Penangkapan Kean Wong, penyunting buku Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia baru-baru ini, telah memberi gambaran menakutkan bagaimana keadaan kebebasan bersuara rakyat Malaysia di bawah kerajaan sekarang, yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Kerajaan yang ada sekarang diundi berdasarkan janji untuk menghapuskan praktik autoritarianisme pentadbiran terdahulu. Beberapa parti besar yang kini dalam kerajaan telah berikrar untuk memperluas amalan demokrasi di negara ini.
Wong ditahan kerana rekaan kontroversi kulit muka depan bukunya, iaitu sebuah koleksi esei berkaitan pertukaran kerajaan pada 2018. Buku itu diharamkan pada 2020.
Wong kini disiasat di bawah tiga undang-undang: Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Akta ini telah digunakan bagi menutup mulut para pengkritik berdekad lamanya.
Sebab penahanannya? Pihak berkuasa mendapati kulit depan bukunya itu tidak menyenangkan kerana ia seakan menggambarkan jata negara dengan cara yang dianggap tidak sesuai.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Walau bagaimanapun, karya seni pada kulit depan bukunya itu adalah berdasarkan lukisan oleh artis tempatan Shia Yih Yiing, yang telah dipamerkan di pameran seni tempatan pada 2014 tanpa sebarang masalah.
Penangkapan ini menyoroti tabiat lama pentadbiran terdahulu, yang telah menggunakan undang-undang sedemikian bagi menutup mulut para pengkritik dan menimbulkan ketakutan tentang apa yang rakyat boleh bicarakan di ruang awam.
Kami berharap tinggi dengan pentadbiran Anwar. PM sendiri telah mengalami bagaimana undang-undang sebegitu dikenakan terhadapnya oleh kuasa yang terdahulu.
Anwar sepatutnya menjadi orang pertama yang menuntut pemansuhan undang-undang yang tidak adil dalam menyekat hak kebebasan bersuara rakyat. Barangkali, kerajaan ini perlu diingatkan tentang segala janjinya untuk memansuhkan undang-undang yang mengancam hak asasi ini.
Penangkapan Wong memberi isyarat yang salah tentang komitmen pentadbiran ini dalam memperluas amalan demokrasi. Rakyat mesti mempunyai ruang demokrasi bagi menyuarakan pendapat mereka.
Kerajaan mesti memansuhkan undang-undang yang menindas ini, terutamanya ketiga-tiga yang disebutkan di atas.
Masih belum terlambat untuk mengubah segala peristiwa malang ini.
Pertamanya, kerajaan mesti menarik balik kes terhadap Wong.
Kedua, ahli parlimen kerajaan, khususnya bekas ahli pembangkang, harus bersuara untuk memansuhkan undang-undang yang menindas ini, yang selama beberapa dekad ini digunakan untuk menutup mulut pengkritik.
Beberapa ahli parlimen ini sendiri mempunyai pengalaman peribadi tentang bagaimana undang-undang tersebut digunakan terhadap mereka. Mereka sendiri juga sedar bagaimana undang-undang ini menyekat tugas mereka sebagai ahli parlimen pembangkang dalam mengawal penyalahgunaan kerajaan.
Inilah masanya untuk memansuhkan keseluruhan bentuk perundangan menindas yang ada sekarang.
Perdana menteri mesti menjadikan ini sebagai keutamaan pentadbirannya. Kembalikan Malaysia ke landasan bagi memajukan demokrasi demi generasi akan datang.
Chris Chong
Editor bersama, surat berita Aliran
22 Oktober 2023
Terjemahan oleh Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme