Indonesia selesai pilihan raya presiden dan dewan perwakilannya pada 14 Februari lalu.
Dengan hampir 205 juta pengundi berdaftar, Indonesia merupakan negara demokrasi ketiga terbesar di dunia, hanya diatasi oleh India dan AS.
Digelar sebagai “Festival Demokrasi”, hari pengundian di Indonesia mempunyai suasana karnival. Petugas pilihan raya di pusat mengundi seringkali ‘Cosplay’ sebagai watak adiwira Marvel dan hantu tempatan seperti pontianak dan pocong.
‘Festival Demokrasi’ ini juga mempunyai sisi malangnya yang biasanya meragut berpuluh-puluh nyawa – bukan kerana adanya konflik ganas tetapi akibat keletihan semata-mata dalam menjalankan pilihan raya di seluruh 17,000 pulau kepulauan yang luas itu. Pada pilihan raya kali ini, 57 petugas pilihan raya meninggal dunia manakala 8,381 dilaporkan jatuh sakit.
Ini adalah peningkatan besar berbanding pilihan raya 2019, yang meragut nyawa 894 petugas pilihan raya, juga diakibatkan keletihan melampau dan pelbagai penyakit sedia ada. Di Malaysia, dengan bilangan hanya satu persepuluh daripada pemilih berdaftar di Indonesia, jumlah kematian berkaitan pilihan raya yang begitu mengejutkan itu sama sekali tidak dapat diduga dan tidak pernah didengari.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Namun, ini bukannya perkara utama artikel saya. Kesan buruk pilihan raya Indonesia 2024 melangkaui pengorbanan para pekerja pilihan rayanya. Pilihan raya ini telah menyaksikan Indonesia kembali ke zaman autoritariannya, lebih dikenali sebagai era “Orde Baru”, selepas memulakan proses pendemokrasiannya sejak 1998. Ia sememangnya hari yang menyedihkan bagi mereka yang mementingkan hak asasi manusia dan cita-cita demokrasi.
Bakal pemenangnya, Prabowo Subianto, adalah anak kandung kesayangan Orde Baru. Bekas tentera dan menantu kepada Presiden Suharto yang digulingkan itu terkenal dengan rekod hak asasi manusia yang buruk. Semasa menjalankan operasi ketenteraan di Timor Timur pada 1980-an, tentera pimpinannya melakukan banyak kekejaman, cuba – dan akhirnya gagal – untuk menggagalkan perjuangan kemerdekaan Timor.
Sebagai ketua pasukan khas Kopassus dan komando strategik Jakarta Kostrad pada kemuncak demonstrasi dan protes Reformasi pada akhir 1990-an, beliau mengarahkan anak buahnya untuk menculik dan menyeksa 22 aktivis politik, 13 daripadanya hilang dan dianggap mati.
Selepas kejatuhan rejim Orde Baru pada Mei 1998, Prabowo didapati bersalah oleh majlis tentera dan diberhentikan terus daripada ketenteraan. Selain itu, kerana pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukannya, dia dilarang memasuki AS sehingga larangan itu ditarik balik beberapa tahun lalu.
Malangnya, pendemokrasian Indonesia yang tidak sempurna itu telah membenarkan tokoh Orde Baru yang terkenal seperti Prabowo untuk memulihkan imejnya dan membuat kemunculan semula politik. Pemilihan ini adalah percubaan ketiga Prabowo untuk jawatan presiden dan kali ketiga beliau dalam tempoh 10 tahun lalu.
Ketika pertama kali bertanding pada 2014, beliau menggambarkan dirinya sebagai pemimpin ultra-nasionalis yang sanggup berperang demi mempertahankan kedaulatan Indonesia dan menjadikan Indonesia sebagai negara demokrasi terpimpin yang dirinya menjadi tunjang utama.
Pada tahun 2019, kempennya disokong oleh golongan Islamis radikal yang menunggang kejayaan demonstrasi besar-besaran Aksi 212 terhadap bekas gabenor bukan-Islam Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok.
Pada pilihan raya 2022, Prabowo menjenamakan semula dirinya sebagai seorang datuk yang kelakar dan comel (gemoy) yang menari secara janggal dalam video TikTok.
Terus hilang imej seorang jeneral tentera yang bercakap dengan kasar dan pemarah. Prabowo kini merupakan warga emas kegemaran Indonesia yang tidak lagi mengancam di negara itu di mana pengundi muda di bawah 40 tahun membentuk lebih separuh daripada bilangan pengundi.
Yang pasti, kemerosotan demokrasi di Indonesia tidak bermula saat Prabowo menjadi presiden – walaupun ia menandakan titik nadir era pasca Reformasi. Kebrobokan itu bermula sejak pentadbiran Presiden Joko Widodo yang pincang selama dua penggal.
Aktivis hak asasi manusia dan rakyat Indonesia yang berfikiran reformasi menaruh harapan tinggi apabila Jokowi memegang jawatan Presiden pada 2014 sebagai orang pertama yang bukan daripada latar belakang elit politik atau tentera. Namun, mereka hanya akan berdepan dengan kekecewaan cukup besar.
Ia tidak mengambil masa lama untuk Jokowi menunjukkan rasa tidak senangnya terhadap cita-cita demokrasi, terutamanya ketika penggal kedua pemerintahan apabila beliau berjaya mengukuhkan kuasanya, sehinggakan gabungannya menguasai lebih 80% kerusi di parlimen. Ini secara jelas hanya menjadikan parlimen Indonesia sebagai pengabsah kepada dasar presiden.
Selepas itu, Jokowi melantik Prabowo sebagai menteri pertahanan selepas kekalahannya dalam pilihan raya 2019. Ada yang menanggapi Jokowi sebagai seorang yang berjiwa besar dan sanggup mengetepikan perbezaan demi kebaikan bersama negara. Yang lain pula berpendapat ia adalah satu muslihat politik yang licik untuk meneutralkan pesaingnya.
Tidak kira bagaimana seseorang mahu menganalisa apa yang berlaku, pelantikan Prabowo sebagai menteri pertahanan memberinyanya talian hayat dan membolehkannya menghidupkan semula cita-cita politiknya dan membaiki imejnya.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Jokowi cuba melemahkan agensi anti-rasuah negara. Agensi itu telah lama terkenal untuk bertindak mandiri dan berani dalam menangkap ahli politik terkenal yang korup.
Pentadbirannya juga meluluskan Undang-undang Omnibus yang sangat kontroversi yang meliberalisasikan ekonomi dengan mengorbankan hak buruh, perlindungan alam sekitar dan autonomi tempatan.
Pada satu ketika, Jokowi dan penyokongnya malah ‘bermain’ dengan idea untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan beliau kekal untuk penggal ketiga. Respon balas daripada orang ramai akhirnya menghalang cadangan itu walaupun tahap popularitinya tinggi.
Jokowi kemudian mengambil langkah yang seterusnya: meletakkan anaknya Gibran Rakabuming Raka, sebagai calon naib-presiden Prabowo. Namun, terdapat satu masalah kecil: Gibran yang berusia 36 tahun tidak memenuhi umur minimum 40 tahun yang ditetapkan oleh perlembagaan.
Mahkamah perlembagaan, yang diketuai oleh abang ipar Jokowi, kemudiannya ada untuk menyelamatkan di mana dibuat ketetapan bagi pengecualian melibatkan Gibran.
Sokongan terang-terangan Jokowi terhadap kempen Prabowo-Gibran dilihat sebagai tingkah laku yang tidak sesuai dengan dirinya selaku penyandang presiden, yang sepatutnya menunjukkan sikap berkecuali dalam pemilihan itu.
Pengkritik menuduh pentadbiran Jokowi melakukan pelanggaran etika seperti menetapkan tempoh bantuan sosial dan tunai kerajaan ketika berlakunya kempen presiden, menggerakkan pemimpin tempatan yang dipilih untuk mengaut undi untuk Prabowo-Gibran, dan menakut-nakutkan mereka yang menyokong calon lain.
Penggal kedua Jokowi (2019-2024) mempercepatkan kemerosotan demokrasi Indonesia dengan menukar banyak polisi baik yang diperjuangkan oleh gerakan Reformasi.
Pemilihan Prabowo sebagai Presiden baharu mempercepat kemerosotan yang tidak dapat dielakkan Indonesia ke arah Orde Baru 2.0.
Ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia yang progresif dan berfikiran reformasi.
Mengekalkan cita-cita demokrasi adalah perjuangan yang berterusan walaupun sudah berakhirnya pemerintahan kuku besi Umno-Barisan Nasional pada 2018.
Kita mesti berwaspada dalam memastikan kerajaan meneruskan Agenda Rakyat dan memastikan reformasi pendemokrasian diteruskan dan dipelihara.
Saki-baki era autoritarian tidak boleh dibenarkan untuk mengolah semula diri mereka sebagai ‘demokrat’ dan memperburukkan sistem demokrasi dari dalam. Dengan kebangkitan politik populis di seluruh dunia sekarang, kita melihat demokrasi mati secara perlahan, kematian yang menyakitkan dengan seribu luka kecil.
Selama bertahun-tahun, Indonesia menjadi mercusuar demokrasi di rantau yang dikuasai oleh rejim separa autoritarian, junta tentera dan monarki mutlak.
Kini cahaya demokrasi itu telah melemah menjadi kerlipan dan berada dalam keadaan merbahaya untuk terus dipadam.
Semoga penubuhan semula Orde Baru 2.0 di Indonesia akan mendorong pembentukan gerakan Reformasi 2.0 untuk membawa Indonesia kembali ke landasan demokrasinya.
Sementara itu, jangan lupa tanggungjawab kita di Malaysia untuk mengawal kerajaan kini sambil belajar daripada jiran kita di seberang.
Azmil Tayeb
Editor bersama, surat berita Aliran
28 Februari 2024
Terjemahah oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme