Skandal baru-baru ini melibatkan kanak-kanak di rumah kebajikan yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB) cukup mengejutkan negara dan menjadi tajuk berita berminggu-minggu lamanya.
Masyarakat di pelbagai lapisan melahirkan rasa marah dan mengutuk penderaan dan eksploitasi kanak-kanak yang telah berlaku. Pelbagai agensi juga mula bertindak. Undang-undang telah digunakan semasa penyiasatan dijalankan. Ada yang didakwa, ada yang disabitkan kesalahan dan ada yang ditahan di bawah Sosma, undang-undang keselamatan yang keras.
Rentetan peristiwa melibatkan GISB telah mendedahkan beberapa isu, termasuk kurangnya perlindungan kepada kanak-kanak di negara ini. Ia merupakan tamparan hebat yang menunjukkan betapa teruknya keadaan yang boleh menimpa kanak-kanak apabila tiada pemantauan dan tiada laporan salah laku.
Pembuat dasar, agensi berkaitan serta orang ramai perlu ambil perhatian tentang apa yang berlaku. Sudah tiba masanya untuk kita benar-benar merenung bagaimana untuk menjaga dan melindungi kanak-kanak di negara ini.
Perlindungan kanak-kanak merupakan istilah umum yang menggambarkan tindakan yang perlu diambil untuk menggiatkan usaha memastikan kebajikan kanak-kanak dijaga dan melindungi mereka daripada bahaya. Walaupun definisi berbeza sedikit, perlindungan ini secara amnya bermaksud:
- melindungi kanak-kanak daripada penderaan dan penganiayaan
- mencegah kemudaratan kepada kesihatan dan perkembangan kanak-kanak
- menyediakan sokongan untuk memenuhi keperluan kanak-kanak apabila masalah timbul
- memastikan kanak-kanak membesar dengan penjagaan yang selamat dan berkesan, dengan melibatkan keluarga mereka jika boleh
- mengambil tindakan untuk membolehkan semua kanak-kanak dan orang muda mendapat hasil yang terbaik
- mengehadkan risiko yang boleh menjejaskan kanak-kanak, dengan memastikan apa yang kita kenali sebagai “penyediaan ruang selamat”
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Keselamatan kanak-kanak dilihat sebagai sebahagian daripada perlindungan kanak-kanak.
Walaupun peristiwa melibatkan GISB ini telah membuatkan kita berfikir tentang soal melindungi kanak-kanak, ia tidak seharusnya terhad kepada melindungi mereka hanya daripada penderaan dan eksploitasi fizikal atau seksual.
Kita memerlukan pemahaman yang lebih luas dan menyeluruh tentang istilah ini dan penggunaannya. Ramai kanak-kanak menghadapi pelbagai jenis perkara membahayakan dan risiko dalam persekitaran harian mereka. Jadi kita perlu meluaskan cara mereka dilindungi dan dipastikan keselamatannya.
Terdedah kepada bahaya
Carilah beberapa maklumat yang ada tentang kanak-kanak di negara ini.
Kita tahu bahawa kemiskinan merupakan salah satu faktor membahayakan yang berisiko tinggi untuk kanak-kanak. Kanak-kanak yang hidup dalam kemiskinan membesar dalam keadaan di mana mereka lebih berkemungkinan menghadapi kekurangan keperluan asas, seperti pemakanan, tempat tinggal, kesihatan dan pendidikan.
Kemiskinan boleh menghalang perkembangan fizikal dan kognitif kanak-kanak. Ia menjejaskan kehadiran di sekolah, kadar keciciran dan hasil pendidikan -mengakibatkan kemiskinan dan kesukaran dalam pembelajaran.
Begitu juga, kanak-kanak yang hidup dalam kemiskinan menghadapi risiko yang lebih besar untuk terdedah kepada keganasan, penderaan, pengabaian dan eksploitasi.
Semua ini pastinya akan mengehadkan peluang sosioekonomi mereka di kemudian hari.
Kita turut mempunyai isu berkaitan kanak-kanak dan keselamatan jalan raya. Laporan media ada mencatatkan bahawa dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sahaja, kemalangan jalan raya meragut nyawa 779 pelajar berumur 18 tahun ke bawah. Sebanyak 4,043 kes kemalangan jalan raya membabitkan murid sekolah turut direkodkan dalam tempoh yang sama.
Jangan lupa akan golongan kanak-kanak yang tidak berwarganegara (beberapa kategori yang wujud). Pertimbangkan halangan besar yang mereka hadapi dalam mendapatkan akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan. Tanpa dokumentasi atau status yang jelas dalam perspektif undang-undang, mereka kehilangan akses dan peluang untuk memenuhi potensi mereka.
Tanpa dokumentasi sedemikian, kanak-kanak ini – termasuk kanak-kanak pelarian dan pencari suaka, anak kepada ibu bapa berstatus migran, dan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan, serta kanak-kanak lain yang tidak didokumenkan – menghadapi risiko ditahan di pusat tahanan imigresen atau pusat perlindungan Baitul Mahabbah yang baru ditubuhkan (untuk kanak-kanak berumur 10 dan ke bawah).
Dan bagaimana pula dengan penyalahgunaan dadah dan kesihatan mental yang menjejaskan kanak-kanak? Menurut tinjauan kesihatan remaja pada 2022, kira-kira 106,000 remaja di Malaysia telah menggunakan dadah sekurang-kurangnya sekali, manakala 60,000 remaja ada menggunakan dadah ketika tinjauan itu dilakukan.
Tinjauan menunjukkan ramai remaja juga menghadapi masalah kesihatan mental: satu daripada 10 telah cuba membunuh diri, satu daripada lapan mempunyai niat untuk membunuh diri, dan satu daripada empat sedang melawan kemurungan.
Laporan juga ada menyoroti bagaimana pencemaran alam sekitar dan perubahan iklim memberi kesan kepada kanak-kanak. Pencemaran udara meningkatkan penyakit pernafasan dan risiko masuk ke hospital untuk kanak-kanak. Kanak-kanak juga mudah jatuh sakit akibat penyakit bawaan air yang sering disebarkan oleh banjir.
Bagaimana pula dengan masalah buli di sekolah? Kementerian Pendidikan melaporkan terdapat sebanyak 4,994 kes buli di sekolah dalam tempoh 10 bulan pertama 2023. Juga perlu diingat, buli-siber juga memudaratkan kanak-kanak.
Contoh-contoh ini menggambarkan bahaya yang dihadapi oleh kanak-kanak dalam masyarakat kita. Walaupun tidak semua kanak-kanak di negara ini menghadapi keadaan ini, kanak-kanak yang terpinggir atau rentan sangat terjejas secara tidak seimbang. Mereka termasuk kanak-kanak daripada 40% isi rumah termiskin dan mereka dari kawasan luar bandar, termasuk kanak-kanak Orang Asli dan Orang Asal, kanak-kanak kurang upaya, serta kanak-kanak migran, pelarian dan tanpa kerakyatan.
Keadaannya boleh menjadi kompleks atau pelbagai dimensi – contohnya, cuba lihat golongan kanak-kanak yang hidup dalam kemiskinan serta berdepan kurang upaya pembelajaran dan juga mereka yang tanpa sijil kelahiran.
Kita perlu mengenali pasti dan memahami bahawa kanak-kanak boleh menghadapi pelbagai risiko dan bahaya. Jadi rangka kerja memastikan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak harus meliputi semua kanak-kanak.
Jadi apa tugas kita dalam menjaga mereka?
Setelah mengetahui perkara di atas, apakah respons kita dan bagaimana kita dapat memastikan kewajipan kita dalam menjaga kanak-kanak dalam masyarakat?
Malaysia telah mengambil beberapa langkah untuk mengiktiraf hak dan melindungi kanak-kanak. Ia mendukung seiring Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-kanak pada tahun 1995 (walaupun melibatkan beberapa hal yang tidak dipersetujui). Ia kemudiannya menggubal Akta Kanak-kanak pada 2001 untuk memenuhi komitmen negara terhadap konvensyen PBB.
Akta Kanak-Kanak membayangkan agar ditubuhkan majlis kebangsaan bagi melindungi kanak-kanak serta menasihati kerajaan mengenai isu perlindungan kanak-kanak. Pasukan perlindungan kanak-kanak juga akan ditubuhkan di setiap negeri dan daerah di negara ini.
Sebahagian daripada pengenalan akta tersebut ada menyatakan:
Mengiktiraf bahawa tiap-tiap kanak-kanak berhak untuk mendapatkan pelindungan dan bantuan dalam segala hal keadaan tanpa mengira apa-apa jenis perbezaan, seperti ras, warna kulit, jantina, bahasa, agama, asal usul atau kecacatan fizikal, mental atau emosi atau apa-apa status lain…
Pada 2019, pesuruhjaya kanak-kanak pertama Malaysia dilantik di bawah Suhakam, iaitu suruhanjaya hak asasi manusia di peringkat kebangsaan. Sebuah pejabat pesuruhjaya kanak-kanak berkuatkuasa sepenuhnya pada tahun berikutnya. Pejabat ini memberi tumpuan kepada menggiatkan usaha bagi melindungi hak kanak-kanak seperti yang ditetapkan dalam konvensyen PBB.
Tahun lepas, Jabatan Pembangunan Kanak-kanak di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah ditubuhkan untuk menangani kes melibatkan pengabaian dan penderaan kanak-kanak. Jabatan baharu ini menggantikan bahagian kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah kementerian yang sama.
Sepanjang perkembangan itu juga, terdapat pelbagai undang-undang telah digubal untuk memastikan keselamatan dan melindungi kanak-kanak secara khusus. Ini termasuk Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Tetapi sejauh manakah keberkesanan akan semua komitmen, tindakan dan struktur yang ada ini dalam memastikan keselamatan dan melindungi kanak-kanak daripada pelbagai bahaya yang wujud?
Langkah ke hadapan
Sebenarnya, bukan mudah untuk memastikan keselamatan dan melindungi kanak-kanak. Kami tidak mempunyai tongkat ajaib dalam ‘menyelesaikan’ semua masalah – yang sedia ada sejak sekian lama, yang lain pula baru muncul.
Kita menyedari terdapat banyak usaha oleh kerajaan dan agensi berkaitan untuk menangani beberapa isu yang melibatkan kanak-kanak. Namun, kita juga perlu berani bertanya bagaimana kita dapat mendukung agar usaha ini disepadukan dengan lebih berkesan.
Apa yang sangat berguna ialah untuk mengarusperdanakan soal keselamatan dan perlindungan kanak-kanak ke dalam penggubalan dasar, perundangan dan program serta memastikan tindakan terbaik untuk kanak-kanak.
Ini bermakna soal keselamatan dan perlindungan kanak-kanak perlu menjadi hal utama dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar. Seringkali apa yang berlaku adalah dasar, strategi dan rancangan di peringkat makro tidak memberi tumpuan kepada kanak-kanak secara jelas atau mengambil keperluan mereka.
Agar hal ini dapat berlaku, penggubal dan pembuat undang-undang perlu sedar bagaimana kanak-kanak cukup terdedah risiko. Mereka juga perlu mengetahui perkara yang diperlukan untuk melindungi dan memastikan keselamatan kanak-kanak serta mengurangkan segala bentuk risiko merbahaya.
Tidak ada gunanya mempunyai dasar dan perundangan yang, apabila dilaksanakan, menyebabkan atau memburukkan lagi kesukaran kepada kanak-kanak dan keluarga mereka.
Ambil kira beberapa contoh. Fikirkan tentang kesan undang-undang kewarganegaraan kita terhadap kanak-kanak tanpa kewarganegaraan. Kaji bagaimana gaji minimum yang rendah boleh mengakibatkan kemiskinan kanak-kanak. Dan lihat bagaimana penebangan hutan boleh menjejaskan kesihatan dan pemakanan keluarga, termasuk kanak-kanak, yang tinggal di kawasan yang terjejas.
Kita memerlukan kerangka kerjasama di antara agensi atau rentas sektor mengenai soal keselamatan dan perlindungan kanak-kanak. Agensi tidak boleh bekerja secara tertutup kerana tanggungjawab tentang soal ini bukanlah tugas sebuah agensi atau kementerian sahaja.
Dan satu lagi hal melibatkan huruf b, iaitu bajet. Dana yang mencukupi mesti disediakan untuk memastikan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak. Ini harus meliputi perbelanjaan untuk infrastruktur, kepakaran teknikal dan kakitangan yang cukup terlatih untuk melaksanakan dasar dan perundangan dengan berkesan.
Mendukung profesionalisasi kerja sosial mesti menjadi sebahagian daripada usaha ini. Begitu juga dengan pengambilan lebih ramai pekerja sosial kanak-kanak terlatih, ahli psikologi kanak-kanak dan pendidik kanak-kanak.
Fikirkan sahaja dana yang kita akan ada jika kita dapat menghentikan rasuah dan kehilangan dana awam, termasuk ‘kebocoran’ dan pembaziran yang berlaku!
Jangan juga kita lupa peranan kumpulan masyarakat sivil, ahli akademik dan orang sekeliling kanak-kanak. Kumpulan ini boleh dan perlu memainkan peranan penting dalam mengetengahkan diskriminasi dan risiko merbahaya yang dihadapi oleh kanak-kanak. Mereka juga sekali gus dapat meningkatkan kesedaran tentang keperluan untuk kesejahteraan kanak-kanak dalam keadaan semasa dan yang baru muncul. Mereka boleh menyokong usaha memastikan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak dalam erti kata yang seluas-luasnya.
Kanak-kanak membentuk lebih satu perempat (26.9%) daripada populasi semasa. Mereka bukan sahaja merupakan sebahagian daripada negara kita, mereka adalah masa depan negara kita.
Tanggungjawab ada pada kita bagi memastikan kesejahteraan dan laluan selamat mereka ke masa depan itu. Kita mesti melakukannya bersama-sama.
Prema Devaraj
Editor bersama, surat berita Aliran
22 November 2024
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme