Kita terus menyaksikan kehilangan besar nyawa serta pengeboman berterusan tentera Israel ke atas Gaza.
Tanpa makanan, air atau sokongan kemanusiaan, rakyat yang terperangkap di Gaza mengalami kehilangan yang memeritkan.
Setelah kehilangan seorang anak secara peribadi di Malaysia baru-baru ini, tidak dapat tidak, saya merasa simpati yang mendalam terhadap mereka yang telah kehilangan beberapa orang anak kerana rentetan peristiwa di Israel-Palestin. Ramai juga telah kehilangan tempat tinggal dan yang lain pula terpaksa melarikan diri lebih jauh ke selatan di Gaza – sebuah malapetaka yang tidak dapat dibayangkan.
Krisis ini berterusan tanpa henti. Media melaporkan seakan-akan peristiwa ini hanya bermula pada 7 Oktober, apabila Hamas melancarkan serangan ke atas Israel. Kita lupa bahawa Gaza adalah sebahagian daripada wilayah Palestin yang dijajahi Israel.
Sejarawan India dan profesor Universiti Columbia Vijay Prashad mempunyai komen yang menarik: “Ya, setiap negara mempunyai hak untuk mempertahankan diri. Ini adalah prinsip asas undang-undang antarabangsa. Walau bagaimanapun, mereka terlepas pandang bahawa Gaza bukanlah sebuah negara lain. Ia adalah sebahagian daripada kawasan yang digambarkan sebagai ‘wilayah Palestin yang dijajahi’. Ia tidak mempunyai status undang-undang sebagai sebuah negara.”
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Untuk kemudahan asas seperti air, elektrik dan bahan api, mereka terpaksa bergantung kepada kelulusan dan kawalan Israel. Gaza sering digambarkan sebagai penjara terbuka terbesar di dunia. Adakah salah secara moral bagi mereka untuk memperjuangkan kebebasan sendiri?
Di peringkat global, Gaza kekal sebagai salah satu kawasan yang paling padat penduduknya. Pengeboman tanpa henti yang tidak seimbang ini telah mengakibatkan lebih 10,000 kematian, dengan hampir 4,500 daripadanya kanak-kanak. Kemusnahan melibatkan infrastruktur ini akan memberi kesan kepada penduduk Gaza untuk tahun-tahun akan datang.
Pada zaman ini, kita semua bertanggungjawab secara kolektif akan peristiwa ini. Ingatlah bagaimana Revolusi Kebudayaan di China, pembunuhan beramai-ramai di Afrika, realiti yang pahit di Kampuchea (sebagaimana Kemboja dikenali pada 1975-79), perang Ukraine dan peristiwa semasa di Myanmar. Orang ramai terpaksa berpindah keluar dan ramai pula yang mati.
Kepentingan negara sering mengatasi keperluan manusia, dan perang dingin yang wujud hari ini sekali gus memburukkan lagi keadaan. Dengan kuasa veto dalam PBB, segala-galanya menjadi binari – menerima atau mengalah lebih mudah berbanding daripada mencapai persetujuan untuk tindakan tegas.
Walaupun wujud pendekatan moden untuk menyelesaikan konflik dan pengantaraan, tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap sesama manusia tetap berterusan. Mereka yang dijajah mempunyai hak untuk memperjuangkan kemerdekaan mereka. Untuk menafikan perkara ini kepada penduduk Gaza, yang telah mengalami kependudukan ini selama beberapa dekad, adalah untuk menafikan mereka hak asasi manusia dan kebebasan.
Sungguh tragis bahawa AS dan negara-negara Eropah yang menyokong demokrasi nampaknya tidak memahami perkara ini: tindakan balas yang tidak seimbang oleh Israel merupakan hukuman kolektif terhadap penduduk awam Gaza. Dengan berlepas tangan negara-negara ini dengan tidak melakukan sebarang tindakan, mereka membenarkan apa yang berlaku di Gaza dan tindakan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu itu.
Israel telah bersikap angkuh dalam tindak balasnya terhadap PBB. Beberapa kakitangan PBB sendiri telah meninggal dunia dalam serangan terbaru ke atas Gaza. Gesaan Israel agar setiausaha agung PBB meletakkan jawatan menampakkan penghinaannya terhadap PBB.
Namun, dengan perlindungan dari AS dan Eropah, Israel terus mempertahankan yang tidak dapat dipertahankan.
Sementara itu, Netanyahu terus mara ke hadapan, mencabar kedua-dua kuasa AS dan Eropah.
Tiada sesiapa pun yang berani mengambil pendirian untuk menyukarkan Israel meneruskan tindakannya ini. Sebaliknya, kedua-dua kuasa hanya beralah dan memberi ruang dan waktu agar tentera Israel dapat mencapai objektifnya.
Netanyahu yang ‘lapar darah’ ini langsung tidak berminat untuk mencapai keamanan. Beliau mahukan konflik dengan Gaza, dan tumpuannya kepada Hamas dilihat sebagai cara untuk mengekalkan dirinya berkuasa. Para Zionis ini perlu berundur untuk kita mempunyai peluang untuk keamanan wujud.
Sayeeda Warsi, ahli Dewan Pertuanan UK, menyatakan mengenai sokongan Netanyahu terhadap Hamas dari awal. “Sesiapa yang ingin menggagalkan penubuhan negara Palestin perlu menyokong penubuhan Hamas dan memindahkan wang kepada mereka. Ini adalah sebahagian daripada strategi kami untuk mengasingkan rakyat Palestin dari Gaza daripada mereka di Tebing Barat,” kata Netanyahu.
Dasar pecah dan perintah yang dijalankan beliau menunjukkan ketidakikhlasan beliau dalam mencari keamanan. Berikutan pembunuhan bekas Perdana Menteri Yitzhak Rabin pada perhimpunan damai di Tel Aviv pada tahun 1995, perjanjian Oslo kemudiannya berakhir. Kemudian, John Kerry, setiausaha negara AS pada 2013-17, juga melihat usahanya gagal.
Selagi Hamas kekal, Netanyahu boleh berhujah bahawa beliau tidak mempunyai rakan kongsi untuk keamanan di Gaza dan ini sekali gus mewajarkan perangnya.
Malah Netanyahu akan menandatangani perjanjian dengan syaitan untuk memastikan masa depan politiknya, kerana kerajaan gabungannya sekarang ada seorang yang mengaku dirinya seorang fasis serta seorang lagi disabitkan hukuman bersalah kerana menyokong organisasi “pengganas”. Uar-uar untuk menggunakan bom nuklear di Gaza baru-baru ini juga menyebabkan salah seorang menterinya dipecat.
Kemudian terdapat pula pertuduhan rasuah yang masih perlu dihadapi oleh Netanyahu serta perubahan undang-undang yang kejam – yang telah ditentang oleh rakyat Israel – melibatkan pengekangan bidang kuasa kehakiman. Hanya seorang ideolog yang komited kepada ideologi Zionisme boleh merasionalkan tindakan yang dahsyat serta kehilangan nyawa yang besar di kawasan Gaza sekarang. Tampaknya, Netanyahu langsung tidak mempunyai hati nurani.
Pun begitu, AS dan mereka yang di Barat langsung tidak mempunyai keberanian moral untuk menentang kezaliman zaman moden ini. Tidak mungkin kerajaan AS dan Eropah dapat membersihkan darah yang kini juga mengalir di tangan mereka. Prasangka serta rasa bersalah mereka ini sendirilah yang telah membutakan mereka daripada mengambil pendirian yang jelas. Beralah kepada kerajaan Israel ini mesti dihentikan.
Adalah wajar bagi semua negara untuk memfailkan tindakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atau Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Sudah tiba masanya untuk institusi antarabangsa ini menyatakan sikap mereka tentang kebebasan dan keadilan. Mereka perlu mempertanggungjawabkan Netanyahu atas segala jenayah perang yang dilakukannya. Jika ia gagal, ia seakan-akan mendorong yang lain pula untuk melakukan jenayah serupa.
Rakan saya Peter Shambrook, dalam buku terbarunya Policy of Deceit – Britain and Palestine 1914-1939, menganalisa sumber utama melibatkan urusan UK dengan pemimpin Arab, terutamanya dalam proses surat-menyurat 1915-17, yang menunjukkan bagaimana Britain bermuka-muka. Ini menyerlahkan keterlibatan UK dalam menyumbang kepada isu Israel-Palestin hari ini.
Masalah utamanya wujud di dalam Deklarasi Balfour 1917, di mana Britain membuat janji kepada pertubuhan Zionis yang tidak sesuai dengan janji yang mereka buat kepada pemimpin Arab ketika itu.
Surat itu, yang ditulis oleh Arthur Balfour, berjanji untuk memudahkan penubuhan rumah kebangsaan Yahudi di Palestin selagi “ia tidak melakukan apa-apa yang boleh menjejaskan hak sivil dan agama masyarakat bukan Yahudi sedia ada di Palestin”.
Kegagalan Britain mengenai peruntukan terakhir ini adalah jelas sehingga hari ini.
Negara-negara Eropah dan AS perlu mengambil pendirian yang tegas terhadap Netanyahu, di mana jika ia gagal, peristiwa baru-baru ini boleh berkembang menjadi krisis yang lebih serius dengan menarik pemain-pemain lain seperti Lubnan, Syria, Jordan, Arab Saudi, Mesir dan Iran. Ini akan menyebabkan keruntuhan dasar AS di Timur Tengah.
Sudah tiba masanya negara-negara ini memahami kehendak masyarakat global serta jurang yang wujud di antara kepentingan nasional mereka dengan rasa jijik rakyat mereka sendiri terhadap dasar dan realiti yang dihadapi mereka.
Zionisme semuanya adalah soal menubuhkan negara etno-nasionalistik. Ia secara eksklusifnya mengenai orang Yahudi dan malangnya, ia lebih menonjol daripada agama Yahudi itu sendiri. Apabila ideologi mengatasi kepercayaan yang ada pada sesuatu kaum, maka ia menimbulkan cabaran yang serius.
Ia semua berkisar tentang segelintir “orang yang terpilih”, hak mereka ke atas tanah asal mereka, dan ini menimbulkan pandangan serong tentang kemanusiaan. Kaum lain dipinggirkan menjadi bukan manusia, dan ini, dalam fikiran mereka, mengabsahkan tindakan mereka yang tidak berperikemanusiaan terhadap orang lain.
Kita menyaksikan bagaimana hal ini dimainkan di banyak tempat. Itulah sebabnya mengapa segala ideologi yang hanya berpusatkan etno – sama ada Zionisme atau “Hindutva” di India atau “ketuanan Melayu” – adalah idea yang secara asasnya hanya memecahbelahkan manusia.
Idea yang sedemikian hanya mewujudkan aparteid secara mental atau pengasingan dan perpecahan yang kemudiannya wujud menerusi dasar yang merendahkan pihak lain – dasar yang bersifat unilateral dan meminggirkan kepentingan serta hak pihak yang lain. Ketakutan terhadap yang lain itulah kemudian yang menjadi daya penggerak.
Idea populis itulah yang menghakis fabrik demokrasi hari ini.
Kita perlu memberi tumpuan kepada isu-isu yang membina dan menyatukan orang ramai, memenuhi keperluan mereka dan meningkatkan rasa hormat antara satu sama lain di luar garisan dan sempadan kaum, agama, kelas atau warna kulit.
Dalam dunia yang saling berkait dan saling bergantung hari ini, kita menyeru agar masyarakat saling menghormati kemanusiaan dalam usaha mewujudkan masyarakat yang berperikemanusiaan. Ini hanya mungkin apabila iman mentakrifkan cinta dan yang lain menjadi penting.
Kita perlu menekankan ciri-ciri progresif dan keterangkuman di dalam semua ajaran agama yang utama jika kita mahu mengharungi kekejaman yang kita saksikan hari ini. Dapatkah pelajaran sejarah hari ini menyumbang kepada masa depan yang lebih baik?
K Haridas
Editor bersama, surat berita Aliran
13 November 2023
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme