
Kita bergerak dari satu krisis ke krisis yang lain.
Ia bermula dengan stokin dan kemudian beralih kepada kasut dan kini pula sejadah.
Isu sensitif pasti timbul dari semasa ke semasa, dan seringkali, perkara sebegini akan berlaku dalam masyarakat yang pelbagai. Tiada satu komuniti pun boleh mendakwa sesuatu akan menjadi lebih ‘sensitif’ daripada komuniti yang lain.
Apa yang menyedihkan dalam kes Malaysia ialah selepas enam dekad kemerdekaan dengan perpaduan antara etnik yang menjadi tunjang dasar pembangunannya, kita nampaknya tidak bergerak ke arah persefahaman yang lebih mendalam. Kita juga tidak mempunyai sistem dan proses untuk menangani pengurusan krisis di antara etnik dan agama.
Polarisasi berterusan walaupun terdapat slogan dan visi. Mereka yang memainkan api perkauman terus mengkhianati kepercayaan rakyat Malaysia.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Banyak bidang melibatkan soal kehidupan – pendidikan, penjagaan kesihatan, perkhidmatan awam, angkatan tentera – dikuasai oleh satu kumpulan etnik. Mungkin ada sedikit taburan etnik minoriti di sana sini untuk mempamerkan wujudnya kepelbagaian.
Dengan sedikit atau hampir tiada interaksi, masyarakat kita tinggal di kawasan hanya berasaskan satu kaum, dan ia paling ketara dalam politik. Apa lagi, isu etniklah yang konsisten digunakan untuk mendapatkan undi.
Malangnya, kita tidak mempunyai pemimpin yang mempunyai kapasiti untuk mengangkat agenda negara dan mengutarakan dasar dan proses yang boleh mewujudkan masyarakat Malaysia yang lebih bersatu padu.
Namun begitu, perubahan memang meninggalkan kesannya. Hari ini, kita mempunyai “kerajaan perpaduan'”, gabungan beraneka parti politik yang dapat menyediakan kawal dan imbang pada sesuatu masa, namun pada waktu sama tidak pula dapat berfungsi dengan baik, memburukkan dirinya pada masa-masa lain. Secara paradoks, gabungan ini seakan memberikan sinar harapan untuk masa depan.
Satu segmen yang kitab oleh harapkan ialah masyarakat sivil. Di sini kita akan melihat wujud kumpulan rakyat yang prihatin dalam memperjuangkan pembaharuan, mempertahankan hak asasi manusia, berjuang untuk keadilan sosial, bersuara menentang kemiskinan dan menyokong hak bagi pekerja asing.
Namun yang menyedihkan, “Malaysia Madani” nampaknya hanya menjadi satu lagi slogan kosong – sama seperti slogan pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, iaitu “Bersih, Cekap, Amanah”. Ia ternyata hanya tin kosong yang tidak membawa sebarang perbezaan, tetapi hanya menambah jumlah skandal yang memburukkan lagi pentadbiran sedia ada.
Cara kerajaan Madani menangani krisis baru-baru ini yang berkaitan dengan stoking yang mengandungi perkataan “Allah” mengecewakan banyak pihak.
Siapakah dalam kerajaan sekarang yang ada menunjukkan kualiti seperti rasa hormat, amanah dan belas kasihan – apa lagi soal lain yang lebih penting berkaitan isu kemampanan, kemakmuran dan inovasi?
Mungkin kerajaan Madani patut menubuhkan jawatankuasa perundingan rakyat yang mengambil kira kepelbagaian kaum dalam negara. Jawatankuasa ini boleh berfungsi sebagai kumpulan pengurusan krisis yang boleh bertindak balas dengan segera berkaitan segala isu-isu yang rumit.
Saya berani mengatakan kebanyakan orang ramai hari ini lebih komited kepada keamanan dan saling memaafkan daripada kebanyakan ahli politik, yang nampaknya mempunyai agenda untuk memecah belah.
Memang sifat kepelbagaian di mana pastinya isu-isu sukar pasti akan timbul. Tetapi jika kita mempunyai rasa hormat dan kepercayaan, kontroversi pasti boleh diselesaikan.
Jika kita tidak mempunyai kumpulan pengurusan krisis yang sedemikian, nampaknya kita seakan-akan menyerahkannya kepada sekumpulan kecil ahli politik yang taksub. Ahli politik sebegini hanya menunggu peluang sebegitu untuk mempamerkan kebodohan mereka.
Saya kecewa apabila Menteri Hal Ehwal Ugama Na’im Mokhtar berkata bahawa kenyataan baru-baru ini oleh MCCBCHST, sebuah jawatankuasa yang mewakili kepercayaan utama bukan Islam, mengelirukan dan boleh menyebabkan ketidakharmonian. Jawatankuasa itu melahirkan kebimbangan terhadap cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, dikenali sebagai RUU 355.
Saya mempunyai harapan yang lebih besar daripada menteri, terutamanya kerana beliau sendiri mewakili kerajaan Madani. Apakah salahnya jika beliau dapat menjemput jawatankuasa itu untuk minum teh bersama mereka sambil mendengar pandangan mereka?
Ia pasti dapat membuka peluang baginya untuk menunjukkan bahawa kerajaan Madani tidak berminat untuk bermain politik dan memfokuskan kepada keperluan untuk melahirkan kepercayaan, rasa hormat, persahabatan dan persefahaman.
Bayangkan seperti apa tanggapan orang ramai terhadap kredibiliti kerajaan serta komitmen menteri itu sendiri terhadap slogan Madani. Jika tidak, Madani akan menjadi satu lagi slogan yang tiada bezanya.
Menteri itu perlu berani keluar dari sempadannya dan memerhati perasaan golongan minoriti. Beliau boleh berjumpa dengan MCCBCHST dan memberi jaminan kepada mereka bahawa pindaan itu hanya akan memberi kesan kepada orang Islam dan sebarang perubahan adalah dalam rangka Perlembagaan Persekutuan. Ia pasti akan menjadi sebuah langkah positif.
Menteri sepatutnya empati akan ketakutan dan rasa tidak selamat golongan minoriti. Dialog adalah kuncinya dan nampaknya beliau sudah pun terlepas peluangnya. Mungkin baginya, Madani juga hanyalah sebuah slogan politik. Beliau pastinya sedar bahawa terdapat cukup banyak kes undang-undang yang menimbulkan keresahan di kalangan minoriti agama.
Kerajaan ini patut menunaikan janjinya. Melainkan para menteri dan pemimpinnya menunjukkan apa yang diperlukan mereka bagi mendapatkan penghormatan, kepercayaan dan belas kasihan, Madani hanya akan kekal sebagai satu lagi slogan kosong.
Bukanlah sesuatu yang berlebihan untuk pihak kerajaan berusaha untuk mendengar pandangan alternatif. Walaupun tiada apa yang dicapai, sekurang-kurangnya dialog telah berlaku dan kedua-dua pihak mengakui pendirian mereka. Kita tidak mahu pendekatan autokratik dari atas ke bawah, seperti yang berlaku selama beberapa dekad yang lalu.
Ia sesuatu yang cukup menyedihkan apabila isu antara agama masih tidak dapat diselesaikan di Malaysia pada hari ini. Seperti yang dihuraikan dengan jelas oleh Profesor Emeritus Osman Bakar dalam kertas kerjanya mengenai dialog antara agama dan tamadun: “Pluralisme etnik dan serantau merupakan isu kontemporari bagi Nabi (SAW) kerana wawasannya adalah, antara lainnya, untuk mewujudkan pluralisme Arab sebagai sebuah model kehidupan berbilang kepercayaan serta etnik yang diasaskan berdasarkan prinsip kerohanian yang boleh dilihat oleh masyarakat masa depan bagi mendapatkan inspirasi.”
Kita mesti beralih daripada hanya seputar agenda anda, saya dan mereka kepada satu bentuk keharmonian, kerana kita berkongsi rasa kemanusiaan yang sama. Inilah bentuk kepimpinan yang kita harapkan daripada kerajaan Madani ini.
Kegagalannya dalam menguruskan isu ‘stokin’ baru-baru ini menunjukkan kepada kita berapa ramai sebenarnya daripada mereka yang benar-benar komited kepada visi Madani. PM sendiri secara peribadi harus mengadakan latihan lanjutan untuk menteri-menterinya dalam hal ini.
Jika kerajaan tidak menunjukkan kepimpinan dalam menguruskan isu-isu sebegini, ia seakan samalah menyerahkan negara kepada golongan pentaksub dan ahli politik yang bodoh untuk menguruskannya. Mereka ini langsung tidak mempunyai isu yang relevan untuk diperjuangkan kepada semua rakyat. Sebaliknya, mereka hanya berselindung di sebalik topeng agama dan mendedahkan kemunafikan mereka.
Soalan utama untuk kita tanyakan ialah, adakah Madani itu sesuatu yang benar?!
K Haridas
Editor bersama, surat berita Aliran
15 April 2024
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme