Home Newsletters Keadilan buat Palestin: Empat sarjana-aktivis Yahudi, seorang wanita Palestin-Amerika serta Edward Said...

Keadilan buat Palestin: Empat sarjana-aktivis Yahudi, seorang wanita Palestin-Amerika serta Edward Said bersuara

Dengar mereka untuk memahami latar belakang konflik Israel-Palestin

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Terima kasih untuk saluran berita Al Jazeera yang berpangkalan di Doha, yang sentiasa mengemas kini maklumat buat dunia luar tentang pengeboman sistemik melibatkan kemusnahan hospital, sekolah, blok kediaman serta infrastruktur lain di Gaza dari bulan Oktober.

Al Jazeera telah menelusuri peningkatan jumlah kematian di kalangan orang awam Palestin, termasuk kanak-kanak. Terima kasih kepada organisasi media ini, dunia melihat dan mengetahui betapa kejamnya Pasukan Pertahanan Israel (IDF). Mereka telah bersilih ganti melakukan jenayah perang demi jenayah perang. Stesen berita itu juga telah melaporkan tentang pembunuhan wartawan, termasuk melibatkan wartawannya sendiri.

US serta sekutu Baratnya yang cukup memalukan

Cukup memalukan saatnya siaran televisyen Barat seperti BBC dan CNN cukup berat sebelah dalam tingkah laku mereka yang tidak profesional itu. Juga cukup memalukan akhbar seperti Washington Post, New York Times, Times dan Der Spiegel. Mereka tidak melaporkan dengan benar tentang kemusnahan yang berlaku di Gaza. Mereka juga langsung tidak mengimbangi pemberitaan mereka. Mereka dengan semberono melaporkan pandangan kerajaan Israel serta pendapat pemimpin di Washington, London, Paris, Berlin dan Brussels yang menyokong Israel.

Sebaliknya, mereka sangat berhati-hati dalam melaporkan pendapat para pemimpin dari negara bukan Barat serta Selatan Global yang menawarkan perspektif alternatif mengenai kejadian itu. Malahan, media Barat turut berjaga-jaga dalam melaporkan demonstrasi besar-besaran di negara-negara Barat yang membantah perang dan menyeru kepada gencatan senjata dengan segera.

Sokongan tidak berbelah bahagi Washington, London, negara G7 dan negara EU untuk Israel mendedahkan kelohongan mantra Washington mengenai “tatanan antarabangsa berpandukan perundangan” itu.

Jelas terbongkar bahawa wujud satu peraturan untuk Barat dan sekutunya, serta satu lagi peraturan bagi mereka yang berani mencabar dan berhadapan dengan mereka. Mudah-mudahan, mereka akan malu sendiri untuk menguar-uarkannya peraturan mereka ini kepada kita pada masa akan datang nanti.

Pendedahan selanjutnya juga berkaitan dengan bagaimana agensi berita terkemuka, akhbar, stesen TV global yang kononnya bebas itu kemudiannya ikut menari mengikut rentak elit politik mereka sahaja. Bukan sahaja Fox, tetapi BBC dan CNN juga. Bukan sahaja Daily Mail tetapi juga Times, Guardian dan Independent.

Dunia menyaksikan dengan jelas bahawa tidak wujud entiti seperti “estet keempat” (fourth estate), media massa bebas yang dapat mempertanggungjawabkan tindakan kerajaan barat.

Apabila desakan semakin kuat, media Amerika dan Barat mendedahkan bagaimana mereka telah menjadi sebahagian daripada industri-kompleks melibatkan hubungan media-tentera yang mendukung percubaan Washington untuk kekal sebagai hegemoni dunia pada Abad ke-21.

Pendedahan menunjukkan bagaimana media, jika dan apabila mereka melaksanakan tugas mereka dengan bijak dan profesional, hanya boleh menawarkan kepada kita rakaman dan laporan mengenai sesekian waktu. Mereka tidak boleh, dan tidak mampu untuk membincangkan konteks yang diperlukan dengan secukupnya – asal usul, evolusi, isu, personaliti.

Sesungguhnya, para sarjana yang mengkaji peristiwa ini selama bertahun-tahunlah, yang kemudiannya dirampung menjadi sebuah buku, yang diharapkan dapat diajar dan dibaca secara meluas. Barangkali, pengetahuan sebeginilah yang dapat dikongsi dan disebarkan kepada mereka yang mencari Kebenaran.

Malangnya, membaca buku bukan lagi sesuatu yang bergaya pada masa kini. Sebaliknya, kita ada video YouTube berbentuk pendidikan, yang membolehkan kita meneroka konteks sesuatu isu secara lebih komprehensif berbanding hanya melalui laporan berita.

Video pendidikan ini tidaklah dapat menjalankan tugas berkongsi kandungan buku yang diselidik dengan baik dengan berkesan secara sepenuhnya. Namun, yang pasti mereka melakukan kerja yang lebih baik daripada laporan berita, walaupun apabila laporan ini ditayang ketika waktu puncak.

Dalam siaran berita ini, saya ingin memperkenalkan anda kepada beberapa video YouTube penting tentang konflik Israel-Palestin. Mudah-mudahan, anda akan menonton kira-kira setengah jam setiap video ini. Saya mendapati ia cukup berguna dalam membantu saya memahami konflik yang sedang berlaku.

Dengarkan enam sarjana-aktivis penting ini yang berkongsi mengapa rakyat Palestin berhak mendapat sokongan kita dalam perjuangan mereka untuk kebebasan, dan mengapa kita semua harus menyeru diadakan gencatan senjata segera agar keamanan yang mampan dicapai.

Ilan Pappe

Memulakan usaha pensejarahan semula bagi peristiwa Nakba 1948

Ilan Pappe kini merupakan profesor sejarah dan pengarah Pusat Pengajian Palestin Eropah di Universiti Exeter, UK. Beliau telah digambarkan oleh wartawan tersohor, John Pilger sebagai “sejarawan Israel yang paling berani, paling berprinsip, paling tajam”.

Seorang Yahudi, Pappe dilahirkan di Israel, dibesarkan di Haifa dan lulus dalam bidang sejarah dan pengajian Arab dari Universiti Hebrew di Jerusalem. Beliau kemudian melanjutkan pengajian pasca siswazah di Oxford pada 1980-an, di mana beliau menjalankan penyelidikan mengenai penubuhan negara Israel untuk ijazah kedoktorannya.

Beliau adalah salah seorang sarjana pertama yang dibenarkan membaca dokumen rasmi British, Israel, PBB dan lain-lain yang berkaitan dengan pembentukan Israel, yang hanya tersedia untuk dibelek warga awam dari tahun 1988 (apabila sekatan selama 30 tahun luput, yang telah tidak membenarkan akses awam kepada bahan arkib di Britain dan Israel).

Penyelidikan Pappe tertumpu pada penciptaan negara Yahudi dalam apa yang dahulunya dikenali sebagai Mandat British untuk Palestin, di mana majoriti rakyatnya adalah orang Arab Palestin.

Jadi, jika negara Yahudi ingin diwujudkan, apa lagi jika negara Yahudi demokratik itulah yang dikehendaki ditubuhkan di tanah yang sudah dihuni oleh orang Arab Palestin, orang berketurunan Yahudi perlu berhijrah ke Israel seperti yang dicadangkan itu dengan cepat serta jumlah yang ramai. Akhirnya, orang Yahudi perlu membentuk majoriti di negara Yahudi yang dicadangkan, serta dalam proses pilihan raya yang dimaksudkan.

Malah, dua pertiga daripada penduduk Yahudi di Israel pada tahun 1948 bukanlah warga ‘asli’ Palestin. Mereka direkrut dari diaspora, kebanyakannya dari Eropah Timur (Rusia, Ukraine, Poland, Czechoslovakia) dan Timur Tengah (Syria, Iraq, Mesir dan sebagainya).

Malangnya, akibat daripada penghijrahan beramai-ramai orang Yahudi ke Israel ialah apabila orang Arab Palestin, yang sudah berada dan hidup di daerah Mandat British di Palestin terpaksa diusir, dimusnahkan atau diasingkan (seperti cara apartheid). Akhirnya, majoriti warganya disingkirkan.

Buku Ilan Pappe mendokumentasikan apa yang disebutnya sebagai “pembersihan etnik” atau de-Arabisasi sebahagian wilayah Baitulmaqdis, Jericho dan kawasan bandar lain; transformasi bandar diduduki warga Arab seperti Haifa dan Jaffar menjadi pusat Yahudi dalam beberapa minggu; kemusnahan kampung Arab dan penciptaan kibbutz demi kibbutz di atas kawasan mereka. Malah landskap itu telah dibuat semula dan ditanam dengan lebih banyak pokok pain yang kelihatan seperti di Eropah untuk memadamkan kesan penempatan asal orang Palestin.

Oleh itu, penciptaan negara Yahudi Israel pada tahun 1948 disambut baik oleh Zionis kerana ia telah menamatkan pengasingan mereka selama 2,000 tahun lamanya. Walau bagaimanapun, ia juga menyumbang kepada apa yang disebut sebagai Nakba (Malapetaka) oleh rakyat Palestin.

Nakba merupakan sebuah peristiwa tunggal yang mengakibatkan masalah pelarian kepada warga Palestin. Inilah asal usul banyak kem pelarian di negara jiran seperti Lubnan, Jordan dan Syria, dan di dalam Gaza dan Tebing Barat.

Bertentangan dengan kepercayaan popular, yang terus disebarkan oleh Israel dan beberapa sarjana Barat, masalah pelarian tidak berpunca daripada peperangan antara orang Arab dan Israel pada tahun 1948.

Kajian Pappe menunjukkan bahawa pengusiran rakyat Palestin mendahului perang serta pencerobohan Israel oleh negara-negara Arab jiran. Malah, perang itu adalah tindak balas kepada pengusiran rakyat Palestin dari tanah air mereka, juga tindak balas kepada penghapusan etnik.

Terdapat empat perkara lain yang dibangkitkan oleh Pappe yang menarik minat saya.

Pertama, penghijrahan beramai-ramai orang Yahudi ke Palestin boleh disamakan dengan contoh lain penjajahan para peneroka (settler colonisation), oleh British khususnya, yang selalu mengakibatkan pengusiran atau pemusnahan orang asli (seperti di AS, Kanada, Australia, New Zealand) atau dalam bentuk pengasingan (seperti di Afrika Selatan).

Kedua, Pappe (dan ahli sejarah lain) berpendapat bahawa proses dekolonisasi di Palestin berbeza daripada bahagian lain Empayar British. Sebagai contoh, di negara-negara seperti Iraq dan Sudan, dan lebih jauh ke timur seperti India, Burma dan Malaya, prinsip pemerintahan majoriti telah diterima pakai apabila British berundur. (Secara kebetulan, pasukan tentera dan polis British telah dipindahkan dari Palestin ke Malaya, di mana “darurat” telah diisytiharkan pada akhir 1948 untuk memerangi pemberontakan yang dipimpin oleh komunis).

Di Israel, jajahan peneroka baru turut diwujudkan. Walau bagaimanapun, Pappe menyatakan bahawa dalam DNA penjajahan peneroka ia menimbulkan tentangan.

Ketiga, Pappe (dan lain-lain) menyatakan bahawa banyak bandar Palestin (dan Arab) adalah contoh baik kehidupan berbilang etnik, agama yang aman oleh orang Islam, Kristian dan Yahudi dalam tempoh sebelum Perang Dunia Kedua. Dalam kawasan Mandat British di Palestin, penduduk kotanya berpendidikan tinggi, dan industri percetakan berkembang maju dengan pesat.

Masyarakat organik yang hidup aman ini, ditambah dengan pembangunan modal insan yang sedia ada, menjadikan Palestin sebagai salah satu tempat paling maju di Timur Tengah. Adalah penting untuk mengetahui sejarah ini – kerana masyarakat organik ini boleh menjadi asas kepada model alternatif pembinaan negara. Sejarah Palestin tidak hanya bermula dari tahun 1948.

Dan keempat, Pappe turut mencadangkan bahawa pendapat umum warga Barat terhadap Israel masa kini juga dapat ditelesuri kembali ke tahun 1948 dan penciptaan Israel.

Bukan kerana pihak Barat jahil atau tidak sedar bahawa Nakba berlaku, dan orang Palestin diusir atau dibunuh. Sebaliknya, pihak Barat nampaknya “membenarkan ketidakadilan yang lebih kecil (pembersihan etnik) untuk membetulkan ketidakadilan yang lebih besar, iaitu Holocaust”. Nampaknya, mengusir rakyat Palestin dianggap boleh diterima, jika pun tidak secara absah, untuk mengekalkan daya maju negara demokrasi Yahudi, pasca Holocaust.

Malangnya, ia mungkin juga memberi isyarat kepada Israel bahawa tidak mengapa untuk mengusir dan mendiskriminasi rakyat Palestin untuk matlamat yang lebih besar iaitu untuk menyatukan negara Yahudi yang baru. Ia mungkin seterusnya memberi isyarat bahawa pendapat umum antarabangsa akan membenarkan ini.

Tentang peristiwa 1948 – Ilan Pappe, Bahagian 1, 2018

READ MORE:  Pro-Palestine university rallies sweep across the globe, echoing national sentiments - experts

Berkenaan perkembangan terkini di Gaza, lihat “Crisis in Zionism, opportunity for Palestine” – 19 October 2023

Memahami mitos dan realiti Israel – Ilan Pappe

Karya Ilan Pappe termasuklah The Ethnic Cleansing of Palestine (Oxford: Oneworld, 2006) dan A History of Modern Palestine: One Land, Two Peoples (Cambridge University Press, second edition, 2004, 2006).

Gideon Levy

Seorang wartawan Israel yang telah mendapat banyak penghargaan karena laporan-laporannya yang mengungkapkan kehidupan sulit warga Palestina di bawah penjajahan Israel

Seorang wartawan dan pengarang Israel yang banyak memenangi anugerah, Levy merupakan kolumnis tetap untuk Haaretz, akhbar Israel yang kritikal. Buku-bukunya termasuklah Twilight Zone: Life and Death under Israeli Occupation, 1988-2003 (Tel Aviv: 2004) dan The Punishment of Gaza (London: Verso 2010).

Tajuk video “Gideon Levy – The Zionist tango: Step left, step right” (lihat di bawah) merujuk kepada intipati ceramahnya, iaitu tiada perbezaan antara yang dipanggil kiri dan kanan di Israel.

Kedua-dua kumpulan berkongsi dua ‘agama’ iaitu Zionisme dan Keselamatan Israel. Dan sepertimana kebanyakan agama, seseorang tidak dibenarkan menimbulkan keraguan tentang Zionisme atau keselamatan Israel.

Jadi, golongan kiri Israel, seperti golongan kanan Israel, tidak pernah menyeru bagi menamatkan pendudukan wilayah Palestin. Kedua-dua pihak telah mempromosikan penempatan baru di Tebing Barat. Kedua-dua pihak adalah Zionis.

Levy menyebut bahawa beliau telah berkhidmat sebagai pembantu kepada bekas Perdana Menteri Shimon Peres (yang, bersama Yasser Arafat, telah memenangi Hadiah Keamanan Nobel). Malah, Peres adalah “bapa penempatan”, yang bercanggah dengan usaha bagi menuntut keamanan dan solusi dua negara.

Untuk memahami perkara yang dianggap biasa ini, Levy menghuraikan bahawa warga Israel berkongsi tiga nilai asas pandangan:

  • bahawa mereka merupakan “orang terpilih”. Oleh itu, kritikan terhadap mereka dari sudut pandangan undang-undang antarabangsa atau pendapat global tidak terpakai kepada mereka dan tidak penting
  • bahawa mereka adalah ‘mangsa’, barangkali satu-satunya mangsa dalam peristiwa ini. Beliau ada menyebut bagaimana Golda Meir, bekas Perdana Menteri, pernah merungut bagaimana orang Yahudi tidak dapat memaafkan orang Arab kerana memaksa orang Yahudi membunuh anak mereka! Jadi, apakah orang Yahudi ingin menyalahkan rakyat Palestin kerana memaksa mereka membunuh kanak-kanak Palestin. Logik seperti apa ini?! Penderitaan orang lain tidak penting. Perkara yang terjadi sekarang tidaklah seburuk Holocaust serta apa yang orang Yahudi terpaksa tanggung lalui, dan
  • bahawa orang Yahudi Israel berkongsi pandangan bahawa orang Palestin “bukanlah manusia sepenuhnya” seperti mereka: kerana mereka tidak menyayangi anak-anak mereka, menikmati kehidupan, menghormati satu sama lain seperti orang Yahudi Israel lainnya. Selepas insiden 7 Oktober, menteri pertahanan Israel merujuk kepada rakyat Palestin sebagai “separuh haiwan”! Dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, apabila diseru untuk menghentikan serangan ke atas Gaza, enggan berbuat demikian atas alasan bahawa peperangan menentang rakyat Palestin di Gaza adalah perlu, menyamakan konflik itu sebagai “perang antara tamadun dan kegasaran”

Gideon Levy menjelaskan kepada pihak luar bahawa terdapat tiga rejim yang wujud secara serentak di Israel:

  • Demokrasi liberal, diguna pakai hanya untuk Yahudi Israel sahaja, termasuklah Levy sendiri. Beliau mengakui bahawa diberi kebebasan bersuara dan bergerak, walaupun beliau sendiri tidak akan mengambil mudah akan keistimewaan ini dan menjangka akan ditahan suatu hari nanti
  • Rejim kedua merujuk kepada tadbir urus rakyat Palestin yang tinggal di dalam Israel. Mereka diberi hak sivil kerana mereka dibenarkan membentuk parti dan persatuan, mengundi dalam pilihan raya, dan memegang jawatan jika dipilih. Tetapi dalam semua hal lain, mereka dianggap sebagai warganegara kelas kedua dan didiskriminasi di negara Yahudi ini
  • Rejim ketiga merujuk kepada bagaimana kerajaan Israel telah menjajah dan mentadbir Gaza dan Tebing Barat sejak 1967. Selama 16 tahun yang lalu, kepungan telah menyelubungi Gaza. Jadi, rakyat Palestin tidak boleh melakukan perjalanan bebas ke Israel atau membawa masuk barangan seperti makanan, bahan api dan ubat-ubatan tanpa kebenaran. Dinding konkrit tinggi atau pagar kawat duri dengan pusat pemeriksaan memisahkan Gaza yang diduduki dari Israel. Malah, pusat pemeriksaan tentera boleh didirikan di seluruh wilayah yang diduduki sesuka hati. Bekas Perdana Menteri UK, David Cameron pada 2010, menggambarkan Gaza dengan jelas sebagai “penjara terbuka gergasi” dan kemudian, “kem penjara“. Kerana sekatan, ekonomi terbantut. Kira-kira 60% daripada semua belia dan 50% daripada semua penduduk menganggur. Levy mengkritik mereka yang menganggap Israel sebagai “satu-satunya demokrasi di Timur Tengah”. Bagaimana tanah yang diduduki ini serta pemenjaraan separuh daripada penduduknya ini boleh dianggap demokrasi, soal Levy

Levy menganggap bahawa perubahan tidak boleh datang dari dalam. Kumpulan-kumpulan yang menyeru kepada pembaharuan adalah terlalu kecil dan tidak berkesan. Jadi, perubahan mesti datang dari luar.

Pelobi Yahudi di AS berkuasa dan sangat mempengaruhi dasar AS terhadap Israel dan Timur Tengah. Ia membekalkan Israel dengan senjata terbaharu dan merupakan pembiaya terbesarnya – kira-kira $3.8bn setahun. Jika mahu, AS boleh meminta Israel kembali ke Perjanjian Oslo, untuk menghentikan pendudukan, tidak membenarkan semua penempatan baharu dibina dan mematuhi undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB. Masalahnya ialah kerajaan AS tidak mahu melakukan ini kepada Israel!

Apa yang boleh dilakukan? Antara lain, Levy menggesa orang ramai untuk:

  • Meneruskan perjuangan menentang penjenayahan kepada warga yang mengkritik Israel. Walaupun AS, UK dan negara-negara Eropah menganggap kritikan terhadap Israel sama seperti tindakan antisemit, Levy berhujah bahawa mengkritik Israel kerana penjajahannya, serta undang-undang seperti apartheidnya itu bukanlah antisemitik
  • Dedahkan pembohongan bahawa Israel adalah sebuah negara demokrasi. Bukan. Ia merupakan sebuah kezaliman kerana mengamalkan dasar apartheid. Ia boleh diibaratkan sebagai koloni peneroka yang telah menyebabkan perpindahan atau pemusnahan orang asli seperti di AS, Kanada, Australia dan Brazil
  • Dedahkan pembohongan bahawa penjajahan ini bersifat sementara. Israel telah diwujudkan pada tahun 1948, wilayah yang diduduki berada di bawah Israel bermula pada tahun 1967 dan ia kekal dan tampaknya akan diteruskan begitu
  • Terus dukung gerakan kempen Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) terhadap Israel dijalankan oleh masyarakat antarabangsa

Akhirnya, Levy berkata dia tidak lagi percaya kepada “penyelesaian dua negaran”. Ia tidak lagi memungkinkan. Terlalu banyak waktu telah berlalu sejak Perjanjian Oslo dicapai oleh Arafat dan Peres. Terlalu banyak penempatan baru telah tumbuh di Tebing Barat.

Donald Trump, dalam memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, mendedahkan bahawa AS sendiri tidak lagi percaya kepada penyelesaian dalam bentuk dua negara.

Sekiranya pun berlaku, pendapat warga di Israel di bawah Netanyahu dan golongan kanan tegar menentang penyelesaian ini dan sebaliknya hanya ingin mewujudkan Israel Raya.

AS sendiri tidak lagi boleh memainkan peranan sebagai orang tengah. Rakyat Palestin tidak lagi mempercayai Washington untuk menjadi orang tengah yang adil.

Sebaliknya, Levy percaya bahawa rakyat Israel dan Palestin yang progresif harus berusaha untuk sebuah negara sekular berbilang etnik, di mana tujuh juta orang Yahudi dan tujuh juta rakyat Palestin mempunyai undi dan hak yang sama. Kita mesti bermimpi kita boleh hidup bersama di bawah negara-bukan Yahudi yang sama, tegasnya.

Gideon Levy: The Zionist tango: Step left, step right – The Real News Network, 2018  

Norman Finkelstein

Seorang sarjana-aktivis Amerika yang ibubapanya dipenjara di  Auschwitz, Finkelstein berkongsi mengapa beliau enggan mengutuk Hamas sebagai “pengganas”

Finkelstein ialah seorang saintis politik Amerika yang menerima PhD dari Universiti Princeton dan telah mengajar teori politik dan konflik Israel-Palestin selama berdekad lamanya.

Beliau adalah pengarang banyak buku, antaranya Gaza: An Inquest into its Martyrdom (2021); The Holocaust Industry: Reflections on the Exploitation of Jewish Suffering (2015); Beyond Chutzpah: on the Misuse of Anti-Semitism and the Abuse of History (2008); Image and Reality of the Israeli-Palestinian Conflict (2003).

Ibu bapanya yang berketurunan Yahudi telah dipenjarakan di Ghetto Warsaw dan kem tahanan Auschwitz yang digeruni sewaktu zaman Nazisme.

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dan Presiden Turki Tayyip Erdogan, bersama-sama yang lain, enggan mengutuk Hamas sebagai ‘pengganas’.

Dalam video yang dirujuk di bawah, Norman Finkelstein berkongsi dengan kita mengapa beliau enggan mengutuk Hamas sebagai pengganas. Terlalu mudah untuk mengutuk mereka, katanya.

Bagi Finkelstein, keadaan semasa rakyat Palestin yang tinggal di Gaza, yang telah diduduki oleh Israel sejak 1967 dan diletakkan di bawah kepungan selama 16 tahun yang lalu, perlu diambil kira.

Dua imej telah digunakan untuk menggambarkan Gaza.

Kita telah menyebut bagaimana David Cameron, selepas melawat Palestin, menggambarkannya sebagai “penjara terbuka gergasi”.

Baruch Kimmerling, ahli sosiologi Universiti Hebrew yang tersohor, mungkin orang pertama yang merujuk kepada Gaza sebagai “kem tahanan terbesar” – kerana Gaza tertakluk kepada sekatan jalan raya keselamatan dan pengepungan. Ia tertakluk kepada kawalan ke atas aliran makanan, ubat, bahan binaan dan barangan lain yang berpotensi digunakan untuk memerangi IDF.

Finkelstein bersetuju dengan penerangan ini. Dalam video di bawah, dan dalam buku terbarunya, beliau menyamakan tinggal di Gaza seperti tinggal di kem tahanan. Hanya apabila kita mengambil konteks ‘neraka hidup’ inilah, baru kita dapat memahami mengapa pemuda Gaza telah melakukan keganasan, termasuk para remaja yang terlibat dalam pembunuhan yang dipimpin Hamas pada 7 Oktober.

Finkelstein mengingatkan kita betapa padatnya Gaza dengan penduduk itu hanyalah seluas lima batu lebar dan 25 batu panjang. Beliau sendiri, katanya berjoging kira-kira lima batu setiap pagi.

Lebih teruk lagi, 70% majoriti penduduk Gaza terdiri daripada pelarian dari perang 1948 serta keturunan daripada kumpulan pelarian pertama itu. Kira-kira separuh penduduknya adalah kanak-kanak.

Lima pencerobohan besar, termasuklah pembunuhan beramai-ramai oleh Israel, telah berlaku. (Tidak perlu dinyatakan bagaimana pengeboman dan serangan yang terkini ini adalah yang paling teruk pernah berlaku.)

Dalam Operasi Cast Lead selama 22 hari (dari 26 Disember 2008 hingga 17 Januari 2009), 1,400 rakyat Palestin terbunuh, termasuk 350 kanak-kanak; 6,000 rumah musnah, dan semua infrastruktur penting musnah.

READ MORE:  The Zionist project is coming to an end - Ilan Pappe

Dalam Operasi Protective 3 pada Julai-Ogos 2014, IDF membunuh 2,200 rakyat Palestin, termasuklah 550 kanak-kanak. Kira-kira 18,000 rumah musnah. Kemusnahan ladang dan sekatan di laut telah mengakibatkan ketidakamanan sumber makanan bagi penduduk Gaza sejak itu.

Finkelstein mengingatkan kita bahawa rakyat Palestin telah mencuba demonstrasi tanpa kekerasan. IDF tetap menyasarkan mereka semua dengan keganasan yang sama, seperti dalam pembunuhan beramai-ramai 14 Mei 2014. Selepas itu, taktik tanpa kekerasan telah ditinggalkan.

Bayangkan, kata Norman, bagaimana kehidupan seorang pemuda Palestin di Gaza. Pengajiannya sentiasa terganggu. Mereka tidak mempunyai pekerjaan dan hanya bergantung kepada agensi bantuan PBB, UNRWA, untuk bantuan. Rumahnya mungkin telah musnah dalam siri serangan Israel yang lepas. Dia mungkin kehilangan kakak atau abang, bapa atau ibu, atau barangkali saudara atau kawannya sendiri semasa pencerobohan atau pembunuhan beramai-ramai Israel yang lalu.

Tidak ada kemungkinan untuknya menjalani kehidupan seperti biasa, apatah lagi untuk berkahwin dan membina keluarga. Jika berjaya berkahwin pun, dia tidak mampu memberikan kehidupan yang selesa kepada isteri dan anak-anaknya.

Bayangkan, seluruh hidupnya terperuk dalam jalur kecil ini, seluas 25 batu kali lima batu. Bayangkan, dia belum pernah melangkaui jalan yang sempit ini! Dan, masa depannya kelihatan lebih suram apabila IDF mengetatkan cengkamannya ke atas Gaza.

Senang kata, tidak ada kemungkinan untuk hidupnya berubah menjadi lebih baik! Tiada harapan untuk masa depan yang lebih baik! Pihak berkuasa Palestin pula korup, tidak cekap dan tidak berkuasa. Tidak ada harapan wujud dalam penyelesaian dua negara ini.

Dalam keadaan sedemikian dia beralih kepada Islam radikal, yang memberikannya sebab untuk wujud. Dan kemungkinan kesyahidan itulah yang berkembang menjadi penyelesaian kepada kekecewaannya, hasil hidup tanpa punya Harapan.

Finkelstein percaya bahawa pada malam 6 Oktober itu, lelaki muda Gaza pastinya mencium tangan ibu bapa mereka, mengucapkan selamat tinggal kepada adik-beradik dan rakan-rakan mereka, menjangkakan mereka tidak akan lagi kembali dari serangan mereka ke Israel.

Finkelstein memahami kemarahan dan tindakan melalui pemberontakan. Jadi, dia tidak akan mengutuk pemuda ini kerana menjadi pengganas! Finkelstein sangat gembira beliau tidak berada dalam kedudukan mereka.

Beliau juga membandingkan kekejaman di Gaza dengan apa yang berlaku semasa Pemberontakan Nat Turner oleh golongan hamba di AS. Daripada penyelidikannya, Finkelstein mendapati bahawa golongan yang mahu memansuhkan penghambaan yang melihat rekod sejarah pemberontakan itu enggan mengutuk Nat Turner, yang telah menggembleng rakan-rakannya untuk membunuh orang kulit putih yang menghalang mereka. Jadi, mereka juga bukanlah tidak bersedia untuk membunuh orang awam yang tidak bersalah yang terkait dengan sistem perhambaan jahat yang telah merampas maruah orang kulit hitam.

Bagi Turner, pembunuhan itu perlu bagi mewujudkan “krisis moral” di kalangan rakyat Amerika. Menariknya, Nat Turner adalah seorang yang sangat warak. Beliau menganggap dirinya melakukan kehendak Tuhan dengan memberontak terhadap masyarakat kejam yang menunggangi para hamba. “Samalah seperti para jihadis hari ini,” tambah Finkelstein.

Finkelstein juga berkongsi dengan kita perbualan dengan ibunya. Semasa ibunya berada di Ghetto Warsaw, beliau juga telah kehilangan harapan. Ibunya itu juga menyertai pemberontakan, yang juga mengakibatkan kematian orang awam bukan Yahudi. Apabila Filkenstein menyoal ibunya tentang perkara ini, ibunya menjawab bahawa jika terpaksa mati, beliau sendiri akan cuba membawa “sebahagian daripada mereka” bersamanya.

Bagi Finkelstein, jelas bahawa kehidupan tanpa harapan tidak berbaloi – bagi orang Yahudi di kem tahanan, bagi para hamba yang diketuai oleh Nat Turner serta bagi jihadis muda ini juga.

Conversation with Norman Finkelstein: Israel’s long war on Gaza – The Chris Hedges Report, 19 Oktober 2023, The Real News Network

Noam Chomsky

Ahli falsafah serta sarjana awam Amerika yang tersohor

Noam Chomsky juga merupakan seorang yang berketurunan Yahudi. Ibu bapanya datang ke AS dari Ukraine. Seorang sarjana yang cemerlang, beliau mengajar linguistik dan falsafah di Massachusetts Institute of Technology selama lebih 50 tahun.

Beliau bersikap kritikal dan lantang terhadap peperangan AS di luar negara, serta sokongan AS terhadap diktator pro-AS di seluruh dunia, dan perang proksi yang melibatkan diktator ini bagi pihak AS selalunya secara langsung melibatkan bantuan tentera AS serta “bantuan teknikal” mereka.

Beliau juga turut membidas peranan media Barat dan sebahagian besar golongan cerdik pandai Amerika yang menyokong kerajaan di Washington yang tidak dipersoalkan.

Seringkali, media Barat akan mengabaikan dan enggan menyebut kekejaman AS. Satu contoh yang baik ialah bagaimana agensi berita utama, akhbar dan penyiar televisyen pada dasarnya memutuskan untuk tidak melaporkan secara menyeluruh mengenai kekejaman Israel dan pembunuhan mereka terhadap orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Beliau pertama kali mengkritik perang Amerika di Vietnam, serta kemudian pencerobohannya ke atas Kemboja dan Laos pada akhir 1960-an. Peperangan ini, yang berlangsung lebih 20 tahun, menyebabkan kemusnahan besar-besaran di kawasan bandar Indochina. Beratus ribu orang Vietnam, Laos dan Kemboja, bersama-sama tentera Amerika, kehilangan nyawa mereka.

Amerika juga menggunakan Agent Orange, napalm dan bom berkelompok, selain peluru biasa, bagi memusnahkan nyawa dan kawasan pedalaman Indocina, kerana ia adalah perang yang kebanyakannya berlaku di kawasan kampung, estet, sawah padi dan gunung.

Chomsky juga telah menulis mengenai penglibatan Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS dalam penggulingan Presiden Indonesia Sukarno pada 1965, dan sokongan AS terhadap rejim Suharto yang menggantikannya. AS kemudian menyokong pencerobohan dan pendudukan Indonesia di Timor Timur.

Chomsky juga menyedarkan rakyat Amerika dan masyarakat global tentang campur tangan AS di Amerika Tengah serta penggulingan kerajaan Presiden sosialis Salvador Allende di Chile pada awal 1970-an.

AS juga telah campur tangan dalam politik Timur Tengah. Warga awam mengetahui bahawa AS telah menyediakan kira-kira $3.8bn bantuan ketenteraan dan teknikal kepada Israel setiap tahun. Jumlah ini tidak termasuk bantuan tambahan yang diberikan semasa kecemasan, seperti penggulingan Shah Iran dan pengambilalihan negara oleh Ayatollah Khomeini.

Menulis ketika pencerobohan AS ke atas Iraq untuk mencari apa yang AS gelar sebagai “senjata pemusnah besar-besaran”, Chomsky menganggap AS sebagai negara pengganas terbesar di dunia. Dalam kejadian itu, AS memusnahkan Iraq hampir sepenuhnya.

Chomsky dan Ilan Pappe telah bersama-sama menerbitkan buku Gaza in Crisis: Reflections on Israel’s War against the Palestinians, 2013, dan On Palestine (A Penguin Special, 2015).

Perbincangan di bawah serta video pendek ini memfokuskan kepada penjelasan Chomsky tentang hubungan istimewa antara Washington dan Israel.

Chomsky memberikan tiga hujah utama.

Pertama, Timur Tengah mempunyai kepentingan yang besar kepada AS dalam usaha mengekalkan kedudukannya sebagai hegemon dunia. Bukan sahaja itu, Timur Tengah merupakan pusat penting pengeluaran minyak dan gas asli cecair. Lokasi Terusan Suez di utara Mesir juga meningkatkan kepentingan strategik rantau itu kepada AS.

Sejak 1967, Washington telah memutuskan Israel sebagai sekutu strategiknya di Timur Tengah. Dalam perang pertama antara Israel dan jirannya, Israel mengalahkan Syria di Bukit Golan dan Mesir di Sinai, yang kemudiannya diambil alih oleh Israel. Selepas perang 1967 itu, Israel mula menduduki Tebing Barat dan Gaza.

Pada kemuncak Perang Dingin pada 1960-an, Israel membantu AS menyingkirkan nasionalis radikal yang memimpin banyak negara di seluruh rantau ini. Golongan nasionalis telah menjadi sebahagian daripada gerakan pan-Arab dan tergolong dalam Parti Sosialis Baath.

Beberapa pemimpin Arab ini juga aktif dalam gerakan Afro-Asia, pelopor kepada Pergerakan Negara-Negara Berkecuali, yang enggan memihak kepada AS dalam menentang Kesatuan Soviet ketika Perang Dingin.

Malah, AS mula menyokong pembentukan dan pertumbuhan parti Islam konservatif sebagai pengimbang kepada nasionalis sekular radikal.

Dalam kes Israel, Israel sendiri menyokong pertumbuhan Hamas, yang nampaknya AS secara diam-diam menyokong, untuk menentang pengaruh Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Ini telah diakui secara terbuka oleh Perdana Menteri Israel Netanyahu.

Pada masa kini, IDF turut berkongsi maklumat risikan mengenai jirannya dengan AS. Israel juga membenarkan AS menyimpan persenjataan dan amunisinya di Israel untuk kegunaan di rantau itu, terutamanya bagi membendung Iran. Secara kebetulan, apabila Israel kehabisan simpanan senjatanya dalam pengeboman dan pemusnahan Gaza yang berterusan, Amerika akan menambah bekalan peluru Israel dari simpanan senjatanya sendiri di Israel.

Sesungguhnya, dasar AS terhadap Israel telah berubah secara mendadak sejak tahun 1950-an dan awal 1960-an. Pada mulanya, terdapat perbezaan pendapat dalam pentadbiran AS: Pentagon memandang baik terhadap Israel, yang dianggap sebagai sekutu berpotensi, manakala Jabatan Negara pula lebih mengkritik Israel, menyatakan kebimbangan yang mendalam tentang nasib pelarian.

Atas sebab ini, AS, di bawah Dwight Eisenhower, tetap bersikap adil dan tidak membenarkan Israel daripada menubuhkan penempatan baharu di Tebing Barat. Pada masa itu, AS telah menegaskan bahawa Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dan mematuhi ketetapan PBB.

Ini tidak lagi berlaku pada hari ini. Israel terlepas sewenang-wenangnya dengan bertopengkan haknya untuk mempertahankan diri – dan AS menyokong Israel tanpa ragu-ragu.

Sebab kedua wujudnya hubungan istimewa Israel-AS ini, Chomsky berpendapat, ada kaitan dengan sokongan penganut Kristian evangelis sayap kanan di AS kepada Israel. Mungkin sejak 1990-an, dengan pertumbuhan evangelis di AS, setiap bakal presiden AS dan orang lain yang mencari jawatan awam, berhempas pulas untuk memenangi sokongan evangelis dalam pilihan raya.

Para evangelis ini, yang membaca Alkitab mereka secara harfiah, menjangkakan akan berlakunya “zaman akhir” dan “kepulangan orang Yahudi ke tanah air mereka”, yang akan menjadi pendahulu kepada peristiwa “Armageddon, apabila Mesias akan kembali” nanti.

Chomsky menekankan bahawa kepercayaan golongan evangelis yang anti-Islam dan kelihatan pro-Israel ini, sebenarnya berbaur antisemitisme! Ini adalah kerana para evangelis ini juga menjangkakan bahawa hanya orang Yahudi yang memeluk agama Kristian – yang peratusannya kecil – akan diselamatkan. Majoriti akan dimusnahkan dan menghadapi kutukan pada hari-hari terakhir.

READ MORE:  Why I quit the Biden administration over Gaza - Jewish appointee

Chomsky juga mengingatkan kita tentang asal-usul antisemitisme di kalangan Zionis Kristian dari segi sejarah, yang sebenarnya mendahului gerakan Zionis Yahudi. Antisemitisme ini, terutamanya terbukti jelas di wilayah Anglosphere AS, UK, Kanada dan Australia, mempengaruhi projek Balfour untuk mewujudkan Palestin bagi orang Yahudi. Malah, Arthur Balfour dan golongan mereka ini lebih suka jika orang Yahudi pergi ke Palestin, bukan ke UK.

Dan ketiga, hubungan AS-Israel yang kukuh ini juga adalah hasil daripada lobi Israel yang kuat di AS pada masa kini, yang terdiri daripada orang Yahudi yang memainkan peranan utama dalam kalangan kewangan dan pelaburan, dalam industri kompleks ketenteraan dan media, di dalam akademik dan di setiap pentadbiran AS.

Chomsky mengenai hubungan Israel-AS: Why America regards Israel as a sacred cow

Chomsky on The Israeli-Palestine Conflict, April 2002

Noura Erakat

Seorang sarjana muda Palestin-Amerika yang lantang bersuara

Saya ingin memasukkan suara wanita di kalangan beberapa orang yang sudah saya cadangkan. Noura Erakat yang agak muda ini menawarkan sudut pandang penting kepada suara empat sarjana-aktivis yang terkenal dan agak tua yang saya kongsikan sebelum ini.

Noura Erakat ialah warga Amerika Palestin. Beliau mengajar di Universiti Rutgers di New Jersey. Sebagai seorang peguam hak asasi manusia, beliau juga pernah berkhidmat sebagai penasihat undang-undang kepada Dewan Perwakilan AS dan memperjuangkan hak pelarian Palestin di PBB. Bukunya Justice for Some: Law and the Question of Palestine (Stanford University Press: 2019) memenangi Anugerah Buku Palestin 2019, yang ditaja oleh Middle East Monitor.

Seringkali, kita membincangkan Palestin, atau sekurang-kurangnya penyelesaian konflik Palestin-Israel dari segi undang-undang – undang-undang antarabangsa atau pendudukan. Sehingga kini, tiada satu pun pembunuhan, kekejaman dan pelanggaran undang-undang itu telah diselesaikan melalui campur tangan kehakiman.

Misalnya, undang-undang digubal penjajah ini telah gagal untuk menghentikan penciptaan penempatan baharu Israel. Walaupun ada undang-undang peperangan dan Konvensyen Geneva, pembunuhan dan pemusnahan ke atas rakyat Palestin di Gaza berterusan, dan berlaku di hadapan mata kita.

Pembunuhan wartawan Al Jazeera Shireen Abu Akleh oleh IDF, yang dikenal pasti dengan bantuan AS, telah diabaikan sama sekali oleh kerajaan Israel.

Seperti yang telah kita bincangkan, Ilan Pappe dan Gideon Levy tidak lagi percaya kemampuan Perjanjian Oslo dalam mewujudkan dua negara adalah penyelesaian yang boleh direalisasikan.

Pertama, peta sebenar penempatan Yahudi dan Palestin telah pun dilukis semula dalam realiti.

Kedua, kerajaan Israel di bawah Netanyahu dan sekutu sayap kanannya tidak langsung mengendah cadangan untuk mewujudkan dua negara sebagai jalan penyelesaian.

Dan ketiga, Amerika tidak mendesak Israel sedikit pun untuk merealisasikan perjanjian ini, yang dicapai oleh Shemon Peres dan Yasser Arafat; tidak ada usaha langsung oleh Barack Obama, Donald Trump, apa lagi Joe Biden.

Oleh itu, adalah wajar karya tulisan Noura Erakat ini untuk melihat perjuangan untuk kebebasan Palestin melalui lensa kuasa, dan siapa yang mengawal pembuatan dan pelaksanaan undang-undang antarabangsa.

Noura memberi tumpuan kepada hujahan utama daripada Deklarasi Balfour sehinggalah kepada undang-undang terkini yang direka sekarang selepas setiap konflik dan menunjukkan bahawa undang-undang itu telah memajukan kepentingan Israel, dan bukannya kepentingan Palestin sejak 50 tahun lalu.

Tetapi, Noura berpendapat ia sesuatu yang tak dapat dielakkan. Sebagai seorang peguam, beliau percaya undang-undang ada menawarkan janji dan risiko.

Kerana undang-undang adalah politik, dan tafsiran serta penggunaannya bergantung pada campur tangan politik negara dan rakyat.

Dalam undang-undang, perubahan mungkin berlaku. Ia boleh berkhidmat untuk kebebasan apabila ia digerakkan untuk menyokong gerakan politik. Namun di tangan mereka yang salah, dan digerakkan untuk kepentingan diskriminasi, ia boleh menyebarkan kebencian dan selanjutnya, penjajahan, apartheid, kolonialisme.

Di sini, di Malaysia, kita telah dapat membezakan antara ‘kedaulatan undang-undang’ – yang menggalakkan kawal dan imbang, ketelusan dan akauntabiliti eksekutif, serta pemeluasan demokrasi keseluruhannya – dan ‘pemerintahan mengikut undang-undang’. Dalam soal yang kedua itu, kita masih meluluskan banyak undang-undang yang memeras dalam membenarkan penahanan tanpa perbicaraan dan sekatan terhadap hak berkumpul, bersekutu, berekspresi dan menganjurkan. Jadi, kita dapat menghargai perbezaan penting yang dihuraikan oleh Noura Erakat ini.

‘But we must speak: On Palestine and the mandates of conscience’ – Noura Erakat bercakap ketika Palestine Festival di bandar New York pada 1 November 2023

Edward Said

Karyanya cukup menggugah dalam memperkaya debat, pemikiran semula serta tindakan alternatif

Akhir sekali, saya akan menyimpulkan tulisan ini dengan merujuk kepada seorang Palestin beragama Kristian, Edward Said (1935-2003), barangkali yang paling terkenal di kalangan sarjana aktivis dalam senarai ini.

Beliau dilahirkan di Baitulmaqdis, ketika masih di dalam wilayah Mandat Palestin. Bapanya berpangkalan di Baitulmaqdis dan ibunya berasal dari Nazareth, manakala Edward Said yang muda dibesarkan di Baitulmaqdis, bersekolah di Kaherah dan kemudiannya di Beirut.

Pada tahun 1950-an, beliau menghadiri kuliah di Universiti Princeton sebagai sarjana dan menamatkan PhD dalam bidang kesusasteraan Inggeris di Universiti Harvard. Beliau kemudiannya mengajar kesusasteraan Inggeris di Columbia University di New York City dan menulis banyak buku mengenai sastera.

Namun begitu, Said paling dikenali sebagai pengarang Orientalism (1978) bukunya yang paling penting dalam mengkaji stereotaip ke atas mereka “yang lain” yang sering bersifat perkauman atau dimoralkan oleh pengarang Barat. Beliau dianggap sebagai salah seorang pengasas kajian pasca kolonial. Melalui makalah akademik ini, Edward Said mempengaruhi dan melatih sekumpulan besar sarjana muda.

Beliau juga terkenal dengan pengucapan awam dan aktivismenya bagi pergerakan warga Palestin.

Buku penting pertamanya mengenai Palestin yang dibaca oleh ramai dalam generasi saya ialah The Question of Palestine (1979) yang menimbulkan perdebatan serius di AS dalam kalangan akademik serta pembaca lainnya.

Akhirnya, beliau menjadi ahli Majlis Kebangsaan Palestin, yang merupakan platform untuk beliau mewakili rakyat Palestin dalam pelbagai forum PBB dan antarabangsa.

Video Said and Palestine (1988) adalah kisah tentang perubahan politik yang berlaku di Palestin dari zaman pra-Perang Dunia Kedua hingga 1988. Video itu mengandungi klip masa lalu yang cukup berharga, diselangi dengan wawancara Said, ketika beliau sendiri melalui tahun-tahun transformasi itu.

Beliau berkongsi dengan kita kisah peribadinya tentang bagaimana rakyat Palestin telah diusir dari rumah asal mereka, tanah dan harta mereka dirampas dan diserahkan kepada orang Yahudi yang baru tiba.

Beliau juga menyoroti ketidakadilan ‘undang-undang kembali’ (law of return), yang tidak membenarkan rakyat Palestin kelahiran Baitulmaqdis seperti dirinya untuk pulang ke tanah air. Sebaliknya, seseorang yang beragama Yahudi dan mungkin berasal dari Rusia atau bahkan AS pula yang dialu-alukan ke Israel dan ditawarkan kewarganegaraan.

Dalam hal ini, Holocaust, yang menimpakan penderitaan besar bagi orang Yahudi, telah digunakan untuk menganiaya peribumi seperti dirinya pula. Ini tidak sepatutnya berlaku.

Tempoh selepas peperangan di Lubnan pada tahun 1988, yang membawa kepada pengusiran Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), baginya menandakan titik perubahan penting dalam perjuangan untuk sebuah negara Palestin. Apa yang dipanggil “negara dalam sebuah negara” yang dicipta oleh rakyat Palestin di selatan Lubnan telah berakhir kerana militia Amal Kristian yang bekerjasama dengan IDF kemudiannya memaksa penyingkiran PLO dari Lubnan.

Ketika itu, Beirut, baginya, telah menjadi “ibu kota orang buangan” dari seluruh dunia Arab. Penyingkiran paksa PLO dan orang buangan lain membawa kepada kehancuran pusat kehidupan para intelektual, kosmopolitan dan politik Arab yang berkembang pesat.

Namun, Said tidaklah hilang percaya terus terhadap perjuangan Palestin kerana mereka memiliki, dalam kata-katanya, “tradisi penentangan yang pantang alah”. Ada yang menggunakan keganasan untuk mencapai kebebasan mereka – yang Said sendiri menganggapnya terpesong dan berpandangan cetek.

Pun begitu, beliau terus menganggap perjuangan menentang penindas Israel itu wajar secara sepenuhnya. Hayati video yang menarik namun cukup menyakitkan ini.

Bukan konflik keagamaan

Rakyat Malaysia dan para pengamat lainnya harus meluangkan sedikit masa dalam merenung akar dan konteks konflik Israel-Hamas yang berterusan. Ia tidak bermula hanya pada 7 Oktober 2023.

Ia juga bukan sekadar pertelingkahan antara Hamas dan Israel, seperti yang Netanyahu dan kerajaan Israel dan kebanyakan kerajaan Barat dan media barat mahu kita percayai.

Keenam-enam aktivis ulama ini berhujah dalam video dan buku mereka bahawa masalah itu berpunca daripada penubuhan Israel pada tahun 1948 di atas sebuah tanah bernama Palestin, ketika itu merupakan wilayah mandat Britain, di mana mungkin dua juta rakyat Palestin sudah tinggal di bandar-bandar dan kampung-kampung luar bandar.

Walaupun ia seakan sebuah perayaan bagi orang Yahudi selepas 2,000 tahun pengasingan, penubuhan Israel juga mengakibatkan sebuah Malapetaka, Nakba, bagi rakyat Palestin – mereka diusir dari tanah, kampung dan bandar mereka sendiri, dan bertukar menjadi pelarian.

Konflik Israel-Palestin bermula ketika itu dan berterusan – kerana DNA penjajahan peneroka, di mana-mana sahaja, sentiasa akan mendapat tentangan.

Bagi kita di Malaysia, adalah sama penting untuk kita menyedari bahawa ini bukan konflik agama. Dengarkan duta Palestin ke Malaysia dalam wawancara BFM baru-baru ini:

Kecuali Noura Erakat (wanita muda Palestin-Amerika) dan Edward Said (seorang lebih tua, kini sudah meninggal dunia, Kristian Palestin), personaliti lainnya yang saya ketengahkan dalam artikel ini ialah dua orang Yahudi Israel dan dua Yahudi Amerika. Namun, kesemua mereka bercakap dalam laras bahasa keadilan yang sama dan menekankan keperluan untuk berusaha ke arah keamanan yang berkekalan.

Kami menggalakkan semua orang dapat melihat video ini dengan bijak, supaya kita dapat memahami masalah ini dengan lebih baik. Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menghapuskan prasangka kita, di mana di Malaysia, kita terlalu kerap dipandu oleh agama dan etnik kita. Sebaliknya, berfikiran terbukalah – kerana terdapat pengajaran penting yang boleh kita ambil daripada konflik yang sedang berlaku di sana.

Francis Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
20 November 2023

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x