Beberapa minggu kebelakangan ini pastinya menyedarkan rakyat Malaysia betapa tidak bermoral serta menindasnya kerajaan yang terdesak ini.
Di rantau ini, perkara paling ditakuti namun dijangka sudah pun bermula dengan keganasan pihak berkuasa terhadap rakyat Myanmar yang tidak bersalah. Tatmadaw, atau junta tentera yang kini mengawal negara itu selepas kudeta, sudah mula membunuh para demonstran yang tidak bersalah.
Nampaknya, penindasan serta pembunuhan ini tidak akan berakhir dalam masa terdekat.
Lebih dekat dengan kita, dua peristiwa yang baru berlaku merakam bagaimana keadaan semakin memburuk sejak kudeta regim ‘pintu belakang’ setahun lalu. Keduanya berkaitan dengan serangan ke atas kebebasan kita – lebih-lebih lagi kebebasan berekspresi – oleh regim yang tidak kompeten serta bodoh sombong ini.
Pertamanya dengan buku oleh bekas peguam negara berjudul My Story: Justice in the Widerness (2021) serta gangguan berterusan dari pihak berkuasa terhadap Pak Chong, pemilik Gerakbudaya, kerana menerbitkan buku itu.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Laporan polis – yang merupakan hobi bagi segelintir makhluk yang tidak membaca namun suka membuat rumusan terhadap orang lain yang mahukan pengetahuan baru tentang dunia ini – kemudiannya dibuat selepas buku ini diluncurkan.
Ancaman tindakan mahkamah telah dibuat, termasuklah oleh bekas perdana menteri, yang kini sedang berdepan perbicaraannya sendiri, namun, sehingga sekarang masih belum disabitkan.
Thomas sendiri tidak memohon maaf atau menarik balik apa yang ditulisnya, dan ramai di antara kita menanti saatnya segelintir ‘makhluk yang terluka’ ini untuk membawanya ke mahkamah bagi mencabar kesahihan penulisannya.
Sebaliknya, pihak polis merampas komputer kerja Pak Chong, nampaknya tanpa usul periksa, di mana dilaporkan bahawa tiada alasan diberikan kepada Pak Chong yang malang itu mengapa tindakan ini diambil.
Seringkali peristiwa sebegini membuatkan kita tertawa. Malangnya, sejak setahun lalu, keadaan semakin memburuk. Ribuan warga hilang kerja, ramai tidak berumah, bisnes gulung tikar serta ekonomi porak-peranda.
Sewaktu tempoh ini, kita bukan sahaja menyaksikan bagaimana sebuah kerajaan yang diundi secara sah digulingkan pada Mac 2020 oleh segerombolan ini, namun juga ketika pandemik berlaku di seluruh dunia, penggantungan Parlimen yang tidak diperlukan, pengisytiharan darurat yang dipersoalkan serta penguatkuasaan kawalan pergerakan yang caca-marba.
Sungguh, ianya waktu yang menggusarkan. Dan tindakan terhadap Pak Chong dan Gerakbudaya merupakan gangguan yang tidak diperlukan serta tiada tempat di dalam demokrasi.
Menyedihkan jika ianya cerminan betapa goyah dan pembulinya regim yang hanya sekadar mahu menyekat sudut pandang alternatif, kritik serta suara tandingan, dan tidak mahu mendebatkannya.
Perkara yang sama dapat kita katakana pada portal berita mandiri, Malaysiakini yang berdepan ancaman. Sejak 21 tahun kewujudannya, Kini, panggilan mesranya, seringkali bertembung dengan perundangan.
Kemuncaknya itu berlaku baru-baru ini ketika pendakwaan berkenaan kes menghina mahkamah di mana ketua editornya Steven Gan serta portal berita itu gagal menandingi tuduhan ini di Mahkamah Persekutuan, mahkamah tertinggi negara.
‘Penghinaan mahkamah’ itu terkandung bukan di dalam laporan portal, namun oleh lima komen pembacanya di bahagian komen laporan Kini pada 7 Jun 2020 yang berjudul “CJ orders all courts to be fully operational from July 1”.
Kini kemudiannya dipertanggungjawabkan dengan komen serta kandungannya itu oleh enam dari tujuh hakim yang bersidang di mana kenyataan itu “mengandungi perkataan yang menyinggung perasaan secara amnya serta ketua hakim secara khususnya”.
Pendek cerita, Gan tidak disabitkan kesalahan, namun Kini tidak begitu bernasib baik. Bukan sahaja itu. Walaupun peguam dari kedua-dua belah pihak hanya meminta denda dari tidak melebihi RM30,000 sehingga tidak melebihi RM200,000, mahkamah kemudiannya menyaman Kini sebanyak separuh juta ringgit, lebih dua kali ganda dari apa yang diminta oleh Pejabat Peguam Negara. Semuanya perlu dibayar kurang dari seminggu.
Ianya sebuah keputusan – serta jumlah – yang ditanggung Kini, serta ramai di antara kita di luar, di depan mata kita sendiri.
Sungguh, ianya waktu yang sukar – bagi Kini, serta media, dan juga, kebebasan berekspresi.
Namun, beberapa jam kemudiannya – sebenarnya empat jam selepas Kini melancarkan rayuan untuk bantuan atas talian daripada warga awam, kecewa bertuka menjadi kegembiraan, kegundahan bertukar syukur, yang digerakkan oleh semangat persis pertarungan David melawan Goliath. Walau David bertarung berat sebelah.
Ianya sebuah pencapaian besar bagi Kini, yang didorong oleh rakyat marhaen Malaysia yang datang bersama bagi membantu Kini dan menunjukkan rasa kita bersama. Semangat seperti inilah, yang menuntut agar sebuah permainan yang lebih adil perlu diterapkan, dan diserapkan kepada kepala para pemerintah. Secara berterusan. Berulang kali.
Dan seperti yang kita tunjukkan pada Kini bahawa kita bersama-sama dengan mereka sewaktu keadaan yang sukar, kita juga melakukan yang sama pada Pak Chong, Gerakbudaya serta mereka yang berani memperjuangkan kebebasan kita.
Jika kita tidak dapat bertarung bersama mereka, kita perlu mendukung cita-cita murni mereka dengan dukungan. Melalui kes Kini, sebuah pertarungan kecil namun penting sudah dimenangi.
Namun, kita wajib – dan kita akan – meneruskan kerja-kerja bagi memenangi peperangan ini.
Rom Nain
Editor bersama, Surat berita Aliran
22 Februari 2021
Terjemahan oleh Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme