya didorong oleh optimisme yang dicetuskan oleh kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum pada tahun itu.
Walaupun hari-hari awal kerajaan baharu bermula dengan penuh harapan dengan pelbagai usaha berorientasikan pembaharuan, ia seolah-olah terhenti dan akhirnya lenyap apabila kerajaan PH tumbang akibat politik dalaman pada tahun 2020.
Apa yang berlaku selepas itu adalah seolah-olah bermain ‘kerusi muzik’ yang melelahkan, dengan jawatan perdana menteri bertukar tangan beberapa kali sehingga pilihan raya umum 2022 membawa kepada pembentukan ‘kerajaan perpaduan’ di bawah Anwar Ibrahim.
Walaupun kembalinya PH menjadi kerajaan merupakan sebuah kelegaan yang dialu-alukan kepada ketidakstabilan tahun-tahun sebelumnya, suasana orang ramai seakan kurang optimis memandangkan tiada parti politik yang mempunyai majoriti mutlak.
Ini membawa kepada tanggapan bahawa pembaharuan yang dijanjikan oleh PH dalam pilihan raya sebelumnya, yang melonjakkan gabungan itu ke tampuk kuasa pada tahun 2018, akan ditinggalkan.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Sesungguhnya, tiga tahun pertama kerajaan perpaduan Anwar seolah-olah mengukuhkan tanggapan awam ini.
Walau bagaimanapun, tahun 2026 bermula dengan beberapa petunjuk yang menggalakkan bahawa kerajaan ini akan mula melaksanakan pembaharuan yang telah lama dijanjikan, dengan tiga perkembangan positif.
Menamatkan PM yang ‘berkuasa selamanya’
Tahun ini bermula dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa langkah-langkah akan diambil untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada dua penggal (10 tahun). Ini akan menamatkan politik ‘gedebe’ yang telah mendominasi sebahagian besar sejarah Malaysia pasca-kemerdekaan.
Lebih penting lagi, pembaharuan ini bertujuan untuk mengubah sistem politik daripada politik personaliti kepada politik berasaskan sistem. Dengan menekankan penggantian kepimpinan, ia memastikan tiada seorang individu pun boleh mendominasi jawatan selama-lamanya – satu amalan yang secara sejarahnya membawa kepada politik naungan dan rasuah yang berakar umbi.
Walau bagaimanapun, kerajaan mesti memastikan tiada kelemahan undang-undang yang bakal wujud untuk menggagalkan pembaharuan ini, dan orang ramai mesti terus berwaspada untuk memastikan janji ini ditepati.
Pembahagian dan ketelusan
Kedua, kalendar perundangan untuk tahun ini merangkumi beberapa rang undang-undang yang bercita-cita tinggi yang bertujuan untuk meningkatkan integriti institusi.
Paling ketara ialah rang undang-undang untuk memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya. Pembaharuan yang telah lama dibincangkan ini bertujuan untuk mengurangkan risiko campur tangan politik dalam prosiding undang-undang.
Selain itu, pengenalan rang undang-undang kebebasan maklumat dan rang undang-undang ombudsman yang dirancang menggalakkan langkah ke arah ketelusan pentadbiran yang lebih meluas.
Undang-undang yang dicadangkan harus menghapuskan budaya kerahsiaan, yang telah lama menjadi kebiasaan dalam perkhidmatan awam. Walau bagaimanapun, keberkesanannya akan bergantung sepenuhnya pada kekuatan perundangan yang dimuktamadkan.
Undang-undang kebebasan maklumat mesti mengelakkan pengecualian yang terlalu luas, manakala ombudsman mesti diberikan kuasa bebas yang mencukupi untuk bertindak atas laporan awam.
Menubuhkan politik kesepakatan
Akhirnya, kestabilan sistem parti politik yang ada sekarang mewakili sebuah perubahan berbanding pergolakan awal tahun 2020-an.
‘Undang-undang anti-lompat parti’ telah berjaya menamatkan era pembelotan oleh individu, memaksa pelaku politik untuk beroperasi dalam pakatan yang lebih berdisiplin.
Pada tahun 2026, kita melihat kerajaan perpaduan bukan sahaja sebagai gabungan ‘tangkap muat’ tetapi sebagai rangka kerja pelbagai gabungan yang matang di mana parti-parti yang secara tradisinya bersaing – dan blok serantau yang berkuasa dari Sabah dan Sarawak – perlu mencari titik persamaan.
Walaupun ‘tadbir urus yang dirundingkan’ ini boleh memperlahankan rentak perubahan, ia juga memastikan bahawa pembaharuan seperti had penggal untuk PM dapat membawa kesepakatan yang luas, menjadikannya lebih sukar untuk pentadbiran masa depan untuk menggagalkannya.
Sama ada perubahan ini merupakan perubahan kekal dalam budaya politik atau sekadar strategi sementara masih belum dapat dilihat.
Berwaspada dengan optimisme?
Kesimpulannya, tahun 2026 terasa seperti permulaan yang penuh harapan di mana negara beralih daripada ketidakstabilan politik ke arah kestabilan institusi.
Dengan mengambil langkah untuk mengehadkan tempoh jawatan PM dan memisahkan kuasa perundangan peguam negara, kerajaan perpaduan mula merobohkan budaya politik gedebe yang mendorong ketidakstabilan selama bertahun-tahun.
Walau bagaimanapun, ini adalah saat untuk berwaspada dengan optimisme dan bukannya untuk meraikannya secara besar-besaran.
Kejayaan pembaharuan ini – termasuk kebebasan maklumat yang dirancang dan rang undang-undang ombudsman – bergantung sepenuhnya pada kesediaan kerajaan untuk mengelakkan kelompongan dan memastikan pelaksanaan yang ketat.
Peralihan ke arah politik gabungan yang lebih stabil dan didorong oleh dasar adalah satu perubahan yang menjanjikan daripada perebutan kerusi muzik beberapa tahun sebelumnya.
Namun, ujian sebenar adalah sama ada perubahan ini dapat bertahan dalam tekanan politik pada tahun-tahun akan datang.
Jika ia berjaya, tahun 2026 mungkin diingati sebagai saat Malaysia akhirnya mula membina sistem yang lebih besar melangkaui pemimpinnya.
Chris Chong
Editor bersama, surat berita Aliran
20 Januari 2026
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme

