
Pada tahun 2000 sewaktu Institutional Revolutionary Party, atau lebih dikenali dengan akronimnya PRI, tewas di dalam pilihann raya presiden di Mexico selepas 70 tahun di tampuk kekuasaan, penganalisa mengatakan ia tanda demokrasi kan tiba di negara itu.
Peristiwa ini cukup bersejarah kerana sejarah PRI sendiri begitu terkait rapat dengan kelahiran serta perkembangan sejarah moden Mexico ketika ia bangkit dari kehancuran perang revolusionari ketika awal Abad ke-20.
Selama tujuh dekad, PRI mengukuhkan kedudukannya di tampuk kekuasaan dengan pelbagai cara melibatkan penipuan pilihan raya, sistem naungan, politik gedebe serta ugutan, serta menyamarkan garis halus di antara sektor awam dan swasta. Tidak mengejutkan penulis Peru serta penerima anugerah Nobel yang tersohor, Mario Vargas Llosa, menyatakan ia sebagai sebuah sistem “kediktatoran yang sempurna”.
Jika apa yang dilakukan oleh PRI ini kedengaran biasa, ia adalah kerana strategi kemandirian serta kepanjangan usia politiknya ini mengingatkan kita kepada enam dekad Umno-Barisan Nasional di tampuk kekuasaan sebelum para pengundi akhirnya menumbangkan mereka menerusi pilihan raya umum pada 2018.
Seperti pilihan raya Mexico pada tahun 2000, pilihan raya umum 2018 yang cukup bersejarah ini juga ditanggapi oleh dunia sebagai pemangkin yang akan melonjakkan negara ini untuk meneruskan proses pendemokrasiannya. Jumlah mata yang diterima Malaysia di dalam indeks demokrasi oleh Economist Intelligence Unit meningkat dari 6.54 pada 2017 ke 7.19 pada 2020 (diterbitkan sejurus sebelum Langkah Sheraton itu).
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Manakala, selepas beberapa tahun mencari hala tuju politiknya, PRI membuat kebangkitan semula pada 2012 dengan memenangi pilihan raya presiden Mexico. Tampaknya demokrasi dengan parti baru di tampak kekuasaan belum tentu mencukupi untuk menangani permasalahan utama negara, misalnya melibatkan penggangguran tinggi, merosotnya nilai matawang, kemelesetan ekonomi serta keganasan diakibatkan masalah dadah.
Ramai yang cukup nostalgik mengimbau masa lalu, yang sekali gus menyumbang kepada kebangkitan PRI untuk kembali ke tampuk kekuasaan. Salah atau tidak, pengundi Mexico mengingati bagaimana baik serta stabilnya Mexico ketika PRI memerintah negara itu pada awal kekuasaannya.
Seorang pengundi mengatakan, “PRI sering ambil kisah tentang rakyat walaupun kadang caranya belum tentu betul.”
Beliau menambah: “Kalian perlu faham beginilah Mexico. Mereka semua merompak; mereka semua mencuri. Tapi kalau Pena (calon presiden PRI Enrique Pena Nieto] boleh bawa lebih banyak pekerjaan dan keselamatan, beliau akan menang.”
Pengundi Mexico ini saling tidak tumpah dengan pendukung Umno-BN yang sedang kita lihat di Malaysia sekarang.
Kita pastinya dapat melihat bagaimana terdapat persamaan yang jelas di antara kebangkitan PRI itu dengan nasib baik Umno-BN yang semakin meningkat naik sekarang ini.
Ketika pilihan raya negeri Melaka, Umno-BN menyapu 21 (75%) daripada 28 kerusi yang dipertandingkan manakala pada pilihan raya negeri Johor yang baru selesai, ia memenangi 40 (71%) dari 56 kerusi.
Jika Malaysia mengadakan pilihan raya umumnya hari ini, terdapat kemungkinan besar yang Umno-BN akan menang. Tidak seperti PRI, Umno-BN nampaknya tidak memerlukan tempoh 12 tahun untuk kembali menguasai kerajaan pusat.
Mengesan bagaimana rakyat mahukan kestabilan politik dan ekonomi, Umno-BN bersungguh-sungguh menjual isu ini ketika kempennya di Melaka dan Johor.
Umno-BN juga terlibat dengan apa yang dikatakan oleh Johan Saravanamuttu sebagai “mengolah persetujuan” dengan menggunakan politik wang untuk membeli undi, samada secara terus atau dengan menjanjikan pelbagai subsidi serta program pembangunan.
Suka atau tidak, tema kestabilan politik dan ekonomi serta kerajaan yang baik ini cukup kena dengan hati para pengundi – seperti yang dapat dilihat menerusi kemenangan selesa Umno-BN di Melaka dan Johor.
Tinjauan Nadi Melayu Muslim pada tahun 2021, yang dijalankan oleh Invoke dan Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development, menunjukkan terdapat kecenderungan autoritarian yang kuat di kalangan pengundi Melayu, di mana ramai yang sanggup untuk menggantikan hak demokrasi dengan kestabilan politik dan ekonomi – tidak seperti yang kita lihat di Singapura.
Ia sekali gus menyediakan ruang yang cukup subur bagi kempen Umno-BN dan ia menjelaskan kejayaan mereka dalam pilihan raya. Ia juga menjelaskan mengapa tema kempen seperti yang dilakukan PH – misalnya tentang kleptokrasi, rasuah serta mengembalikan mandat rakyat – tidak begitu memberi kesan jika dibandingkan dengan janji Umno-BN bagi kestabilan politik serta kebajikan ekonomi.
Jadi, apa yang boleh dilakukan PH serta masyarakat sivil bagi mengekang kebangkitan Umno-BN dari kembali menguasai kerajaan pusat?
Mustafa K Anuar menggesa PH untuk berganding bahu, dengan menggembleng gagasan bersama serta menampilkan polisi yang jelas tentang isu harian yang penting kepada pengundi, terutama buat mereka yang terkesan dengan pandemik.
PH perlu menampilkan diri mereka sebagai bersama dengan rakyat, bukannya dengan yang kaya dan berkuasa, di dalam soal kesihatan, pendidikan, alam sekitar, pekerjaan serta isu-isu lain.
Ia sepatutnya memasukkan analisa kelas di dalam pendekatan dan penggubalan polisi serta tidak terjebak dengan polisi neoliberal yang mahukan dasar penjimatan yang akhirnya hanya akan menindas orang miskin dan menguntungkan pula mereka yang kaya dan berkuasa, dengan belajar dari cara sosialisme.
PH juga tidak perlu berkompromi dalam melawan sentimen etnik-keagamaan yang toksik yang sekarang menyelubungi masyarakat serta politik rakyat Malaysia. Pakatan ini tidak boleh dan tidak sepatutnya terjebak dengan permainan ‘siapa yang lebih Islam’ seperti yang dilakukan oleh Umno dan Pas sejak dari 1980an. Permainan yang sebeginilah membawa negara menjadi begitu terpecah digariskan oleh sempadan etnik-keagamaan, seperti yang kita lihat sekarang.
Walaupun memenangi tampuk presiden pada 2012, PRI kemudiannya kalah semula enam tahun selepas itu, berikutan beberapa skandal rasuah. Tampaknya, seperti kata bidalan; “asal ayam hendak ke lesung , asal itik hendak ke pelimbahan”.
Satu hal yang baik dari kekalahan PRI yang bersejarah pada 2000 itu adalah politik Mexico menjadi lebih terbahagi dan semakin bersaing, di mana tiada parti yang lebih mendominasi di antara satu sama lain.
Kita juga dapat memerhatikan dinamika yang sama di Malaysia sejak kekalahan mengejut Umno-BN pada 2018. Lanskap politik Malaysia sekarang menjadi semakin terbuka, rencam dan semakin ditandingi. Kemenangan tidak bermakna kuasa dapat dikekalkan secara hegemonik.
Namun, pastinya tenaga politik yang sebegini tidak kekal selamanya jika rakyat kekal pasif dan endah tak endah. Inilah masanya untuk kita memastikan ahli politik dan kerajaan mendengar dengan menyatakan kebenaran serta berjuang di pihak yang mahukan keadilan, kesetaraan dan solidariti.
Azmil Tayeb
Editor bersama, surat berita Aliran
23 Mac 2022
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme