Home Newsletters Demokrasi – secara langsung dan perwakilan – dalam pelbagai dimensinya

Demokrasi – secara langsung dan perwakilan – dalam pelbagai dimensinya

Glocal Forum on Direct Democracy 2023. The author Dr Francis Loh is seated on the right - ALIRAN

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Baru-baru ini, saya menghadiri persidangan antarabangsa “Global Forum on Modern Direct Democracy 2023”.

Diadakan di Mexico City pada 1-4 Mac, acara itu dianjurkan oleh Global Forum on Direct Democracy. Salah seorang pengerusi bersamanya ialah wartawan Amerika terkenal Joe Matthews, yang juga pengarah bagi Zocalo Public Square yang berpangkalan di Arizona State University. Pengerusi bersama yang lain ialah Bruno Kaufmann, seorang warga Sweden yang bersama dengan Swiss Democracy Foundation.

Global Forum telah menumpukan perhatiannya kepada negara-negara demokrasi liberal di Barat, yang sedang ditawan oleh ahli politik profesional yang mempunyai hubungan rapat dengan perniagaan dan industri besar. Perkembangan ini telah membawa kepada kekecewaan massa terhadap politik serta penurunan kadar penyertaan dalam pilihan raya.

Berlanjutan dari keadaan ini juga ialah kebangkitan populis anti-liberal, kadang-kadang bersifat anti-perkauman dan anti-migran, yang kononnya digerakkan para “nasionalis”. Parti Republikan hari ini serta Donald Trump, yang pernah di tampuk kekuasaan sebagai Presiden AS, menyimpulkan kecenderungan ini. Namun, arus yang sama turut berlaku di banyak negara Barat lain juga, termasuk UK, Belanda, Austria dan Itali antara lainnya.

Sebagai tindak balas kepada sentimen populis yang anti-demokratik serta penyumbang kepada kemerosotan penyertaan politik, gerakan yang dipanggil “demokrasi langsung” juga muncul. Nampaknya, negara-negara di Amerika Latin juga telah menjurus kepada demokrasi langsung, seperti yang dbincangkan secara lanjut di bawah. Ia kurang jelas di Asia serta bahagian lain di bahagian Selatan Global lainnya.

Apa itu demokrasi langsung?

Ada di antara salah seorang panel dalam persidangan itu memberikan beberapa jawapannya. Para pembentang turut membincangkan pembatalan mandat presiden di Mexico semasa beliau masih memegang jawatan, referendum perlembagaan baru-baru ini di Chile, pungutan suara mengenai perjanjian damai antara kerajaan dan pemberontak di Colombia bagi menamatkan konflik selama beberapa dekad, sejarah panjang Uruguay melibatkan kestabilan proses referendum, serta penarikan balik referendum di peringkat pusat dan tempatan di Peru.

Seperti yang dicadangkan menerusi senarai itu, demokrasi langsung adalah soal mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan di antara pilihan raya umum setiap empat atau lima tahun. Ia termasuklah dalam membatalkan mandat presiden, mengundi bagi meminda perlembagaan, atau menyokong atau menolak inisiatif utama seperti menamatkan konflik dengan pemberontak seperti di Colombia.

Usaha sedemikian memberi peluang kepada rakyat biasa untuk mengambil bahagian dalam membuat keputusan dan dasar politik yang kritikal, selain daripada membuang undi yang juga penting setiap empat hingga lima tahun untuk memilih, katakanlah, seorang presiden atau ahli badan perundangan.

Dengan kata lainnya, kaedah demokrasi langsung adalah alat untuk kerajaan dan rakyat untuk menggalakkan penyertaan yang lebih meluas oleh rakyat biasa supaya mereka tidak merasa terasing oleh demokrasi pilihan raya atau perwakilan, yang telah ditawan oleh ahli politik profesional, yang sering pula bertindak bagi pihak gergasi perniagaan serta kepentingan industri.

Usaha demokrasi secara langsung serta menggalakkan penyertaan, dikatakan, boleh membawa kepada peningkatan keyakinan rakyat serta mengurangkan polarisasi dan menyumbang kepada kelestarian sistem demokrasi.

Bentuk usaha sebegini membolehkan rakyat menyuarakan pendapat dan mempengaruhi hal ehwal awam melalui referendum atau pungutan suara, gerak kerja akar umbi yang popular, mahkamah serta perhimpunan massa, jawatankuasa perbincangan, di luar kerangka pilihan raya biasa.

Sekurang-kurangnya, demokrasi secara langsung memberi peluang kepada rakyat biasa untuk melaksanakan hak mereka dengan cara yang berbeza.

Mexico dan Malaysia

Dalam soal ini, salah seorang panel meneroka bagaimana demokrasi langsung mungkin membantu dalam memperbaharui dan menyatukan demokrasi pilihan raya Mexico.

Dari 1929 hingga 2000, negara itu telah dikuasai oleh satu parti, iaitu PRI (Parti Institusi Revolusi), yang memenangi pilihan raya secara berkali-kali.

Apabila PRI akhirnya dikalahkan, ketidakstabilan politik memang dijangkakan akan berlaku. Parti-parti baru muncul dan kerajaan gabungan baharu perlu dibentuk. Ya, dan banyak dolak-dalik atau kompromi terpaksa dilakukan, bagi membentuk kerajaan yang boleh berfungsi. Namun, aktor politik baru ini tidaklah terlalu mengawal perkembangan politik seperti sebelum ini.

Tidakkah ini kedengaran biasa? Penguasaan lama PRI bolehlah disamakan dengan pemerintahan satu parti oleh Barisan Nasional selama enam dekad di Malaysia.

Ketidakstabilan yang dialami Mexico dengan “pemergian” PRI adalah hampir sama seperti apa yang kita saksikan di Malaysia sekarang – di mana kerajaan yang dipilih hanya bertahan 22 bulan sebelum ia digulingkan oleh rampasan kuasa melalui pintu belakang. Di mana kemudiannya, dua perdana menteri dilantik dalam tempoh selama dua tahun. Dan pada pilihan raya umum 2022 baru-baru ini, ia berakhir dengan parlimen tergantung tanpa gabungan yang memperoleh majoriti kerusi. Jadi, gabungan terbesar di dalam pilihan raya terpaksa membentuk kerajaan yang terdiri daripada bekas musuh mereka sendiri. Malah, kerajaan minoriti hari ini juga terdiri oleh beberapa individu yang menghadapi tuduhan rasuah juga.

Namun, terdapat juga perbezaan yang ketara. Di Mexico, di tengah-tengah segala ketidakpastian, langkah serius bagi menggalakkan proses desentralisasi kepada kerajaan negeri dan tempatan juga berlaku. Pengagihan kuasa daripada pusat kepada kerajaan negeri dan tempatan telah membawa kepada proses desentralisasi dalam membuat keputusan. Ini boleh membuka dan membawa kepada peluang baharu kepada rakyat biasa untuk mengambil bahagian dalam politik tempatan secara berterusan.

READ MORE:  Projek Malaysia: Federalisme dalam demokrasi, demokrasi dalam federalisme

Memperkukuhkan kerajaan tempatan adalah satu lagi bentuk demokrasi langsung. Di Mexico, mempersatukan Institut Pilihan Raya Negara yang bebas, yang setara fungsinya dengan Suruhanjaya Pilihan Raya di Malaysia, telah membolehkan kumpulan baharu dipilih dan membuat perubahan, sekurang-kurangnya di peringkat tempatan. Nampaknya, gaya politik lama yang dikuasai oleh cacique (sosok berpengaruh di peringkat tempatan atau serantau) telah digantikan.

Sesi lain juga menekankan kepentingan “belanjawan penyertaan”, yang membolehkan kepentingan kumpulan yang terdedah atau terpinggir diteroka – melibatkan wanita, belia dan etnik minoriti – serta menggalakkan penyertaan mereka dalam menyediakan dan melaksanakan belanjawan.

Kami juga belajar bagaimana taman sedia ada boleh dibangunkan semula dengan melibatkan penduduk yang tinggal di kawasan kejiranan – dengan kata lain, dalam menjadikan perancangan juga sebuah proses melibatkan penyertaan terus juga!

Teknologi digital baharu serta penutupan Covid juga telah memudahkan penerokaan serta meningkatkan penyertaan dalam talian.

Akhir sekali, kami juga mengetahui tentang bagaimana mesyuarat dewan bandaraya telah membawa kepada pembentukan perhimpunan rakyat secara ad hoc dan akhirnya kepada penginstitusian badan melibatkan majlis bandaran dan parlimen negeri.

Institusi demokratik yang lemah

Sesi saya pula ditugaskan untuk membincangkan sama ada demokrasi langsung membenarkan autokrat memperkasakan dirinya atau sama ada rakyat biasa juga berkemungkinan mempunyai peluang yang lebih besar untuk meneruskan kepentingan mereka.

Seorang ahli akademik merangkap peguam hak asasi manusia Poland berhujah bahawa kemungkinan besar proses demokrasi langsung akan digunakan oleh para autokrat untuk memenuhi keperluannya sendiri, seperti yang berlaku di negaranya.

Bagaimanapun, seorang ahli Persidangan Kebangsaan Korea Selatan pula percaya ada ruang untuk warga biasa membuat perubahan.

Di Malaysia, saya berhujah, kemungkinan besar para autokrat atau pakatan pemerintah akan mengeksploitasi alat demokrasi langsung ini untuk memenuhi kehendak partinya.

Ini kerana pemerintahan BN selama enam dekad telah menjejaskan dan mempolitikkan kebanyakan institusi politik kita – seperti badan kehakiman, polis, malahan agensi pencegah rasuah, perkhidmatan awam termasuk di peringkat kerajaan tempatan, Suruhanjaya Pilihan Raya dan sistem pendidikan.

Perubahan kerajaan baru-baru ini, sekurang-kurangnya, masih tidak membawa kepada pembaharuan menyeluruh institusi politik kita. Paling baik yang berlaku pun, kerajaan telah menggantikan beberapa orang yang terlibat serta memulakan prosiding jenayah terhadap perasuah, yang terbukti sukar untuk didakwa.

Atas sebab inilah, saya menyambung, amat penting agar organisasi masyarakat sivil terus mendesak untuk mewujudkan ruang awam yang berautonomi serta bebas daripada kawalan, bukan sahaja kerajaan dan parti pembangkang, tetapi juga daripada perniagaan besar, pemimpin agama dan media arus perdana. Hanya dengan itu sahaja, wujud peluang yang berterusan untuk idea dan gerakan alternatif terus muncul.

Saya berkongsi sedikit tentang pengalaman pergerakan Bersih 2.0, gabungan 62 NGO, yang mendapati amalan demokrasi pilihan raya di Malaysia semakin merosot. Jadi, mereka mengemukakan “Lapan tuntutan mereka untuk reformasi pilihan raya”. Dan apabila kerajaan Malaysia enggan mendengar tuntutan mereka, mereka menyeru diadakan “Walk for Democracy” pada 9 Julai 2011.

Perhimpunan Bersih pada 2011

Cara kerajaan Malaysia menangani tuntutan ini adalah – dengan menangkap para penyokong, mengharamkan pemakaian baju-T kuning, mengisytiharkan Bersih 2.0 dan cadangan untuk berarak sebagai haram, mengharamkan kira-kira 98 rakyat Malaysia daripada memasuki Kuala Lumpur pada hari yang penuh bersejarah itu, serta kemudiannya menangkap pemimpin Bersih dan orang lain yang mengambil bahagian dalam perjalanan itu – menunjukkan bahawa ‘demokrasi’ Malaysia adalah cacat dan institusi demokrasi melemah.

Saya perhatikan bahawa gerakan masyarakat sivil di Malaysia sentiasa mengetengahkan bukan sahaja kelemahan sistem pilihan raya, tetapi undang-undang mencengkam – seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Pertubuhan, Akta Kesatuan Sekerja, Akta Polis, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Akta Universiti dan Kolej Universiti – yang menghalang sebarang pembentukan pembangkang yang berkesan.

Kebebasan asasi – hak untuk berhimpun, bersekutu dan meluahkan perasaan – dinafikan kepada rakyat biasa di antara pilihan raya. Sehubungan itu, institusi negara mengatasi masyarakat sivil, manakala dalam negara itu sendiri, eksekutif menguasai cabang kerajaan yang lain. Media massa juga tidak memainkan peranan sebagai pemantau. Jadi kita masih dinafikan banyak kebebasan asasi.

Saya juga berkongsi bahawa reformasi kerajaan tempatan amat diperlukan, namun kita mesti memperkenal semula pilihan raya kerajaan tempatan terlebih dahulu! Saya menjelaskan bahawa kita belum lagi mendesak untuk menginstitusikan instrumen demokrasi secara langsung seperti mana mungkin para hadirin dari Barat, secara sedar dan tidak sedar, mempromosikannya di dalam persidangan itu.

Sebaliknya, saya berhujah supaya penciptaan dan pengukuhan sebuah ruang awam yang berautonomi untuk perkongsian dan perdebatan idea alternatif sebagai daya untuk bergerak ke hadapan dari segi politik, ekonomi dan sosio-budaya.

Benar yang tumpuan Global Forum on Direct Democracy setakat ini adalah kepada demokrasi liberal Barat semata-mata.

Jadi, cukup menggembirakan apabila 10 orang perwakilan warga Korea turut hadir. Diketuai oleh bekas menteri berkaitan kesaksamaan jantina dan hal ehwal keluarga, Dr Lee Jung Ok, perwakilan itu juga termasuk Won O Chong, datuk bandar Seongdonggu, Seoul; Du Dwan Kim, ahli Dewan Negara; serta beberapa ahli majlis kerajaan tempatan yang lain.

READ MORE:  The value of rich traditions in a democratic society
Perwakilan di sesi mengenai Korea Selatan di Global Forum on Direct Democracy 2023

Menarik sekali bagaimana para perwakilan Korea Selatan ini, bersama-sama dengan yang lain, menjalankan sesi khas dalam membincangkan bagaimana, selepas menumbangkan pemerintahan tentera di negara mereka, telah bereksperimen dengan kaedah demokrasi langsung, serta pertimbangan sosioekonomi dan budaya yang ditanggapi sepanjang dua dekad yang lalu.

Kemudiannya, saya tidak pula melaporkan kaedah demokrasi langsung yang berlaku di Korea. Sebaliknya, saya hanya menghuraikan renungan rakyat Korea tentang “Apakah itu demokrasi?” (Saya ada berkongsi versi yang lebih pendek daripada kenyataan ini semasa pembentangan saya.)

Melangkaui liberalisma dan demokrasi langsung

Menerusi demokrasi pilihan raya dan perwakilan yang diperkenalkan pada 1980-an selepas tentera terpaksa berundur ke berek, bekas pemenang Hadiah Keamanan Nobel, Kim Dae Jung, yang telah dipenjarakan oleh pihak berkuasa tentera selama hampir sedekad, kemudiannya dipilih untuk memegang jawatan sebagai Presiden Korea Selatan.

Walau bagaimanapun, kuasa demokrasi telah berpindah ke parti yang lebih konservatif yang sebelum ini dikaitkan dengan rejim tentera serta syarikat besar dalam dekad berikutnya.

Ini telah memaksa ahli akademik di Korea Selatan untuk berfikir secara bersungguh-sungguh tentang apa itu erti demokrasi dan pilihan raya bagi mereka. Salah satu definisi yang paling ringkas dan masuk akal datangnya daripada Prof Sonn Hochul dari Universiti Sogang (‘Korea Selatan dan Demokrasi di Asia’).

Terdapat lima dimensi demokrasi.

Pertama, terdapat demokrasi politikal, seperti yang biasanya dianjurkan oleh golongan liberal. Di sini, kita kisah tentang hak sivil, termasuk hak mengundi kepada semua orang dewasa, untuk mengadakan pilihan raya berbilang parti yang bersaing di antara satu sama lain secara berkala, untuk kawal dan imbang antara cabang utama kerajaan, serta kedaulatan undang-undang.

Tidak syak lagi, pilihan raya yang bebas dan adil adalah penting. Atas sebab ini, kita harus memastikan bahawa daftar pemilih adalah bersih, terkini dan bebas daripada pengundi hantu. Sistem undi pos juga harus disediakan kepada semua, bukan hanya mereka yang berkhidmat dalam unit beruniform serta pasangan mereka. Kita juga perlu masa yang mencukupi untuk diperuntukkan sewaktu berkempen, akses sama rata kepada media tradisional dan baharu, serta akses sama rata kepada dana pilihan raya. Sudah tentu, kebebasan Suruhanjaya Pilihan Raya juga mesti dipertahankan, dan ia tidak sepatutnya menjadi institusi yang menyelewengkan dan menyimpang dalam membuat percaturan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Penggiliran kuasa di antara sekurang-kurangnya dua gabungan politik utama akan membantu untuk memperdalam demokrasi politik kita. Pihak yang tidak berkuasa boleh menyediakan dasar yang lebih baik, manakala pihak yang berkuasa akan digalakkan untuk bergerak ke arah tadbir urus yang baik yang digerakkan oleh kecekapan, akauntabiliti, ketelusan dan rundingan yang dibuat secara kerap.

Namun, sebuah amaran turut dinyatakan oleh penganalisis politik, Schumpeter: walaupun wujud prosedur terbaik untuk dilaksanakan bagi memastikan “pilihan raya yang bebas dan adil”, kita masih boleh berakhir dengan sekumpulan elit yang berkuasa.

Mendiang Ben Anderson, seorang profesor politik Asia Tenggara, telah menggelarkan mereka ini sebagai “ahli politik profesional”. Barangkali yang paling mewakili kaum ini ialah ahli politik Amerika. Mereka berpendidikan tinggi, berpakaian kemas, pandai bercakap dan juga berpengetahuan luas tentang hal-hal dasar. Mereka pandai mengumpul dana untuk memastikan mereka dipilih semula, dan mereka tahu selok belok berkempen. Mereka memenuhi keperluan pendana kewangan mereka dengan melobi kepentingan tertentu.

Mereka juga tahu bagaimana untuk mengetengahkan kepentingan pengundi biasa untuk memastikan mereka dipilih semula. Bagaimanapun, mereka juga hanya mempunyai sedikit sahaja waktu untuk melakukan pembaharuan, apatah lagi untuk memperdalam demokrasi.

Seperti yang dibincangkan sebelum ini, sistem demokrasi liberal ini semakin dikuasai oleh ahli politik profesional dan pendana kewangan mereka dari perniagaan besar dan industri. Selalunya, kita mendengar bagaimana gergasi perindustrian-ketenteraanlah yang kini memacu dasar luar AS, bukannya presiden atau Kongres; pastinya bukan rakyat biasa.

Kerana penguasaan sebeginilah, kekecewaan terhadap politik timbul. Sebagai alternatif, ramai yang beralih kepada tukang drama seperti Trump.

Kedua, terdapat juga “demokrasi ekonomi dan sosial”, sebuah dasar asas dalam idea demokrasi sosial. Berbanding dengan kebebasan sivil, ia merujuk kepada hak-hak seperti kebebasan daripada kemiskinan, jaminan terhadap sistem ekonomi dan sosial yang asas bagi membolehkan seseorang hidup dengan bermaruah.

Lebih daripada itu, apabila pelbagai kumpulan sosial bersaing antara satu sama lain di dalam demokrasi politik dengan menggerakkan sumber serta daya kuasa yang mereka punyai, demokrasi politikal merosot menjadi bukan-demokrasi apabila kekayaan diagihkan dengan terlalu tidak sekata. Justeru, demokrasi ekonomi dan sosial, harus sentiasa mengiringi demokrasi politikal jika kita inginkan demokrasi yang bermakna.

Malangnya, tanggapan dan amalan “negara berkebajikan” ini semakin susut apabila globalisasi neo-liberal telah menembusi seluruh pelusuk dunia. (Amartya Sen telah berhujah bahawa demokrasi politikal, dan bukannya rejim yang tidak demokratik, akan kemudiannya meningkatkan demokrasi ekonomi dan sosial.)

Ketiga, adalah ruang “demokrasi pekerja” atau “demokrasi tempat kerja” yang diseru oleh para radikal. Bentuk demokrasi sebegini sekarang tidak diendahkan dalam masyarakat kapitalis neoliberal kita. Oleh itu, kita mempunyai keadaan di mana semua prinsip demokrasi dan hak kewarganegaraan berhenti di pintu masuk kilang atau firma, di mana pekerja dinafikan sebarang bentuk pengurusan diri. Keterasingan pun bermula. Pekerja hanya berasa bebas apabila mereka meninggalkan tempat kerja untuk pulang ke rumah atau ketika mereka sedang bercuti.

READ MORE:  Palestine talks: In conversation with Rabbi Shapiro

Dari perspektif ini, masyarakat kapitalis yang memberi keistimewaan kepada harta persendirian dan mengaut keuntungan pada dasarnya adalah tidak demokratik. Mencuba untuk menjalankan demokrasi pekerja adalah amat mencabar kerana hubungan sosial autoritarian dari atas ke bawah yang diamalkan di kilang atau firma, tidak diiktiraf pun di dalam lingkungan reformasi demokrasi dalam kebanyakan masyarakat. Tiada hak individu dan tiada demokrasi langsung pun yang diiktiraf.

Keempat, terdapat demokrasi dalam kehidupan seharian. Soal demokrasi tidak terhad kepada hubungan kuasa (dengan K besar semata-mata), yang melibatkan mereka yang berkuasa di peringkat negeri atau dalam syarikat. Ia turut melibatkan bentuk hubungan sosial seharian yang melibatkan orang biasa – termasuklah, sebagai contoh, wanita, kaum minoriti dan orang kurang upaya fizikal atau mereka dengan pilihan seksual yang berbeza yang sering didiskriminasi.

Mungkin dimensi demokrasi sebegini boleh dipanggil “demokrasi budaya“. Jelas sekali, demokrasi kita akan diperdalam dan dipertingkatkan apabila kita mula memberi mereka ‘yang lain’ maruah dan penghormatan yang sama seperti yang kita berikan kepada diri sendiri. Selain itu, rakyat biasa turut digembleng untuk terlibat dalam politik dengan kerap.

Ruang awam dengan autonomi boleh memudahkan demokrasi keterlibatan dan memerangi prasangka yang disebarkan oleh sekolah, badan agama, pertubuhan kebudayaan dan media massa kita. Mengubah sikap, tidak disangkal, akan mengambil masa yang lama. Lebih baik jika usaha ini boleh dilibatkan pihak berkuasa tempatan di peringkat terendah dalam politik formal kuasa dengan “K yang besar”.

Tidak syak lagi, demokrasi langsung adalah percubaan untuk mengalih dan mengorientasikan semula rakyat biasa dalam politik keseharian mereka. Walau bagaimanapun, pengorientasian semula yang berkesan hanya boleh berlaku jika kekangan melibatkan keadaan sosioekonomi, tempat kerja, budaya dan antarabangsa (seperti dibincangkan di bawah) – dan bukan hanya dimensi liberal demokrasi – turut diambil kira.

Kelima, dan akhirnya, terdapat ruang penginternasionalisme demokrasi. Jelas sekali, kita hanya akan mula menikmati demokrasi yang lebih luas apabila tatanan global tidak lagi dikuasai oleh kuasa Barat, khususnya AS, yang, menerusi syarikat transnasional mereka, mengawal ekonomi global dan hal ehwal antarabangsa. Mereka menubuhkan badan eksklusif seperti Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan Nato, dalam menetapkan agenda global. AS dan sekutu Baratnya juga mendominasi agensi ekonomi pelbagai hala melibatkan Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan juga PBB.

Dialog yang meluas tentang demokrasi

Adalah penting untuk mempertimbangkan teori dan amalan demokrasi dalam semua dimensi serta seperti apa yang difahami dan direnungi, yang bukan sahaja berlaku di Barat tetapi juga di seluruh dunia.

Demokrasi langsung pada dasarnya menghuraikan bagaimana perkakas dan langkah-langkah dalam memperluaskan demokrasi penyertaan dalam tradisi demokrasi liberal. Ia belum lagi menyentuh dimensi demokrasi yang lain, seperti yang dibayangkan oleh panelis dari Korea Selatan, seperti yang dibincangkan di atas.

Sememangnya, perdebatan panjang telah berlaku tentang soal demokrasi dalam semua dimensinya di dunia Selatan Global dan bukan-Barat. Ini bukanlah kerana negara-negara ini mempunyai esensialisme yang pasti wujud dalam menentukan bahawa demokrasi mereka akan dan pastinya berbeza. Sebaliknya, ia adalah kerana mereka telah hidup selama beberapa dekad di bawah penjajahan, kemudian di bawah kerajaan junta tentera, sistem satu parti serta, secara umumnya, pemerintahan yang tidak liberal dalam era pasca kolonial.

Jadi, tanggapan mereka tentang demokrasi berbeza dengan mereka yang menganjurkan demokrasi liberal seperti yang diamalkan di Barat. Tidak lupa, negara-negara baharu di Selatan Global ini juga menghadapi cabaran untuk membangun dengan pesat juga.

Perlu wujud dialog yang lebih meluas di antara semua yang bercita-cita untuk hidup di dalam dunia yang lebih demokratik dalam semua dimensi – dalam sistem politik, sosioekonomi, di tempat kerja, dalam politik budaya seharian, serta dalam sistem global, yang merangkumi kita semua.

(Selain dari Korea Selatan, terdapat juga beberapa peserta dari Asia, Afrika dan Timur Tengah. Terima kasih kepada Arizona State University kerana membiayai penyertaan ketua editor Asian Democracy Chronicles yang berpangkalan di Manila, pengasas-peguam Human Rights Institute, Uganda, yang juga merangkap pakar bebas PBB dalam soal tatanan antarabangsa yang saksama dan demokratik, seorang peguam hak asasi manusia dan feminis dari Tunisia serta saya sendiri dari Malaysia. Penganjur tuan rumah termasuk Universidad Nacional Autonoma de Mexico (UNAM), Universidad Autonoma de Mexico (UAM), Tec e Monterey, Instituto Nacional Electoral (yang sama seperti Suruhanjaya Pilihan Raya di Malaysia) serta penaja antarabangsa lainnya termasuklah Democracy International (Jerman) dan Swiss Democracy Foundation.)

Francis Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
25 Mac 2023

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x