Akta Profesion Kerja Sosial 2026 kini sedang melalui peringkat akhir pewartaan.
Ia menandakan satu pengiktirafan yang telah lama dinanti-nantikan terhadap kerja sosial sebagai satu profesion di Malaysia.
Akta ini bertujuan untuk mengawal selia pekerja sosial, meningkatkan piawaian, melindungi komuniti yang rentan serta memformalkan amalan profesional. Semua ini merupakan perkembangan yang cukup dialu-alukan.
Namun, akta ini menimbulkan persoalan yang lebih mendalam. Apakah model kawal selia yang paling bermanfaat bagi orang awam, dan bagaimanakah keseimbangan kuasa harus dicapai antara pihak kerajaan dengan profesion itu sendiri?
Peralihan dalam aspek kawalan
Dari segi sejarah, sesuatu profesion ditakrifkan oleh keupayaannya untuk mengawal selia diri sendiri. Mereka yang menyediakan sesuatu perkhidmatan khusus dijangka dapat menetapkan piawaian kecekapan, menegakkan tata laku beretika, mengambil tindakan disiplin terhadap salah laku serta melindungi kepentingan orang ramai.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Pengiktirafan melalui undang-undang biasanya memperkukuh perkara ini dengan memberikan kuasa perundangan kepada norma-norma profesional, sementara tetap dapat memelihara suara profesion itu sendiri.
Di Malaysia, bagi membolehkan sesuatu bidang diiktiraf sebagai profesion, mesti wujud sebuah badan kawal selia kendiri yang ditubuhkan melalui undang-undang bertulis.
Akta Profesion Kerja Sosial 2026 mengambil pendekatan yang jauh berbeza.
Daripada mengiktiraf atau memperkasakan badan sedia ada, seperti Persatuan Pekerja Sosial Malaysia, akta ini mewujudkan satu mekanisme baharu. Mekanisme tersebut ialah Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia (Bahagian II akta ini).
Majlis ini berada sepenuhnya di bawah kerajaan. Ia dipengerusikan oleh ketua setiausaha kementerian, dengan ketua pengarah kebajikan masyarakat bertindak sebagai timbalan pengerusi.
Kebanyakan ahlinya dilantik oleh menteri, yang juga mempunyai kuasa untuk menamatkan perkhidmatan mereka tanpa memberikan sebarang sebab (seksyen 10(1)). Majlis ini tertakluk kepada menteri, yang boleh mengeluarkan arahan kepadanya (seksyen 12).
Ini bukan sekadar satu bentuk pengawasan. Ia merupakan kawalan pentadbiran secara langsung terhadap badan yang menetapkan piawaian, etika, kompetensi dan disiplin bagi keseluruhan profesion tersebut.
Peraturan dengan jurang yang nyata
Definisi perkhidmatan kerja sosial dalam akta tersebut adalah luas. Ia merangkumi perkhidmatan yang disediakan bagi memastikan fungsi sosial dan kesejahteraan, melalui proses penglibatan, penilaian, perancangan, pelaksanaan, penilaian semula dan penamatan (seksyen 2).
Ia jelas merangkumi skop kerja sosial profesional. Namun, ia juga meliputi aktiviti yang lazimnya dijalankan dalam konteks kekeluargaan, kesukarelawanan, badan amal, komuniti, pendidikan dan advokasi.
Seorang sukarelawan di pusat pemberian makanan percuma yang menilai keperluan gelandangan boleh tertakluk di bawah peruntukan ini. Begitu juga dengan pekerja NGO yang tampil membantu mangsa keganasan rumah tangga.
Menteri telah menyatakan bahawa akta tersebut tidak terpakai kepada sukarelawan atau penjaga. Walau bagaimanapun, jaminan secara lisan di Parlimen tidak mempunyai sebarang kuasa perundangan. Kandungan akta itu tidak berubah, dan hukuman yang ditetapkan adalah berat.
Amalan tanpa pendaftaran boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau hukuman penjara selama dua tahun. Mengambil bekerja para pengamal yang tidak berdaftar pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau hukuman penjara selama tiga tahun.
Memandangkan wujudnya hukuman jenayah, undang-undang tersebut perlulah jelas. Jika sukarelawan serta penjaga dalam kalangan keluarga dan komuniti tidak termasuk dalam skop akta ini, perkara itu harus dinyatakan secara terang dan jelas.
Sektor penjagaan sosial di Malaysia adalah luas, pelbagai dan dinamik. Kerajaan menyatakan terdapat lebih daripada 54,500 NGO kebajikan yang aktif.
NGO, badan amal, pusat perlindungan dan kumpulan komuniti ini bergantung kepada gabungan kakitangan profesional, pekerja, sukarelawan dan ahli.
Namun, seksyen 32 akta tersebut menyekat pengambilan individu yang bukan pengamal berdaftar, serta mewujudkan liabiliti bagi pertubuhan dan pemegang jawatannya.
Isu sebenar bukanlah sama ada NGO perlu mematuhi piawaian profesional apabila mengambil pekerja sosial yang berkelayakan. Sebaliknya, persoalannya ialah sama ada akta itu membezakan dengan sewajarnya antara amalan profesional – yang memerlukan pendaftaran – dengan usaha sukarelawan atau berasaskan komuniti, yang tidak memerlukannya.
Pada masa ini, peruntukan seksyen 32 dianggap melampau dan perlu dipinda.
Terdapat juga piawaian berganda melibatkan penjawat awam. Seksyen 19(8) akta tersebut mengecualikan mereka daripada keperluan memiliki sijil amalan semasa menjalankan tugas kerja sosial:
“Tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh ditafsirkan sebagai menghalang penjawat awam daripada menyediakan perkhidmatan kerja sosial dalam menjalankan tugasnya sebagai penjawat awam tanpa memiliki sijil amalan.”
Perkara ini kelihatan bercanggah. Pendaftaran bertujuan melindungi golongan yang rentan; jadi, mengapa pegawai kerajaan yang melakukan tugas yang sama dikecualikan?
Menteri sudah mencadangkan bahawa penjawat awam akhirnya akan turut tertakluk kepada peraturan ini. Namun, akta tersebut tidak menetapkan sebarang jadual waktu mahupun kewajipan undang-undang untuk menamatkan pengecualian itu.
Aturan peralihan mungkin wajar dilaksanakan, namun pengecualian tanpa had masa sukar untuk dipertahankan.
Piawaian profesional seharusnya ditentukan oleh jenis kerja yang dilakukan, bukannya oleh siapa yang melaksanakannya.
Jalan lebih baik ke hadapan
Akta ini wajar dipuji kerana mengiktiraf kerja sosial sebagai satu profesion dan berusaha melindungi orang ramai.
Namun, proses profesionalisasi tidak boleh mengorbankan kebebasan profesional serta sifat belas kasihan insan yang datang daripada kumpulan masyarakat sivil dan orang awam.
Beberapa perubahan boleh memperkukuh akta ini.
- Jelaskan takrifan perkhidmatan kerja sosial, dengan memisahkan amalan profesional daripada kerja sukarela atau amal.
- Lindungi secara jelas golongan sukarelawan serta penjaga daripada kalangan keluarga dan komuniti supaya mereka tidak dianggap sebagai pengamal tanpa kebenaran
- Berikan panduan yang jelas kepada NGO supaya kakitangan profesional memenuhi piawaian yang ditetapkan, sementara kakitangan lain kekal bebas untuk berkhidmat
- Imbangi semula struktur kawal selia bagi memberi peranan institusi yang bermakna kepada pengamal dan masyarakat sivil dalam menetapkan piawaian serta etika.
- Teliti semula pengecualian bagi penjawat awam, menjadikannya benar-benar bersifat sementara dengan hala tuju yang jelas ke arah pematuhan sepenuhnya.
- Iktiraf pengalaman kerja seiring dengan kelayakan akademik, supaya mereka yang telah membangunkan sektor kebajikan sosial Malaysia tidak disisihkan akibat kerenah birokrasi.
Peraturan haruslah bertujuan melindungi orang ramai. Ia tidak seharusnya mengawal selia usaha bersifat belas kasihan, menyekat tindakan sivik, atau menyerahkan penentuan piawaian profesional kebanyakannya kepada pentadbir kerajaan.
Malaysia memerlukan sebuah rangka kerja yang meningkatkan martabat kerja sosial, menghormati kepakaran profesional, serta menghargai peranan masyarakat sivil.
Akta Profesion Kerja Sosial mampu mencapai matlamat ini, namun hanya jika proses profesionalisasi itu digandingkan dengan autonomi, kejelasan, dan pemahaman sebenar tentang pelaksanaan penjagaan sosial di lapangan.
UK Menon
Editor bersama, surat berita Aliran
14 September 2026
Diterjemahkan oleh Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme











