Home Newsletters Gambaran kesengsaraan, ketidakcekapan serta ketololan melampau

Gambaran kesengsaraan, ketidakcekapan serta ketololan melampau

Ia bukan saja bencana fizikal malahan bencana dalam perancangan serta kepimpinan – dengan segala macam alasan mula diberikan

Ramai yang terkesan akibat dari respon yang tunggang-langgang – ZUNAR

Join us on Telegram and Instagram for the latest.

Tidak sampai dua minggu lalu, mereka-mereka ini cukup berlagak sekali dengan saling memuji antara satu sama lain kononnya sebagai pemimpin paling cekap hingga ada yang mendapat markah penuh walau dengan kepimpinan yang penuh caca marba sejak 100 hari yang lalu.

Semestinya, tiada seorang pun yang percaya inilah kabinet ‘terbaik’ Malaysia, kecuali para menterinya yang cukup celaru itu. Namun, apalah yang mereka pedulikan kecuali tetap terus mahu meraikan ‘kejayaan’ mereka.

Pastinya, inilah pesta melancap syiok sendiri yang dinantikan mereka di Putrajaya yang bukan saja membuatkan kita mengetap bibir menahan kemarahan tetapi juga tersipu malu sendiri. Apatah lagi, duit cukai kitalah yang dibazirkan mereka dalam pesta meraikan diri sendiri itu.

Kini, seminggu selepas itu, bencana melanda begitu banyak tempat di Malaysia, di mana yang paling banyak dilaporkan adalah di tengah denyut nadi kehidupan ekonomi Malaysia, di Lembah Klang.

Ia bermula tanpa apa-apa. Pada Jumaat petang 17 Disember, hujan bermula, pada awalnya renyai, namun mula lebat dan kerap sepanjang malam itu.

Pada Sabtu pagi, lebuhraya dan jalanraya tidak dapat dilalui dan air banjir mula naik dan memasuki rumah, mengejutkan penduduk, yang bercempera lari menyelamatkan diri. Ada yang mula beralih ke tingkat atas dan naik ke bumbung, yang lain ke pusat komuniti, seperti surau. Ada segelintir yang cuba menyelamatkan diri namun gagal kerana lebuhraya mula dibanjiri dan terpaksa bermalam di dalam kereta.

Imej yang tular di media sosial menangkap rasa putus asa, kebinasaan, ketakutan serta kecelaruan. Pusat pemindahan kecemasan mula didirikan, dengan ada beberapa lokasi yang pertama kali didirikan di Selangor dan Kuala Lumpur.

READ MORE:  Ayuh kita bergerak dari Politik Lapuk ke Politik Baru bersama-sama

Babak penuh kebinasaan dan putus asa ini sama seperti babak tahunan yang dialami oleh rakyat Malaysia di Pantai Timur yang merana cukup lama. Namun, kali ini, ianya dialami mereka di kawasan yang membangun pesat di Selangor dan Kuala Lumpur.

Apa yang tiada di dalam kebanyakan gambar ini hanya satu: pimpinan politik.

Gambar yang tular menunjukkan bagaimana PM menurunkan cermin hitam Toyota Vellfire-nya ketika mendengar seorang makcik yang menjerit nampaknya untuk menyatakan bahawa beliau sebenarnya sedang tersalah arah dan mangsa yang diselamatkan sebenarnya berada di dewan komuniti pada arah yang berbeza. Namun semuanya sia-sia, kerana pemandu PM tetap meneruskan perjalanan tanpa mempedulikan pun rungutan itu.

Oh, ada juga gambar yang dikongsi cukup ramai orang tentang bagaimana seorang pandir – maksud saya, menteri belia – sedang melancarkan majlis (yang sungguh tidak bermakna dan sia-sia) melibatkan sukarelawan muda yang mahu menyelamatkan mangsa banjir.

Abaikan sajalah seorang lagi menteri yang turun padang memakai kasut tumit tinggi serta para kehormat lainnya dengan gambar foto mereka yang cukup sempurna di mana hanya tumit mereka yang basah. Terlalu mencuba, terlalu menyedihkan.

Ada juga, di tempat mereka masing-masing, menunjukkan para Ahli Parlimen mengedarkan makanan dan menyelamatkan mangsa banjir. Wakil rakyat inilah benar-benar basah lenjun serta bertungkus-lumus di dalam selut. Usaha Hannah Yeoh, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ong Kia Ming ini patut kita hormati.

Yang lebih mengharukan adalah kisah pada kelompok masyarakat sivil yang bergegas turun bagi menolong mereka yang memerlukan saat bencana bermula. Mereka mula bekerja saatnya para ‘pemimpin’ negara baru mula berdengkur pada malamnya, dan saat mereka bangun tidur, ada pula di antara mereka yang enggan mahu membincangkan tentang krisis ini di Parlimen atas sebab-sebab teknikal seperti yang dipertegaskan Yang Dipertua Dewan Rakyat, yang cukup ‘manusiawi’ dan ‘cerdik’ yang kita tidak pernah miliki di dalam negara ini.

READ MORE:  No excuse for Malaysia's poor resilience to floods

Sekali lagi, kita semua tetap “kita jaga kita”. Gambar rakyat memandu 4×4 menuju ke Lembah Klang dengan bot ditambat dibelakangnya, tanda bersedia untuk bersukarelawan adalah bukti kepada semua ini.

Kerajaan pula adalah sebaliknya – dan ianya bukanlah kali pertama, nampaknya tidak pula kisah dan peduli.

Kelompok masyarakat dan individu ini nampaknya melihat dengan jelas bahawa tiada keperluan untuk menghantar notis kepada sesiapa pun, apatah lagi kepada yang dipertua mana-mana dewan, sebelum mula membantu. Mereka tidak menantikan Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma) atau PM yang sembab itu untuk memahami betapa seriusnya keadaan ini sebelum mula bertindak.

Saatnya air banjir mula mereda di kebanyakan tempat dan kita mula mengira kos kerugian akibat bencana di Malaysia – sebuah bencana fizikal serta bencana dalam perancangan dan kepimpinan – kita melihat bagaimana alasan sudah mula dibuat dan tuding menuding jari pun bermula.

Seperti yang kita baca melalui laporan di mana Nadma tidak membenarkan tentera untuk masuk dan memulakan tugas menyelamat kerana bagi mereka ia ‘bukanlah keadaan darurat’.

Saatnya bilangan penduduk yang diselamatkan meningkat dan bilangan kematian semakin ramai, barangkali agensi dan tuan mereka akan mula sedar, walaupun kita tahu bahawa mereka takkan meminta maaf kepada kita semua rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi kepada mereka yang terpaksa berdepan bencana serta kebodohan para politikus ini.

Nampak gaya, minta maaf ini bukanlah cara mereka. Bagi mereka, mentaliti bodoh sombonglah yang paling berguna di saat ini.

Dan perkara ini akan kekal berlarutan saatnya kita berdepan lebih banyak bencana dan bahana; kecuali kita berani mengatakan cukuplah, dan mendesak kebertanggungjawapan sekarang juga, dan benar-benar menghukum mereka saatnya pilihan raya akan datang.

READ MORE:  Devastating floods reveal multiple systemic failures

Rom Nain
Editor bersama, surat berita Aliran
21 Disember 2021

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:


The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x