Umno, sebuah parti yang kononnya pelindung hak dan kepentingan kaum Melayu sejak merdeka, dijangka akan kehilangan Pahang, kubu kuat politiknya, pada pilihan raya umum akan datang.
Demikian dapatan tinjauan oleh Merdeka Center for Opinion Research.
Undi etnik Melayu nampaknya telah beralih kepada Perikatan Nasional dalam masa hanya setahun.
Umno telah pun kehilangan kubunya di Pulau Pinang (rakan gabungan Barisan Nasional ketika itu, Gerakan, tidak pernah menguasai Pulau Pinang sepenuhnya), Selangor dan Kelantan sejak beberapa tahun lalu. Parti dominan BN itu kemudiannya turut kehilangan Perlis, Kedah dan Terengganu.
Memandangkan peningkatan undi untuk Perikatan Nasional dalam enam pilihan raya negeri tahun lalu, hanya segelintir orang yang akan terkejut jika lebih banyak negeri jatuh ke pangkuan pakatan pembangkang.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Nampaknya, tiada apa yang dapat menghalang nafsu politik PN yang rakus daripada terus melanggar kubu kuat Umno dan mengekalkan momentumnya sehingga pilihan raya umum akan datang.
Banyak kerusi yang telah lama dipegang oleh Umno jatuh seperti domino dalam pilihan raya negeri tahun lalu. Parti itu juga gagal mengumpulkan penyokongnya untuk mengundi gabungan Pakatan Harapan, rakan BN dalam “kerajaan perpaduan”.
Pada pilihan raya umum 2022, PN mengalahkan Umno 17-16 di kerusi Dewan Undangan Negeri Pahang. (PN juga menawan tujuh kerusi parlimen di Pahang berbanding lima kerusi untuk Umno.) Umno akan kehilangan kerajaan negeri jika tidak kerana sokongan daripada PH, yang memenangi lapan kerusi. PH membalas sokongan yang diterima daripada BN untuk membentuk kerajaan persekutuan dengan memberi sokongan kepadanya di peringkat negeri Pahang,
Adakah Pahang akhirnya akan jatuh ke tangan PN pada pilihan raya umum akan datang? Melihat kepada peta pilihan raya, serangan PN datang dari arah Terengganu, negeri di mana rakan gabungan PN, Pas, menyapu bersih semua kerusi.
Menariknya, Umno berpendapat satu-satunya cara ia boleh pulih dari segi politik adalah dengan berpegang kepada seorang individu yang hampir memusnahkan parti dan negara secara berseorangan – Najib Razak. Parti itu melakukan segala yang mungkin untuk membawanya pulang ke dunia politik secepat mungkin. Umno fikir para pengundi Melayu, yang akan tertarik dengan karisma palsu Najib, akan kembali beramai-ramai mengundi partinya.
Tetapi ‘diskaun’ hukuman yang diberikan kepada Najib oleh Lembaga Pengampunan tidak diterima baik. Lebih ramai orang terkejut apabila mengetahui nampaknya terdapat layanan khas melibatkan kedaulatan undang-undang dan sistem keadilan kita. Jika anda seorang miskin dan mencuri makanan, seringkali tidak akan ada belas kasihan dan anda mungkin akan dihukum dengan berat. Tetapi bagi golongan bangsawan dan ahli politik, betapa korupnya mereka, mereka mungkin mendapat ‘diskaun’ besar – dan mungkin juga layanan VIP di penjara?
Umno tahu undi para etnik minoriti di Malaysia, yang marah dengan politik toksiknya, telah pun banyak hilang. Lihatlah desakan boikot KK Super Mart oleh ketua sayap pemuda Umno yang tidak berhemah, Dr Muhamad Akmal Saleh, dan betapa cepatnya kepimpinan Umno menyokong gesaannya yang semberono itu.
Sokongan kepada ahli politik Umno sebegini daripada pengundi separa bandar semakin merosot sedangkan undi bandar telah pun lama hilang.
Orang yang tahu tentang politik serta yang telah dilukai oleh rentetan politik toksik yang melulu sebegini tidak akan mudah melupakan buli dan penghinaan yang diterima dari partinya.
Oleh itu, kelangsungan Umno hanya bergantung kepada usaha merebut semula undi Melayu daripada PN. Namun, ia adalah sesuatu yang sukar. Enam pilihan raya negeri tahun lepas menunjukkan – dan ia telah disahkan oleh tinjauan Merdeka Center – bahawa undi Melayu tidak berhenti-henti mengalir kepada PN.
Umno barangkali masih boleh mengawal politik di kampung Melayu melalui komplot politik yang digerakkan di peringkat majlis tempatan, peruntukan kewangan di peringkat persekutuan dan kelulusan projek.
Namun, ruang yang lebih berkuasa sebenarnya adalah masjid, surau dan acara keagamaan Islam di mana pendakwah PN cukup memegang erat jiwa Melayu.
Bukanlah sebuah kebetulan presiden Umno itu diberikan portfolio Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Kementerian ini bertanggungjawab ke atas pembangunan luar bandar (baca kampung, tempat tinggal ramainya orang Melayu), pembangunan masyarakat, bumiputera, pekebun kecil dan pemulihan tanah.
Semua ini merujuk kepada kampung-kampung, di mana wujudnya keperluan Melayu, minda Melayu dan seterusnya bank undi orang Melayu.
Undi daripada etnik minoriti – yang telah pun lenyap bersama MCA, MIC dan Gerakan – nampaknya tidak lagi diidamkan oleh Umno lagi.
Parti dominan di dalam BN itu sepenuhnya sedar yang hari-hari di mana ia mempunyai kawalan monopoli ke atas tampuk persekutuan telah pun berakhir. Kelangsungannya kini bergantung pada hubungannya dengan gabungan lain yang menerajui kerajaan. Ia hanyalah salah satu daripada gerabak kereta api, bukan lagi lokomotif.
Kementerian yang diterajui oleh presiden Umno Zahid Hamidi mempunyai semua alat yang diperlukan partinya untuk pulih dari segi politik, jika dia pandai menggunakannya dengan baik. Di bawah kuasanya, beliau mempunyai Kemas (untuk pembangunan masyarakat), Jakoa (untuk Orang Asli) dan Mara (untuk perniagaan dan biasiswa pelajar).
Di bawah bidang kuasanya, beliau juga mempunyai pihak berkuasa pembangunan di negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu (negeri sekarang di bawah pimpinan Pas), serta agensi pembangunan di Johor dan Pulau Pinang.
Lebih cantik, Zahid juga seorang Timbalan PM, yang memberinya hak untuk menjual mukanya ke mana-mana sahaja.
Portfolio lain yang dipegang oleh menteri kabinet daripada Umno barangkali tidak akan banyak membantu dalam usahanya mengembalikan undi Melayu – kecuali untuk pertahanan (undi tentera), perdagangan dan industri (usahawan), pendidikan tinggi, perladangan dan komoditi, bersama dengan portfolio beberapa timbalan menteri, yang memainkan peranan yang lebih kecil.
Jadi, Umno kini berada dalam mod survival. Kerajaan “Madani” kehilangan begitu banyak kerusi utama kepada PN, disebabkan oleh kekalahan teruk Umno dalam beberapa pilihan raya negeri tahun lepas. Sebahagian besar berpendapat ia akan menjadi tugas berat bagi Umno untuk tidak terus lenyap dalam pilihan raya umum akan datang.
Kapal Umno telah pun hilang angin dalam layarnya yang compang-camping itu dan dengan memalukan, gagal menghalang ‘gelombang hijau’ daripada memamahnya. Adalah satu pertaruhan yang sia-sia, malah bodoh, bagi Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengorbankan lebih banyak kerusi kepada Umno dengan memberinya lebih banyak kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang, hanya untuk mudah diratah oleh PN.
Setakat ini, tiada tanda-tanda Umno sedang melakukan perkara yang betul untuk memenangi hati dan fikiran. Demografi – undi Melayu – hanya melebihi 50% daripada penduduk Malaysia. Bumiputera lain, terutamanya dari Sabah dan Sarawak, tidak semestinya menyokong dasar perkauman Umno.
Jadi perebutan undi Melayu akan diperjuangkan menerusi empat cara: Pas dan Bersatu – yang berjuang untuk hidup, Umno dan PKR + Amanah.
Tetapi dengan membuang begitu banyak pemimpin berpengaruh yang terdahulu serta kehilangan hala tuju selepas pilihan raya umum lalu, Umno tiada lagi daya tarikan dan sinarnya.
‘Diskaun’ hukuman 50%, siri rentetan di mana para panglima Umno yang menerima hukuman lepas tanpa pembebasan, dan tingkah laku Akmal yang angkuh hanya membantu menguburkan parti untuk selamanya.
Boikot – sokong membawa rebah?
Ramai penganut Islam berang dengan isu stoking yang mengandungi perkataan “Allah” yang didakwa dijual di KK Super Mart, menganggapnya sebagai menghina agama.
Walaupun kita tahu sekarang ia tidak dilakukan dengan sengaja dan telah melalui banyak peringkat pemeriksaan – kastam, pengimport, pembekal dan kawalan kualiti KK – entah bagaimana, stokin itu masih terlepas untuk dijual.
Seadilnya, sebaik sahaja laporan polis telah dibuat dan mereka yang terlibat kemudian didakwa di mahkamah, orang ramai harus membiarkan undang-undang dan keadilan dijalankan.
Itulah titah Agong kita, Sultan Ibrahim. Tiada siapa yang patut menyemarakkan lagi kemarahan. Sebaliknya, mereka harus terus menghormati sensitiviti kepercayaan masing-masing dan mengekalkan keamanan dan ketenteraman.
Di negara yang rencam seperti Malaysia, konflik kecil kadangkala timbul disebabkan oleh budaya dan tradisi yang berbeza. Untuk mengatasi keadaan sedemikian, kita mesti bersedia untuk meredakan konflik dengan cepat bersama-sama dan kekal bermotivasi untuk membina suasana keterangkuman melibatkan semua rakyat Malaysia.
Malangnya, sesetengah ahli politik terbawa-bawa oleh emosi, didorong oleh keangkuhan untuk kekal berkuasa. Mereka melampaui batas dalam cubaan untuk kekal relevan.
Gesaan boikot oleh ahli politik Umno tertentu adalah tidak perlu kerana apa yang mereka lakukan secara tidak langsung menghukum seluruh penduduk.
Mesej yang dihantar adalah, tidak kira betapa besar francais bisnes anda, berapa banyak pelaburan yang ada dan berapa ribu pekerjaan yang sedang dipertaruhkan, akan ada ahli politik tertentu yang tidak akan teragak-agak walau sesaat, untuk memusnahkan perniagaan anda jika ia menyebabkan mereka tidak senang hati.
Apakah mesej yang dihantar kepada bakal pelabur? Cubalah teka, komuniti manakah yang paling rugi?
Malaysia adalah negara dengan majoriti orang Islam. Iman bertumpu pada keamanan, belas kasihan dan tolak-ansur.
Tetapi apakah mesej yang kita sedang sampaikan kepada dunia? Bahawa Islam yang kita anuti di Malaysia ini, entah bagaimana, ada perbezaannya? Bahawa kita langsung tidak mempunyai belas kasihan dan tidak mahu tolak-ansur?
Apa yang salahnya dengan kita? Mengapa kita terlalu cepat menghukum orang lain? Kenapa kita mudah terluka? Kita tidak seperti ini 30-40 tahun dahulu. Apa yang telah berubah? Mengapa empati tidak lagi dibiasakan?
Syukur kepada Tuhan, Pas tidak masuk campur hal ini – kerana pengikutnya diketahui lebih mudah terdedah kepada emosi yang cepat dalam isu-isu sebegini. Tetapi mereka tidak terlibat terus. Inilah yang menyelamatkan negara kita daripada terus terbakar. Kali ini, mereka hanya membiarkan kebijaksanaan untuk terus berlaku.
Pakar politik ada menawarkan dua sebab untuk ini.
Pertama, KK Super Mart dipercayai terlibat dalam beberapa aktiviti melibatkan Pas. Jadi, mungkin pemimpin Pas telah dinasihatkan supaya menjauhi kontroversi ini.
Sebab yang kedua lebih menarik, jika ia benar. Tanggapilah ia sebagai strategi politik taktikal yang cemerlang, di mana Pas hanya membiarkan Umno sendirian untuk menghadapi kemarahan para pelabur dari etnik minoriti dan rakyat biasa. Dengan cara ini, Umno akan lebih menjengkelkan dan mengecewakan pengundi etnik minoriti dan akhirnya menghadapi kemarahan mereka pada pilihan raya akan datang. PN, sebaliknya, dapat menggambarkan dirinya sebagai alternatif yang lebih ada belas kasihan, bertolak ansur dan berperikemanusiaan. Ia juga akan mendapat lebih banyak simpati dan juga undi daripada etnik minoriti.
Jadi Umno sekarang dengan senang hati menggali kuburnya sendiri.
Kini, pemilik KK Super Mart telah pun menemui secara peribadi dan memohon maaf kepada raja, jadi hal ini patut dikira sudah pun selesai.
Sarajun Hoda Abdul Hassan
Editor bersama, surat berita Aliran
5 April 2024
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme