Home Newsletters ‘Bukan Melayu’? ‘Lain-Lain’? – Pentingnya terma dalam membina negara yang lebih terangkum

‘Bukan Melayu’? ‘Lain-Lain’? – Pentingnya terma dalam membina negara yang lebih terangkum

Pada sambutan jubli berlian Hari Malaysiai, mari kita komited untuk menjadikan negara ini lebih inklusif, berbelas kasihan dan adil

GERALT/PIXABAY

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Pertamanya, Aliran ingin mengucapkan selamat Hari Malaysia kepada anda walau sedikit terlambat!

Ini merupakan Hari Malaysia pertama dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerajui “kerajaan perpaduan” – serta juga, sambutan jubli intan pembentukan Malaysia!

Jika kita mempunyai penanda aras dalam mengukur perasaan orang di Malaysia tentang pencapaian ini, apakah yang akan ditunjukkan?

Selepas 60 tahun bersama sebagai sebuah negara, adakah sebagai rakyat kita semakin rapat antara satu sama lain? Adakah kita lebih menerima antara satu sama lain walaupun berbeza etnik, agama atau status sosioekonomi?

Malangnya, mengenali satu sama lain mengikut kaum dan agama kekal sebagai cara yang dominan. Perseteruan di antara kita diburukkan lagi oleh pemimpin dan ahli politik yang berpecah belah dengan mempersenjatai kaum dan agama untuk kepentingan mereka sendiri. Matlamat mereka hanyalah untuk kekal berkuasa atau berebut kuasa.

Kita terus mendengar bagaimana istilah “pendatang” digunakan untuk menggambarkan orang di Malaysia yang bukan etnik Melayu. Pelabelan sedemikian cukup memecahbelahkan, menonjolkan perbezaan serta tidak menggalakkan keterangkuman.

Di Aliran, kami teguh dalam mempromosikan keadilan, kebebasan dan perpaduan. Ini sekali gus bermakna semua orang di negara ini – setiap seorang daripada kita – berhak untuk dilayan dengan penuh kehormatan dan bermaruah.

Kami secara konsisten berpendapat bahawa ada ruang dan asbab untuk semua orang di bawah sinaran matahari Malaysia. Tiada siapa yang patut ditindas, diabaikan, dipinggirkan atau diketepikan.

Kolumnis Free Malaysia Today Charles Chow, dalam tulisannya yang berjudul cukup provokatif “Time to get rid of the nons“, mencadangkan kita supaya berhenti menggunakan istilah ‘bukan Melayu’.

Awalan ‘bukan’ itu, pada pendapat beliau, “menafikan dan membatalkan. Istilah bukan Melayu ini cukup memecah belah. Ia adalah pengasingan. Ia tidak berperikemanusiaan. Ia tidak menghormati.”

Beliau berkata jika benar-benar perlu untuk menyatakan perbezaan, kita sentiasa boleh menggunakan istilah ‘rakyat Malaysia yang lain’ dan bukannya bukan Melayu. Aliran sendiri, menerusi artikel kami, menggunakan istilah ‘etnik minoriti’.

Namun begitu, cuba kita lihat maknanya yang menjangkau melebihi makna warganegara Malaysia. Untuk mempromosikan masyarakat yang sivil, prihatin dan penyayang seperti yang dicita-citakan di bawah konsep Malaysia Madani, kita perlu menjadi lebih terangkum. Kita perlu melibatkan semua warga manusia yang bekerja dan tinggal di Malaysia – bukan sahaja rakyat Malaysia yang lain, tetapi sesiapa sahaja dan semua orang yang bermastautin di negara kita.

READ MORE:  Hari Malaysia ini, mari bangkit untuk memanfaatkan aset terbesar kita – perpaduan dalam kepelbagaian

Ingat, ada 2.2 juta pekerja asing yang mempunyai dokumen tinggal di Malaysia, seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan. Seramai 1.2 hingga 3.5 juta lagi pendatang tanpa dokumen tinggal dan bekerja di sini. Sekali gus, ada sehingga kira-kira enam juta migran atau lebih – hampir merangkumi 20% daripada penduduk di Malaysia.

Kemudian, ada juga warga tanpa kerakyatan, pelarian, pencari suaka dan sebagainya.

Perkataan cukup penting dalam merangka cara dan makna kita berfikir. Ia mempengaruhi pemikiran bawah sedar kita dan cara kita melihat masyarakat. Untuk memastikan tiada sesiapa yang terpinggir, Aliran sering menggunakan frasa yang lebih inklusif seperti “penduduk di Malaysia” atau “semua penduduk di tanah ini”.

Lagi pula, para migran – rakyat dari negara lain – turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. Seringkali, merekalah yang sanggup mengambil pekerjaan dikategorikan sebagai “tiga D” – kotor, berbahaya dan sukar (dirty, dangerous and difficult).

Sebaliknya, apa yang berlaku dalam usaha untuk menghargai sumbangan mereka ini, ketua sayap pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh, mencadangkan agar beras tempatan yang lebih murah dijual hanya kepada rakyat Malaysia – meninggalkan warga asing (termasuk para pekerja) hanya untuk membeli beras import yang lebih mahal. Ini adalah maklum balas beliau yang cukup mengecewakan tentang isu kekurangan beras tempatan sekarang.

Dalam keadaan di mana pekerja migran sudah pun memperoleh pendapatan yang lebih rendah, namun dalam keghairahan ahli politik tertentu yang tetap mahu menonjolkan imej nasionalistik atau cauvinis, mereka langsung tidak memikirkan apa-apa dalam mencadangkan langkah-langkah bersifat mendiskriminasi sebegitu.

Moga cadangan oleh Akmal ini tidak mendapat sambutan. Syukurlah, kita mempunyai orang seperti taikun runcit Ameer Ali Mydin, yang mengkritik cadangan itu sebagai tidak praktikal dan bersifat mendiskriminasi.

Satu cadangan pembaharuan yang positif ialah untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menghapuskan diskriminasi terhadap ibu warga Malaysia dalam kes anak yang dilahirkan di luar negara kepada seorang ibu atau bapa yang berwarganegara Malaysia.

Untuk memastikan bahawa semua kanak-kanak ini akan mendapat hak kewarganegaraan, Seksyen 1(b) dan 1(c) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan hendaklah dipinda dengan menggantikan perkataan “bapa” kepada “sama ada ibu atau bapa”.

READ MORE:  This Malaysia Day, let's rise to harness our greatest asset - unity in diversity

Pada masa ini, kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu warganegara Malaysia di luar negara tidak berhak mendapat hak kewarganegaraan secara sah. Mereka perlu memohon secara individu, dan kelulusan adalah subjektif dan sukar diperoleh.

Selain itu, cadangan lain ialah bagi meminda Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua. Bagaimanapun, pendukung hak asasi berkata pindaan ini akan menyebabkan banyak kemudaratan dan kesukaran kepada kanak-kanak tanpa kerakyatan. Dalam satu sudut, ia cadangan yang regresif. Ia akan memburukkan lagi masalah yang dihadapi oleh anak-anak terbiar serta anak-anak di mana ibu bapa kandungnya tidak dapat dikesan.

Di semenanjung sendiri, sekurang-kurangnya terdapat 10,000 orang tanpa kerakyatan, manakala bilangannya jauh lebih besar di Malaysia Timur. Bahasa undang-undang boleh jadi sesuatu yang kaku, namun kesannya cukup memusnahkan, mengakibatkan penderitaan dan juga kehilangan nyawa.

Kisah sedih Andy (bukan nama sebenar) yang berusia sembilan tahun menggambarkan kesan tragik keadaan hidup tanpa mempunyai kerakyatan. Beliau dijangkiti HIV semasa dalam kandungan ibunya, dan dilahirkan dalam penuh kesengsaraan dan penderitaan. Tanpa ibu bapa, beliau ditakrifkan sebagai anak tanpa kerakyatan dan oleh itu tidak layak untuk mendaftar di sekolah awam atau menerima rawatan percuma di hospital kerajaan.

Nenek sebelah ibu Andy terpaksa menanggung hutang sebanyak RM40,000 dengan Hospital Lahad Datu semasa menyediakan rawatan perubatan kepada cucunya. Beliau terpaksa menggadaikan barang kemas dan mengemis serta meminjam wang untuk membayar sebahagian besar kos rawatan perubatan Andy. Di sebalik usaha terbaiknya untuk menyara Andy, cucunya meninggal dunia akibat Aids beberapa bulan lalu. Sungguh tragis – dan ternyata, ia boleh dielakkan!

Kerajaan Madani yang benar-benar prihatin dan punya belas ihsan akan memastikan tiada kanak-kanak lain menemui nasib seperti Andy – meninggal dunia hanya kerana halangan birokrasi. Adalah sangat tidak berperikemanusiaan untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan seperti Andy untuk menderita bukan kerana kesalahan mereka sendiri apabila rawatan tersedia namun terlalu mahal untuk ditanggung keluarga mereka. Percayalah, ramai lagi kanak-kanak dan orang dewasa yang tidak mempunyai status warganegara di luar sana menghadapi kesusahan dan penderitaan yang amat besar.

Perdana Menteri Anwar dan pasukannya mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan bagi merealisasikan cita-cita Madani.

READ MORE:  Honouring Malaysia's past, shaping its future - G25

Perintah “dilepaskan tanpa dibebaskan” yang diperoleh Timbalan PM Zahid Hamidi melibatkan kes rasuahnya telah mengakibatkan Anwar berada dalam keadaan sukar.

Walaupun PM cuba menjelaskan bahawa keputusan itu di luar kawalannya, tanggapan awam berpendapat sebaliknya. Pada bulan Februari 2023, kadar kepopularan Anwar adalah sekitar 68% (Merdeka Center). Namun, sejurus sebelum pilihan raya 12 Ogos di enam negeri lalu, kadar kepopularan beliau melibatkan responden di enam negeri itu hanya 42% (Ilham Centre).

Boleh jadi kami tidak membandingkan keputusan tanggapan awam ini dengan adil. Namun, tidaklah sukar untuk membayangkan bagaimana kadar tanggapan terhadap PM ini pastinya semakin menurun selepas pelepasan bersyarat yang cukup kontroversi yang diberikan kepada Zahid itu.

Bagaimanakah Anwar dapat menebus dirinya sendiri? Hanya dengan melaksanakan pembaharuan penting bagi membantu orang ramai, beliau boleh mendapat semula keyakinan serta menampakkan keikhlasan beliau untuk membawa perubahan. Jadikan konsep Malaysia Madani nyata dan konkrit – bukan retorik semata-mata.

Tahun lalu, Aliran melancarkan Agenda Rakyat dengan lima tuntutan:

  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme

Ini hanyalah lima perkara penting yang digagaskan, tetapi ia merangkumi kebanyakan perkara yang dicita-citakan oleh PM dan pasukannya di bawah rangka kerja Malaysia Madani mereka.

Seorang rakan karib saya merungut bahawa Malaysia sudah “terlepas peluang” untuk menjadi sebuah negara yang lebih bersatu dan terangkum.

Saya berharap dia silap – walaupun saya pasti ramai yang lain berkongsi pandangannya. Apa lagi, cukup ramai – hampir dua juta orang – telah mengundi dengan kaki mereka, memilih untuk berpindah ke luar negara di mana mereka fikir akan dilayan dengan lebih adil.

Walau bagaimanapun, terdapat ramai lagi kita yang telah memilih untuk kekal di Malaysia dan berjuang untuk menjadi satu rakyat dan satu negara.

Bersempena sambutan jubli intan Hari Malaysia ini, ayuh kita komited untuk menjadikan negara ini lebih terangkum, saling berkasih sayang dan adil – sebuah negara yang bukan sahaja menghormati kepelbagaian tetapi meraikannya juga.

Henry Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
20 September 2023

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x