Home Newsletters Kampung Baru: Daripada penempatan semula secara paksa kepada perumahan kekal yang lestari

Kampung Baru: Daripada penempatan semula secara paksa kepada perumahan kekal yang lestari

Memahami bagaimana para penduduk di kampung baru mengharungi keadaan yang sukar semasa 'Darurat' dan bangkit dengan jati diri dan warisan

A new village in the 1950s

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Kem itu dikelilingi dengan dua lapisan pagar kawat berduri. Setiap orang yang ingin masuk atau keluar kem untuk, misalnya, keluar bekerja, terpaksa melalui pos pemeriksaan serta dikawal oleh anggota keselamatan bersenjata. Penduduk kampung perlu mengemukakan Kad Pengenalan (IC) mereka – yang mengandungi gambar, alamat dan butiran peribadi lain – untuk penelitian di pusat pemeriksaan. Waktu itu, diwajibkan oleh undang-undang untuk membawa IC pada setiap masa.

Pemeriksaan badan adalah wajib. Tiada sesiapa pun dibenarkan membawa ubat, makanan yang tidak dimasak atau makanan yang dimasak melebihi daripada satu hidangan untuk seorang; minyak tanah, minyak masak atau bahan api; atau pun kertas dan bahan tulisan juga dilarang untuk dibawa keluar dari kem.

Perintah berkurung dikuatkuasakan dengan ketat dan tiada sesiapa dibenarkan keluar atau masuk ke kem dari waktu senja hingga subuh, 7.00 malam hingga 5.00 pagi. Terdapat rondaan di sekitar kem, di antara dua lapisan pagar perimeter, sepanjang malam. Kadangkala, pihak keselamatan mungkin akan melakukan pemeriksaan rawak ke atas rumah seseorang semasa perintah berkurung, dan menangkap sesiapa yang ditemui jika individu itu tidak disenaraikan sebagai penghuni rumah tersebut.

Foto setiap orang dalam isi rumah juga akan ditampal di dinding.

Jika pelanggaran keselamatan berlaku, memasak dan makan secara gotong-royong mungkin dikuatkuasakan – hanya mereka yang mempunyai kad catuan akan dihidangkan makanan.

Dari semasa ke semasa, mungkin ada panggilan untuk semua penduduk berkumpul di hadapan kem. Kadang-kadang, ia hanya untuk memberikan arahan dan maklumat penting kepada semua. Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan kem, akan berlaku sekurang-kurangnya satu peristiwa, di mana seorang individu dengan wajah bertutup akan melewati semua yang hadir semasa panggilan, dan mungkin terdapat seorang atau beberapa individu dikenal pasti oleh orang yang ditutup wajahnya itu sebagai penyokong pasif atau terlibat aktif dengan gerakan pemberontak. Individu yang dikenal pasti itu tersebut kemudiannya akan ditangkap dan dibawa pergi untuk disoal siasat. Kadang-kadang mereka akan kembali, kadang-kadang mereka tidak.

Semua orang tidak berani untuk bertanyakan terlalu banyak soalan!

Pekerjaan sepenuh masa adalah terhad. Bertani hanya dibenarkan di dalam kem itu sendiri. Cukup sukar untuk menampung kehidupan.

Tidak, ini BUKAN kenyataan tentang kehidupan seharian di kem pelarian di Semenanjung Gaza, sebelum 7 Oktober 2023. Sebaliknya, ia menggambarkan kehidupan seharian di Kampung Baru semasa ‘Darurat’.

Seperti di Gaza, sekatan telah dikenakan dengan ketat dan kemasukan orang, makanan, ubat-ubatan, bahan api dan bekalan lain, termasuk wang tunai, sangat dikawal. Serbuan dan penangkapan juga bukan perkara luar biasa, seperti mana di Gaza.

Jika gagal untuk mengenal pasti pemberontak dan penyokong aktif mereka di Kampung Baru, seperti di Gaza, pihak berkuasa penjajah akan menghukum para penduduk secara kolektif. Semua orang dilempar ke kem tahanan! Tujuannya satu, untuk menyukarkan hidup untuk semua orang.

Walaubagaimanapun, warga yang ditempatkan semula di Kampung Baru, itu tidak perlu menanggung pengeboman sewenang-wenangnya, tidak seperti di Gaza. Oleh itu, pembunuhan di dalam pagar berwayar berduri di Kampung Baru jarang berlaku. Tidak begitu ceritanya di Gaza, di mana kira-kira 32,000 orang telah terbunuh, dua kali ganda daripada jumlah yang cedera, kira-kira dua pertiga terdiri daripada wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah.

Dengan kemusnahan landskap kota Gaza dan pembunuhan beramai-ramai penduduknya sejak enam bulan yang lalu – berlaku di hadapan kita, bolehlah dikatakan begitu – orang pasti akan menyangka bahawa orang di Malaysia akan menjadi lebih peka terhadap penderitaan orang lain – bukan hanya rakyat Gaza, tetapi di seluruh dunia, mungkin di Sudan, Haiti, Burma, Colombia dan Ecuador juga; bukan sahaja kesengsaraan mereka pada tahun 2024, tetapi masa lalu juga, seperti penderitaan penduduk Kampung Baru yang cuba bertahan semasa Darurat.

Politikus tangkap muat

Namun, tidak! Politikus tangkap muat kita ini ada yang mula menunjukkan belang mereka yang sebenar. Sama ada mereka memang berkulit tebal dan tidak peka dengan kesusahan orang lain atau tempurung otak mereka tebal sehinggakan tidak memahami apa yang berlaku di dunia ini – seperti peribahasa katak di bawah tempurung. Atau mereka hanyalah seorang rasis dan mempunyai sensitiviti terpilih.

Secara spontan, Ismail Muttalib, ahli parlimen Perikatan Nasional bagi Maran, mempersoalkan rasional di sebalik pencalonan Kampung Baru di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco. Bagi beliau, “berbuat demikian bermakna kita bersetuju dan menghalalkan perjuangan komunis.” Baginya, jelas dan mudah, penduduk kampung baru adalah “komunis”.

Dua ahli parlimen kerajaan dari Pakatan Harapan menuntut agar ahli parlimen Maran itu menarik balik kenyataannya dan memohon maaf. Bagi mereka, penduduk Kampung Baru dipaksa tinggal di sana oleh pihak berkuasa penjajah.

Seperti dijangka, campur tangan mereka sekali gus mengakibatkan mereka untuk saling menjerit dan mendorong timbalan Speaker untuk menggunakan peraturan tetap 36(9) bagi meminta ahli parlimen Maran untuk menarik balik kenyataannya.

Tetapi Ismail menyatakan: “Saya tidak akan menarik balik fakta sejarah ini. Tetapi jika saya ada menggunakan perkataan kasar, saya akan tarik balik.”

Pada persidangan selanjutnya bersama ahli parlimen PN yang lain, ahli parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kemudiannya mencabar kerajaan, khususnya ahli parlimen DAP, untuk meminda buku teks sejarah, jika mereka tidak bersetuju dengan fakta sejarah.

Ketua sayap pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh, yang juga menentang pencalonan Kampung Baru, menawarkan diri untuk mengajar Nga Kor Ming dari DAP, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, tentang sejarah Tanah Melayu.

“Pencalonan ini tidak perlu. Noktah,” begitulah Akmal mungkin menjerit. Ya, dialah lelaki ‘stokin’ yang sama itu!

Ramlah Adam, seorang sarjana yang telah mencipta nama dengan menulis beberapa jilid mengenai sejarah Umno dan pemimpinnya, telah menganggap cadangan itu “tidak munasabah”. Baginya, kita tidak sepatutnya mengagung-agungkan sejarah Kampung Baru, kerana ia ditubuhkan oleh British “untuk menyekat orang Cina yang menyokong Parti Komunis Malaya [MCP] dengan makanan dan ubat-ubatan”.

Dia menambah: “Saya rasa dia [Nga] memahami sejarah, dia mungkin mahu memadamkan sejarah gelap Kampung Baru Cina di mana beberapa orang Cina pernah menyokong MCP… Jika dia mahu memadamkan sejarah gelap itu, maka dia akan memutarbelitkan sejarah.”

Dalam podcast Keluar Sekejap baru-baru ini, bekas ketua sayap pemuda Umno dan bekas menteri persekutuan, Khairy Jamaluddin membincangkan perkara itu dengan bekas ketua info Umno, Shahril Hamdan.

Sebenarnya, tiada perbincangan yang serius. Mereka hanya mencemuh cadangan untuk mencalonkan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan Unesco, yang bagi mereka ada kaitan dengan komunisme. Bagaimana? Mereka tidak menghuraikannya pula.

Tetapi mereka ada mempersendakan kerajaan tempatan dan menteri perumahan, yang mereka labelkan sebagai “tuli politik”.

Secara paradoksnya, dan berbeza dengan ahli politik Umno dan PN, Lt Kol Dato Zarazilah Mohd Ali, yang telah bersara, sebagai presiden kumpulan veteran pertahanan dan keselamatan Patriot, menyuarakan sokongan terhadap cadangan itu. Dalam kenyataannya pada 21 Februari, beliau mencabar idea bahawa penduduk kampung adalah komunis!

Dia mengatakan:

“Penduduk kampung boleh sahaja bersatu untuk mengkhianati raja dan kerajaan”. Sebaliknya “mereka menunjukkan kesetiaan teguh mereka kepada negara baru mereka, Malaya dan membantu pasukan pertahanan dan keselamatan kita untuk memerangi komunis…Tiada seorang pun yang waras dan berhati mulia dapat menafikan bagaimana orang Cina Malaysia telah bekerjasama, berjuang bersama dan kekal bersama untuk membina bangsa ini.

“Daripada meraikan pengiktirafan warisan dunia untuk Perkampungan Baru Cina kami yang sememangnya cukup layak, kita nampaknya lebih suka menimbulkan ketakutan dan menyemai lebih banyak perasaan anti-perkauman. Daripada berusaha ke arah mendapatkan lebih banyak pengiktirafan dunia untuk bagaimana negara kita yang unik ini dapat dipelihara…kita sebaliknya pula merebut peluang untuk meneruskan syak wasangka pada tahap yang lebih tinggi….Dan seperti mana rakyat Cina di Malaysia mempunyai hak untuk mengekalkan masa lalu mereka, kita semua hari ini mempunyai tugas untuk membalasnya semula dengan memelihara dan meraikan sejarah kita sejujurnya.”

Faisal Tehrani, ahli akademik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) di Universiti Kebangsaan Malaysia, menyokong cadangan penyenaraian itu, kerana beliau merasakan ia akan membantu untuk “melestarikan sejarah kawasan ini untuk generasi akan datang”.

Jadi, ia bukan soal ‘Melayu lawan bukan Melayu’.

Sebaliknya, ia ada kaitan dengan politikus tangkap muat kita yang mempersendakan Parlimen kita. Daripada membincangkan perkara itu dengan serius, mereka menjerit antara satu sama lain dengan kasar.

Peluang untuk melihat semula nasib kampung baru semasa Darurat, serta bagaimana kampung-kampung ini telah berkembang sejak 60 tahun yang lalu, dan nasib mereka pada masa hadapan langsung hilang!

Tiada reformasi di dalam media arus perdana juga

Turut sama mengecewakan, media arus perdana kita juga tidak berusaha untuk menyuarakan pendapatnya. Tidak seperti para wartawan Palestin di Al Jazeera dan begitu ramai lagi wartawan warga Palestin lain yang telah merebut peluang untuk menjalankan kewartawanan penyiasatan dan melaporkan dengan berani tentang situasi di Gaza, kebanyakan wartawan kita tidak cuba menyiasat cerita bagaimana proses pencalonan Kampung Baru untuk penyenaraian warisan Unesco itu berlaku.

Jika mereka berbuat demikian, mereka pasti mendapati bahawa bukan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga sahaja yang berada di belakang usaha penyenaraian itu. Ia sebenarnya turut melibatkan Majlis Antarabangsa Monumen dan Tapak (Icomos) Malaysia, jawatankuasa nasional Icomos.

READ MORE:  New Villages: From forced resettlement to permanent sustainable homes

Media juga tidak menjelaskan kepada kita siapa dan mengapa sekumpulan arkitek dan perancang muda dari Icomos Malaysia itu melakukan perkara ini. Media tidak merujuk kepada mana-mana ahli untuk mengetahui lebih lanjut.

Mendapatkan penyenaraian warisan Unesco adalah proses yang cukup panjang. Penyediaan dossier yang diperlukan boleh mengambil masa selama 10 tahun, seperti dalam kes penyenaraian Pulau Pinang-Melaka sebagai tapak warisan. Ia bermula sebagai inisiatif dari luar.

Walau bagaimanapun, pada satu ketika dalam proses permohonan, Icomos Malaysia perlu berhubung dengan kerajaan, bukan sahaja Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (di mana turut melibatkan isu Kampung Baru) tetapi juga pihak berkuasa di peringkat kerajaan negeri dan tempatan.

Begitu pun, ia adalah benar yang dossier yang telah siap disediakan oleh Icomos Malaysia akan diserahkan kepada kerajaan Malaysia, yang kemudiannya akan memajukannya kepada Unesco. Unesco hanya berurusan dengan kerajaan negara, bukan Icomos atau mana-mana NGO lain.

Mujur, BFM, salah satu stesen radio kita, ada membuat penyelidikan dan menemui organisasi di sebalik inisiatif ini. Hosnya, Sharad Kuttan, mengadakan temu bual ini dengan Dr Keith Tan dari Taylor’s University, School of Architecture, yang juga merupakan ahli jawatankuasa Icomos Malaysia. Semua maklumat ini berguna untuk dikongsi dengan orang ramai.

Malangnya, media tempatan hanya membiarkan diri mereka dimanipulasi oleh ahli politik yang telah menjadikan perkara ini sebagai isu perkauman. Ya, kerajaan “Madani” cukup mengecewakan, Begitu juga dengan pihak media – masih tiada reformasi berlaku di sana.

Izinkan saya menawarkan rangka kerja tentang bagaimana kita patut memahami asal usul dan evolusi Kampung Baharu.

Fasa 1: Kampung Baru, pihak keselamatan dan Darurat (1950an dan 1960an)

Pada tahun 1951 dan 1952, kerajaan kolonial British memaksa 1.2 juta penduduk luar bandar, kira-kira satu pertujuh daripada penduduk Tanah Melayu ketika itu, untuk berpindah ke kira-kira 600 penempatan baru.

Kira-kira 650,000 orang (32% Melayu, 45% Cina, 18% India dan 5% Jawa dan lain-lain) telah “dikumpul semula” di ladang getah, lombong bijih timah dan sekitar pekan sedia ada.

Kira-kira 573,000 orang lagi (85% Cina, 9% Melayu, 4% India dan 1% yang lain) telah ditempatkan semula ke 480 “Kampung Baru”, yang seringkali terletak berbatu-batu jauhnya dari rumah asal mereka. Hampir separuh daripada kampung ini didirikan di Perak dan Johor. Di kedua-dua negeri ini, ditambah pula dengan Pahang dan Selangor, kira-kira 63% daripada kampung-kampung ini telah ditubuhkan, menempatkan 84.6% daripada jumlah penduduk penempatan baharu ini.

Proses pengumpulan dan penempatan semula ini membentuk usaha tulang belakang bagi menentang pemberontakan serta memerangi Parti Komunis Malaya. Di bawah Rancangan Briggs, kawasan pengumpulan semula dan Kampung Baru telah dikawal ketat. Tidak syak lagi, penempatan semula menghalang parti daripada mencapai penyokong dan para simpatisannya, menafikan mereka rekrut baru, maklumat, dana, makanan dan bekalan lain.

Catatan berkaitan Darurat yang paling menyeluruh boleh didapati di dalam buku berjudul The Communist Insurrection in Malaya 1948-1960 karya Anthony Short (London: Frederick Muller, 1975). Dalam bab 7, Short membincangkan skop masalah setinggan selepas Perang Dunia Kedua. Dalam bab 15, penulis mengkaji secara ringkas proses penempatan semula ke Kampung Baru, terutamanya dari tahun 1950 hingga 1952, dan sejurus selepas penempatan semula.

Satu lagi kajian yang komprehensif dan seimbang ialah oleh Richard Stubbs berjudul Hearts and Minds in Guerilla Warfare (Singapura: Oxford University Press, 1988).

Kajian-kajian ini berbeza dengan laporan yang lebih ‘positif’ tentang bagaimana British mengalahkan komunis dan memenangi “hati dan fikiran” penduduk Cina luar bandar melalui langkah penempatan semula mereka dan kaedah lain.

Dalam buku Dialogues with Chin Peng: New Light on the Malayan Communist Party, disunting oleh CC Chin dan Karl Hack (Singapore University Press, 2004), Chin Peng, setiausaha agung Parti Komunis Malaya, mengakui pelaksanaan penempatan semula adalah titik perubahan yang penting dalam Darurat. Beliau juga bersetuju bahawa penempatan semula telah dijalankan secara kasar, tergesa-gesa dan secara paksa.

Penempatan semula penduduk ke Kampung Baru bukanlah satu pelaksanaan yang baik, apatah lagi satu usaha yang dirancang dengan baik. Dalam jawapannya kepada Anthony Short, ahli sejarah rasmi Darurat, Chin Peng ada menyatakan:

Mereka memaksa anda pergi, dan mereka membakar hangus rumah anda. Dan jika ada yang mahu melawan, anda tetap tinggal di rumah anda, mereka tidak akan peduli, dan mereka akan membakar anda. Ada orang yang tinggal di rumah itu, mereka tidak mahu bergerak…memindahkan semua harta benda. Dan British, jika mereka mendapat arahan untuk membakar, mereka akan memaksa anda untuk bergerak. Jika anda tidak bergerak, maka anda mungkin akan dibakar…dibakar hidup-hidup (hlm155).

Tan Teng Phee dengan bukunya yang berjudul Behind Barbed Wire: Chinese New Villages during the Malayan Emergency 1948-1960 (Petaling Jaya: SIRD, 2020) merupakan buku terbaru yang diterbitkan mengenai Kampung Baru dan proses penempatan semula semasa Darurat.

Tidak seperti catatan yang terdahulu, kajian Tan sebahagian besarnya diperoleh daripada temu bual dengan penduduk kampung yang lebih tua dalam usia tujuh puluhan dan lapan puluhan ketika dia menjalankan kerja lapangannya sekitar tahun 2007-2008. Dia juga merujuk rekod kolonial, yang sebelum ini ‘diembargo’ selama kira-kira 25 hingga 30 tahun, dan oleh itu tidak tersedia kepada generasi penyelidik terdahulu (termasuk pengarang ini).

Menggabungkan kedua-dua pendekatan ini, Tan dapat memulihkan semangat agensi di dalam kajian melibatkan orang-orang yang ditempatkan semula ke Kampung Baru.

Yang penting, Tan berhujah bahawa penduduk kampung baharu itu perlu dianggap sebagai protagonis ketiga dalam sejarah Darurat; mereka terperangkap di antara penjajah British di satu pihak, yang bersedia untuk menggunakan taktik yang keras bagi memastikan penduduk kampung mengikut kepentingan British, dan Parti Komunis Malaya yang sebaliknya bersedia untuk menekan penduduk kampung untuk menyatakan sokongan secara aktif kepada perjuangan parti.

Sebelum adanya kajian Tan, tiada kajian etnografi berkaitan penduduk kampung baru tersedia.

Ray Nyce dengan judulnya Chinese New Villages in Malaya: A Community Study, disunting oleh Shirle Gordon (Kuala Lumpur: MSRI, 1973), merupakan sebuah pengecualian. Nyce, yang menjalankan penyelidikan lapangannya dari 1957 hingga 1961, menyatakan pandangan penduduk kampung tentang keadaan sosioekonomi mereka (walaupun ia bukanlah mengenai perkara politik dan keselamatan yang ditanggap ‘sensitif’).

Tinjauan yang paling penting mengenai Kampung Baru dilakukan oleh WCS Corry berjudul “A General Survey of New Villages. A Report to H. E. Sir Donald MacGillivray, High Commissioner of the Federation of Malaya, 12th Oct. 1954” (Kuala Lumpur: 1954). Kebanyakan data statistik berkaitan Kampung Baru dalam artikel ini berasal daripada tinjauan yang dilakukannya.

Kajian ini memberi penerangan tentang masalah tanah pertanian yang tidak mencukupi, yang mengakibatkan kampung-kampung ini menjadi unit ekonomi yang tidak berdaya maju. Laporan itu menekankan bahawa pihak berkuasa dinasihatkan “untuk mengetepikan kira-kira 26,000 ekar tambahan pada tahun 1953, agar plot dengan keluasan setengah ekar boleh diperuntukkan kepada setiap keluarga yang makan gaji untuk pertanian sara diri” sekiranya berlaku kemelesetan dalam ekonomi.

Ia seterusnya turut menyatakan bahawa tanah tersebut tidaklah diberikan sebagai pemilikan kepada penduduk kampung. Sebaliknya, mereka dijadikan “rizab pertanian kampung” untuk kegunaan sementara oleh apa yang ditakrifkan sebagai “keluarga bukan petani” jika berlaku kejatuhan harga bijih timah dan getah yang dapat mengancam kehidupan mereka.

Secara jelas, laporan itu menyimpulkan bahawa “tiada peluang untuk Kampung Baru menjadi mandiri sepenuhnya” (hlm39-42) – sebab masalah utama melibatkan masyarakat yang lapar-tanah, yang sudah terbukti terjadi sepanjang zaman sebelum perang, terus dibiarkan dan tidak diselesaikan.

Berdasarkan potensi daya maju ekonomi Kampung Baru, yang bergantung kepada sesebuah lokasi penempatannya, Corry kemudian mengklasifikasikan kampung-kampung ini sebagai ruang “kekal”, “perantaraan” dan “sepatutnya sementara” – dengan harapan ia “dijangka hilang dengan berakhirnya Darurat”.

Fasa 2: Kampung Baru ‘ditemukan semula’ dan dimasukkan ke dalam Rancangan Lima Tahun Malaysia (1970-1980an)

Berikutan kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957, Ordinan Darurat telah ditarik balik secara beransur-ansur – satu demi satu, dari satu daerah, ke satu negeri, ke seluruh wilayah dalam negara. ‘Darurat’ secara rasmi diisytiharkan berakhir pada tahun 1960.

Beberapa langkah kawalan yang membentuk Ordinan Darurat sama ada dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 yang baharu atau diluluskan sebagai undang-undang oleh Parlimen, contohnya, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, atau kedua-duanya.

Dengan berakhirnya Darurat, semua kawasan pengumpulan semula telah dibuka semula.

Namun, di sebalik penghapusan pagar kawat berduri dan perintah berkurung serta pengunduran pasukan keselamatan, kebanyakan Kampung Baru masih kekal. Keadaan di kampung-kampung ini juga semakin merosot pada tahun 1960-an, atas beberapa sebab.

Pertama, dengan berakhirnya Perang Korea (1951-52), harga getah dan bijih timah yang meningkat telah turun semula ke paras normal. Jadi, dana tidak mencukupi untuk melaksanakan pembinaan kemudahan fizikal dan perkhidmatan sosial yang dijanjikan dalam Rancangan Briggs yang asal.

Kedua, menjelang kemerdekaan, Umno, parti etnik Melayu yang terkemuka, mendesak agar lebih banyak perhatian diberikan kepada pembangunan luar bandar di kawasan Melayu. Terlalu banyak perhatian dan dana telah diberikan kepada proses penempatan semula, yang sebahagian besarnya menguntungkan orang Cina luar bandar. Dengan kemenangan parti Islam radikal, Parti Islam Pan Malaya (PMIP), di Kelantan dan Terengganu pada pilihan raya umum 1959, pengalihan dana yang sedemikian rupa oleh Perikatan pimpinan Umno dianggap lebih daripada perlu.

READ MORE:  New Villages: From forced resettlement to permanent sustainable homes

Ketiga, perhatian turut diberikan kepada pembentukan Malaysia (yang menyatukan Tanah Melayu dengan Singapura, Sabah dan Sarawak) pada tahun 1963; ‘konfrontasi’ yang terjadi ketika Indonesia di bawah pimpinan Sukarno, yang menentang pembentukan Malaysia; dan perpecahan dengan Singapura, yang berpisah daripada persekutuan baharu pada 1965.

Akhirnya, menggunakan konfrontasi dengan Indonesia sebagai alasan, pilihan raya kerajaan tempatan telah digantung pada awal 1960-an. Pilihan raya ini telah diperkenalkan sejak 1952 untuk menggalakkan pendemokrasian dan membuka jalan untuk kemerdekaan. Dengan penggantungan itu, pilihan raya untuk majlis perbandaran, majlis bandaran dan majlis tempatan di Kampung Baru telah dihentikan. Ini adalah sebab tambahan yang menyebabkan berlakunya pengabaian kepada penempatan sebegini pada akhir 1960-an.

Mujur, Kampung Baru ‘ditemui semula’ pada awal 1970-an. Disebabkan masalah keselamatan yang baru timbul di kawasan Perak tengah, masalah sosioekonomi kampung-kampung di Perak kemudian semakin tertonjol ketika pasukan keselamatan menjalankan operasi mereka di sana. Akhbar menulis tentang keadaan rumah-rumah yang “lusuh dan usang”, “yang hampir ditinggalkan”. “Pertanian haram”, “kebuluran tanah” dan “kekurangan pemilikan” menjadi tajuk berita utama. Penduduk kampung digambarkan sebagai orang “yang telah dilupakan selama lebih sedekad” (The Straits Times, 3-5 November 1971).

Kampung Baru sudah menjadi tua.

Sekumpulan ahli sayap pemuda MCA juga menemui semula penempatan ini. Sebuah “Pasukan Petugas Perak” kemudian ditubuhkan, mengambil langkah ke arah penggemblengan masyarakat akar umbi di Kampung Baru sekitar Perak, di antara negeri dengan kawasan kampung baru terbesar yang seumpama itu di Malaysia.

Mereka menegaskan bahawa rancangan penempatan semula asal oleh British tidak pernah dilaksanakan sepenuhnya. Kerajaan perlu meninjau semula keadaan mereka semua.

Perhatian baru media tentang penemuan semula Kampung Baru oleh sayap belia MCA dan pasukan petugasnya di Perak menyumbang kepada perkembangan beberapa kajian baharu di kampung-kampung ini.

Tidak seperti kajian terdahulu yang berkisar tentang soal keselamatan, penyelidikan baharu itu tertumpu kepada persoalan kemiskinan dan keperluan wujudnya bantuan pembangunan di Kampung Baru. Kajian-kajian ini berpendapat bahawa orang Cina di penempatan ini adalah sebahagian daripada golongan miskin di Malaysia. Mereka menyeru kerajaan untuk mengiktiraf kampung-kampung ini sebagai rakyat miskin, dan memasukkannya ke dalam rancangan pembangunan lima tahun kerajaan.

Dr Lim Keng Yaik adalah salah seorang yang terlibat dalam usaha pasukan petugas Perak. Setelah mengetuai pemberontakan ‘Young Turks’ di dalam MCA bagi menentang ‘para senior’ (berkumpul di sekeliling Tan Siew Sin), Lim kemudiannya dilantik ke Jabatan Perdana Menteri. Di sana, beliau telah dipertanggungjawabkan tentang soal Kampung Baru, yang kemudiannya dimasukkan ke dalam rancangan pembangunan lima tahun kerajaan.

Tidak lama kemudian, sebahagian kecil daripada jumlah peruntukan Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah disediakan untuk Kampung Baru semula. Jika tidak kerana bantuan rasmi ini, walaupun ia kecil, kampung-kampung ini akan bertukar menjadi setinggan dan penghijrahan keluar secara besar-besaran akan berlaku. Malah, boleh jadi penempatan ini boleh hilang sama sekali.

Masalah yang berkaitan dalam usaha meningkatkan keadaan sosioekonomi di Kampung Baru ialah bagaimana portfolio berkenaan penempatan ini telah ‘di-taichi’ daripada Jabatan Perdana Menteri, tempat ia mula-mula ditempatkan, kepada kementerian demi kementerian, dan dari satu jabatan ke jabatan yang lain.

Akhirnya, pada awal 1990-an, portfolio tersebut telah dimasukkan di bawah  bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Fasa 3: Pembaharuan hak milik tanah memudahkan pemilikan kekal dan wacana ‘pembangunan-isme’ (1990-an dan seterusnya)

From the late 1980s, more foreign direct investment flowed into Malaysia, egging on the nation’s industrialisation.

Ketika penghujung 1980-an, lebih banyak pelaburan asing secara langsung mengalir ke Malaysia, menyebabkan berlakunya proses perindustrian di dalam negara.

Pada tahun 1990-an, sektor pembinaan berkembang pesat, yang memerlukan pelaburan modal, pengetahuan teknikal dan banyak tenaga kerja. Akibat kekurangan buruh, kerajaan kemudian mengambil kira-kira empat hingga lima juta pekerja asing – dengan dan tiada dokumen – masuk ke dalam negara. Untuk beberapa tahun pada akhir 1990-an, Malaysia juga mengalami kadar pertumbuhan ekonomi dua angka.

Hari ini, Malaysia bolehlah dikategorikan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) sebagai “negara yang berpendapatan sederhana atas”. Kadar kemiskinan negara sekitar 6.2% pada 2022 – walaupun sebilangan besar golongan miskin tegar kekal di Sabah dan Sarawak dan di kawasan terpencil Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu di semenanjung. (Sebelum ini, Malaysia menggunakan garis kemiskinan lama di mana kita menjadi masyarakat hampir “sifar kemiskinan” menjelang 2016!)

Negara semakin terserap ke dalam ‘pembangunan’, berikutan daripada pertumbuhan ekonomi yang pesat, pendapatan yang semakin meningkat serta kehidupan yang bertambah baik.

Kampung Baru hari ini tidak lagi disifatkan sebagai miskin. Pada awal 1990-an, kira-kira 90% daripada penempatan ini mempunyai akses kepada perkhidmatan dan kemudahan asas. Menjelang tahun 2000, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melaporkan bahawa semua kampung ini mempunyai perkhidmatan dan kemudahan yang lengkap.

Tinjauan ke atas penempatan yang dijalankan oleh kementerian pada tahun 2002 mendedahkan bahawa negara mempunyai 452 Kampung Baru dengan jumlah penduduk 1.25 juta penduduk.

Bilangan keseluruhan Kampung Baru telah menurun pada tahun 2002 kerana penutupan kampung yang terletak jauh di pedalaman, yang sama sekali tidak lagi berdaya huni. Penduduk di kampung-kampung ini juga telah menurun kerana data tahun 2002 juga nampaknya tidak memasukkan “kampung bandar”, yang populasinya telah dijumlahkan masuk ke daerah pihak berkuasa tempatan masing-masing.

Pada masa kini, tumpuannya adalah untuk mengubah Kampung Baru menjadi “kampung bandar atau perantaraan” yang mesra kediaman serta pekerjaan bagi mewujudkan sebuah suasana mampan dan boleh meningkatkan kualiti hidup penduduk mereka.

Ini melibatkan penambahbaikan dalam soal pendidikan, pengangkutan awam dan kemudahan kesihatan, sama ada di Kampung Baru atau sekitarnya. Meningkatkan kualiti hidup juga bermakna mewujudkan komuniti bebas jenayah, kejiranan yang bersih dan sihat, dengan semangat warisan dan identiti yang turut dimiliki oleh para penduduknya.

Kita juga melihat keinginan yang lebih besar untuk menjadikan kerajaan tempatan lebih cekap, bertanggungjawab dan telus dalam urusan mereka dengan penduduk, sekali gus dalam usaha untuk memulihkan kerajaan tempatan yang dipilih.

Dalam konteks inilah, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika itu mengumumkan pada November 1990 bahawa Kampung Baru akan hanya mula dikenali sebagai “kampung” seperti mana kira-kira 19,000 kampung tradisional yang lain. Tiada lagi keperluan untuk ia dibezakan daripada kampung lain dari sudut keselamatan.

Dengan penukaran nama, adalah diharapkan bahawa ia bukan sahaja dapat menghapuskan stigma yang mengatakan Kampung Baru sebagai “kawasan hitam” yang dikaitkan dengan komunis dan Darurat. Harapannya juga ialah ia akan menggalakkan etnik Melayu dan India untuk masuk dan memudahkan integrasi nasional.

Jolokan sebagai “kampung muhibah”, yang juga pertama kali dicadangkan pada tahun 1970-an ketika Keng Yaik menjadi menteri yang menjaga Kampung Baru, semakin digembar-gemburkan juga.

Dalam tempoh setahun, nama baharu untuk 108 bekas Kampung Baru telah diluluskan manakala nama untuk 270 lagi “menunggu kelulusan”; 74 lagi dilaporkan masih belum mengemukakan cadangan bagi nama baharu mereka.

Selaras dengan ‘pemadaman sejarah’ ini, tiada lagi “peruntukan khas” untuk Kampung Baru sebagai kumpulan sasaran rakyat miskin dalam Rancangan Malaysia Keenam (1991-1995).

Kampung Baru kemudian diletakkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (untuk “kampung bandar”) atau Kementerian Pembangunan Luar Bandar (untuk Kampung Baru yang terletak jauh di pedalaman). Peruntukan untuk kampung-kampung ini juga disalurkan kepada salah satu kementerian yang dinyatakan di atas pada akhir 1990-an.

Ternyata, tindakan Mahathir untuk menamakan semula kampung-kampung ini dan berhenti menyebut kampung-kampung ini sebagai Kampung Baru telah dikembalikan semula. Selepas Mahathir berundur sebagai Perdana Menteri, penggunaan istilah Kampung Baru telah dihidupkan semula oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2004!

Nampaknya, peruntukan khas untuk Kampung Baru telah dimasukkan sekali lagi ke dalam rancangan susulan pembangunan lima tahun, dan tidak dimasukkan ke bawah peruntukan kementerian tertentu. Kontroversi yang besar muncul akibat perubahan ini.

Tindakan menamakan semula serta kontroversi yang terjadi mengaburkan keputusan dasar yang lebih penting, di mana buat pertama kalinya dilakukan oleh Majlis Tanah Negara, dalam mesyuarat kerajaan negeri pada November 1988. Buat pertama kalinya, dengan dicadangkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta disokong oleh Mahathir, kerajaan negeri bersetuju “pada dasarnya” untuk memperbaharui pajakan lot-lot perumahan di semua Kampung Baru.

Tamatnya tempoh pajakan yang mendatang merupakan isu yang telah menimbulkan kekecewaan di kalangan penduduk kampung selama kira-kira sedekad. Menjelang awal 1990-an, penduduk kampung yang menerima pajakan 30 tahun (yang pertama kali dikeluarkan pada awal 1950-an) kemudiannya perlu melanjutkan pajakan mereka. Begitu juga, penduduk kampung yang menerima pajakan selama 60 tahun juga turut terpaksa memulakan proses pembaharuan pajakan mereka juga.

READ MORE:  New Villages: From forced resettlement to permanent sustainable homes

Pun begitu, pelaksanaan keputusan yang penting ini ditangguhkan beberapa kali. Data yang diperoleh daripada kerajaan negeri oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menunjukkan bahawa 98,340 lot perumahan di tanah Kampung Baru seluas 20,244 hektar sedang menunggu penyelarasan pada Ogos 1991.

Daripada jumlah ini, 83,600 masih dimiliki di bawah “permohonan yang diluluskan” (sebuah bentuk hak milik separuh kekal) dan 9,990 lagi di bawah lesen pendudukan sementara (TOL). Dengan kata lain, 85% daripada lot perumahan ini masih belum ditetapkan penyelarasannya. Ia juga masih dalam kategori “belum selesai” (manakala 1,918 lot lagi tanpa sebarang dokumentasi sama sekali).

Ada beberapa sebab terjadinya kelewatan ini.

Pertama, langkah lanjutan pajakan memerlukan geran hak milik separuh kekal seperti permohonan yang diluluskan dan TOL juga perlu ditukar kepada hak milik kekal terlebih dahulu, sebelum lanjutan pajakan boleh diteruskan. Yuran juga perlu dibayar, untuk penukaran permohonan yang diluluskan dan TOL kepada hak milik kekal.

Kedua, kadar premium yang dikenakan untuk sebarang penukaran adalah ketat, terutamanya bagi kampung-kampung yang berdekatan bandar. Kampung Baru yang sebegini tertakluk kepada kadar mengikut bandar-bandar di sekitarnya.

Sebagai contoh, penduduk Kampung Baru Machang Bubok, yang terletak di luar Bukit Mertajam di Pulau Pinang, mengadu bahawa premium asal sekitar RM15,000-20,000 adalah di luar jangkauan mereka.

Jadi, Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, Dr Lim Chong Eu, campur tangan. Dengan menggunakan kuasa prerogatif eksekutifnya, beliau memberi diskaun, menurunkan premium ke sekitar RM2,000-4,000 setiap lot. Lim juga mengatur pembayaran secara ansuran dalam tempoh enam tahun.

Oleh itu, penukaran geran hak milik separuh kekal kepada kekal dan pemberian pajakan baru 30 tahun bagi hak milik kekal tersebut turut disegerakan di Pulau Pinang.

Beberapa negeri lain turut dilaporkan mengikuti contoh Pulau Pinang. Di Perak, misalnya, diskaun 80% ditawarkan kepada penduduk yang memperbaharui pajakan mereka untuk tempoh selama 60 tahun.

Ketiga, kelewatan juga sering berlaku, terutamanya apabila pemilik asal telah meninggal dunia dan tiada orang alternatif kemudiannya ditetapkan sebagai waris atau penerima. Malah, penyelarasan pajakan untuk Kampung Baru ini hanya berlaku pada akhir 1990-an, beberapa dekad selepas penempatan semula pada awal 1950-an.

Teka-teki yang membimbangkan bagi masa depan Kampung Baru ini akhirnya dapat diselesaikan. Tawaran pajakan jangka panjang baharu pada harga diskaun, ketika mana harga tanah dan perumahan di seluruh negara meningkat, terbukti cukup menarik buat penduduk di penempatan ini, atau sekurang-kurangnya kepada keturunan mereka. Kebanyakan penduduk kampung melabur dalam pajakan jangka masa panjang baharu ini jika mereka mampu.

Langkah ini sekali gus menghasilkan perubahan kualitatif dalam sikap penduduk terhadap Kampung Baru, tempatnya mereka menetap. Mereka kini digalakkan untuk membangunkan rasa ingin bermaustatin lebih tetap dan rasa memiliki tempat duduk mereka dan identiti, malah semangat warisan yang seringkali dikaitkan dengan kampung-kampung ini, selepas mereka memperbaharui pajakan mereka itu.

Kisah semangat manusia

Sepertinya, kita mungkin sedang memasuki fasa keempat dalam evolusi Kampung Baru.

Saya bukanlah ahli rasmi kumpulan kerja Icomos Malaysia tentang Kampung Baru. Walau bagaimanapun, saya telah dijemput ke mesyuarat dan dimaklumkan tentang perkembangannya sejak penubuhannya pada 2021.

Saya sangat teruja bahawa kumpulan yang digerakkan oleh golongan lebih muda kini berminat untuk mengkaji asal usul dan evolusi Kampung Baru serta sejarah Malaysia.

Sejarah adalah mata pelajaran yang kebanyakan ibu bapa tidaklah begitu menggalakkan anak-anak mereka untuk mengikutinya apabila mereka mendaftar di universiti atau kolej. Mata pelajaran ini juga tidak diajar dengan baik di sekolah. Buku teks yang digunakan sekarang masih memaparkan sejarah Malaysia sebagaimana yang ditafsirkan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional yang telah memerintah selama enam dekad. Tafsiran ini juga benar-benar berat sebelah.

Oleh itu, saya sangat terkejut dan cukup tertarik dengan wujudnya begitu banyak minat untuk mengetahui tentang Kampung Baru.

Kumpulan itu terdiri daripada beberapa arkitek dan perancang yang masih muda – dari etnik Cina dan beberapa orang Melayu. Beberapa daripada mereka telah dibesarkan di Kampung Baru dan agak terlambat mengetahui tentang kepentingan rumah di mana mereka telah dibesarkan. Mereka, sebagai golongan profesional muda, nampaknya bukan saja berminat dan berbangga dengan warisan yang dimiliki tetapi juga teruja untuk meningkatkan kesejahteraan fizikal penempatan itu. Mereka juga mahu meletakkan tempat-tempat ini pada beberapa jenis peta global bagi menawarkan pengajaran kepada semua, di seluruh dunia.

Memang ada sesuatu yang boleh kita pelajari secara bersama di sini. Warga Kampung Baru cukup menunjukkan keberanian dan ketabahan yang luar biasa. Mereka telah melalui masa yang paling teruk (ketika Darurat) dan kini masa yang terbaik (sekurang-kurangnya sejak Umno-BN jatuh dan berakhirnya wabak Covid).

Tidak ada warga belia Kampung Baru yang berpendidikan dan terlatih seperti kumpulan muda ini apabila penempatan ini mula-mula ditubuhkan pada awal 1950-an, saatnya Darurat masih dijalankan, atau ketika saya membuat penyelidikan mengenai kampung-kampung ini pada akhir 1970-an.

Dengan begitu banyak kesulitan serta merbahaya disebabkan oleh faktor keselamatan semasa Darurat, serta kemiskinan yang ada di Kampung Baru, sekali gus mengakibatkannya menjadi sebuah kawasan yang ditinggalkan usang dan terbiar pada tahun 1960-an dan 1970-an, penduduk kampung hanya menunggu masa untuk melarikan diri dari kawasan ini untuk mencari peluang yang lebih baik di luar.

Dengan pembaharuan pajakan perumahan mereka bermula dari tahun 1990-an, peruntukan bagi membina kemudahan asas, serta pembangunan yang lebih baik di Kampung Baru dan persekitaran terdekatnya, penduduk merasakan kampung baru ini akan kekal lama dan sesuai untuk menetap.

Penduduk digalakkan untuk melabur dalam memperbaiki rumah mereka dan berjuang untuk meningkatkan akses mereka kepada keadaan infrastruktur sekolah, klinik kesihatan, kedai, kemudahan keagamaan dan sosial lain yang lebih baik.

Mereka telah menemui sejarah asal-usul Kampung Baru mereka dalam waktu yang paling teruk ketika Darurat, dan bagaimana penempatan ini dapat kekal dalam persekitaran yang lebih baik, walaupun hanya sedikit bantuan rasmi yang mereka terima.

Tidak dinafikan, penduduk di Kampung Baru ini terpaksa bergelut dengan keadaan yang tidak menyebelahi mereka. Hari ini, boleh jadi mereka cukup berbangga kerana diri mereka, keluarga dan rakan sekampung mereka cukup tabah menghadapi segalanya. Para penduduk inilah – bukan menteri perumahan dan kerajaan tempatan – yang berusaha menyenaraikan kampung mereka sebagai tapak warisan Unesco.

Politikus tangkap muat yang ada hari ini nampaknya salah faham yang segala permintaan mereka ini hanya soal bangunan dan struktur semata-mata. Apa lagi jika mereka merasakan permintaan itu hanyalah berkaitan dengan soal kaum dan komunisme sahaja!

Sebaliknya, ia adalah kisah tentang bagaimana semangat manusia – seperti yang mengakar dalam diri setiap 1.25 juta penduduk Kampung Baru – dapat mengatasi ganasnya proses penempatan semula secara paksa, hukuman kolektif yang terpaksa mereka alami, serta pelbagai kesulitan sosioekonomi yang telah mereka lalui selama tiga generasi. Dalam tempoh ini, mereka terpaksa menanggung betapa daifnya sekolah yang ada dengan kadar keciciran yang tinggi, pengangguran, pertanian haram dan peruntukan dari kerajaan yang kecil.

Namun, kisah bagaimana mereka tetap bangkit dan terus bangkit semula, walaupun mereka telah jatuh beberapa kali di sepanjang jalan – inilah yang menjadi kebanggaan mereka. Inilah yang mendorong mereka untuk terus berkongsi kisah ketahanan mereka. Inilah sebabnya mengapa Icomos Malaysia ingin berkongsi kisah para penduduk Kampung Baru ini bukan sahaja dengan semua di Malaysia tetapi juga dengan seluruh dunia.

Ia tidaklah sepedih kisah penderitaan dan keberanian para penduduk Gaza. Namun, ia adalah kisah hampir serupa tentang semangat manusia yang takkan boleh dikalahkan.

Tentang penulis:

Dr Francis Loh Kok Wah, seorang bekas profesor politik di Universiti Sains Malaysia. Beliau pertama kali menjalankan penyelidikan di beberapa Kampung Baru di utara Kinta pada akhir 1970-an.

Tesis PhD beliau telah diterbitkan sebagai “Beyond the Tin Mines: Coolies, Squatters and New Villagers in the Kinta Valley, Malaysia, c.1880-1980” (Singapore: Oxford University Press, 1988).

Kajian seterusnya mengenai Kampung Baru pada 1980-an turut diterbitkan dengan judul “Chinese New Villages: Ethnic Identity and Politics” di dalam The Chinese in Malaysia, disunting oleh Tan Chee Beng and Lee Kam Heng (pp 255-81. Singapore: Oxford UP, 1999).

Penerbitan di atas boleh dimuat turun secara percuma melalui pautan yang disediakan.

Anda juga mungkin mahu menonton video ini di Youtube:

New Villages in Malaysia: Origins and Evolution, terbitan Icomos Malaysia dalam tahun 2021

Francis terhutang budi kepada tiga ahli politik hebat ini (bukan seperti politikus yang tangkap muat!):

  • Dr Tan Chee Khoon, lebih dikenali sebagai Mr Opposition, yang beberapa kali dipilih sebagai ahli parlimen di Kepong (di mana terletaknya Jinjang, sebuah kampung baru terbesar di dalam negara)
  • Dr Lim Keng Yaik, menteri persekutuan pertama yang menguruskan Kampung Baru (dilantik oleh Tun Razak Hussein), yang menjadi Adun di Jalong, Perak.
  • P Patto, ahli dewan negeri Perak untuk Gopeng serta ahli parlimen Menglembu.

Mereka bertiga inilah yang memperkenalkan Francis kepada kajian mengenai Kampung Baru.

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x