Merdeka! Merdeka!
Inilah waktunya dalam setahun saya akan mendengar lagu 31 Ogos yang tidak dapat dilupakan oleh Sudirman Arshad, penyanyi kesukaan kita:
Tanggal 31
Bulan lapan, 57
Merdeka, merdeka
Tetaplah merdeka
Ia pasti menjadi sejarah
Tanggal 31
Bulan lapan, 57
Hari yang mulia
Hari bahagia
Sambut dengan jiwa yang merdeka
Saya juga ingat, bagaimana pada waktu yang hampir sama, peristiwa beberapa tahun lalu di mana segelintir teman aktivis enggan mengibarkan bendera ketika bulan kemerdekaan kerana Malaysia mempunyai “rekod hak asasi manusia yang buruk”.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Peristiwa ini membingungkan saya. Saya menyayangi ibu pertiwi kita ini dan sentiasa berbangga menjadi rakyat Malaysia, walaupun saya tidak semestinya berbangga dengan perdana menteri atau kerajaan yang mentadbir ibu pertiwi kita ini. Malahan, saya dengan cukup bangga mengibarkan bendera setiap hari di serambi depan rumah.
Pada waktu sama, kini terdapat ramai yang mula mempersoal keberkesanan mengundi pada pilihan raya akan datang. Penurunan bilangan pengundi pada pilihan raya negeri yang lalu menunjukkan bahawa keengganan para pengundi untuk mengambil bahagian dalam proses demokratik.
Ramai beranggapan bahawa ia kesan daripada “langkah Sheraton” serta berubahnya kesetiaan politik.
Bagaimana caranya untuk kita mengeluarkan diri daripada kancah politik yang seakan-akan membelenggu kita dalam suasana ‘disfungsi pilihan raya’ ini? Kebanyakan orang awam tidak lagi teruja dengan mana-mana calon, parti atau manifesto parti politik yang ada.
Bagaimana kita dapat atasi kekecewaan serta ketidakberdayaan yang dialami ramai warga Malaysia hari ini?
Bagaimana kita dapat menamatkan ketidakpercayaan serta kehampaan terhadap proses pengundian, apatah lagi ketika wakil yang diundi mengkhianati dan saling membeli mandat kita dan melompat bagi temboloknya sendiri?
Bagaimana kita mengelakkan kelelahan politik serta penurunan bilangan pengundi yang kita jangkakan pada pilihan raya akan datang?
Benar, terlalu ramai Pak Pandir yang berlagak seperti pemimpin politik dan pembuat dasar sebagai ahli politik yang langsung tidak mempunyai prinsip, tidak cekap serta cemerkap – semuanya ditanggung kita!
Ia cukup menyakitkan hati saatnya negara tercinta kita dilabel sebagai kleptokrasi, gara-gara kerana salah laku bekas perdana menteri penjenayah yang kita ada yang sehingga kini masih acah suci dan tidak bersalah!
Sekadar mengulang sentiment yang dikongsi oleh ahli parlimen pembangkang Lim Kit Siang, apakah kita mahu tergelincir lebih jauh dan menjadi sebuah negara kakistokrasi?
Kita dapat fahami betapa marah dan kecewanya kita dengan keadaan politik sekarang; namun dengan tidak mengambil bahagian dan memboikot pilihan raya akan datang, tidak akan menjadikan keadaan lebih baik.
Malahan merosakkan undi untuk menyatakan protes, seperti yang dicadangkan pada pilihan raya yang lalu oleh penggerak Undi Rosak, adalah merbahaya dan tergesa-gesa.
Walaupun prosesnya berjalan perlahan dan penuh kekecewaan, kita tidak berupaya membawa perubahan jika kita terus menarik diri dari proses serta ruang lain yang ada dalam membawa perubahan. Ini termasuklah soal membuang undi ketika pilihan raya lima tahun sekali dan juga menyertai ribuan warga biasa untuk sebuah protes jalanan aman.
Kita perlu memperakui bahawa tiada demokrasi yang sempurna. Sekadar memetik Father Richard Rohr: “Tidak ada struktur atau orang yang sempurna. Yang ada hanya perjuangan untuk ke sana.”
Sebanyak mana pun kita mengaitkan demokrasi dengan tekad rakyat terbanyak, ujian sebenar demokrasi adalah dengan bagaimana kita dapat mempertahan dan menghormati hak minoriti serta kelompok rentan yang ada dalam masyarakat.
Demokrasi juga punya kuasa untuk menolak mereka yang kita tidak mahu.
Semenjak beberapa tahun lalu dengan berubahnya kesetiaan serta gabungan politik yang goyah didukung oleh majoriti tipis, kita perlu bertanya apakah ‘kepimpinan majoriti’ sekarang wujud atau diperlukan dalam sebuah masyarakat yang rencam dan pelbagai, apatah lagi jika ia juga sebuah masyarakat yang berpecah-belah.
Pembinaan gabungan politik serta politik tawar-menawar bukanlah hanya unik kepada Malaysia. Kita sudah pun menyaksikannya sejak awal mula pembinaan negara, malah sebelum Merdeka, ketika kelompok politik di kedua-dua belah bahagian berganding bahu dalam ‘perkahwinan serba memudahkan’ dalam usaha strategik bagi mencapai cita-cita politik mereka. Gabungan politik boleh saja bercerai dan berpisah ketika keadaan dan keutamaan politik mereka berubah.
Adakah ini waktunya untuk kita keluar dari politik perseteruan dan cuba untuk membina sebuah bentuk demokrasi konsensual yang diikat pada hak asasi, kebertanggungjawaban serta kewibawaan? Ia memerlukan perubahan besar dalam institusi pentadbiran yang penting bagi memastikan kawal imbang, keterbukaan serta kebertanggungjawaban.
Prasyarat untuk perkara ini berlaku adalah dengan wujudnya sikap saling percaya dan penerimaan di antara pemain politik utama.
Ia cukup menggalakkan untuk melihat jika wujud usaha perubahan ini melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani tahun lalu di antara kerajaan pusat diketuai Perikatan Nasional serta gabungan pembangkang Pakatan Harapan.
Walaupun MoU ini diejek serta dikritik banyak pihak, ia akhirnya menghasilkan pembentangan akta ‘lompat parti’ yang ditunggu-tunggu. Akta ini diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 Julai.
Akta ini merupakan hasil dari perbincangan merentasi sempadan politik – ia benar-benar sebuah peristiwa bersejarah dalam demokrasi berparlimen di Malaysia.
Terdapat juga “Kumpulan Demokrasi Rentas-Parti” melibatkan 12 ahli parlimen merentasi spektrum politik “bagi menggalakkan dialog, perbincangan dan penglibatan rentas parti di Parlimen bagi reformasi institusi bagi memastikan orang ramai untuk menyertai proses parlimen”.
Di sini, pujian harus diberikan kepada kelompok masyarakat sivil dan badan pemikir yang menjalankan penyelidikan serta perbincangan yang penting dengan pemegang taruh bagi memastikan reformasi berhasil.
Asasnya, perubahan institusi tidak akan terjadi sendiri jika kita tidak mempunyai warga yang beretika serta berfikir untuk berubah dalam sistem itu sendiri.
Kita perlu ada pemimpin politik yang mengutamakan kebajikan warga biasa – pemimpin yang mampu untuk mengenal pasti punca permasalahan yang dialami di negara kita dan meletakkan mereka ini di tempat di mana perubahan struktur dan sistemik diperlukan bagi mengeluarkan kita dari kebrobokan yang dialami sekarang.
Sudah terlalu lama kita mempunyai sebuah kerajaan yang hanya mahu membuat perubahan kosmetik dan beransur-ansur – dan itu pun lajunya seperti siput! Kita perlu mendukung dan mengundi pemimpin parti yang meletakkan agenda rakyat berbanding agenda politik peribadi mereka.
Saya bersetuju sepenuh hati dengan Henry Loh dari Aliran bahawa kita perlu memastikan Najib dan konconya tidak kembali berkuasa – dan saya fikir ramai yang bersetuju akan hal ini.
Kita perlu merampas semula negara kita dari segelintir kleptokrat, mereka yang rasis dan pentaksub agama.
Kita perlu menolak ahli politik yang menggula-gulakan kita bertahun-tahun lamanya, yang menjadi serigala dalam bulu biri-biri, yang mengkhianati kepercayaan dan menghanyirkan negara kita dengan politik wang serta mantra “cash is king”-nya itu, walau betapa mereka mahu kita mempercayainya.
Untuk memastikan hal ini berjaya, penglibatan kita dalam politik perlu melangkaui pengundian lima tahun sekali, walaupun ia penting bagi masa depan yang kita bayangkan.
Kita perlu mengenal pasti, menguar-uarkan dan memastikan nilai ini diterapkan supaya terpancar dalam jati diri warga biasa – seperti yang sedang cuba dilakukan secara bersama oleh kelompok masyarakat sivil melalui usaha seperti Agenda Rakyat dan Manifesto Rakyat.
Bagi merampas kembali negara kita, kita perlu memainkan peranan selagi boleh, di mana saja kita berada, setiap hari.
Saya cukup terinspirasi setiap kali ada klip video yang tular atau laporan berita yang menunjukkan bagaimana rakyat Malaysia yang biasa berganding bahu menolak salah guna kuasa oleh “mereka yang berkuasa” – tidak kiralah dari menteri cabinet yang hipokrit melanggar peraturan Covid sehinggalah kakitangan biadab di jabatan kerajaan.
Aliran sudah mengetengahkan hal ini, termasuklah isu dua darjat. Kita sudah menjelaskan kedudukan kita berkaitan isu dua darjat ini, lebih-lebih lagi tentang isu dua darjat tentang penggunaan perundangan di negara kita.
Ini juga apa yang dituntut oleh kita kepada mereka yang mahu mewakili rakyat di Parlimen seperti dinyatakan dalam Agenda Rakyat – agar mereka mendukung demokrasi serta keluhuran undang-undang bagi memastikan semua perundangan dapat melindungi hak asasi, dengan proses sepatutnya serta kebebasan asasi.
Kita sudah matang jauh dari tempoh pentadbiran kuku besi, yang dikenakan selepas peristiwa 1969. Ketika itu, budaya ketakutan cukup berleluasa saatnya penguasan menggunakan kuasa sewenang-wenangnya dan mengikut suka mereka menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri serta Akta Hasutan, yang senantiasa bergentayangan dan akan digunakan seperti pedang Damocles.
Kini ramai tidak mempedulikan ketakutan dan semakin berani dan kreatif dalam menyatakan tuntutan dan pandangan mereka tentang pelbagai isu yang diakibatkan oleh ketidakcekapan atau semudah polisi awam yang teruk.
Cukup ramai di luar sana yang seringkali menanamkan benih ketakutan dan kegelapan, seperti kita semua menuju ke sebuah dystopia. Pun, kita perlu menelusuri denai agar dapat berjumpa sebuah cahaya. Kita perlu menyatakan kemarahan dengan penuh bermaruah dengan cara yang lebih membina.
Inilah caranya untuk merampas kembali negara dan kemerdekaan kita. Kita perlu memastikan bahawa kita tidak lagi dijajah dan dikawal oleh sesiapa pun yang tidak menghormati hak asasi kita.
Kita perlu merdeka dan menyahjajah minda kita. Kita perlu bergerak bersama untuk membebaskan negara kita dari segala macam mehnah agar dapat meraikannya dengan semangat kemerdekaan. Kita perlu mengubati disfungsi pilihan raya kita sekarang!
Mary Magdaline Pereira
Editor bersama, surat berita Aliran
11 Ogos 2022
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme