
Pilihan raya umum cukup bersejarah baru-baru ini membawa pelbagai isu dan kontroversi, tidak kurang juga berkenaan penggunaan platform media sosial – lagi-lagi seperti TikTok – oleh parti politik tertentu yang didakwa menyebarkan kebencian dan ketidakharmonian serta untuk mencetuskan keganasan.
Untuk memberi tahu betapa lambatnya pihak berkuasa bertindak balas, lebih seribu video yang sedemikian telah dialih keluar oleh TikTok minggu lalu, kira-kira dua minggu selepas keputusan pilihan raya umum diumumkan dan Anwar Ibrahim diisytiharkan sebagai Perdana Menteri.
Sebagai sebahagian daripada strategi politik, video TikTok itu telah pun memenuhi tujuannya ketika itu. Mengalih keluar video ini daripada pandangan umum sebegitu lewat hari ini adalah sama seperti menutup pintu kandang selepas kuda-kuda itu telah pun lari keluar.
Jika pembendungan itulah yang menjadi matlamat, pihak berkuasa – daripada polis kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang sebelum ini pantas memantau dan menangkap – sepatutnya sudah pun menjangkakan penyalahgunaan mana-mana media dalam tempoh ini.
Memandangkan kita – serta pihak berkuasa – juga perlu diingatkan, bagaimana dahulunya ketika menjelang pilihan raya umum, gabungan Barisan Nasional yang dominan akan mengambil slot pengiklanan yang meluas dalam media cetak mahupun penyiaran, yang berpura-pura bersuara untuk ‘kita’.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Pengiklanan ketika itu – yang sering dipanggil ‘propaganda negatif’ – hanya memfokuskan untuk memburukkan parti pembangkang. Ini termasuk melibatkan Pas, ketika ia bukan sekutu BN, dan sering kali DAP juga turut dipalit.
Berjela-jela kertas surat khabar serta beratus jam di radio dan TV selama bertahun-tahun telah pun dibelanjakan untuk usaha ini. Bagi kebanyakan kita, usaha ini telah membuang begitu banyak masa dan sumber yang terhad.
Namun, selalunya mereka juga mencapai kejayaan dengan serta-merta – misalannya seperti penggunaan gambar Tengku Razaleigh Hamzah memakai penutup kepala Kadazan dengan simbol yang menyerupai salib pada pilihan raya umum 1990 untuk memburukkan agama beliau dan parti Semangat 46 beliau sejurus sebelum hari pilihan raya.
Pada zaman pra-internet itu, imej itu disebarkan secara meluas oleh media arus perdana BN, dan salinan fotokopi diedarkan secara meluas di masjid, surau dan pasar malam.
Intinya berisi kempen kebencian – yang digariskan oleh wacana perkauman dan agama yang disampaikan dalam bahasa dan simbol yang mudah dan kasar – telah menjadi ruji dalam banyak rejim BN, khususnya Umno.
Bagi kita yang mengikuti dan menganalisa liputan media mengenai pilihan raya umum sejak beberapa dekad, kebimbangan terhadap keganasan etnik telah menjadi asas kepada banyak usaha kempen, terutamanya oleh BN.
Apa yang dituduh oleh Perikatan Nasional kali ini tidak lebih daripada mengambil nasihat daripada buku permainan kotor BN.
Dua isu – 13 Mei 1969 dan DAP – telah diguna hingga lunyai (walaupun tidaklah sampai mati) oleh kaki putar Umno-BN selama beberapa dekad. Dan kita harus ingat bahawa ramai di antara mereka yang berada dalam PN memang mempunyai DNA Umno.
Seperti penerbit begitu banyak drama dan filem Melayu yang membodohkan – misalannya Mat Kilau – pelawak politik ini bekerja dengan skrip yang culas untuk mendapat kesan dengan segera (dan dengan akibat jangka panjang).
Dan mereka tidak akan berhenti tidak kiralah berapa ribu video yang kita akan buangkan. Penapisan tidak pernah dan tidak boleh menjadi jawapan untuk menangani isu ini.
Sememangnya, jika kita melalui jalan penapisan sebegitu, kita perlu sedar akan akibatnya, lebih-lebih lagi jika mereka yang melakukan penapisan itu bukanlah orang yang berniat baik.
Perasaan takut sebegini berfungsi apabila ada perkara lain – atau serba salah, jika dilihat dari perspektif kritikal yang prihatin.
Ia berfungsi apabila khalayak sasaran – terutamanya, walaupun bukanlah semata-mata, melibatkan belia Melayu yang terpinggir – dibuat untuk mempercayai bahawa mereka berada dalam keadaan tertawan, dikelilingi oleh ‘orang lain’ yang telah mengambil ruang mereka, peluang mereka, tanah mereka, dan hampir bersedia untuk menceroboh rumah mereka dan menghalau mereka keluar. Seperti Gaza.
Sememangnya, ia berfungsi apabila khalayak sasaran merasa seperti kehilangan tempat tinggal, hampir tidak lagi dapat bertahan hanya sebagai penunggang Grab dan Food Panda dalam ekonomi gig yang tidak menentu. Dan mereka melihat orang lain di luar dunia mereka menikmati kekayaan yang tidak terhitung walaupun langsung tidak mengeluarkan peluh.
Ketakutan sebegitu berjaya kerana sudah ada persekitaran budaya dan sistem pendidikan yang membiakkan eklusitiviti dan kurang menghormati kepelbagaian.
Ketakutan berkembang pesat apabila sistem sosialisasi agama semakin menular dan cukup berkuasa wujud dari buaian sehinggalah, sekurang-kurangnya, ke peringkat universiti. Ia adalah sistem sosialisasi yang menjanjikan ganjaran di akhirat – walaupun idea negara teokratik cukup sukar untuk direalisasikan.
TikTok dan platform media sosial lain kemudian membantu bagi menyerlahkan, mensensasikan dan memutarbelitkan ancaman dan cabaran yang sepatutnya diketengahkan. Mengalih keluar video TikTok dan menangkap pesalah tidak akan membantu kita menangani masalah asas.
Sesungguhnya, perundangan dan pengunaan undang-undang – yang diharapkan akan membaiki keadaan – sukar untuk mencapai apa yang diidamkan.
Tugas segera mana-mana kerajaan reformis yang prihatin haruslah, pertama, memahami ketakutan dan keperluan rakyat Malaysia ini dan, kedua, menghasilkan program tindakan yang menangani keperluan tersebut, terutamanya jika ia adalah berkaitan ekonomi.
Ketiga, naratif alternatif, tidak kiralah jika ia naratif yang melawan, perlu digunakan, ditambah dengan apa yang dicadangkan sebelum ini. Di sebalik video TikTok yang mengkhayalkan itu, naratif ini perlu dibawa ke, contohnya, seluruh pelusuk kampung, surau dan masjid.
Teknologi pastinya telah berubah. Namun, malangnya, strategi dan pemikiran untuk kebanyakan penghasut dan ahli politik, tidak – kekal, seperti apa yang mereka lakukan, di dalam kegelapan.
Tugas mana-mana kerajaan reformis yang bertanggungjawab – sememangnya, tugas untuk kita semua juga – adalah untuk mencabar pengacau ini yang sengaja cuba mengalih perhatian dan mengelirukan – dan kemudiannya memenangi kerusi – dan memastikan agar mereka untuk bertanggungjawab dan membawa mereka keluar dari kegelapan.
Rom Nain
Editor bersama, surat berita Aliran
12 Disember 2022
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme