Home Newsletters Hukuman mati harus dihentikan

Hukuman mati harus dihentikan

Menggantung para pesalah, apatah lagi keldai dadah, tidak menghentikan penyeludupan dadah

- KALHH/PIXABAY

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Saya harap semua pembaca dapat meraikan cuti Raya dengan penuh kemeriahan.

Sewaktu meraikan musim perayaan serta ditemani oleh orang tersayang, sanak saudara dan taulan, diharapkan kita juga dapat mengingati kesedihan keluarga mendiang Nagaenthran Dharmalingam, yang dijatuhkan hukuman di Singapura baru-baru ini kerana menyeludup 43g heroin ke republik itu sebagai keldai dadah hampir sedekad yang lalu.

Walaupun terdapat percubaan oleh peguam, aktivis, jutawan British Richard Branson, penyiar Stephen Fry dan, akhir sekali, ibu Nagaenthran sendiri yang cuba untuk menyelamatkan beliau dari tali gantung, pihak berkuasa di republik itu masih berkeras hati untuk menjalankan hukuman mati tanpa memikirkan cara lain seperti hukuman penjara seumur hidup.

Pencabaran di mahkamah pada saat akhir yang dilakukan oleh ibunya yang berumur 60 tahun, Panchalai Supermaniam, dilaporkan diketepikan oleh Mahkamah Rayuan di republik itu sebagai sesuatu yang “semberono”.

Fakta bahawa Nagaenthran adalah seorang yang mempunyai kurang upaya intelektual nampaknya bukanlah sebuah faktor bagi dijatuhkan hukuman yang lebih ringan. Belas ihsan juga nampaknya tidak memainkan peranan dalam memastikan keadilan dapat diberikan kepada beliau, yang mempunyai IQ 69 itu.

Ramai yang di Malaysia terkejut dengan keputusan mahkamah, yang mengakibatkan lelaki berumur 34 dari Tanjung Rambutan ini dihantar ke tali gantung. Tidak peliklah bahawa mereka cukup marah bahawa kehidupan seseorang yang cukup berharga sebegini dengan mudah dihabisi.

Namun peristiwa ini cukup signifikan: ia menyalakan semula tuntutan para aktivis agar hukuman mati untuk dimansuhkan kerana ia bukanlah sebuah langkah pencegahan yang efektif dalam melawan penyeludupan dadah.

Sebaliknya, ramai yang ditahan dan digantung seringkali adalah mereka dari ‘rantai makanan’ paling rendah – iaitu hanyalah keldai dadah itu sendiri. Kebanyakan tauke dadah nampaknya tetap menjalankan perniagaan tanpa diganggu oleh perundangan.

READ MORE:  Politicians must stop giving festive cash handouts

Janganlah pula kita di Malaysia ini disamakan seperti mereka yang tinggal di rumah kaca yang hanya tahu membaling batu sahaja; kita juga patut berani mempersoal hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah serta jenayah serius lain yang turut dikenakan di seberang tambak kita sendiri.

Walaupun kita bersyukur bahawa kerajaan Malaysia juga sudah menetapkan penangguhan ke atas hukuman mati mandatori, hukuman mati masih kekal di dalam buku perundangan. Ini cukup membimbangkan, kerana terdapat ramai lain Nagaenthran yang menderita menjadi banduan menanti hukuman.

Perlu ada tekad politik untuk menghapuskan hukuman mati, yang melibatkan pengambilan nyawa orang lain, sekali gus mencemar kesucian nyawa sesebuah kehidupan.

Para pendokong hukuman mati menyatakan bahawa penyeludupan dadah itu sendiri memberi kesan terhadap kehidupan manusia dan mengakibatkan kesakitan kepada orang yang tersayang akibat ketagihan.

Namun menggantung para pesalah, khususnya keldai dadah, juga tidak menghentikan penyeludupan dadah secara efektif. Yang terjadi saatnya hutang darah dibayar darah ini hanyalah mengakibatkan lebih ramai menjadi mangsa.

Selagi mana penyeludupan dadah ini menjadi industri bernilai berbilion ringgit, ia akan tetap subur, apatah lagi ia melibatkan bukan sahaja tauke dadah tapi juga sosok yang berjawatan tinggi dengan kepentingan peribadi.

Ada juga beberapa keldai dadah yang terlibat dengan bisnes pengedaran dadah akibat dari keadaan hidup peribadi yang ekstrem, misalannya kemiskinan tegar, yang mengakibatkan segalanya menjadi kabur di antara soal kehidupan dan kematian.

Ini bukan bermakna kita mendukung pengedaran dadah. Namun, para keldai dadah di peringkat awal ini, khususnya, berhak mendapat peluang kedua dalam hidup – berbanding jika kehidupannya terus dihabisi. Berlembut di dalam menjatuhkan hukuman bagi penyeludupan dadah bukanlah bermaksud kita mendukung penyeludupan atau, lebih teruk lagi, hanya berserah dan mengikut kata pengedar dadah. Ia hanya bermaksud untuk mempunyai belas ihsan kepada mereka.

READ MORE:  No to death by hanging: More humane to impose longer prison terms

Dalam hal yang sama, kita juga tidak mencadangkan agar dikenakan hukuman mati kepada mereka yang dijatuhkan hukuman bersalah kerana menyalahgunakan dana awam – walaupun kita tahu rasuah di peringkat atasan seringkali menyebabkan hasil mahsul kita berkurangan.

Jika dana awam ini tidak disalah guna, ia dapat digunakan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat marhaen, lebih-lebih lagi yang miskin dan terpinggir.

Sebaliknya, rasuah yang berleluasa itu mengakibatkan penderitaan yang cukup mendalam – dan kadang-kala, kematian – kepada mereka yang mudah terjejas, yang sangat memerlukan bantuan kerajaan.

Banyak hospital awam, misalannya, tidak dilengkapi peralatan yang baik bagi merawat pesakit dengan efektif kerana kekurangan dana kerajaan untuk menggaji pakar, membeli peralatan moden serta memperbesar kemampuan hospital. Yang terjadi, kekurangan katil di hospital mengakibatkan ada pesakit dinafikan rawatan dengan segera.

Segelintir daripada 20% golongan paling rendah dalam masyarakat berkemungkinan berdepan kelaparan serta tidak mendapat khasiat akibat tidak mempunyai pendapatan yang cukup bagi mendapatkan hidangan yang seimbang serta berkhasiat. Ini adalah kerana rasuah memberi kesan kepada pendapatan awam sekali gus mengakibatkan kerajaan tidak mampu untuk menyediakan mereka dengan bantuan kewangan  yang mencukupi.

Pendidikan, yang sepatutnya dapat memberikan peluang untuk mereka keluar dari lingkaran kemiskinan, tidak dapat digapai oleh pelajar yang miskin, kerana dana awam yang sepatutnya digunakan bagi membiayai biasiswa serta yuran belajar semakin susut.

Kita juga mendengar bagaimana hukuman mati dikenakan bagi pesalah rasuah di negara seperti China bagi menunjukkan bahawa mereka tekad melawan rasuah.

Kita tidak perlu mengambil jalan yang ganas. Bayangkan berapa ramai rakyat Malaysia yang bersalah, tanpa mengira keadaan kehidupan mereka, yang digantung jika hukuman mati dikenakan kepada para pesalah rasuah di sini!

READ MORE:  Danger on the roads: How do serial offenders slip through the cracks?

Diharapkan, hukuman penjara seumur hidup atau penjara dalam tempoh yang lama akan menjadikan pesalah untuk sedar tentang kebodohan jenayah yang dilakukan mereka, dan akhirnya berubah. Program pemulihan yang berkesan pastinya sangat membantu.

Pemansuhan hukuman mati perlu disertakan dengan penekanan baharu tentang nilai sosial yang murni bagi membentengi segala sifat tamak haloba, penyalahgunaan kuasa serta eksploitasi manusia.

Mustafa K Anuar
Editor bersama, surat berita Aliran
6 Mei 2022

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x