
Cukup jelas dan mengecewakan bahawa “kerajaan perpaduan” hari ini sebenarnya cukup caca-marba – sekurang-kurangnya dari segi mengeluarkan kenyataan, strategi serta dasar yang jelas.
Ini telah mengakibatkan kekeliruan dan putus asa di kalangan rakyat di Malaysia yang ingin melihat negara terus maju, walaupun ini bukanlah sepenuhnya kerajaan Pakatan Harapan yang dapat menjanjikan pembaharuan.
Namun, PH masih menjadi batu asas kepada kerajaan ini dan benar-benar perlu menunjukkannya, bukannya seolah-olah tidak berperanan langsung, terutamanya, dalam mengawal puak Zahid Hamidi dalam Umno.
Benar, terdapat beberapa pembaharuan sedang berlaku. Namun, dalam bidang lain seperti pendidikan tinggi dan kebebasan bersuara, nampaknya tabiat lama yang buruk serta dasar dan strategi konservatif sedang dicanang semula.
Dalam sektor pengajian tinggi, ia dicanang semula oleh menteri Umno yang langsung tidak membuat banyak perubahan ketika menjadi menteri pendidikan buat kali pertama dan nampaknya, langsung tidak akan membuat apa-apa perubahan positif sekarang. Ini terbukti menerusi kenyataannya mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Umum mengetahui bahawa semasa beliau menjadi menteri pendidikan, Dr Maszlee Malik dari PH telah memulakan – dan hampir memaktubkan – pemansuhan Auku. Perunding telah menasihati, penyelidikan meluas telah dijalankan, pelbagai pihak berkepentingan dirunding, dan perkongsian terbuka telah diadakan sepanjang tempoh perkhidmatannya – semuanya atas semangat memansuhkan Auku serta warisannya yang kontroversi dalam usaha menggantikannya dengan akta baharu, yang bertujuan untuk membebaskan pelajar, terutamanya, serta dunia akademik secara keseluruhannya.
Namun kini, nampaknya semua kerja keras yang bernilai itu telah diketepikan oleh menteri Umno Khaled Nordin. Seolah-olah sedang mencipta semula roda mengikut bentuk yang lama, mengikut acuan Umno yang bermasalah, Khaled kini bercakap untuk mengekalkan Auku dan membuat sedikit perubahan padanya – tanpa merujuk sama sekali kepada laporan mendalam yang disediakan di bawah Maszlee.
Khalid mengadakan sebuah perkongsian terbuka baru-baru ini, dengan menjemput kumpulan dan individu yang ‘mesra’, dan mengabaikan yang lain, terutamanya pengkritik, yang terpaksa menceroboh perkongsian itu. Biasalah, mereka yang dikenali mesra itu kemudiannya diheret keluar bagi mempertahankan Auku secara ‘objektif’.
Benar, sesi ‘perkongsian terbuka’ ini lebih seperti sebuah pertunjukan daripada percubaan sebenar untuk mengumpul dan mengukur pendapat serta maklumat daripada pelbagai pihak berkepentingan.
Peristiwa sebegini adalah sesuatu yang telah biasa kita hadapi selama beberapa dekad dengan Umno dan menteri-menterinya. Namun, cukup mengecewakan apabila seorang menteri PH iaitu Menteri Komunikasi dan Digital yang baru, Fahmi Fadzil, juga nampaknya sedang ‘membaca’ skrip yang sama.
Baru-baru ini, beliau yang memilih untuk mengelakkan diri daripada memberi komen tentang filem dalam talian Mentega Terbang, terlalu jelas kelihatan seperti seseorang yang takut akan sebarang tindak balas, walau betapa tidak rasional pun ia, daripada pihak konservatif.
Dengan meletakkan kesalahan kepada rejim terdahulu kerana tidak menapis filem itu, beliau secara nyata menolak semua perkara yang cuba diutarakan oleh pembuat filem itu. Ia cukup menyakitkan hati pencipta filem itu dan cukup menyedihkan, ia datang daripada seseorang yang terlibat secara langsung dalam dunia seni dan pastinya tahu soal isu kebebasan bersuara.
Malah, beliau juga melakukan perkara yang serupa baru-baru ini apabila mengkritik laporan analisis Berita Harian mengenai kadar dasar semalaman (OPR).
Mengkritik media, mana-mana media sekali pun, tanpa membuat siasatan terlebih dulu bukanlah tanda seorang reformis yang progresif. Bertindak menggunakan penapisan, dalam soal Mentega Terbang, apabila dialog yang diucapkan di dalam filem itu patutnya lebih bersifat mendidik dan mencerahkan, bukanlah sebuah ‘kepimpinan’ yang berpandangan ke hadapan.
Menapis sewenang-wenangnya adalah cara mereka yang jahil serta tidak mahu meneroka idea dan minda manusia. Ia cara Taliban, cara fasis.
Rom Nain
Editor bersama, surat berita Aliran
10 April 2023
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme
