Dasar kemasukan ke universiti awam telah menjadi bahan politik dalam politik Malaysia selama beberapa dekad.
Ia menarik banyak perhatian walaupun hanya melibatkan peratusan kecil pelajar di Malaysia.
Hingar bingar terbaru tentang ini berkaitan kenyataan menteri pengajian tinggi tentang isu itu. Beliau berkata: “Malaysia akan terus menyokong pendidikan inklusif dan berdiri bersama institusi serta komuniti yang terjejas oleh langkah-langkah yang mengehadkan akses dan melemahkan kepelbagaian.”
Kenyataan ini mungkin merujuk secara langsung kepada kegagalan di AS sekarang, di mana pentadbiran Donald Trump telah melarang atau menghentikan pendaftaran pelajar asing.
Komen menteri itu mencetuskan reaksi segera orang ramai. Pelbagai pihak terus menunjukkan akses yang tidak sama rata dan betapa terhadnya kepelbagaian di universiti awam di Malaysia, khususnya di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
UiTM (sebelum ini Institut Teknologi Mara) tidak membenarkan kemasukan warganegara Malaysia bukan-bumiputera sejak penubuhannya pada tahun 1956 – selain sebilangan kecil mereka yang dalam kursus persediaan untuk penerima biasiswa kerajaan ke luar negara. Walau bagaimanapun, ia sentiasa menerima masuk beberapa orang Melayu Singapura dan Brunei.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pendaftaran pelajar asing, termasuk dari China, telah meningkat kepada lebih 5,000 orang. Kebanyakan mereka adalah pelajar lepasan ijazah yang membayar yuran yang lebih tinggi. Langkah ini bagi membolehkan UiTM naik ke QS World University Rankings.
Cukup menghairankan yang tiada pelajar UiTM atau kumpulan nasionalis Melayu yang membantah perkara ini!
Sebaliknya, perkembangan ini pastinya terasa seperti garam yang disapu ke luka-luka etnik minoriti di Malaysia yang dinafikan peluang sedemikian.
Ramai yang mendakwa bahawa kriteria kemasukan yang lebih adil berdasarkan meritokrasi telah dikorbankan dalam mengutamakan tindakan afirmatif dan kuota kaum. Hasilnya ialah diskriminasi yang diinstitusikan terhadap warga bukan-bumiputera.
Kemasukan ke universiti menjadi topik hangat yang penting kerana permintaan untuk pendidikan tinggi telah meningkat manakala tempat di universiti awam adalah terhad.
Walaupun lebih banyak universiti dan kolej swasta telah berkembang pesat, yuran pengajian mereka juga turut meningkat secara berterusan. Tidak hairanlah, universiti awam dengan yuran bersubsidi yang jauh lebih rendah sering menjadi pilihan pertama atau pilihan ramai.
Universiti sering dilihat sebagai tempat untuk menimba ilmu dan kemahiran yang lebih tinggi. Kelayakan ijazah yang diperoleh membantu bagi memastikan mobiliti sosioekonomi meningkat.
Namun hari ini, banyak universiti mengejar kedudukan global yang lebih tinggi. Mereka mengutamakan pembolehubah ekonomi dan berorientasikan pasaran berbanding usaha ilmiah dan pembangunan intelek pelajar secara menyeluruh.
Walaupun begitu, universiti awam haruslah digunakan sebagai instrumen dasar untuk mewujudkan kesaksamaan sosial dan perpaduan sosial yang lebih besar – walaupun kadang-kadang hasilnya boleh jadi bercanggah.
Ekuiti atau meritokrasi?
Laporan terbaru mengenai dasar kemasukan ke universiti awam di Malaysia oleh Ooi Kok Hin daripada Architects of Diversity menyediakan maklumat penting tentang sistem kemasukan berpusat (biasanya dirujuk sebagai UPU). Ia juga menyediakan penilaian yang mantap terhadap proses kemasukan universiti awam.
Laporan ini memberikan penjelasan yang jernih serta menghilangkan beberapa salah tanggapan. Ia juga menggariskan beberapa cadangan dasar untuk meningkatkan keadilan dan ketelusan dalam proses.
UPU telah digunakan selama beberapa dekad sebagai instrumen untuk meneruskan penstrukturan semula ekonomi yang digagaskan lewat Dasar Ekonomi Baru (DEB). Penstrukturan semula ini bertujuan untuk mewujudkan kelas pertengahan profesional etnik Melayu atau bumiputera. Antara caranya adalah melalui kuota etnik bagi kemasukan ke universiti, dan kejayaannya telah didokumentasikan dengan baik dan telah diperakui.
Walau bagaimanapun, ia telah mengakibatkan akses yang tidak sama rata dan terhad bagi etnik minoriti. Ia mencetuskan kemarahan orang ramai setiap tahun apabila keputusan kemasukan ke universiti diumumkan. Ironinya, tampak seakan perpaduan sosial terpaksa dikorbankan, sekurang-kurangnya bagi jangka masa pendek, dalam usaha untuk kesaksamaan sosial.
Laporan AOD menyatakan bahawa kuota etnik yang dengan jelas tertera bagi kemasukan ke universiti telah dimansuhkan pada 2002, kecuali beberapa program khusus yang dikhaskan untuk pelajar bumiputera.
Sistem kemasukan sepanjang dua dekad yang lalu telah dikendalikan oleh platform digital berpusat. Permohonan dinilai berdasarkan sistem merit atau mata, berdasarkan keputusan peperiksaan awam yang berkaitan (90%) dan aktiviti kokurikulum (10%). Kemasukan untuk beberapa kursus juga tertakluk kepada peperiksaan kemasukan atau temu duga.
Sistem ini meliputi lebih daripada 1,500 kursus diploma dan ijazah yang ditawarkan di universiti dan kolej awam.
Calon ditawarkan tempat berdasarkan markah merit mereka serta perlu memenuhi syarat kemasukan. Ini termasuk peperiksaan kemasukan atau temu duga, ketersediaan tempat, dan kedudukan calon dalam enam hingga 12 kursus pilihan mereka yang diminati.
Permohonan daripada Orang Asli, pelajar dari isi rumah berpendapatan rendah, atlet serta pelajar kurang upaya tidak perlu melalui sistem merit utama ini. Kemasukan mereka bergantung kepada para pelajar yang memenuhi kriteria kemasukan asas dan ketersediaan tempat.
Walaupun kuota etnik tidak lagi digunakan untuk kemasukan universiti awam, ramai yang nampaknya tidak menyedari perkara ini. Ramai yang masih menganggap sistem itu tidak adil dan bersifat diskriminasi, walaupun bukan dengan sengaja secara dasarnya.
Memandangkan majoriti isi rumah berpendapatan rendah adalah bumiputera, ia boleh membantu menjelaskan mengapa orang Melayu dan bumiputera lain membentuk kira-kira 80% daripada kemasukan di universiti awam. Sebilangan besar daripada mereka memperoleh kemasukan dengan memintas sistem merit utama.
Walaupun tidak ada kuota etnik yang jelas yang memihak kepada bumiputera, ‘faktor ekuiti’ menyebabkan kecenderungan terbina, yang memihak kepada lebih ramai calon bumiputera daripada isi rumah berpendapatan rendah.
Adakah ini menjadikannya tidak adil untuk yang lain? Adakah ia seakan menterbalikkan diskriminasi?
Laporan AOD juga menyerlahkan satu lagi perkara yang menjadi pertikaian: persepsi tidak adil laluan kemasukan dua landasan sama ada melalui peperiksaan sekolah tinggi STPM (Tahun 13) atau laluan matrikulasi, yang melibatkan 90% (atau lebih) pelajar bumiputera.
Peperiksaan STPM umumnya dilihat lebih sukar daripada laluan matrikulasi.
Ketiadaan peperiksaan kemasukan yang seragam dan sama dianggap sebagai merugikan dan tidak adil kepada etnik minoriti, yang kebanyakannya berada dalam laluan STPM.
Ini dibuktikan oleh statistik yang menunjukkan bahawa calon matrikulasi jauh lebih berjaya dalam mendapatkan kemasukan ke kursus permintaan tinggi seperti perubatan, pergigian, undang-undang dan farmasi.
Tahun lepas, perdana menteri mengumumkan bahawa semua pelajar yang mencapai sekurang-kurangnya 10A dalam peperiksaan SPM (Tahun 11) – hampir 5,000 pelajar – akan ditawarkan tempat di kolej matrikulasi, tanpa mengira etnik. (Kuota 90% yang dikhaskan untuk pelajar bumiputera akan dikekalkan.)
Ini akan menangani sedikit sebanyak salah satu isu yang telah lama wujud serta menjadi rungutan etnik minoriti.
Namun, ia tidak menyelesaikan isu berkaitan kemasukan universiti dengan apa-apa cara yang mendalam atau berkesan.
Apa pun, sekali lagi kita bertanya jika sistem ‘merit’ universal atau seragam berdasarkan keputusan peperiksaan awam akan menjadi sistem yang lebih adil dan inklusif – apa lagi jika padang yang sama rata itu sendiri tidak pernah wujud?
Mereka yang belajar di sekolah-sekolah kecil di luar bandar atau segmen masyarakat yang lebih miskin pasti sedar akan kekurangan dan halangan yang wujud dalam menghadapi peperiksaan awam tersebut. Ini meletakkan pelajar dari latar belakang yang lebih miskin pada keadaan yang tidak menguntungkan secara jelas dari awal.
Melangkaui diskriminasi etnik
Menariknya, laporan AOD menunjukkan bahawa statistik kemasukan universiti 2023 menampilkan bahawa kadar kejayaan dalam kalangan calon bumiputera yang layak untuk kemasukan ke kursus ijazah adalah 69% berbanding 78.7% bagi calon bukan-bumiputera yang layak.
Ia bermakna terdapat ramai lagi calon bumiputera yang layak serta tidak mendapat kemasukan ke universiti awam. Walau bagaimanapun, ia juga membawa makna bahawa ramai pelajar etnik minoriti tidak peduli untuk memohon ke universiti awam pada mulanya.
Terlalu mudah dan tidak tepat untuk melihat isu ini sebagai kes diskriminasi kaum Melayu ke atas warga bukan-Melayu. Kelemahan dan halangan yang dihadapi oleh pelajar sering merentasi sempadan etnik. Pelajar dari kawasan luar bandar atau isi rumah berpendapatan rendah lebih terjejas, tanpa mengira etnik. Ia terbukti benar bukan sahaja dengan kemasukan universiti tetapi dengan banyak aspek kehidupan yang lain juga.
Laporan AOD turut menunjukkan bahawa terdapat beberapa faktor yang menjadikannya lebih sukar bagi kumpulan yang kurang bernasib baik dari segi ekonomi untuk mengakses peluang yang ada. Akses maklumat yang tidak sama rata, termasuk tentang selok-belok proses pemilihan UPU, cukup tidak membantu. Jurang melibatkan akses internet disebabkan jurang digital menghadkan pengetahuan tentang peluang. Kekurangan tunjuk ajar tambahan dan bimbingan peribadi daripada guru, mentor dan ibu bapa menyempitkan keupayaan pelajar daripada isi rumah berpendapatan rendah. Semua ini juga berlaku dek kerana kekurangan sumber kewangan.
Ironinya, beberapa universiti yang diberi autonomi untuk memintas sistem UPU dan kemasukan pelajar secara langsung telah membolehkan pelajar dari latar belakang yang lebih istimewa untuk masuk melalui laluan pengambilan terus. Laluan ini, yang diuruskan oleh unit komersial dalam universiti masing-masing, dilabel dengan pelbagai nama seperti “program luar pesisir”, “saluran premium” atau “saluran komersial”, atas sebab-sebab yang jelas.
Laluan pengambilan terus ini memberikan calon akses yang lebih baik dan memberi kawalan ke atas pilihan program universiti dan akademik. Malah, sebuah universiti awam turut mengiklankan kelebihan laluan ini sebagai laluan yang mengelak dari persaingan dan penilaian mata merit UPU.
Kelemahannya ialah tempat yang ada melalui laluan ini tidak disubsidi oleh kerajaan. Pelajar membayar yuran penuh untuk pelajar Malaysia, iaitu antara kira-kira RM50,000 hingga RM300,000.
Laluan ini juga terbuka kepada pelajar antarabangsa yang perlu membayar yuran yang lebih tinggi. Seperti yang dikatakan oleh seorang pengulas media sosial secara ringkas, “Anda hanya bersaing dengan orang yang berwang!”
Di manakah ekuiti dan keterangkuman yang dijanjikan?
Bilamana keistimewaan menenggelamkan soal kemiskinan
Pengambilalihan universiti awam oleh golongan kaya juga boleh dilihat di UiTM, yang objektif asalnya adalah untuk memartabatkan dan menyediakan mobiliti ke atas bagi orang Melayu yang kurang bernasib baik, kebanyakannya dari kawasan luar bandar.
Sepanjang enam dekad yang lalu, institusi itu telah berkembang dan berkembang menjadi universiti awam terbesar di Malaysia. Dengan 34 kampus di seluruh negara, setakat ini ia telah melahirkan lebih sejuta graduan bumiputera.
Tidak dinafikan, UiTM telah menyumbang kepada objektif DEB untuk menyusun semula masyarakat dan melahirkan kelas menengah profesional bumiputera yang cukup besar.
Tetapi di UiTM pun, calon-calon daripada segmen masyarakat Melayu atau bumiputera yang lebih miskin sering tidak dapat mengakses peluang pengajian tinggi. Ramai yang tidak mempunyai syarat kemasukan minimum tiga hingga lima kredit SPM, termasuk dalam bahasa Melayu, Inggeris dan matematik, bagi kebanyakan kursus diploma. Oleh itu, ‘merit’ juga tidak menghasilkan ekuiti.
Bagi mengatasi masalah ini, UiTM memperkenalkan program pra-diploma dan asasi dengan syarat kemasukan yang lebih rendah. Ia juga mengadakan pengambilan pelajar secara berkala serta ekspo pendidikan di kawasan luar bandar, memberikan kaunseling dan bimbingan kepada bakal calon. Ini membolehkan ramai mereka daripada segmen yang kurang bernasib baik mendapat akses kepada peluang pendidikan tinggi dan meningkatkan tahap sosioekonomi.
Di sebalik langkah-langkah seperti ini dalam menghadapi persaingan sengit untuk mendapatkan kemasukan ke UiTM sekarang, kebimbangan telah dibangkitkan mengenai pelajar daripada segmen 20% bumiputera mewah yang mendapat kemasukan ke UiTM.
Pelajar-pelajar ini sepatutnya boleh pergi ke universiti swasta di sini atau di luar negara. Tetapi mereka memilih untuk belajar di UiTM yang dibiayai dengan subsidi dan pembayar cukai. Malah ada yang mempamerkan beg dan kereta mewah mereka di kampus, yang turut mendapat kritikan daripada orang Melayu sendiri.
Walaupun pelajar ini mungkin mempunyai alasan yang kukuh untuk memilih UiTM, kemasukan mereka jelas telah meminggirkan beribu-ribu bumiputera daripada latar belakang yang lebih miskin.
Mungkin sebagai respons kepada bualan media sosial, naib canselor UiTM menjelaskan pada Mei tahun lalu bahawa hanya 28% daripada 190,000 pelajar adalah daripada 20% isi rumah teratas. Pendaftaran mereka daripada golongan 40% terbawah telah meningkat sejak wabak Covid daripada 40% kepada kira-kira 60% daripada jumlah pendaftaran.
Namun, ia terus menimbulkan persoalan serius tentang komitmen kerajaan terhadap ekuiti dan keadilan. Ia juga telah menimbulkan kebimbangan mengenai kedudukan moral dan etika di kalangan golongan 20% teratas masyarakat bumiputera dalam isu itu. Nampaknya UiTM, yang pada asalnya dianggap sebagai instrumen dasar tindakan afirmatif, kini dilihat sebagai hak bumiputera yang tidak boleh disentuh dan tidak boleh ditarik balik, tanpa mengira status sosioekonomi.
Walaupun sesetengah orang mungkin melihatnya sebagai dasar politik ‘bunuh diri’ untuk mencadangkan bahawa UiTM agar membuka beberapa tempat untuk pelajar etnik minoriti yang layak, idea itu sebenarnya dicetuskan oleh Anwar Ibrahim sendiri semasa beliau menjadi menteri pendidikan pada 1980-an – tetapi segera ditutup kerana protes. Adakah kita masih berada di petak yang sama dalam isu ini selepas empat dekad?!
Tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menghalang kemasukan bukan-bumiputera ke UiTM.
Dengan majoriti lebih dua pertiga di Parlimen sekarang, kerajaan “Madani” dan Perdana Menteri Anwar sepatutnya boleh meminda Akta Universiti Teknologi MARA (UiTM) 1976 dengan agak mudah – jika ada ‘kemahuan politik’ atau keberanian untuk merealisasikannya.
Jika tidak, maka peluang yang sama untuk pendidikan tinggi untuk pelajar etnik minoriti yang kurang bernasib baik mesti disediakan melalui cara lain. Ini akan menggalakkan kedua-dua kesaksamaan sosial dan perpaduan sosial.
Memperbesar ruang
Kemasukan universiti tidak semestinya seperti peribahasa ‘kalah jadi abu, menang jadi arang’. Ia seharusnya menjadi ruang yang membesar di mana sektor swasta boleh memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dalam menggalakkan kesaksamaan dan perpaduan sosial, dan bukan hanya menggunakan pendidikan tinggi sebagai usaha menjana wang.
Ruang pendidikan boleh diperluaskan lagi dengan membuka akses kepada peluang untuk pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional, yang disediakan oleh entiti awam dan swasta. Kerajaan harus mempercepat dan mempergiatkan inisiatif untuk mempromosi dan menaik taraf pendidikan dan latihan tersebut dan menangani kelemahan melibatkan keterangkuman etnik dan jantina setakat ini.
Menarik untuk melihat bagaimana kerajaan Madani akan mempromosikan kedua-dua aspek kesaksamaan sosial dan perpaduan sosial, tanpa mengorbankan meritokrasi dalam pendidikan tinggi. Ia sebenarnya memerlukan pembaharuan struktur yang menyeluruh dan bersepadu, bermula dari pendidikan prasekolah.
Semoga inilah yang telah dirangka oleh bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli dalam Rancangan Malaysia Ke-13. Dan semoga ada rezeki untuk polisi ini menjadi, apalagi Rafizi malangnya tidak lagi berada dalam kabinet.
Walaupun beberapa dasar tindakan afirmatif berasaskan kaum dilihat seakan hal yang suci dan mudah untuk dipergunakan secara politik, bahayanya adalah apabila keistimewaan bumiputera, terutamanya jika tidak berasaskan keperluan, akan mengakibatkan stigma peribadi di mana ada yang mempersoalkan kecekapan dan integriti individu – tidak kira sama ada bumiputera itu seorang pelajar, profesor, profesional mahupun perdana menteri. Lebih penting lagi, ia boleh mengakibatkan kerosakan yang tidak boleh diperbaiki kepada perpaduan sosial dan akhirnya menyebabkan kemerosotan negara.
Justeru, kita seharusnya bukan sekadar berada di atas pagar dan hanya menjadi penonton untuk menunggu kerajaan dan ahli politik melakukan apa yang perlu. Kita perlu menjadi lebih lantang, lebih jelas dan lebih kuat dalam tuntutan kita untuk mendesak pembaharuan penting.
Seperti yang digesa oleh Francis Loh dari Aliran dalam surat berita beliau sebelum ini, kita perlu memperhebat dan mengukuhkan “politik dengan huruf p kecil untuk pembaharuan sosial, keterangkuman dan demokrasi yang menggalakkan penyertaan”.
Mary Magdaline Pereira
Editor bersama, surat berita Aliran
6 Jun 2025
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme