Pemilihan Zohran Mamdani sebagai Datuk Bandar New York pada 4 November, di mana beliau menang dengan mengatasi ahli politik berpengalaman Andrew Cuomo, cukup menarik perhatian saya. Ia menjadi petanda politik sebagai panggilan sebenar dan bukannya hanya sebagai tangga kerjaya.
Kemenangan Mamdani yang luar biasa menandakan perubahan yang hebat. Ia mencerminkan gerakan yang semakin berkembang dalam menentang ideologi haluan kanan yang membantu melonjakkan tokoh seperti Donald Trump ke jawatan tertinggi Amerika.
Dengarkan ucapan kemenangan Mamdani:
Izinkan saya menggunakan kemenangan Mamdani yang cukup memberi inspirasi ini untuk meneroka bagaimana kita dapat menghidupkan politik sebagai tuntutan.
Kegagalan kelas politik
Di seluruh dunia, kita menyaksikan kegagalan kelas politik yang suram. Usaha mencari ahli politik yang jujur, cekap dan berdedikasi seakan tidak berkesudahan.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Walau bagaimanapun, dalam era moden ini, manusia telah menemui penyelesaian dalam amalan demokrasi – walaupun ia jelas tidaklah sempurna – sebagai mekanisme untuk mengenal pasti pemimpin yang cekap dan beramanah.
Boleh dimaafkan jika seseorang menganggap bahawa demokrasi dalam praktiknya telah gagal pada zaman kita. Malah, demokrasi yang paling maju pun bergelut tentang soal kepimpinan, yang secara tidak sengaja mengangkat individu dengan kecenderungan demagogi populis, mementingkan diri sendiri dan dahagakan kuasa.
Keadaan kelas politik yang menyedihkan ini bahkan lebih ketara di Selatan Global.
Di Asia Tenggara, perhatian pasti beralih kepada Myanmar, di mana perang saudara telah berlarutan sejak tahun 2021. Ini telah memburukkan lagi perjuangan panjang dalam mewujudkan sistem demokrasi sejak akhir 1980-an. Dominasi rejim tentera yang berkekalan dalam landskap politik semasa telah menghalang sebarang kemajuan sebenar ke arah perubahan demokrasi.
Kebenaran asas mengenai Myanmar, atau mana-mana rejim tentera, ialah jeneral tidak boleh secara sah memainkan peranan ahli politik. Tanggungjawab sedemikian hanya milik orang awam.
Adakah kekurangan kelas politik juga kini semakin jelas di Malaysia? Ada yang mungkin mengatakan ia kurang ketara tetapi masih jelas.
Kita telah melalui zaman di mana aspirasi gerakan Reformasi dari tahun 1998 sehingga apa yang diertikan sebagai ‘Reformati’ hari ini.
Adakah keretakan dalam kepimpinan parti politik pemerintah dan pembangkang sekali gus menunjukkan kegagalan kelas politik di Malaysia?
Perebutan kuasa politik yang tidak henti-henti – bukannya usaha bersama untuk mentadbir dengan baik dan bertanggungjawab – kini menjadi ciri politik Malaysia hari ini.
Lebih membimbangkan lagi ialah perubahan ruang politik yang menjadi tempat perlindungan bagi mereka yang tidak cekap, di mana kejahilan dan kepalsuan berkembang maju tanpa dicabar.
Bagaimanakah kita boleh mengembalikan semula intipati politik sebagai sebuah panggilan kepada tarafnya sebagai satu perjuangan yang mulia?
Sudut pandang Weber
Untuk ini, saya merujuk kepada ahli sosiologi dan ahli falsafah Jerman yang cemerlang, Max Weber, yang memberikan syarahan dengan judul Politik sebagai Panggilan, yang kemudiannya diterbitkan pada tahun 1919 (dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris pada tahun 1946).
Weber menggunakan paradigma Barat dan Timur dalam meneroka hal ini. Merujuk kepada teks India kuno Bhagavad Gita, beliau berhujah bahawa kasta pahlawan India diasaskan pada konsepsi politik yang berasaskan undang-undang dan etika. Kitab suci kuno ini, dalam banyak pandangan, meneroka dimensi moral dalam peperangan.
Izinkan saya mentafsirkan pandangan Weber tentang perkara ini. Dalam dialog yang mencerahkan antara Arjuna, pahlawan, serta pemandu kereta kudanya Krishna – yang dipercayai sebagai jelmaan suci Vishnu – kedua-duanya merujuk kepada idea kebijaksanaan rohani dalam menerangkan pemahaman Arjuna tentang tugasnya (dharma). Krishna menekankan bahawa memenuhi tanggungjawab seseorang untuk kebaikan masyarakat perlu mengatasi keuntungan peribadi.
Begitu juga, seseorang boleh membuat kesimpulan bahawa ahli politik moden perlu mencari keseimbangan yang halus antara etika keyakinan moral dan etika tanggungjawab.
Weber mencadangkan bahawa etika keyakinan moral perlu merujuk kepada kepercayaan utama yang mesti dipegang oleh seorang ahli politik – apa yang beliau sebut sebagai “etika matlamat akhir”.
Sebaliknya, etika tanggungjawab pula merangkumi keperluan harian dalam menggunakan instrumen politik bagi mengekalkan keamanan demi kebaikan bersama.
Kadangkala ahli politik, Weber berpendapat, perlu mencari keseimbangan halus antara dua kerangka etika ini.
Etika keyakinan menyediakan prinsip dan semangat utama. Dan etika tanggungjawab pula memastikan penggunaan pragmatik dan akauntabiliti yang penting untuk tadbir urus yang berkesan.
Pemimpin politik yang berteladan bukan sahaja mempunyai integriti serta moral keyakinan mereka. Mereka juga mempunyai kebijaksanaan yang diperlukan bagi menanggung beban yang timbul daripada tindakan mereka.
Keangkuhan dan politik
Satu lagi dimensi politik yang menarik ialah keangkuhan.
Weber berpendapat bahawa keangkuhan menimbulkan cabaran berterusan bagi ahli politik, yang barangkali membuat keputusan yang didorong oleh keterikatan emosi kepada pengikut dan penjilat mereka, bukannya berdasarkan pertimbangan rasional yang penting untuk mentadbir secara adil dan berkesan.
Beliau menulis:
Oleh itu, setiap hari dan setiap jam, ahli politik secara rohaninya perlu mengatasi musuh yang agak remeh dan terlalu manusiawi: keangkuhan yang agak mencolok, musuh maut kepada semua pengabdian yang ikhlas terhadapa sesuatu tujuan, dan kepada semua yang berjarak, dalam hal ini, kepada jarak terhadap diri sendiri.
Weber juga memberi amaran bahawa bahaya politik mengakar dalam hubungan antara ahli politik dan cara keganasan, yang merupakan intrinsik kepada negara dan mudah disalahgunakan oleh mana-mana ahli politik yang angkuh.
Dalam negara paling berkuasa di dunia hari ini, narsisisme dan keangkuhan politik nampaknya telah mengambil cengkaman yang berbahaya dan mengerikan terhadap politik arus perdana.
Inilah sebabnya saya berharap pemilihan Mamdani sekali gus menandakan transformasi radikal serta dapat memberi inspirasi di Amerika.
Pandangan Weber kekal relevan hari ini. Beliau mengingatkan kita bahawa sejarah mendedahkan sebuah kebenaran asas: manusia tidak akan pernah mencapai potensinya tanpa terus-menerus mengejar apa yang kelihatan tidak pernah dapat dicapai.
Ini memerlukan kepimpinan dan keberanian. Pemimpin sejati mesti mempunyai keberanian untuk membayangkan masa depan yang melangkaui batasan masa kini. Mereka mesti mencabar keadaan sedia ada dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk mengejar matlamat yang kelihatan mustahil.
Melalui usaha gigih mengejar perkara yang mustahil inilah masyarakat maju, inovasi berkembang dan sempadan pencapaian manusia semakin meluas.
Johan Saravanamuttu
Editor bersama, surat berita Aliran
10 November 2025
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme

