Home Newsletters Fitnah bukanlah politik yang halal

Fitnah bukanlah politik yang halal

Islam tidak boleh terpalit dengan gambaran yang ia merelakan fitnah

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Ahli Parlimen Pas, Siti Mastura Muhammad baru-baru ini mencuri tumpuan menjadi tajuk berita utama apabila Mahkamah Tinggi memerintahkan beliau untuk membayar ganti rugi dan kos RM825,000 selepas beliau kalah dalam saman fitnah yang difailkan oleh tiga pemimpin DAP.

Ahli Parlimen Kepala Batas itu telah tersilap dengan sengaja mendakwa Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok dari DAP mempunyai kaitan dengan mendiang pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng. Ia kelihatan seakan imaginasi yang meliar.

Mastura boleh menghadapi prosiding muflis jika beliau gagal membayar jumlah penghakiman. Sekali gus, ia juga boleh menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai ahli parlimen, dan bakal mengakibatkan pilihan raya kecil.

Untuk mengelak akibat yang buruk dari keadaan ini, kepimpinan Pas melancarkan apa yang dipanggil sebagai “kutipan derma jihad” dalam kalangan ahlinya. Parti itu memerlukan ketua jawatankuasa pusat dan ketua negeri, bahagian dan cawangan parti untuk menderma sekurang-kurangnya RM500 setiap seorang. Sayap di peringkat persekutuan, negeri dan bahagian pula perlu mengumpul sekurang-kurangnya RM20,000 setiap satu.

Boleh difahami jika pimpinan Pas datang menyelamatkan Mastura atas nama solidariti parti. Namun, beberapa pemerhati menjadi bingung bahawa parti itu memilih untuk mengaitkan usaha menderma ini dengan jihad.

Jihad boleh difahami sebagai sesuatu yang wajib, contohnya melibatkan peperangan dalam bertindak balas terhadap pencerobohan atau pengkhianatan terhadap masyarakat Islam.

Namun, yang penting adalah jihad yang lebih besar, iaitu perjuangan rohani untuk menyucikan hati, menghindari kejahatan dan berkembang menjadi orang yang lebih baik.

Bagaimanakah melakukan fitnah dikira sebagai jihad sedangkan fitnah sendiri dianggap sebagai dosa besar dalam Islam kerana ia menimbulkan permusuhan dan perselisihan? Sesungguhnya melakukan dosa besar seperti memfitnah bukanlah suatu jihad.

READ MORE:  Taib's daughter loses defamation suit against Swiss NGO

Adalah malang dan jahat sekali jika istilah jihad kemudian digunakan untuk menggambarkan Mastura sebagai mangsa “muslihat mereka yang bukan Islam”, untuk tujuan menggembleng dan menghimpun para penyokong untuk berjihad menentang apa yang didakwa sebagai “musuh Islam”.

Pasti ada yang tertanya-tanya sama ada terdapat percubaan licik untuk membiasakan tindakan fitnah oleh kepimpinan Pas, memandangkan wujud segelintir ahli politik Pas yang seringkali didapati membuat dakwaan yang tidak terbukti terhadap musuh politik mereka. Sebagai contoh, pengerusi DAP Lim Guan Eng telah memenangi kes fitnah terhadap ketua Pas Perak Razman Zakaria pada September tahun lepas.

Penting untuk diulangi, mendesak ahli parti untuk membayar hasil fitnah sebagai sebahagian daripada jihad boleh menghantar mesej yang salah kepada mereka dan umat Islam lainnya seakan bahawa fitnah boleh diterima dalam Islam.

Ia juga menghantar isyarat yang salah bahawa adalah OK bagi seorang pemfitnah untuk enggan meminta maaf kepada yang difitnah. Nampaknya, maaf merupakan satu perkataan yang sukar untuk diungkap.

Memangsakan diri bukanlah satu perkara baru dalam politik Malaysia. Pada masa lalu, parti politik dan kumpulan masyarakat sivil tertentu telah memangsakan diri untuk cuba meningkatkan sokongan kepada parti politik mereka dari kalangan akar umbi mereka.

Merujuk kepada pihak ‘yang lain’ sebagai ancaman eksistensial kepada masyarakat majoriti etnik Melayu adalah sebahagian daripada muslihat ini.

Sebuah parti politik mungkin memburuk-burukkan sebuah kumpulan atau komuniti sebagai ancaman kepada kewujudan masyarakat yang kononnya diperjuangkan parti itu. Tindakan menakut-nakutkan sebegini sekali gus boleh memporak- perandakan masyarakat dengan lebih parah.

Sebagai contoh, menurut laporan, ada seorang pemimpin Pas pernah menuduh DAP, sebuah parti berasaskan etnik Cina, mempromosikan Islamofobia. Ini mungkin menimbulkan keresahan di kalangan anggota masyarakat Melayu-Islam dan mencetuskan kecaman daripada mereka.

READ MORE:  Why slander is not halal politics

Sebuah parti politik tidak seharusnya menggunakan fitnah untuk kekal relevan. Parti politik yang dihormati seharusnya mengelakkan diri mereka dari menggunakan muslihat sedemikian.

Pembangkang mempunyai peranan yang jauh lebih mulia: ia harus menawarkan idea dasar alternatif, memastikan kawal dan imbang yang demokratik, dan bekerja untuk kebaikan masyarakat.

Islam tidak boleh terpalit dengan gambaran yang ia merelakan fitnah. Menggunakan muslihat politik yang sedemikianlah yang boleh menyumbang kepada gejala Islamofobia.

Sebaliknya, marilah kita berjihad untuk kemanusiaan yang lebih baik.

Kami mengucapkan selamat menyambut Krismas dan selamat Tahun Baru kepada semua pembaca kami.

Mustafa K Anuar
Editor bersama, surat berita Aliran
28 Disember 2024

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x